PASAR TANI PUTRAJAYA
Pasar Tani atau Pasar Malam anjuran FAMA dalam kawasan lapang di hadapan kompleks pejabat kerajaan – pejabat Perbendaharaan Negara – Kementerian Kewangan dan pejabat-pejabat lain di sini, laksana hidang dari kampung kepada orang-orang bandar.
Para penjual yang terdiri dari peniaga-peniaga kecil dan penjaja-penjaja Melayu dari luar bandar menjual beraneka makanan, buah-buahan, berbagai jenis hasil tangkapan laut dan ikan air tawar.
Selain dari beraneka pakaian, perhiasan rumah tangga, permainan kanak-kanak, terdapat pula sekelompok pelukis jalanan sedang melukis dan menjual hasil karya mereka di sebuah gerai.
Dua tiga orang pemuda dari Kedah, menjual sup untuk kuah mee dan mihun, dalam sebuah periuk aluminium yang besar yang boleh dibuat perahu untuk seorang remaja.
Para pengunjung Pasar Malam itu, kebanyakannya terdiri dari pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta. Hampir semua dari mereka itu terdiri dari mereka yang berhijrah dari kampung-kampung di luar bandar.
Untuk melayan selera dengan makanan orang kampung, mereka berkunjungan ke Pasar Tani yang diadakan pada tiap-tiap malam Sabtu itu.
Pasar Tani telah menjadi pada ‘arafah – perkenalan antara para peniaga kecil dan penjaja Melayu dari luar bandar dengan para penghijrah di Putrajaya dan kawasan sekitanya.
Pada malam itu, kelihatan seorang perempuan muda sarat mengandung berjalan beiringan dengan suaminya mencari buah kedondong dan mempelam muda, seorang perempuan penolong pengarah di sebuah jabatan kerajaan mencari ubi kayu dan seorang pengarah syarikat mencari ikan pekasam atau budu.
No comments:
Post a Comment