BUNGA DIBERI NAJIS DIBALAS
Oleh:
Sesungguhnya, setiap tokoh dalam UMNO, apa yang berlaku dalam parti itu dan baik buruknya sentiasa diperhatikan oleh ahli-ahli dan orang-orang yang berada di luarnya. Mereka secara adil menganggap, bahawa setiap tokoh dalam UMNO adalah orang-orang mereka dan parti itu pula seperti milik mereka jua.
Setiap tokoh politik dalam UMNO menjadi pokok perhatian mereka. Mereka mengambil tahu akan latar belakang, perangai dan kegiatan baik dan buruk dan hinggalah ‘skandal yang melilit diri tokoh-tokoh itu.
Begitulah mereka meneliti dan menyorot perjalanan yang jauh Datuk Abdullah Badawi. Apabila beliau disingkirkan daripada kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, maka mereka terasa sedih mengopak dada, ada sesuatu yang merugikan pada perhitungan mereka dan pendeknya mereka kecewa dengan nasib yang telah menimpa diri tokoh politik yang mereka harap-harapkan itu.
Semenjak berputik minat saya untuk menulis buku mengenai Datuk Abdullah Badawi ini, iaitu kira-kira pada tahun 1981, saya telah mengumpul pendapat dan pandangan daripada Raja pemerintah, ulama dan para cendekiawan Islam di negara ini. Mereka itu termasuk orang-orang dalam UMNO.
Kira-kira seratus orang cendekiawan Islam yang saya temui dan meminta pendapat mereka itu tidak ada seorang pun yang telah menyatakan tidak suka atau tidak baik pandangan mereka terhadap ahli politik yang sedang menongkah ombak itu.
Walaupun ada minat dan ada jiwa murni para cendekiawan Islam dalam UMNO terhadap Datuk Abdullah Badawi, tetapi mereka hanya berani meluahkan perasaan sahaja dan tidak berani nama mereka dirakamkan dalam buku ini.
Demikian juga kalangan cendekiawan Islam dalam parti Islam Se Malaysia (PAS) dan Parti Melayu Semangat 46. Atas nama peribadi mereka menyanjung tinggi akan kemuliaan peribadi Datuk Abdullah Badawi tetapi mereka tidak mahu merakamkan nama mereka dalam buku ini.
Kesimpulan dari pandangan para intelektual Islam itu ialah, bahawa Datuk Abdullah Badawi mempunyai peribadi mulia, ada bayangan ulama dan seorang ahli politik yang menyedari di mana dia berdiri.
UMNO boleh selamat dari politik wang dan politiking kalau beliau menjadi pemimpin parti itu selepas Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.’ (Lihat buku Datuk Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejagat, oleh:
Apabila Abdullah Badawi diangkat menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau mula dicurigai oleh rakan-rakan seperjuangan dalam partinya.
Setelah Abdullah Badawi memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia pada akhir Oktober 2003, muncul ramai individu di kalangan korporat Melayu – dalam UMNO dan di luar parti politik itu – yang menimbulkan rasa tidak puas hati, tidak suka dan anti beliau dan ada yang berusaha supaya beliau diturunkan dari kerusi keramat itu.
Di sebuah kelab eksklusif di Kuala Lumpur, saya telah bercakap dengan lima orang profesor Melayu yang kenal Abdullah Badawi tetapi tidak pernah bertemu dengannya. Mereka berpendapat:
Abdullah Badawi seorang pemimpin yang sesuai menjadi pemimpin negara kerana padanya ada dua jurusan pengetahuan, iaitu pentadbir dan diplomatik dan Islam.
Budi bahasa baik dan tidak berfoya-foya.
Beliau patut memegang jawatan Perdana Menteri hingga sepuluh tahun lagi.
Beliau tidak korupted dan berkhidmat dengan jujur kepada rakyat, tetapi beliau ibarat memberi bunga kepada rakyat dan rakyat membalasnya dengan najis.
Manakala para korporat Melayu yang telah mendapat habuan projek-projek kerajaan seperti membina jambatan, lebuh raya, hospital dan sebagainya pada zaman Dr. Mahathir Mohamad tetapi tidak berjaya mendapatnya pada masa Abdullah Badawi, pada ketika bercakap dengan saya, telah menganggap beliau tidak berwibawa, lembik, lemah dan sebagainya.
“...tuan-tuan dah dapat habuan pada zaman Dr. Mahathir Mohamad, kerana tak dapat pada masa Abdullah Badawi, takkan sampai nak marah kut, orang lain pun nak merasa juga,” rakan saya yang celupar mulut berkata kepada mereka.
“Macam mana kami yang tak dapat apa-apa, tengok Pak Lah tak macam tuan-tuan kata, tapi sebaliknya tuan-tuan dah dapat banyak pada masa Dr. Mahathir kata Pak Lah macam tu ..., orang lain pun nak hidup juga,”katanya lagi.
Mereka diam. Saya mendapati yang menyebabkan mereka tidak suka kepada Abdullah Badawi kerana mereka tamak atau haloba, bukan kerana perjuangan yang ikhlas atau kepentingan negara.
Mereka yang demikian itu samalah dengan keadaan orang-orang munafik yang mengikut ketua mereka, Abdullah bin Ubai dalam peperangan Uhud yang menyebabkan tentera Islam nyaris-nyaris kalah. Nabi Muhammad s.a.w. telah mendapat kecederaan dan bapa saudara Junjungan, Sayidina Hamzah bin Abdul Mutalib terbunuh kerana hunjaman lembing oleh lelaki Habasyah,Wahsyi. Wanita kejam, isteri kepada ketua Arab kafir Quraisy Makkah, Abu Sufian bin Herb telah membelah dada dan perut Sayidina Hamzah dan telah memamah dan menelan hatinya.
Walaupun Abdullah tidak mundur dari jihadnya membela rakyat dan tanah airnya, tetapi oleh kerana ada di antara kawan-kawan seperjuangan tidak menyukainya dan rakyat jelata yang takut lapar dan kebulur tidak mahu lagi kepadanya, maka beliau dengan maruah seorang pemimpin Islam, rela berundur dengan secara hormat pada tahun 2010.
Tahun 2010 adalah tahun yang telah ditentukan oleh Abdullah Ahmad Badawi untuk melepaskan jawatan beliau kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Selepas itu Najib akan memimpin negara ini mengikut caranya pula. Ertinya tidak dipengaruhi dan dipaksa oleh sesiapa dan mana-mana pihak.
Seperti kebanyakan orang Islam di negara ini yang memerhati dengan mata dan hati jihad, bahawa ada golongan bukan Islam dan orang Islam yang menganut fahaman yang berlawanan dengan Islam sentiasa tidak senang hati apabila Abdullah Badawi menerapkan nilai-nilai Islam – Quran dan Sunnah jadi panduan - dalam kerajaan.
Ketua pembangkang dalam Dewan Rakyat, Wan Azizah Wan Ismail (Permatang Pauh) yang kuat berpegang kepada Islam, telah terikat dengan golongan yang tersebut di atas mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat.
Wan Azizah telah disertai oleh tokoh-tokoh PAS. Memanglah mereka ada kebebasan berbuat demikian, tetapi jika diambil kira sebagai orang Islam, langkah mereka itu bertujuan menjatuhkan pemimpin Islam yang tidak taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
Menilai kepada tindakan Wan Azizah dan orang-orang PAS, maka saya menyifatkan mereka sebagai kayu hulu kapak dan beliung yang digunakan untuk menebang pokok besar.
Seseorang Muslim perlu mendengar dan mematuhi pemerintah yang disukai dan yang tidak disukainya, selama tidak disuruh mengerjakan maksiat.
(Hadis: Abdullah dan Imam Bukhari)
Walaupun mereka tidak mahu mentaati Abdullah Badawi, kerana parti dasar politiknya berbeza dengan parti politik mereka, tetapi sebagai orang Islam tidaklah hingga mengemukakan undi tidak percaya.
Wan Azizah sendiri tentu tahu, beliau dan suami beliau telah menerima budi dari Abdullah Badawi dan baru-baru ini beliau merayu budi Perdana Menteri itu untuk menyelamat suaminya. Saya tidak menyalahkan Wan Azizah kerana beliau hanya menjadi alat golongan anti Islam, anti Melayu mereka yang mementingkan kuasa.
Mungkin sajak yang ditulis oleh Abdullah Badawi di bawah ini dapat dihayati ertinya oleh mereka yang mahukan beliau meninggalkan kerusi Perdana Menteri dan mereka yang mahu beliau terus di situ.
Di luar sempadan ada cabaran,
Dunia semakin deras bergelora,
Tidak terperangkap kita dengan kata-kata,
Yang cepat mendapat habuan luar biasa,
Yang lambat mendapat sisa-sisa,
Kita memilih sederhana daripada yang mutlak,
Pelbagai dari yang menyendiri,
Percaya daripada mencuriga,
Bersama daripada menguasai,
Di hadapan dengan acuan kita sendiri,
Yang diwarisi tidak berkurang,
Yang dijaga tidak susut.
Di sini, di bumi ini,
Kita sulam pencakar langit dengan jernih susu
Kemanusiaan.
No comments:
Post a Comment