Thursday, July 24, 2008

PERPADUAN PAS DENGAN UMNO

Oleh: Mokhtar Petah

Langkah Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana mencari titik permulaan bagi mengukuh perpaduan umat Islam adalah satu kangkah yang baik.

Sikap terbuka Abdullah Ahmad Badawi menerima geng dari parti musuh partinya, yang diketuai oleh Haji Abdul Hadi Awang adalah baik kerana kepentingan umat Islam.

Geng Haji Abdul Hadi itu disertai oleh Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa, Ketua Pengarah Jabatan PilihanRaya PAS, Datuk Mustafa Ali dan ahli Dewan Rakyat (Shah Alam) Abdul Khalid Samad.

Saya juga mengakui baik akan pandangan Mursyidul ‘Am PAS dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Abdul Aziz Nik Mat bahawa muzakarah antara PAS dengan UMNO perlu dihentikan.

Hal ini mengingatkan saya kepada sejarah Islam, iaitu apabila Nabi Muhammad s.a.w. bersama para sahabatnya merancang untuk mengadakan muafakat dengan golongan-golongan Yahudi Madinah untuk mengadakan perjanjian atau Piagam Madinah, ada di kalangan umat Islam menentang kerana mereka khuatir sesuatu akan berlaku ke atas umat Islam.

Tetapi akhirnya telah berhasil dengan hakikat, bahawa telah wujud satu piagam yang menyatukan umat Islam dan Yahudi Madinah bersatu untuk mempertahankan bandar moden itu dari serangan musuh Islam.

Sesiapa yang menyelidik sejarah Islam, tentu telah mendapati, pada fasal 47, iaitu fasal akhir Piagam Madinah telah terjalin satu pengakuan dari pihak Yahudi, iaitu:

Bahawa Piagam ini tidak boleh dipakai bagi melindungi orang-orang zalim dan yang bersalah; dan bahawa – mulai dari saat ini – sesiapa berpergian dari Kota Madinah atau menetap di dalamnya adalah terjamin keselamatannya kecuali orang-orang yang zalim atau bersalah. Dan bahawa Allah merestui setiap orang yang membuat kebajikan dan bertaqwa, dan bahawa Muhammad hendaklah diakui Pesuruh Allah.

(Baca: Kerajaan Mansuh Kekebalan Raja Melayu,

oleh: Mokhtar Petah.

Editor.)

Usaha pihak PAS dan Abdullah Ahmad Badawi untuk mencari titik persamaan bagi mengembalikan perpaduan umat Islam patut dilihat dengan kaca mata ulul albab atau intelektualan Islam dan mengelakkan dari sebarang prasangka.

Pandangan Nik Abdul Aziz saya kira sebagai mengingatkan kembali kedudukan PAS pada masa di bawah pimpinan Datuk Mohd. Asri Haji Muda yang mulanya membawa cita-cita untuk bekerjasama antara PAS dengan UMNO, tetapi akhirnya Mohd.Asri Haji Muda dan beberapa orang lagi telah membawa PAS ke dalam perangkap UMNO.

Seperti yang saya ketahui dari Tunku Abdul Rahman, bahawa pada peringkat awal Asri Haji Muda dan rakan-rakannya telah berbincang dengan Tunku Abdul Rahman mengenai pentingnya PAS bekerjsama dengan UMNO.

Tunku Abdul Rahman telah menasihatkan pihak PAS itu agar mereka tidak mnenyertai Perikatan, mereka hanya bekerjasama dengan UMNO di luar Perikatan.

Setelah Mohd. Asri Haji Muda dan rakan-rakannya bertemu dengan Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein dan mereka telah mendapat tawaran yang enak, maka Mohd Asri Haji Muda telah mengheret PAS ke dalam Perikatan.

Saya kira hal demikian itulah yang menyebabkan Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menaruh curiga atas usaha Haji Abdul Hadi dengan gengnya untuk mengadakan muzakarah dengan UMNO.

Satu yang boleh dikira ‘tidak kena’, ialah Haji Abdul Hadi Awang dan gengnya telah tidak memaklum dan tidak meminta restu Mursyidul ‘Am sebelum bertemu dengan Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi saya kira hal itu boleh dimaafkan.

Sebilangan besar umat Islam di negara ini tentunya mengalu-alu akan langkah PAS dan UMNO itu. Kalau usaha itu berhasil, maka perpaduan umat Islam di negara ini akan pulih.

Selama ini umat Islam di negara ini yang duduk dalam organisasi politik lebih mementingkan politik masing-masing dari perpaduan umat Islam. Politik menjadikan mereka mabuk seperti orang mabuk pinang atau mabuk ganja. Dalam keadaan mabuk, mereka tidak sedar akan tanggungjawab mereka yang sebenar.

Untuk mencapai matlamat, saya kira samaada di pihak PAS mahu pun di pihak UMNO, hapuskan prasangka antara dua pihak itu. Tumpukan kepada usaha mencari jalan kebajikan dan keredaan Allah sahaja.

Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., umat Islam telah berperang sabilullah dengan pihak kafir, tetapi apabila pihak kafir ingin berdamai, maka Allah telah memaklumkan kepada Nabi Muhmmad s.a.w. dengan firman-Nya:

Jika mereka (pihak musuh) cenderung kepda perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya (perdamaian) serta tawakal kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Allah Mendengar dan Maha Mengetahui. Dan jika bertujuan hendak menipu kamu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberi perlinddungan) kepada kamu. Dia yang nmenguatkan kamu dengan pertolongan- Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.

(Al Anfal: 61,62).

Saya kira, Abdullah Ahmad Badawi tidak akan memperdayakan pihak PAS. UMNO tidak akan menipu PAS. Mereka juga berharap PAS menyuntikkan semangat baru kepada mereka setelah mereka sakit pada pilihan raya ke -12 lalu.

Mungkin umat Islam sesuai dengan pendapat saya, bahawa perpaduan umat Islam di Malaysia tidak akan tercapai selagi UMNO dan PAS tidak mencapai kata sepakat dan berpadu.

Elok diingat kembali, PAS adalah ibarat adik kandung UMNO. Selama ini adik kandung tidak ‘bertemu bulu’ dengan abang kandung. Kedua-dua mereka dimurkai oleh Allah dan tidak mendapat keredaan-Nya.

Kerana dimurka dan tidak diredai Allah, UMNO dengan PAS terus bermusuhan dan ibarat orang berperang, yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu. UMNO lemah dalam ikatan bersama parti-parti lain dan PAS menjadi lemah – gugurkan tujuan menegakkan negara Islam - , kerana tunduk kepada parti-parti politik yang berpegang kepada sosio-demokrasi.

Kerana saya orang pertama berkhidmat dalam PAS, iaitu pada masa Yang Dipertua, Haji Ahmad Fuad Hassan dan Setiausaha Agungnya, Cikgu Ahmad Awang, saya mengalu-alukan usaha untuk menyatupadukan PAS dengan UMNO menerusi musyawarah yang berpandukan Islam.

1 comment:

Anonymous said...

Kami rakyat Melayu negeri Perak menyambut baik usaha berbaik-baik PAS dan UMNO tetapi menolak perkara ini berlaku di Negeri Perak. Kami sudah muak dengan sikap UMNO di Perak, bertahun-tahun memerintah tetapi mengenyangkan diri sendiri.

Mulakan proses berbaik-baik itu dengan mulia memuliakan satu sama lain.