Saturday, December 20, 2008

WARTAWAN

ANGKAT NAMA KE LANGIT ZAMAN

Oleh: Mokhtar Petah

Setiap wartawan dan penulis ada peminat–peminat masing. Wartawan dan penulis yang ramai peminat ialah yang menulis sesuatu yang disukai oleh pembaca. Berita dan artikel yang mereka tulis bersifat menyampaikan pengetahuan, kritik, menyedar dan menginsafkan atau melegakan perasaan sepi, resah dan gelisah pembaca.

Wartawan dan penulis hendaklah bertanggungjawab membongkar segala keburukan dalam masyarakat, organisasi kebajikan dan politik, sekolah dan universiti, jabatan kerajaan dan negara. Pembongkaran itu dengan tujuan untuk kebaikan masyarakat, organisasi, sekolah dan universiti dan negara.

Keburukan dalam masyarakat dan negara ada berbagai, di antara segala keburukan itu, penyelewengan ketua, pegawai dan badan–badan tertentu, rasuah, salah guna kuasa, pilih kasih dan sebagainya.

MENIMBULKAN KEMARAHAN

Wartawan dan penulis hendaklah berhati–hati menulis sesuatu berita dan artikel dan ada self censorship atau menimbang dengan sendiri sesuatu berita dan artikel yang akan ditulis dan disiarkan olehnya. Apakah fakta-fakta itu boleh menimbulkan kemarahan pihak berkenaan atau sebaliknya.

Untuk menempa nama, wartawan dan penulis elok menulis sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan pihak–pihak tertentu atau pemerintah.

Dalam tanggungjawab inilah ada orang bijak pandai yang mengatakan, wartawan dan penulis tidak boleh mengelakkan diri mereka dari penjara atau kem tahanan.

SEEKOR ANJING

Wartawan dan penulis yang mengampu perdana menteri dan menteri, Menyerlahkan kebaikan mereka walau jasa sekadar sekampit beras dan menyembunyikan keburukan mereka; misalnya rasuah berjuta ringgit, memanglah disukai oleh mereka, dijulang, dianugerah bintang kebesaran dan sebagainya, tetapi dibenci oleh masyarakat atau massa.

Wartawan dan penulis yang seperti tersebut di atas ini samalah dengan seekor anjing dengan tuannya.

Nama wartawan dan penulis akan menjadi popular dan ramai peminat, jika dia berani menulis apa yang benar dan membongkar apa yang salah.

MEMBALING KASUT

Wartawan dan penulis tidaklah boleh melakukan sebagai mana yang telah dilakukan oleh wartawan Iraq membaling kasut kepada Presiden Bush. Tetapi gunalah tulisan yang lebih dari kasut untuk mengkritik atau menjatuhkan nama pemimpin yang curang.

Wartawan dan penulis mesti tidak boleh melupakan, bahawa kerjaya mereka adalah tanggungjawab dan amanah yang mesti dipikul sebagai insan mulia.

Tulislah berita atau rencana untuk menjatuhkan pemimpin – presiden, perdana menteri, menteri, pegawai tinggi kerajaan atau pemerintah yang melakukan kecurangan. Nama anda akan terjulang di langit zaman.

(bersambung kepda Sabtu 27 Disember 2008).

No comments: