Thursday, July 24, 2008

NAJIB BERSUMPAH

Oleh: Petah Shahrir Aidid

GUANG MING (26-6-2008)


Hadis Nabi Muhammad s.a.w.:Barang siapa yang bersumpah, hendaklah bersumpah dengan nama Allah atau hendaklah diam sahaja.

(perawi: Abdullah dan Imam Bukhari.)

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersumpah dengan nama Allah kerana menolak tohmahan, tuduhan atau fitnah dari kalangan tertentu yang beliau ada hubungan dengan janda beranak satu dari Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Najib telah bersumpah dengan melafazkan Wallah, wabillah dan Watallahi dalam Perhimpunan UMNO, di Bangunan UMNO, Kuala Lumpur, pada 10 Julai 2008 lalu.

Seperti yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada 13 Julai 2008, Najib telah berkata:

“Pada masa ini pun saya dijadikan sasaran parti pembangkang. Ini kerana pada fikiran mereka, saya harus menjadi sasaran utama sebab ikut pada tradisi UMNO, Timbalan Presiden menjadi Presiden apabila tiba masanya.

Jadi mereka hendak buat tanggapan sedemikian. Mereka telah melemparkan segala-gala fitnah sejak pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok lagi. Jadi tidak ada benda yang aneh atau luar biasa.

Tak apalah, itu asam garam dalam politik, apa-apa jawatan yang kita pegang pun ada cabaran. Lagi tinggi kita pegang jawatan lagi banyak cabaran. Kita kena hadapi. Kalau kita di pihak yang benar apa yang kita takutkan? Kalau kita buat salah barulah kita takut.

Itu yang dilakukan oleh parti lawan. Apabila mereka menyerang secara berterus lama kelamaan kalau sesuatu yang tidak benar atau pembohongan atau fitnah diulang beberapa kali akhirnya sama ada ia akan menjadi kebenaran atau sekurang-kurangnya ia akan menimbulkan satu kesangsian.

Dalam politik, persepsi lebih penting daripada kebenaran atau hakikat sebenarnya. Saya sedar permainan ini dan saya menghadapinya. Atas sebab itulah saya telah menjelaskan, bahawa saya tidak terlibat sama sekali dengan kes Altantuya Shaariibuu.

Malah saya bersumpah semalam (Khamis 10 Julai 2008) dengan melafazkan Wallah Wabillah dan watallahi bahawa saya sama sekali tidak mengenali perempuan Altantuya itu.

Tidak ada sumpah yang lebih tinggi. Pada orang Islam itulah yang paling utama sekali dan perwakilan yang hadir bertepuk kuat apabila saya lafaz sumpah tersebut.

Ada yang bertakbir. Jadi itulah yang boleh saya lakukan sebagai seorang Islam.”

Pengakuan terbuka dengan sumpah oleh Najib Tun Razak itu telah memantap keyakinan semua ahli UMNO – Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO, bahawa orang luar yang membuat tuduhan itu sengaja hendak memburuk-burukkan nama bakal Perdana Menteri pada 2010 nanti.

Oleh kerana kita berada dalam sebuah negara yang rakyatnya berbilang bangsa, agama dan kepercayaan; sumpah Najib Tun Razak itu dapat diyakini oleh orang Islam tetapi bagi mereka yang beragama lain dan tidak beragama sumpah demikian sukar mereka percayainya.

Sebagai pemimpin Najib Tun Razak tentulah sedar, bahawa kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya yang lalu dan akan datang bergantung kepada setiap individu rakyat yang menganut agama Islam, agama-agama lain dan tidak beragama; mungkin ada menganut komunisme dan sosialisme. Maka mereka itulah yang sukar mempercayai sumpah dan dari mereka sukar mendapat mata undi.

Kehilangan mata undi bagi Barisan Nasional dan UMNO itulah amat kita takut pada pilihan raya ke- 13 nanti.

Jalan yang paling baik, Najib Tun Razak berusaha menanam keyakinan rakyat dan para pengundi yang tidak beragama Islam, hanyalah dengan mengadakan pembersihan melalui mahkamah, misalnya bersumpah cara atau amalan di negara kita.

PERPADUAN PAS DENGAN UMNO

Oleh: Mokhtar Petah

Langkah Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana mencari titik permulaan bagi mengukuh perpaduan umat Islam adalah satu kangkah yang baik.

Sikap terbuka Abdullah Ahmad Badawi menerima geng dari parti musuh partinya, yang diketuai oleh Haji Abdul Hadi Awang adalah baik kerana kepentingan umat Islam.

Geng Haji Abdul Hadi itu disertai oleh Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa, Ketua Pengarah Jabatan PilihanRaya PAS, Datuk Mustafa Ali dan ahli Dewan Rakyat (Shah Alam) Abdul Khalid Samad.

Saya juga mengakui baik akan pandangan Mursyidul ‘Am PAS dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Abdul Aziz Nik Mat bahawa muzakarah antara PAS dengan UMNO perlu dihentikan.

Hal ini mengingatkan saya kepada sejarah Islam, iaitu apabila Nabi Muhammad s.a.w. bersama para sahabatnya merancang untuk mengadakan muafakat dengan golongan-golongan Yahudi Madinah untuk mengadakan perjanjian atau Piagam Madinah, ada di kalangan umat Islam menentang kerana mereka khuatir sesuatu akan berlaku ke atas umat Islam.

Tetapi akhirnya telah berhasil dengan hakikat, bahawa telah wujud satu piagam yang menyatukan umat Islam dan Yahudi Madinah bersatu untuk mempertahankan bandar moden itu dari serangan musuh Islam.

Sesiapa yang menyelidik sejarah Islam, tentu telah mendapati, pada fasal 47, iaitu fasal akhir Piagam Madinah telah terjalin satu pengakuan dari pihak Yahudi, iaitu:

Bahawa Piagam ini tidak boleh dipakai bagi melindungi orang-orang zalim dan yang bersalah; dan bahawa – mulai dari saat ini – sesiapa berpergian dari Kota Madinah atau menetap di dalamnya adalah terjamin keselamatannya kecuali orang-orang yang zalim atau bersalah. Dan bahawa Allah merestui setiap orang yang membuat kebajikan dan bertaqwa, dan bahawa Muhammad hendaklah diakui Pesuruh Allah.

(Baca: Kerajaan Mansuh Kekebalan Raja Melayu,

oleh: Mokhtar Petah.

Editor.)

Usaha pihak PAS dan Abdullah Ahmad Badawi untuk mencari titik persamaan bagi mengembalikan perpaduan umat Islam patut dilihat dengan kaca mata ulul albab atau intelektualan Islam dan mengelakkan dari sebarang prasangka.

Pandangan Nik Abdul Aziz saya kira sebagai mengingatkan kembali kedudukan PAS pada masa di bawah pimpinan Datuk Mohd. Asri Haji Muda yang mulanya membawa cita-cita untuk bekerjasama antara PAS dengan UMNO, tetapi akhirnya Mohd.Asri Haji Muda dan beberapa orang lagi telah membawa PAS ke dalam perangkap UMNO.

Seperti yang saya ketahui dari Tunku Abdul Rahman, bahawa pada peringkat awal Asri Haji Muda dan rakan-rakannya telah berbincang dengan Tunku Abdul Rahman mengenai pentingnya PAS bekerjsama dengan UMNO.

Tunku Abdul Rahman telah menasihatkan pihak PAS itu agar mereka tidak mnenyertai Perikatan, mereka hanya bekerjasama dengan UMNO di luar Perikatan.

Setelah Mohd. Asri Haji Muda dan rakan-rakannya bertemu dengan Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein dan mereka telah mendapat tawaran yang enak, maka Mohd Asri Haji Muda telah mengheret PAS ke dalam Perikatan.

Saya kira hal demikian itulah yang menyebabkan Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menaruh curiga atas usaha Haji Abdul Hadi dengan gengnya untuk mengadakan muzakarah dengan UMNO.

Satu yang boleh dikira ‘tidak kena’, ialah Haji Abdul Hadi Awang dan gengnya telah tidak memaklum dan tidak meminta restu Mursyidul ‘Am sebelum bertemu dengan Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi saya kira hal itu boleh dimaafkan.

Sebilangan besar umat Islam di negara ini tentunya mengalu-alu akan langkah PAS dan UMNO itu. Kalau usaha itu berhasil, maka perpaduan umat Islam di negara ini akan pulih.

Selama ini umat Islam di negara ini yang duduk dalam organisasi politik lebih mementingkan politik masing-masing dari perpaduan umat Islam. Politik menjadikan mereka mabuk seperti orang mabuk pinang atau mabuk ganja. Dalam keadaan mabuk, mereka tidak sedar akan tanggungjawab mereka yang sebenar.

Untuk mencapai matlamat, saya kira samaada di pihak PAS mahu pun di pihak UMNO, hapuskan prasangka antara dua pihak itu. Tumpukan kepada usaha mencari jalan kebajikan dan keredaan Allah sahaja.

Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., umat Islam telah berperang sabilullah dengan pihak kafir, tetapi apabila pihak kafir ingin berdamai, maka Allah telah memaklumkan kepada Nabi Muhmmad s.a.w. dengan firman-Nya:

Jika mereka (pihak musuh) cenderung kepda perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya (perdamaian) serta tawakal kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Allah Mendengar dan Maha Mengetahui. Dan jika bertujuan hendak menipu kamu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberi perlinddungan) kepada kamu. Dia yang nmenguatkan kamu dengan pertolongan- Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.

(Al Anfal: 61,62).

Saya kira, Abdullah Ahmad Badawi tidak akan memperdayakan pihak PAS. UMNO tidak akan menipu PAS. Mereka juga berharap PAS menyuntikkan semangat baru kepada mereka setelah mereka sakit pada pilihan raya ke -12 lalu.

Mungkin umat Islam sesuai dengan pendapat saya, bahawa perpaduan umat Islam di Malaysia tidak akan tercapai selagi UMNO dan PAS tidak mencapai kata sepakat dan berpadu.

Elok diingat kembali, PAS adalah ibarat adik kandung UMNO. Selama ini adik kandung tidak ‘bertemu bulu’ dengan abang kandung. Kedua-dua mereka dimurkai oleh Allah dan tidak mendapat keredaan-Nya.

Kerana dimurka dan tidak diredai Allah, UMNO dengan PAS terus bermusuhan dan ibarat orang berperang, yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu. UMNO lemah dalam ikatan bersama parti-parti lain dan PAS menjadi lemah – gugurkan tujuan menegakkan negara Islam - , kerana tunduk kepada parti-parti politik yang berpegang kepada sosio-demokrasi.

Kerana saya orang pertama berkhidmat dalam PAS, iaitu pada masa Yang Dipertua, Haji Ahmad Fuad Hassan dan Setiausaha Agungnya, Cikgu Ahmad Awang, saya mengalu-alukan usaha untuk menyatupadukan PAS dengan UMNO menerusi musyawarah yang berpandukan Islam.

QURAN

Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya (perdamaian) serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bertujuan hendak memperdaya kamu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberi perlindungan) kepada kamu. Dialah yang menguatkan kamu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.

(Al anfal:61,62).

HADIS

Apabila Allah menurunkan azab (sengsara) kepada sesuatu kaum, azab itu menimpa siapa sahaja ada dalam kaum itu, tetapi kemudian mereka dibangkitkan (di akhirat) menurut amalan masing-masing, demikian Sabda Rasulullah Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Perawi: Abu Umar dan Imam Bukhari.

PETUA

Orang tua-tua Melayu memberi petua (tetapi tidak berlandaskan penyelidikan sains, hanya berpandukan pengalaman dalam masyarakat sahaja), untuk mengelakkan fikiran menjadi lemah atau tidak kuat ingatan, elak daripada memakan biji buah gajus (janggus).

Wednesday, July 23, 2008

PASAR TANI PUTRAJAYA


Pasar Tani atau Pasar Malam anjuran FAMA dalam kawasan lapang di hadapan kompleks pejabat kerajaan – pejabat Perbendaharaan Negara – Kementerian Kewangan dan pejabat-pejabat lain di sini, laksana hidang dari kampung kepada orang-orang bandar.

Para penjual yang terdiri dari peniaga-peniaga kecil dan penjaja-penjaja Melayu dari luar bandar menjual beraneka makanan, buah-buahan, berbagai jenis hasil tangkapan laut dan ikan air tawar.

Selain dari beraneka pakaian, perhiasan rumah tangga, permainan kanak-kanak, terdapat pula sekelompok pelukis jalanan sedang melukis dan menjual hasil karya mereka di sebuah gerai.

Dua tiga orang pemuda dari Kedah, menjual sup untuk kuah mee dan mihun, dalam sebuah periuk aluminium yang besar yang boleh dibuat perahu untuk seorang remaja.

Para pengunjung Pasar Malam itu, kebanyakannya terdiri dari pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta. Hampir semua dari mereka itu terdiri dari mereka yang berhijrah dari kampung-kampung di luar bandar.

Untuk melayan selera dengan makanan orang kampung, mereka berkunjungan ke Pasar Tani yang diadakan pada tiap-tiap malam Sabtu itu.

Pasar Tani telah menjadi pada ‘arafah – perkenalan antara para peniaga kecil dan penjaja Melayu dari luar bandar dengan para penghijrah di Putrajaya dan kawasan sekitanya.

Pada malam itu, kelihatan seorang perempuan muda sarat mengandung berjalan beiringan dengan suaminya mencari buah kedondong dan mempelam muda, seorang perempuan penolong pengarah di sebuah jabatan kerajaan mencari ubi kayu dan seorang pengarah syarikat mencari ikan pekasam atau budu.


QURAN


Jangan orang orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir (tidak percayakan Allah, menyekutukan Allah, menafi wujud Allah dan bukan orang Islam) menjadi rakan (dalam semua bidang) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian, maka tidaklah mereka (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir). Dan Allah mmerintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah juga tempat kembali.

(Ali Imran: 28).

HADIS


Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: “Saya telah merenung ke dalam syurga, saya mendapati kebanyakkan penghuninya orang-orang fakir, saya merenung ke dalam neraka, saya mendapati kebanyakkan penghuninya orang-orang perempuan.”

Perawi: Imran bin Hashim r.a. dan Imam Bukhari.

PETUA

Petua orang tua-tua Islam, jika seseorang lelaki yang layak (berakal, ada pengetahuan, ada harta, tubuh badan sihat) berkahwin lebih dari satu, dia khuatir isteri pertamanya mengetahui, akan berlaku bercerai berai dan rumah tangganya akan porak peranda, maka, berkahwinlah, tetapi rahsiakan dari diketahui oleh isteri pertamanya. Itu adalah baik bagi seseorang lelaki sejati.

Tuesday, July 22, 2008

MUBAHALAH TIDAK UNTUK JENAYAH?

Oleh: Petah Sharir Aidid

Putrajaya: Sumpah dan muhabalah bukanlah kaedah yang digunakan untuk mensabitkan pesalah, demikian Iman Masjid Putra, Haji Abd. Manan bin Haji Mat menegaskan dalam khutbah Jumaatnya bertajuk ‘Hak Allah’ pada hari ini.

“Sumpah digunakan dalam kes bukan jenayah (iaitu kes mal) sahaja,”katanya.

Berikut ini disiarkan sepenuhnya khutbah tersebut: “Pada zaman Rasulullah s.a.w. pelbagai ujian telah berlaku, sama ada ke atas diri Baginda, keluarga atau umat Islam pada masa itu. Kesemua ujian itu dapat ditangani (oleh Baginda) dengan baik. Berasaskan keadaan itu, Allah s.w. t. telah mengajar Rasulullah s.a.w. metologi untuk berhujah dengan kaum musyrik, munafik dan sebagainya. Salah satu kaedah yang dinyatakan dalamQuran ialah muhabalah atau mula’anah.

Muhabalah bererti pihak yang berbalah saling doa mendoa untuk membersihkan diri antara mereka supaya diturunkan laknat ke atas salah seorang daripada mereka yang berbohong.

Dalam sejarah Islam, Rsulullah s.a.w. pernah menggunakan kaedah ini (muhabalah) setelah diwahyukan oleh Allah Subhanahu wa Taala sebagai mana di dalam surat Ali Imran, maksudnya:

Maka sesiapa yang membantahmu mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu semua dan isteri-isteri kami serta isteri kamu semua, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan sesaungguhnya, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpa kepada orang-orang yang berdusta.

Peristiwa ini telah berlaku pada tahun kesembilan Hijrah di mana beberapa orang utusan Nasrani Najran di Selatan Semenanjung Arab berhampiran Yaman bertandang ke Madinah Al Munawwarah bertemu Rasulullah s.a.w. ujntuk berhujah tentang keyakinan batil mereka berkenaan Nabi Isa a.s. Meskipun Rasulullah s.a.w. telah memberi penjelasan lengkap mengenai kenabian Nabi Isa a.s. tetapi puak Najran itu tidak menerima. Lalu Allah subhanahu wa Taala meminta Rasulullah s.a.w. supaya mencabar pula mereka dengan bermuhabalah. Bagaimanapun puak Najran ini menolak untuk bermubahalah kerana bimbang pembohongan mereka diketahui.

Persoalan besar timbul, ialah, apakah boleh diamalkan dalam membuktikan kes-kes jenayah tanpa melalui proses perundangan? Kes-kes jenayah Islam seperti pembunuhan, zina, liwat, qazaf dan pemberontakan dan sebagainya adalah dikategorikan sebagai hak Allah Subhanayu wa Taala. Dalam melaksanakan hukuman bersabit hak-hak Allah ini, sumpah dan mubahalah bukaanlah kaedah yang digunakan untuk mensabitkan pesalah. Sumpah digunakan dalam kes-kes bukan jenayah (kes mal atau civil) sahaja.

Oleh sebab itu dalam kes jenayah, Islam menentukan prinsip undang-undang tertentu dalam menegakkan keadilan. Tidak ada ajaran mudah dan singkat untuk menuduh dan mensabitkan seseorang bersalah. Keadilan boleh ditegakkan melalui proses undang-undang.

Disebabkan ketinggian sifat kasih Allah kepada manusia ialah, maka kedudukan kita sentiasa dipelihara dengan berbagai peraturan dan undang-undang supaya umat manusia terpelihara dengan berbagai-bagai peraturan dan undang-undang supaya umat Islam tidak terus hanyut ditimpa dosa bahkan mendapat ganjaran berlipat ganda.

Firman Allah subhanahu wa Taalah dalam surah Al Baqarah, bermaksud:

Dan (ingatlah) pada ketika Tuhan kamu berfirman kepada malaikat: Sesaungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka (malaikat) bertanya: Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi aitu manusia yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa mensucikan- Mu? Tuhan berfirman: sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahui.

Inilah kemuliaan yang sangat besar diberi Allah kepada manusia agar kita dapat memakmurkan bumi ini tanpa sebarang persengketaan atau pertumpahan darah. Namu begitu masih terdapat segelintir manusia yang gagal mematuhi peraturan tersebut. Maka kerana itu undang-undang Allah sangat berkesan mencegah kerosakan di dunia ini.

Apapun tanggungjawab setiap umat Islam hendaklah sentiasa memelihara hak-hak Allah dengan terlebih dahulu menjaga akan hak-hak manusia. Antara hak-hak manusia itu adalah menjaga hak beragama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda daripada dirosakkan atau menjadi perosak kepada orang lain.

Dengan sedemikian, untuk menjaga kemakmuran, keharmonian dan keselamatan, maka kita perlu mematuhi dan menghormati undang-undang.

Mimbar (imam) ingin menasihatkan umat Islam, bahawa dalam menyelesaikan kes-kes jenayah Islam atau hak-hak Allah subhanahu wa Taala hendaklah kita kembali menghormati dan mematuhi prinsip undang-undang menurut bidang kuasa mahkamah yang telah ditetapkan. Kita perlu ingat jangan mempermain-main dan mempersendakan hukum Allah bagi mengelakkan kemurkaan Allah Subhanahu wa Taala.

KERJASAMA PAS DAN UMNO


DOSA PECAH BELAHKAN BANGSA SENDIRI

Oleh: Mokhtar Petah

Berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah.

Dan hendaklah ada di antara kamu sekalian umat yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh melakukan segala yang baik dan melarang dari melakukan segala yang salah. Dan mereka yang melakukan demikian adalah orang-orng yang berjaya.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Kristian) yang telah berpecah belah dan berselisihan setelah datang kepada mereka keterangan-ketgerangan yang jelas. Dan mereka yang melakukan demikian akan mendapat azab sangsara yang besar.

(Ali Imran: 103,104, 105.)

Sebelum saya melanjutkan tulisan ini, saya suka bertanya kepada umat Islam, iaitu:

1 - Komunis dan komunisme itu menafikan wujud dan kuasa Allah dan yakin, bahawa alam ini tidak ada yang menjadikannya, ia terjadi dengan sendiri.

2 - Sosialis dan sosialisme hampir sama dengan komunis dan komunisme tentang menafikan wujud Allah dan kuasa Allah.

3 - Sosio-demokrasi adalah dari aliran komunisme dan sosialisme. Pemerintahannya tidak beraja (republik), tiada rupa bangsa dan tidak beragama, iaitu agama tidak boleh dicampurkan dengan politik dan pemerintahan.

4 - Kapitalis dan kapitalisme, tidak menentang wujud dan kuasa Allah, tetapi boleh mengabai atau mengenepikan perintah Allah. Malaysia salah sebuah negara kapitalis, tetapi kerana Islam menjadi agama rasmi, maka banyak undang-undang atau peraturan Islam diamalkan secara boleh memilih dan mengagih.Ada kalanya mencari cara dan kaedah untuk menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

5 - Islam, sebuah agama Allah. Menunjukkan kepada manusia jalan kehidupan di dunia dan di akhirat. Permerintahannya boleh republik (Presiden atau khalifah), boleh ada Raja Pemerintah, tetapi Raja Pemerintah di bawah Perlembagaan yang berdasarkan Quran dan Sunnah. Boleh ikut iklim dan geografi, iaitu tidak ada rupa bangsa, hanya orang Islam boleh mengetuai dan memerintah negara Islam. Di Malaysia, boleh kekal bangsa Melayu kerana Melayu beragama Islam, tetapi mereka dari bangsa-bangsa lain yang beragama (rakyat Malaysia) boleh mengetuai dan memerintah Negara Islam.

Kita boleh melihat corak atau pegangan parti-parti politik terbesar di Malaysia. Iaitu:

* UMNO; nasional (Melayu)– kapitalis (guna beberapa perkara dari Islam). Tidak termasuk UMNO di Sabah.

* PAS ; Islam dan tiada rupa bangsa tetapi guna pakai Ummah – Islam.

* MCA; nasional (Cina) - kapitalis.

* MIC; nasional (India) - kapitalis

* GERAKAN, Sosio- demokrasi (ambil kira pada mula ditubuh dulu).

* Parti Progresif Rakyat (PPR), ditubuh dan dipimpin oleh S.P. Seenivasagam dan adiknya, D.R. Seenivasagam, pegangannya. Sosio-demkrasi.

* Parti Keadilan Rakyat; Sosio – demokrasi.

* DAP; Sosio - demokrasi (seperti People Action Party) Singapura.

Saya dan siapapun yang ada pengetahuan Islam dan beriman kepada Allah, para rasul-Nya, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan hari kiamat berasa bangga dan gembira apabila mendapat tahu UMNO (Pekembar) dan PAS sedang berusaha mencari titik pertemuan kerjasama sebagai dua buah parti politik ummah.

Sebagai orang Islam, saya berdoa kepada Allah, “ Ya Rabi, Kau kurniakanlah taufik dan hidayat kepada Abdullah Badawi, Najib Tun Razak dan semua ahli UMNO dan kepada Haji Hadi Awang, Haji Nik Abdul Aziz dan semua ahli PAS; mudah-mudahan usaha mereka untuk bersatu dan bekerjasama itu berjaya dan mendapat keredaan- Mu.”

Hasrat Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bahawa UMNO berhasrat untuk bermuzakarah dengan tujuan untuk kepentingan umah dan agama Islam adalah amat baik.

Abdullah Badawi telah menyambut kenyataan Presiden PAS, Datuk Haji Abdul Hadi Awang yang PAS akan berunding dengan UMNO mengenai kepentingan Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

Haji Hadi Awang teleh mengetuai delegasi Majlis Harian PAS Terengganu seramai 12 orang telah bertemu dan berunding dengan Menteri Besar merangkap Ketua Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, di pejabat Menteri Besar, pada 15 Julai lalu.

Manakala Mursyidul ‘Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mnenyambut baik hasrat murni itu, tetapi beliau mahu tujuan itu mestilah dari UMNO sendiri dan bukan peribadi Abdullah Badawi.

Saya berpendapat, untuk perpaduan kedua buah parti itu, tidak perlu muzakarah, kerana masing-masing telah amat faham akan firman-firman Allah dalam Quran mengenai perpaduan umat Islam, mempertahankan Islam dan sebagainya.

Yang baiknya, kedua belah pihak berunding secara sulit dan tidak diadakan publisiti atau yang ini ada sidang akhbar dan yang itu adakan sidang akhbar. Kerana perbuatan itu tidak memberi apa-apa faedah.

Dalam perundingan itu, masing-masing kembali kepada ayat-ayat Quran Ali Imran:P 103 – 104 yang saya telah catatkan di atas. Dalam perundingan itu masing-masing berkongsi kebijaksanaan dengan tujuan kebaikkan dan untuk mendapat keredaan Allah.

UMNO yang sejak merdeka masih mengamalkan konsep atau dasar nasionalis – kapitalis merelakan diri kembali kepada ajaran Islam, iaitu melaksanakan Baldatun Tayyibah wa Rabbun Ghafur – negara bertuah dan Allah Maha Pengampun, ertinya mendapat keredaan Allah.

Pada masa ini dan masa akan datang dalam UMNO lebih ramai ahlinya yang mahukan UMNO mencari hala tuju kepada sebuah negara keredaan Allah atau negara yang menggunakan perlembagaan Islam.

Perpaduan Melayu dan ummah tidak akan berjaya dilaksanakan oleh pertubuhan-tubuhan kebajikan atau NGO. Kejayaan akan dapat dicapai dengan parti-parti politik orang yang ada kuasa, luas fahaman politik, lebar pengaruh dan serius amalannya.

Seperti yang kita ketahui, kerana UMNO masih bertegak dan bertahan pada konsep nasional dan kapitalisnya, maka pilihan raya ke 13 baru-baru ia telah mendapat ujian besar yang membuktikan orang-orang Islam tidak lagi yakin kepada konsep nasional- kapitalis. Mereka mahukan Islam sebagai amalan hidup di dunia dan akhirat.

Dalam menghadapi perundingan itu nanti, sama ada pihak UMNO mahupun pihak PAS tidaklah boleh menunjukkan taring masiang-masing; kalau pandai jangan menunjuk pandai, tetapi biar pandai boleh diikut dan tidak pandai boleh diajar.

Saya melihat, sementara Abdullah Badawi masih memegang tampuk kerajaan dan memimpin UMNO, maka perundingan itu elok diadakan, kerana beliau telah mendapat sokong dari akar umbi dalam UMNO dan kerajaan. Perundingan itu pula diharapkan kedua-dua parti politik itu kembali kepada Allah, iaitu merujuk kepada Quran dan Sunnah.

Saya amat khuatir, kalau-kalau negara kita ini tidak mendapat keredaan Allah kerana kita tidak mengamalkan Islam sebagai addin, Allah tidak mengurniakan keredaan-Nya. Seperti kata kebanyakan ulama, bahawa walau bagaimana makmur pun negara kita, kalau Allah tidak reda, rakyat susah, keadaan seperti berselimutkan kain panjang lima; tutup kepala kaki telanjang, tutup kaki kepala terdedah.

Kita ambil contoh, dua negara yang mengamalkan Islam sebagai Addin, iaitu Arab Saudi (negara telah dijanjikan Allah kepada Nabi Ibrahim) dan Iran. Arab Saudi hanya pengeluar minyak, tidak ada sumber pendapatan lain, rakyat tidak dikenakan cukai pendapatan dan cukai kenderaan (road tax), tetapi rakyatnya makmur.Begitu juga Iran.

Selamat bekerjasama UMNO dengan PAS.

ANWAR IBRAHIM

RAJA MELAYU DUKA DIA GEMBIRA

Oleh: Mokhtar Petah

[Manuskrip buku Anwar Ibrahim Dalam Sejarah Alam Melayu ditulis oleh Mokhtar Petah pada tahun 1998, tetapi kerana beberapa sebab, manuskrip tersebut tidak dapat disiapkan. Adalah diharapkan, sebaik-baik manuskrip ini telah siap ditulis dan akan diterbitkan.

Petah Shahrir Aidid.]

*** ***

Penasihat Parti Kedilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.Anwarditahan pada jam 1 petang selepas keretanya dipintas kenderaan Pasukan Khas Bukit Aman (16.7.2008), termasuk 20 anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang bertopeng ski, kira-kira 50 meter dari rumahnya di Bukit Segambut, dekat sini.’

(Berita Harian 17 Julai 2008).

Pada hakikatnya, semenjak Anwar Ibrahim menyertai UMNO sebilangan besar orang-orang lama -veteran, dalam UMNO berada dalam keadaan gelisah, kerana mereka khuatir Anwar Ibrahim akan melakukan reformasi dalam UMNO dan parti politik asobiah Melayu itu akan bertukar menjadi sebuah parti Islam. Mereka dihantui oleh prasangka terhadap Anwar Ibrahim akan membawa UMNO berganding bahu dengan PAS.

Kegelisahan mereka itu, kerana sebelum menyertai UMNO, Anwar Ibrahim pernah mengumumkan secara lantang yang dia akan memasuki UMNO kerana dia akan mengislamisasikan parti kebangsaan Melayu itu.

Dua negarawan Melayu itu – Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim telah menghapuskan pengaruh istana. Penghapusan itu menjadi lebih menonjol setelah buku Malay Dilema yang ditulis oleh Dr. Mahathir Mohamad pada masa dia disingkirkan dari UMNO oleh Tunku Abdul Rhman telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan dibaca oleh kebanyakan orang Melayu. Buku itu lebih bersifat mengkritik dan mengecap sikap Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak dan beberapa orang tokoh politik di bawah dagu mereka.

‘Perkara yang mula-mula sekali terlintas di fikiran kita ialah kebanyakan orang Melayu adalah berfahaman feodal dan mereka mahu terus berfahaman demikian. Revolusi yang dimulakan dengan mengajar pemusnahan institusi kesultanan yang sudah termaktub akan gagal. Ia tidak akan mendapat sokongan dari kebanyakan orang Melayu yang ortodoks. Lagi pula kesultanan itu tidak membawa apa-apa kerugian terhadap orang Melayu atau pun sesiapa jua. Pemeliharaan sistem yang begini tidak dapat dinafikan memang tinggi biayanya, tetapi oleh kerana Raja-Raja dipisahkan dari kuasa, maka ia tidak merupakan penindasan. Lagi pula Malaysia tanpa Raja bermaknalah seolah-olah orang Melayu tidak wujud sama sekali. Pada masa yang lampau Raja-Rajalah yang telah memberi dan meneruskan ciri- Melayu di Tanah Melayu. Jika mereka disingkirkan maka bermaknalah peninggalan akhir Tanah Melayu tradisional akan hilang. Inilah sebabnya orang Melayu masih lagi bersifat feodal walaupun mereka telah menerima pendidikan moden dan mempunyai sofistikasi dalam politiki.’

(tullisan Dr. Mahathir Mohamad pada muka surat 124, buku Dilema Melayu 1994.)

Hasil dari pengertian dan anggapan Tunku Abdul Rahman dan para penyokongnya terhadap kandungan buku Malaysia Dilema (Dilema Melayu), maka buku tersebut telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negberi dari diedarkan, dijual dan dibaca oleh orang ramai negara ini. Pengharaman terhadap buku itu telah berakhir, apabila King Gaz – Tan Sri Ghazali Shafie tidak lagi memegang tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri.

Satu revolusi mengurangkan kekebalan Raja-Raja Melayu yang dipelopori oleh Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim pada tahun 1982 dan pada tahun 1992 revolusi itu menjadi lebih berjaya dan kekebalan Raja-Raja Melayu di kurangkan. (baca buku Kerajaan Mansuh Kekebalan Raja Melayu, oleh: Mokhtar Petah). Revolusi itu telah berjaya setelah anak Negeri Sembilan bermastautin di Melaka, Tun Abdul Ghafar Baba telah dijadikan wira yang memakai bayangan Hang Jebat seperti dalam cerita dongeng sejarah Melayu. Dia telah membentang usul menghapuskan kekebalan Raja-Raja Melayu di Dewan Rakyat pada 10 Disember 1992.

Pada masa Tunku Abdul Rahman menyingkirkan Dr. Mahahtir Mohamad dari UMNO dulu, Ghafar Baba menjadi penyokong Tunku yang terkuat. Pada masa itu, seperti juga Tunku Abdul Rahman dan rakana-rakannya yang lain, Ghafar Baba telah menganggap Dr. Mahathir Mohamad musuh dan pengkhianat UMNO buat selama-lamanya.

Sesungguhnya, manusia hanya merancang dan mentadbir, tetapi kehendak dan kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Akhirnya, dengan usaha Datuk Haji Harun Idris, Dr.Mahathir Mohamad diterima semula ke dalam UMNO dan Ghafar Baba terpaksa tunduk kepada beliau dengan taat setia yang tidak berbelah bahagi.

Sebagai seorang pejuang yang telah memulakan perjuangannya dari sekolah – Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Universiti Malaysia hingga tahun 1971, Anwar Ibrahim telah memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1972 – 1982 dan sebelum itu telah mengetuai Majlis Belia Malaysia 1972 - 1976 . Nama Anwar Ibrahim telah terjulang ke langit zaman sebagai seorang pejuang nasionalis – Islam dan pelopor pembela rakyat marhein yang terpaksa memakan sambal telunjuk berdiri.

(bersambung esok).

SAJAK

ISLAMKAH KITA?

(Untuk Abdullah Badawi, Najib, Haji Hadi, Nik Aziz, ulama dan indvidu Islam yang beriman)

Benarkan kita ini manusia Islam,

Hati dan jiwa mukmin murni,

Taatkan Allah pemilik alam,

Pegang kukuh Sunnah nabi?


Baca kaji dalam diri kalian,

Kerana kuasa abaikan perintah Allah,

Suara naga kerja laksana semut dijalanan,

Benak hati abaikan perpaduan ummah,


Benarkah kita ini manusia beriman?

Atau pendurhaka bakal api neraka,

Sesama ummah putus hubungan,

Kerana jahiliah moden arah tuju kita.


Perpaduan umah kita abaikan,

Berkarat hati sesama muslimin,

Bangga kuasa atau ria beriman,

Macam sibuta menghadap cermin.


Benarkah kita manusia beriman?

Sebijak mana orang Pekembar,

Sekuat mana PAS bertakwaan,

‘Perpaduan ummat ngapa dibiar?’


Wahai Melayu Ummah mulia,

Usah dibangga kuat dan pintar,

Jika perintah Allah kita alpa,

Kuasa dan makmur tetap bertukar.


Kalimat kudus, Kun fayakun!

Kita jadi papa kedana,

Kuasa berpindah ke tangan orang,

Bangsa Melayu hilang kuasa,

Raja kita pindah ke sarang.


Tanjung Piring, Kedah

Mokhtar Petah

QURAN

Mereka (orang kafir dan fasik) bersumpah kepada kamu supaya kamu reda akan mereka; oleh demikian, jika kamu reda akan mereka, maka sesungguhnya Allah tidak reda akan kaum yang fasik.

(At Taubah: 960).

HADIS

Rasulullah Muhammad s.a.w. telah bersabda: Sesiapa yang merosak nama baik seseorang atau harta benda orang, maka segeralah meminta maaf kepadanya sekarang ini (segera) sebelum datang hari mata wang tidak laku lagi. Kalau dia mempunyai amal baik,sebahagian dari amal baiknya itu akan diambil, sesuai dengan kadar yang telah dilakukannya (kepada seseorang). Kalau dia tidak mempunyai amal yang baik, maka dosa orang lain itu diambil dan ditambahkan kepada dosanya.

Perawi: Abu Hurairah dan Imam Bukhari.

PETUA

Untuk melancarkan perjalanan darah dan menguatkan tenaga, minum secawan air rebusan isi cekul (suam) yang dibancuh dengan madu lebah rimba atau lebah batu.

Insya Allah.

Monday, July 21, 2008

ANWAR IBRAHIM

RAJA MELAYU DUKA DIA GEMBIRA

Oleh: Mokhtar Petah

[Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang tokoh politik di negara ini yang sedang mengembara di padang datar yang penuh duri dan ranjau. Beliau telah naik melonjak ke langit zaman, kemudian jatuh ke lembah sepi tidak berbulan dan bintang.

Mulai hari ini kami hidangkan cara bersambung tulisan Mokhtar Petah dalam manuskrip bukunya, Anwar Ibrahim Dalam Sejarah Alam Melayu.

Editor, Petah Shahrir Aidid.]

Anwar Ibrahim adalah sebuah nama besar dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia, Alam Melayu dan beberapa buah negara umat Islam di seluruh dunia. Para belia Islam yang berpegang kuat pada iktikad dan tauhid dan berpegang kepada ajaran ‘manusia dilahirkan dalam keadaan merdeka’.

Mereka dalam pergerakan belia Islam antarabangsa amat mengenali Anwar Ibrahim.Kebanyakan dari mereka menganggap dan menyanjung beliau sebagai seorang pelopor perjuangan belia Islam di Asia dan di seluruh dunia. Ada di antara mereka telah mengakui Anwar Ibrahim sama besar peranannya menegakkan Islam dengan para pejuang dalam parti Islam Masir, Ikhwanul Muslimin, seperti Syed Qutb, Muhammad Abduh dan Ayatullah Khumaini, Republik Islam Iran.

Demikian Anwar Ibrahim pada zaman beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan suara naganya melaungkan reformasi Islam, iaitu sebelum beliau terhitung salah seorang yang berkuasa dan kaya di Malaysia.

‘Setelah Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerang Sultan Kelantan dengan perkataan-perkataan yang kesat – seperti taukeh kereta terpakai atau pengurus syarikat kewangan memberi kata dua kepada pelanggannya yang tidak menjelaskan ansuran hutang, maka orang ramai nampak, bahawa di kalangan orang-orang penting UMNO dan menteri-menteri kabinet tidak sekata dalam isu Anwar Ibrahimn terhadap Sultan Kelantan.

Menteri Luar merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi – seorang tokoh UMNO yang sederhana dan berhati-hati sebelum bercakap, apabila ditanya mengenai Sultan Kelantan, beliau tidak memberi sebarang komen, sebaliknya memberitahu yang beliau Menteri Luar dan kementeriannya tidak ada kena mengena dengan perkara itu.

Menteri Pertanian yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Sanusi Junid nampaknya tidak mahu masuk campur dalam isu Anwar Ibrahim dengan Sultan Kelantan. Menteri-menteri lain berdiam diri seperti mengunci mulut masing-msing tidak mahu bercakap tentang Sultan Kelantan.

Seorang ahli veteran UMNO di Kuala Lumpur ketika ditanya mengenai isu tersebut telah berkata, “... Datuk Sri Anwar Ibrahim bukan seorang ahli undang-undang, bukan pegawai kerajaan yang arif tentang perlembagaan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri, beliau hanya seorang menteri kabinet yang pandai mencari publisiti dan selalu bergopoh gapah dalam mencapai sesuatu perkara.”

Kebanyakan di kalangan bijak pandai Melayu berpendapat, Anwar Ibrahim menjadikan isu itu sebagai isu kebangsaan dan antarabangsa kerana beliau sedang dalam dilema menghadapi tahun 1993, iaitu pertandingan merebut kedudukan dalam peringkat tertinggi UMNO Malaysia.

Isu itu memungkinkan Anwar Ibrahim mendapat nama yang menjulang tinggi dalam menghadapi tahun 1993 di samping beliau cuba menarik perhatian seluruh orang Melayu Kelantan supaya meninggalkan kerajaan negeri itu yang dikuassai oleh angkatan Perpaduan UYMMH – PAS, Semangat 46, Berjasa dan HAMIM.

Dengan memburuk-burukkan Sultan Kelantan, pada jangkaan Anwar Ibrahim akan menarik orang-orang Melayu menyokong UMNO dan meninggalkan PAS, kerana Sultan Kelantan sentiasa mendapat nasihat daripada Menteri Besar – seorang ulama PAS.

... Allah mnentakdirkan; dengan isu Sultan Kelantan itu telah timbul dalam UMNO dua geng yang mempunyai ahli-ahli yang berbelah bahagi – menyokong orang Melayu yang setia kepada Raja-Raja Melayu atau menentang orang-orang yang mendurhaka kepada Raja Mereka.

... bertolak dari sinilah, maka ramai ahli UMNO yang berasa terkilan dengan sikap dan tindakan Anwar Ibrahim terhadap Sultan Kelantan.

Manakala di kalangan Raja-Raja Melayu, langkah dan tindakan Anwar Ibrahim dengan beberapa orang penting dalam UMNO itu, menganggap, tidak ubah seperti tindakan ‘tidakdapat tanduk telinga dipulas’ dan bagi mereka ‘cubit paha kiri, paha kanan terasa sakit jua.’

(dari buku Kerajaan Mansuh Kekebalan Raja Melayu,1993, oleh: Mokhtar Petah)

Ramai Pemuda Islam di beberapa negara umat Islam yang menjadi ahli Persatuan-persatuan belia Islam di bawah Pertubuhan Pemuda Islam sedunia – World Association of Islamic Youth – WAMI, telah menyertai pergerakan pemuda Islam dan pergerakan pemuda kebangsaan di beberapa buah negara Arab dan negara-negara lain yang berani mati syahid, seperti HAMAS, PLO, Ikhwanul Muslimin dan sebagainya telah menyanjung Anwar Ibrahim dan perjuangannya pada masa dia menjadi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia – AMIM, iaitu sebelum dia menyertai UMNO.

Pada tahun-tahun setelah Dr. Mahathir Mohamad berganding bahu dengan Anwar Ibrahim dalam UMNO, parti kebangsaan Melayu yang sebelumnya bersifat conservertiv telah berubah menajdi sebuah parti politik kebangsaan Melayu yang progresif dan ada cahaya gerakan Islam di dalamnya.

Sebelum Anwar Ibrahim menyertai UMNO, iaitu semenjak Tunku Abdul Rahman Putra pemimpin parti itu dan menerajui negara, kemudiannya disambung oleh Tun Abdul Razak, terdapat orang-orang yang berpegang kepada Raminisme dan Razakisme atau peodalisme, seperti ada sikap ‘menekan’ dan ‘menghimpit’ pengaruh Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir Mohamad yang telah mengenali Anwar Ibrahim semenjak beliau menuntut di Universiti Malaya sebagai seorang tokoh reformasi dan pejuang nasionalis –Islam telah mengundang dengan penuh hormat terhadap Anwar Ibrahim supaya berjuang bersama-samanya dalam UMNO. Anwar Ibrahim yang baru menerima latihan pemulihan idea dan azam – brain wash oleh pegawai - pegawai Polis Cawangan Khas, di Khemah Tahanan Kemunting, Perak.

Timbalan Penguasa Polis, Abdul Aziz Hassan telah memberitahu Mahkamah tinggi, Kuala Lumpur. dalam perbiacaraan ke atas Anwar Ibrahim, pada 10 November 1998, “...untuk melakukan mengubah pendirian atau menukar pendidikan ... kami menggunakan pendekatan digabungkan dengan serentak, dimainkan dengan pelbagai watak yang didukung sepenuhnya melalui pendekatan psikologi.”

Anwar Ibrahim yang dilihat oleh Dr. Mahathir Mohamad seorang nasionalis itu akan dapat memberi guna kepada perjuangannya; sekurang-kurangnya menjadi pengekal kuasa beliau dalam UMNO dan kerajaan, maka setelah mengadakan runding muafakat antara mereka berdua, maka pada 29 Mac 1982, Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan yang Anwar Ibrahim telah menyertai UMNO dan akan bersamanya dalam parti kebangsaan Melayu itu.UMNO yang menjadi

Bermula pada hari itulah beberapa orang tokoh menjadi tiang empat penjuru kepada Tunku Abdul Rahman telah bercakap dengan saya tentang ramalan mereka; akan berlaku yang akan memecah belahkan UMNO akibat kemasukan Anwar Ibrahim itu.

Di antara mereka itu, Tan Sri Khir Johari dan Datuk Senu Abdul Rahman – kedua-duanya bekas menteri kabinet Tunku Abdul Rahman. Khir Johari berkata,” ...kalau dia (Anwar Ibrahim) masuk UMNO kerana nak Islamkan UMNO, lebih baik dia masuk PAS.”

(bersambung esok).

QURAN

Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu, kalau mereka datang kepada kamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan hukum yang diterangkan oleh Allah) atau berpalinglah dari mereka; dan kalau kamu berpaling dari mereka, maka mereka tidak akan dapat membahayakan kamu sedikitpun; dan jika kamu menghukum, maka hukumllah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

(Al Maidah: 42)

HADIS

Rasulullah Muhammad s.a.w. telah bersabda: Apabila dua orang Islam berhadapan satu sama lain dengan pedang mereka (berperang), kedua-duanya jadi isi neraka.

Perawi: Hassan r.a. dan Imam Bukhari.

PETUA

Untuk menghilangkan rakan anda tersedu-sedu, cuba katakan kepadanya: “Kamu ni tak patut hendap perempuan mandi.” Atau “ Si anu ... tu kata kamu mencuri duitnya.” Atau “ Kami berjahat dengan anak gadis orang.”. Bila dia mendengar, tentu dia marah. Nescaya sedunya terhenti.

* Kalau rakan anda itu telah mengetahui petua ini, tidak boleh dilakukan kerana sedunya tidak akan berhenti.

Wednesday, July 16, 2008

DEBAT SHABERY – ANWAR

Shabery Dan Anwar Bersandiwara?

Oleh: Mokhtar Petah


Debat terbuka ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan Besok Turun Harga Minyak’ antara Menteri Penerangan, Datuk Shabery Cheek dengan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam siri Agenda Daily, TV BERNAMA, di Dewan Bahasa dan Pustaka, pada malam tadi, tidak menghasilkan faedah kepada kerajaan, sebaliknya menguntungan pihak parti-parti pembangkang.

Mungkin mereka di pihak Shabery ketawa terkekeh-kekeh, kerana menyangka Menteri Penerangan itu telah berjaya. Mereka di pihak Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu ketawa terbelahak-bahak kerana yakin debat itu menguntungkan mereka.

Seperti tulisan saya yang lalu, saya mengaku, bahawa debat itu menguntungkan Anwar Ibrahim dan parti-parti pembangkang dan Shabery dapat diakui sebagai menyelak kain kekasih sendiri, di tengah khalayak ramai.

Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Johan Jaafar yang menjadi pengantara debat itu, boleh disanjung kebolehannya. Kalau saya boleh menasihati Anwar Ibrahim, andainya PKR dan Pakatannya berjaya memerintah negara ini, Johan Jaafar adalah orang terbaik untuk memegang jawatan Menteri Penerangan.

Debat yang dilihat sebagai silaturrahim antara para politikus yang berlainan fahaman dan ideologi itu, telah menjadikan saya terkilan kerana Shabery banyak mnenyetuh hal peribadi Anwar Ibrahim dan kerana itu Anwar Ibrahim telah mengacah dan mempermainkan gelombang sentimen Shabery untuk mendapatkan apa yang beliau perlukan.





Kerana sentimen yang tebal, Shabery kelihatan lemah dalam memberi hujah, bahkan beliau tidak dapat menjawab atau menolak banyak ‘buah keras’ yang dibalingkan oleh Anwar Ibrahim kepadanya dan kerajaan.

Shabery tidak menjawab atau menjelaskan buah keras Anwar Ibrahim, di antaranya:

(1) Satu bilion dari wang Petronas elok digunakan oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat miskin.

(2) IPP memperoleh keuntungan yang besar sedangkan agensi – agensi kerajaan yang berhubungan dengan elektrik mengalami kerugian.

(3) Tuduhan kroni dalam kerajaan sejak Perdana Menteri, Dr.Mahathir Mohamad dan kerajaan kini.

(4) Tamparan Anwar Ibrahim kepada ahli-ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional.

(5) Kerajaan lebih mengutamakan projek mega dan syarikat berkepentingan daripada kepentingan rakyat.

(6) Perkataan subsidi kepada bantuan kepada rakyat dan kata lain kepada bantuan kewangan kepada syarikat-syarikat besar.

Kalau hendak diambil kira Shabery bukan calang-calang orang juga. Beliau boleh menjawab dan menerangkan kepada umum dalam kesempatan demikian, tetapi beliau kelihatan seperti berlakon dalam sebuah sandiwara dengan Anwar Ibrahim.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Tan Sri Dr. Nordin Kardi memegang peranan sebagai wakil Shabery dan Pengarang Eksekutif Minguan Siasah, Zulkifli Sulong mewakili Anwar.

Orang ramai yang menonton ketawa menonton mereka, tetapi para pengkritik sandiwara nampak di sebalik lakonan mereka itu.

Shabery juga kelihatan seperti pemain bola sepak yang handal, tetapi sengaja buat-buat lemah dan menempah kekalahan kerana pasukannya telah dirasuahkan oleh golongan yang mengaut keuntungan.

Sekali lagi, kalau boleh saya nasihatkan kepada Pak Sheikh (pada masa dia menuntut di MCKK, dia kawan saya), jika PKR dan Pakatan berkuasa, ambillah Shabery ke dalam kabinet kerana dia telah menolong anda dalam debat itu.

Saya hampiar tercekik, apabila mendengar Anwar Ibrahim mengatakan Shabery orang dulu orang Parti Semangat 46. Pada ketika itu saya teringat betapa rapatnya Shabery dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Apakah debat ini Shabery ada jadual dengan tokoh veteran UMNO itu?

Kesimpulan yang saya dapati - orang lain tidak sama dengan saya-, bahawa debat itu telah memberi banyak keuntungan kepada Anwar Ibrahim dan parti-parti pembangkang untuk menjalankan propaganda atau dakwah masing-masing pada masa akan datang.

Orang ramai, terutama mereka dalamn golongan miskin dan marhein lebih terpengaruh dengan hujah Anwar Ibrahim dan hujah Shabery Cheek.

Seorang rakan saya, ahli politik, memiliki ijazah sains politik telah berkata kepada saya, “Anwar Ibrahim berjaya memperdayakan Shabery dengan perwatakan sederhana dan percakapan yang lemah lembut.”


QURAN


(Katakan hai Muhammad), patutkan aku (terpedaya dengan pendustaan syaitan - manusia jahat) hendak mencari hakim (pengadilan) selain dari Allah, pada hal dia yang menurunkan kepada kamu kitab (Quran) yang jelas kandungannya satu persatu (tentang benar dan salah)? Dan mereka yang Kami kurniakan kitab (Quran), mengetahui, bahawa Quran itu adalah diturunkan dari Tuhan kamu dengan sebenar-benarnya. Oleh demikian jangan sekali-kali kamu menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu.

(Al An’am:114).