Monday, December 22, 2008

PAS

Pas tetap laksana hudud – Husam

KOTA BHARU 21 Dis. – Setelah lama tidak menyentuh mengenai hukum hudud, Pas memberi jaminan untuk melaksanakannya di seluruh negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah pada masa depan.Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkata, parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini, termasuk melaksanakan hukum itu.Buktinya ujar beliau, kerajaan Pas Kelantan terus mengadakan perayaan Hari Hudud setiap tahun kerana tidak berupaya melaksanakan undang-undang Islam itu disebabkan kuasa mutlak berada pada Kerajaan Persekutuan.“
Kita memang mahu melaksanakan hudud tetapi dihalang oleh UMNO. Kalau UMNO tumbang Insya-Allah kita boleh melaksanakan hukum hudud.
“Saya memberi jaminan, kita akan buat (laksana hudud sekiranya pakatan pembangkang memerintah pada masa depan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diasak beberapa kali oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang bertanyakan pendirian sebenar Pas dalam Wacana Transformasi Politik Negara di Balai Islam Lundang di sini malam tadi.
Khairy, Husam dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari adalah ahli panel forum terbabit.
Ia dipengerusikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff serta dihadiri lebih 3,000 orang.
Hukum hudud mencetuskan polemik politik yang berpanjangan kerana rakan Pas dalam pakatan pembangkang, DAP menentang keras pelaksanaannya malah parti itu pernah membatalkan kerjasama yang dijalin pada pilihan raya umum sebelum ini.
Husam menafikan tanggapan Khairy bahawa parti itu menjadi penumpang atau parti terkecil dalam pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu, walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dilihat lebih berkuasa dalam membuat keputusan.
“Saya tidak terima hujah ini kerana Pas ada Menteri Besar di Kedah, Kelantan dan Perak serta menang di beberapa di bahagian di Selangor.
“Dalam konteks Kedah, buat pertama kali Pas tadbir negeri itu dan dapat menakluk Kedah selatan melalui kerjasama dengan PKR, kita boleh lihat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) paling banyak dimenangi oleh Pas, adakah ini bererti Pas parti terkecil?
“Dari segi prinsip ketatanegaraan Islam, Pas tidak pernah tinggalkan prinsipnya,” kata beliau.
Katanya, hukum hudud lebih mudah dilaksanakan apabila semua kaum di negara ini dapat menerima Islam sebagai asas perjuangan Islam yang berteraskan keadilan.
Beliau berkata, hanya agama suci itu sahaja yang dapat menjadi kuasa politik masa depan disebabkan sifatnya yang sejagat dan boleh diterima oleh semua bangsa.
“Bila keadilan diterima oleh semua, Melayu, Cina dan India, hudud akan dapat dilaksanakan dan untuk transformasi politik masa depan hanya Islam boleh jadi kuasa tersebut,” ujarnya.
Husam berkata, mana-mana parti politik yang mengamalkan kemelayuan tidak dapat diterima oleh kaum Cina atau India kerana politik berteraskan kebangsaan atau Melayu akan terus ketinggalan di belakang.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia on line 21 disember 2008)

No comments: