Saturday, April 7, 2012


Syed Mokhtar: Adakah usaha tambah dana Umno BN?


KUALA LUMPUR, 6 April: Jika benar Syed Mokhtar Al Bukhary mendapat kelulusan untuk membuat kajian terperinci terhadap KTM Berhad, adakah ia satu lagi tindakan menambahkan dana pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN), Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) mempersoalkan.

"Saya diberitahu bahawa Syed Mokhtar telah dapat kelulusan untuk buat due diligence ke atas KTM Berhad, iaitu diberi kebenaran untuk mengetahui semua perkara yang dianggap perlu untuk diketahui berkaitan KTM.

"Perkara itu berlaku ketika dihebohankan bahawa kerajaan BN akan di beri balik sejumlah wang dari penjualan aset-aset tertentu untuk menghadapi pilihan raya umum," katanya.

Antara tindakan yang paling mendapat perhatian sebelum ini ialah apabila Maju Expressway (MEX), lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya sepanjang 26 kilometer baru-baru ini dijual dengan harga RM1.7 bilion kepada EP Manufacturing Berhad (EPMB) oleh Maju Holdings Sdn Bhd sedangkan pelaburan asal Pengerusi Eksekutif Maju Group, Tan Sri Abu Sahid Mohamed untuk MEX hanya RM60 juta sahaja.

Mohamad mempersoalkan, adakah apa yang berlaku itu merupakan bailout atau penjualan asset yang dipisah-pisahkan bagi tujuan mendapatkan lebih banyak keuntungan atau asset stripping.

"Adakah apa yang orang korporat kata asset stripping itu juga dapat membantu menambahkan dana pilihan raya Umno BN?" soal beliau.

Berikutan dakwaan bahawa Syed Mokhtar mendapat kelulusan untuk melakukan due diligence ke atas KTM itu, Mohamad bimbang akan wujud raksaksa yang sangat berkuasa ke atas negara ini.

"Saya diberitahu ada khabar angin bahawa Syed Mokhtar telah membuat tawaran membeli PLUS Berhad.

"Kalau KTM dia punya, PLUS pun dia punya, Syed Mokhtar menjadi individu yang sangat berkuasa, menguasai logistik negara serta menjadi orang yang sangat penting ke atas kesejahteraan ekonomi negara.

"Sekarang pun, dengan penguasaan beberapa pelabuhan serta cadangan untuk menguasai pelabuhan lain dalam negara ini, kalau Syed Mokhtar demam, Malaysia boleh pengsan," kata beliau.

Syed Mokhtar menguasai Pelabuhan Tanjong Pelepas, Johor dan Pulau Pinang.

Terdapat pula dakwaaan Syed Mokhtar sedang berusaha untuk mengambilalih Northport Berhad di Pelabuhan Kelang.

"Kalau Syed Mokhtar berjaya kuasai PLUS dan KTM dan 60 peratus dari eksport negara pula adalah melalui pelabuhan-pelabuhan sekitar Selat Melaka yang beliau miliki, bayangkan betapa berkuasanya Syed Mokhtar.

"Banyak pula khabar yang kita dengar bahawa di belakang Syed Mokhtar ialah (Tun) Dr Mahathir (Mohamad).

"Kalau benar, adakah ia bermakna Dr Mahathir sekarang sedang berusaha habis-habisan untuk menguasai infrastruktur strategik dalam negara ini dan beliau tetap mempunyai kuasa tawar-menawar sekalipun berlakunya keadaan Umno dan BN menghadapi kekalahan?" kata Mohamad.

Beliau melahirkan kebimbangan apa akan terjadi apabila infrastruktur-infratruktur penting negara ini dikuasai oleh Syed Mokhtar yang sering dilaporkan mempunyai tanggungan yang luar biasa besar.

"Beberapa kali saya membaca laporan bahawa syarikat-syarikat milik Syed Mokhtar mempunyai hutang yang sudah mencecah RM25 bilion.

"Kalau Syed Mokhtar tersungkur, ia bermakna kerajaan mesti membantunya dengan memberikan pelbagai geran dan pinjaman mudah dan rakyat jugalah yang akan menanggung bebannya," kata beliau.

Tindakan kerajaan Umno meluluskan Syed Mokhtar menguasai hampir semua infrastruktur pengangkutan dan logistik negara juga merupakan tindakan yang sangat luar biasa, kata Mohamad.

"Kalau semua infrastruktur pengangkutan dan logistik negara Syed Mokhtar yang punya, buat apa lagi ada Kementerian Pengangkutan?

"Juallah dengan menterinya sekali!" beliau menyindir.

Sebelum ini Malaysian Insider melaporkan bahawa pihaknya difahamkan bahawa Syed Mokhtar muncul sebagai penyumbang utama dana kepada Umno selepas ahli-ahli perniagaan Cina tempatan keberatan ekoran kekurangan kontrak di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.  HARAKAH 6 April 2012

No comments: