Wednesday, July 16, 2008

DEBAT SHABERY – ANWAR

Shabery Dan Anwar Bersandiwara?

Oleh: Mokhtar Petah


Debat terbuka ‘Hari Ini Bentuk Kerajaan Besok Turun Harga Minyak’ antara Menteri Penerangan, Datuk Shabery Cheek dengan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam siri Agenda Daily, TV BERNAMA, di Dewan Bahasa dan Pustaka, pada malam tadi, tidak menghasilkan faedah kepada kerajaan, sebaliknya menguntungan pihak parti-parti pembangkang.

Mungkin mereka di pihak Shabery ketawa terkekeh-kekeh, kerana menyangka Menteri Penerangan itu telah berjaya. Mereka di pihak Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu ketawa terbelahak-bahak kerana yakin debat itu menguntungkan mereka.

Seperti tulisan saya yang lalu, saya mengaku, bahawa debat itu menguntungkan Anwar Ibrahim dan parti-parti pembangkang dan Shabery dapat diakui sebagai menyelak kain kekasih sendiri, di tengah khalayak ramai.

Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Johan Jaafar yang menjadi pengantara debat itu, boleh disanjung kebolehannya. Kalau saya boleh menasihati Anwar Ibrahim, andainya PKR dan Pakatannya berjaya memerintah negara ini, Johan Jaafar adalah orang terbaik untuk memegang jawatan Menteri Penerangan.

Debat yang dilihat sebagai silaturrahim antara para politikus yang berlainan fahaman dan ideologi itu, telah menjadikan saya terkilan kerana Shabery banyak mnenyetuh hal peribadi Anwar Ibrahim dan kerana itu Anwar Ibrahim telah mengacah dan mempermainkan gelombang sentimen Shabery untuk mendapatkan apa yang beliau perlukan.





Kerana sentimen yang tebal, Shabery kelihatan lemah dalam memberi hujah, bahkan beliau tidak dapat menjawab atau menolak banyak ‘buah keras’ yang dibalingkan oleh Anwar Ibrahim kepadanya dan kerajaan.

Shabery tidak menjawab atau menjelaskan buah keras Anwar Ibrahim, di antaranya:

(1) Satu bilion dari wang Petronas elok digunakan oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat miskin.

(2) IPP memperoleh keuntungan yang besar sedangkan agensi – agensi kerajaan yang berhubungan dengan elektrik mengalami kerugian.

(3) Tuduhan kroni dalam kerajaan sejak Perdana Menteri, Dr.Mahathir Mohamad dan kerajaan kini.

(4) Tamparan Anwar Ibrahim kepada ahli-ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional.

(5) Kerajaan lebih mengutamakan projek mega dan syarikat berkepentingan daripada kepentingan rakyat.

(6) Perkataan subsidi kepada bantuan kepada rakyat dan kata lain kepada bantuan kewangan kepada syarikat-syarikat besar.

Kalau hendak diambil kira Shabery bukan calang-calang orang juga. Beliau boleh menjawab dan menerangkan kepada umum dalam kesempatan demikian, tetapi beliau kelihatan seperti berlakon dalam sebuah sandiwara dengan Anwar Ibrahim.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Tan Sri Dr. Nordin Kardi memegang peranan sebagai wakil Shabery dan Pengarang Eksekutif Minguan Siasah, Zulkifli Sulong mewakili Anwar.

Orang ramai yang menonton ketawa menonton mereka, tetapi para pengkritik sandiwara nampak di sebalik lakonan mereka itu.

Shabery juga kelihatan seperti pemain bola sepak yang handal, tetapi sengaja buat-buat lemah dan menempah kekalahan kerana pasukannya telah dirasuahkan oleh golongan yang mengaut keuntungan.

Sekali lagi, kalau boleh saya nasihatkan kepada Pak Sheikh (pada masa dia menuntut di MCKK, dia kawan saya), jika PKR dan Pakatan berkuasa, ambillah Shabery ke dalam kabinet kerana dia telah menolong anda dalam debat itu.

Saya hampiar tercekik, apabila mendengar Anwar Ibrahim mengatakan Shabery orang dulu orang Parti Semangat 46. Pada ketika itu saya teringat betapa rapatnya Shabery dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Apakah debat ini Shabery ada jadual dengan tokoh veteran UMNO itu?

Kesimpulan yang saya dapati - orang lain tidak sama dengan saya-, bahawa debat itu telah memberi banyak keuntungan kepada Anwar Ibrahim dan parti-parti pembangkang untuk menjalankan propaganda atau dakwah masing-masing pada masa akan datang.

Orang ramai, terutama mereka dalamn golongan miskin dan marhein lebih terpengaruh dengan hujah Anwar Ibrahim dan hujah Shabery Cheek.

Seorang rakan saya, ahli politik, memiliki ijazah sains politik telah berkata kepada saya, “Anwar Ibrahim berjaya memperdayakan Shabery dengan perwatakan sederhana dan percakapan yang lemah lembut.”


No comments: