Tuesday, July 15, 2008

PERALIHAN KUASA

SIAPA TPM NAJIB?

Oleh: Mokhtar Petah

“Dengan keizinan Allah dalam jangka waktu yang disebutkan, saya terpaksa menggalas amanah dan tanggungjawab yang sangat berat.”

“Ini membawa satu keinsafan bahawa saya perlu melakukan bersungguh-sungguh dalam masa ini sebagai persediaan, terutamanya menggali pengalaman dan menimba pengetahuan sebanyak mungkin dan memperkukuhkan lagi harungan saya di dalam dan luar negara.”

“Ada yang menyatakan bahawa tempoh itu (peralihan kuasa pada 2010) terlalu panjang, ada yang kata sesuai dan mungkin ada pula yang menyatakan Perdana Menteri tidak perlu melakukan perkara itu.”

“Saya cukup sedar bawa suatu hari nanti saya juga terpaksa turun dari tampuk pemerintahan dan bila saya turun nanti, saya juga ingin turun dalam keadaan yang baik, tidak mahu menerima asakan atau desakan mana-mana pihak untuk berundur.”

Dialog di atas adalah dari percakapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak dalam wawancara dengan tiga wartawan Utusan Malaysia, Hassan Mohd. Noor, Zulkiflee Bakar dan Amran Ahmad, di kediaman peribadi beliau, di Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada 12 Julai lalu.

Najib adalah pemimpin nasionalis Melayu dan tebal dengan semangat kemelayuan dan kepahlawanan Melayu Negeri Pahang, seperti Tok Bahaman, Tok Gajah dan beberapa orang lagi.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memuji Najib dan menyifatkannya, jika beliau memegang jawatan Perdana Menteri selepas tarikh ditetapkan pada 2010 ini, beliau adalah Perdana Menteri yang terbaik di antara Perdana Menteri Malaysia.

Saya yakin, dengan pengetahuan yang ada padanya dan pengalaman sebagai Menteri Besar Pahang, Menteri Pelajaran, Menteri Pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri beliau mampu memimpin UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan Malaysia.

Pada Najib masih kecil, sebagai wartawan saya telah mengikuti Perdana Menteri, Tun Abdul Razak melawat beberapa kawasan di Negeri Perak, Allahyarham telah berkata kepada saya mengenai Najib, iaitu “Dia anak manja, manja dengan emaknya.”

Sepanjang masa Najib memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, saya mendapati dia manja dengan orang ramai; manja dengan para peserta FELDA, anggota-anggota tentera dan orang ramai.

Kata seorang warga kampung di Kuala Kangsar, “ Datuk Najib tak pernah makan sambal belacan telunjuk berdiri dengan orang kampung.”

Kata seorang profesor Melayu yang enggan ditulis namanya berkata, “Kalau Dato’ Najib menjadi Perdana Menteri, dia akan memajukan negara ini lebih berjaya dari Dr. Mahathir Mohamad.”

Saya setuju dengan pandangan mereka. Apabila beliau memegang jawatan Perdana Menteri, beliau akan merasa sambal belacan orang kampung, gulai pucuk ubi dengan ikan pekasam dan buah jering masak tumbuk dengan kelapa berparut.

Ertinya, Najib akan serba mampu memerintah negara ini untuk menjadi sebuah negara lebih maju dari kemajuan hari ini.

Apabila Najib akan memegang jawatan Perdana Menteri pada 2010, saya tertanya-tanya, siapakah tokoh penting dalam UMNO pada masa kini yang akan dilantik menjadi timbalan beliau, iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Ada beberapa orang pemerhati politik tetapi tidak ada pengetahuan poilitik berkata kepada saya; mungkin Najib melantik timbalannya dari tokoh-tokoh ini: Dato Seri Syed Hamid Albar, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Ahmad Shabery bin Cheek.

Mereka yang ada pengetahuan politik dan berpandangan jauh, telah mengagak, bahawa Najib akan melantik untuk menduduki kerusi timbalannya, di antara mereka ini: Datuk Mohd. Nazri Aziz, Datuk Dr. Zahid Hamidi, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato Shahrir Abdul Samad dan adik pupu beliau, Datuk Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Manakala beberapa orang veteran UMNO berpendapat, orang yang paling sesuai menjadi Timbalan Perdana Menteri, adalah rakan bapa beliau, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebagai Perdana Menteri, Najib tentulah mahukan timbalannya (tidak ambil kira orang itu Timbalan Presiden UMNO atau tidak) orang yang sesuai dengan pandangan dan hala tuju beliau memerintah negara ini nanti.

Jika Najib memilih Muhyiddin Yassin sebagai timbalannya, mungkin sesuai, tetapi dalam masa yang panjang akan ada masalah pula kerana Muhyiddin seorang politikus yang ambisi melihat bintang dan bulan seolah- olah atas tapak tangannya.


Dari atas kiri: Hishamuddin Hussein.Syed Hamid Albar. Shahrir Samad. Rais Yatim. Nazri. Zahid Hamidi.
Tengku Razaleigh Hamzah.

Begitu juga beberapa tokoh dari Johor yang nama mereka tersebut di atas dan Rais Yatim, jika salah seorang dari mereka menjadi Timbalan Perdana Menteri yang baru itu, akan terasa bagi mereka sebagai dua yang menari tidak sama rentaknya.

Ditakdirkan, Najib mengikut jejak bapanya, Tun Abdul Razak memilih birasnya, Tun Hussein Onn menjadi timbalannya (13 Ogos 1973 – 15 Januari 1976), maka beliau akan melantik saudara pupunya, Datuk Hishamuddin bin Tun Hussein sebagai timbalannya, munkin itu baik, tetapi apa kata ahli-ahli UMNO dan orang ramai, “macam tak ada orang lain.”

Oleh kerana Datuk Seri Abdullah Badawi akan meninggalkan beban yang besar, iaitu Islam Hadhari, maka saya kira, tokoh yang paling baik lagi sesuai menjadi timabalan Najib, ialah Datuk Dr. Mohd.Zahid Hamidi dari Perak dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama Islam).

Zahid Hamidi tokoh yang paling layak untuk meneruskan Islam Hadhari dan mempertahankan Najib dari serangan politik dari kawan dan lawannya mengenai Islam dan peranannya.

Jika Najib memilih tokoh lain dari Mohd.Zahid Hamidi, kepimpinannya akan berjalan dengan lancar juga, tetapi ibarat orang berjalan dengan kaki pendek sebelah kerana Islam Hadhari menghadapi kekaburan.

No comments: