ZUHUD DAN SEKULAR
OLeh: Mokhtar Petrah
Semenjak zaman Nabi Muhammad s.a.w., zaman para sahabat dan naman khalifah Islam, telah wujud dua golongan umat Islam, iaitu: Golongan pertama menggelarkan diri mereka ‘zuhud’. Mereka memperhambakan diri kepada Allah dengan beribadat semata-mata. Mereka membelakangkan segala kehidupan dunia.
Mereka beribadat kepada Allah semata-mata dan menolak kesenangan dunia. Tidak mahu berusaha untuk mencari makan dan minum. Mereka tidak langsung memperduli kebajikan diri dan keluarga mereka.
Kebanyakan dari mereka mengerjakan ibadat secara berkumpul-kumpul dan berbulan-bulan lamanya. Isteri dan anak-anak tidak diambil tahu sama ada mereka atau tidak. Pendeknya mereka menolak dengan membuta tuli akan keselesaan hidup di dunia ini.
Golongan tersebut menimbulkan masalah dalam masyarakat. Mereka mempengaruhi masyarakat supaya mengikut cara hidup mereka. Mengeluarkan fatwa-fatwa yang diambil mu’allim, iaitu anak dan isteri ‘fitnah’, mesti dibiarkan melarat asal diri sendiri dapat beribadat. Dunia ini bangkai. Mereka menterjemahkan perkataan ‘fitnah’ dan ‘bangkai’ dengan cara lafzi, iaitu erti dari perkataan semata-mata. Sedang maksud dua perkataan itu lebih luas lagi.
BERJUANG UNTUK KEHIDUPAN
Orang-orang dari golongan tersebut telah mengenepikan banyak ajaran atau hikmat Allah yang menghendaki manusia bertanggungjawab kepada keluarga, jiran tetangga, masyarakat, negara dan umat manusia seluruhnya.
Pada umumnya golongan tersebut kerana fanatik atau ‘taasub’ disebabkan jahil, mereka tidak mengambil tahu atau tidak faham, yang Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya terdiri daripada manusia-manusia yang zuhud, tetapi mereka menjalankan amalan atau berjuang untuk kehidupan dunia juga.
Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat Junjungan, mengerjakan amal ibadat bersungguh-sungguh, iaitu ‘zuhud’ dan mengerjakan amalan untuk kebaikan dunia secara bersungguh-sungguh iaitu ‘jihad’. Maksud Hadis Nabi Muhammas s.a.w., ‘Beramal untuk dunia seolah-olah akan hidup selama-lamanya dan beramal (ibadat) untuk akhirat seolah-olah akan mati esok hari.’ Ertinya, kedua-duanya penting kepada tiap-tiap individu yang beriman kepada Allah.
Golongan yang kedua, ialah yang hidup sebagai pemeluk agama Islam yang hadhari atau madani. Mereka taat dan patuh kepada Aallah dan kuat beribadat dan mereka juga menjalankan berbagai pekerjaan ‘amalan solihat’ ‘pekerjaan yang baik’, menurut kemampuan ilmu pengetahuan yang ada pada diri masing-masing. Golongan tersebut dinamakan golongan umat Islam yang hadhari atau madani.
‘Apabila kemewahan dan kemakmuran dapat dinikmati oleh oraang-orang yang berperadaban, secara semula jadinya ia akan menyebabkan menurut cara hidup hadharah, dan menerima adat kebiasaannya.
Sebagaimana seseorang maklumi, hadharah itu adalah suatu penerimaan pelbagai jenis kemewahan, pertumbuhan segla sesuatu yang sehubungan dengannya, dan keterikatan pada kemahiran yang telah diberi segala macam keindahan kepada kehalusan seperti kemahiran memasak, perbuatan pakaian, pembinaan bangunan, atau membuat permaidani, atau tempayan, dan segala sesuatu yang menjadi bahagian rumah tangga’.[1]
IMAN DAN TAQWA
Golongan tersebut jika tidak ada ‘iman dan taqwa kepada Allah dan ‘amal maaruf dan menegah kemungkaran’, maka mereka juga akan merosak atau melemahkan umat Islam. Mereka mestilah mempunyai batas-batas yang dapat menghalang mereka dari terlalu ghairah menjalankan kemajuan dunia sehingga mengabaikan kepentingan akhirat .
Mereka akan menjadi manusia-manusia yang meringan-ringankan perintah-perintah atau hukum-hukum dalam agama Islam. Mereka menjadi orang-orang yang mementingkan kebendaan, kekayaan dan kemewahan. Ada kemungkinan mereka terpengaruh dengan peradaban yang berlawanan dengan agama Islam.
Golongan orang Islam yang lebih mementingkan kebendaan, kekayaan dan kemewahan, biasanya tidak dapat mengawal diri mereka daripada melakukan pelanggaran terhadap hukum-hukum Allah, seperti mengamalkan riba, pemerasan, penipuan, rasuah, zina, arak dan sebagainya.
Amalan-amalan yang melanggar perintah dan hukum Allah seperti di atas sentiasa berlaku di kalangan rakyat yang beragama Islam di negara kita ini pada masa-masa yang lalu, sekarang dan tentunya akan berlaku juga pada masa akan datang.
MEMBIMBING UMAT MANUSIA
Saya berpengalaman bergaul dengan orang-orang Islam yang siang malam melakukan amalah-amalan yang berlawanan dengan agama Islam, mereka sering berkata:
* Pada masa muda nilah nak enjoy (melakukan maksiat), bilah dah nak mati boleh beribadat.
* Dosa dengan pahala macam minyak dengan air.
* Tuhan Pengasihani, kita buat dosa macam mana besar pun Dia ampun.
* Di akhirat mana ada ni semua, masa hiduplah kita kena rasa.
Elok kita menghayati maksud firman Allah berikut ini:
Allah menjanjikan kepada mereka yang beriman di antara kamu dan mengerjakan perbuatan baik, bahawa mereka akan diberi warisan kekuasaan di muka bumi, sebagai mana telah diberikan kepada orang-orang yang sebelum mereka, dan akan diteguhkan kedudukan agama (Islam) mereka yang telah disukai oleh Allah, dan akan menukar (keadaan) mereka, sesudah ketakutan menjadi aman sentosa (keamanan dalam perasaan dan pergaulan hidup).Mereka menyembah Aku dan tidak mempersekutukan barang sesuatu dengan Aku. Barang siapa yang ingkar sesudah itu, merekalah orang-orang yang jahat.[2]
An Nur:55
MELANGGAR HUKUM ALLAH
Untuk menyedar atau membimbing umat manusia dari golongan tersebut, Allah telah menceritakan catatan sejarah dunia, iaitu yang telah berlaku pada zaman Nabi Musa alaihis salam, mengenai seorang alim dari kaum kerabat Nabi Musa alaihis salam yang kemudiannya melanggar hukum Allah. Akhibatnya, Allah dengan segala kekuasaannya telah dimusnahkannya, iaitu hartawan Qarun. Allah berfirman yang maksudnya:
Sesungguhnya, Qarun itu masuk kaum Musa, tetapi dia melakukan aniaya kepada mereka, dan Kami kurniakan kepadanya kekayaan, yang anak-anak kuncinya berat dipikul oleh sekumpulan orang-orang yang kuat. Perhatikanlah, pada ketika kaumnya telah berkata kepadanya: Jangan kamu sombong; sesungguhnya Tuhan tidak menyukai orang-orang yang sombong.Lalu dia dan mahligainya Kami benamkan ke dalam bumi, dan dia tidak mempunyai golongan yang akan menolongnya selain dari Allah, dan dia tidak dapat menolong dirinya sendiri.[3]
Al Qasas:76, 81.
Di negara kita ini telah berlaku individu-individu yang kaya raya yang boleh diumpamakan seperti Qarun. Contohnya, pada masa negara kita belum mencapai kemerdekaan, iaitu sekitar tahun 1949 hingga 1956. Di antara mereka tersebut ada seorang yang kuat iman dan taqwanya kepada Allah,memimpin kelumpuk orang Islam dan mengetuai sebuah institusi Islam, tetapi setelah negara mencapai kemerdekaan, individu itu telah bertukar corak, iaitu menjadi orang yang paling kuat dalam industri perjudian.
MENJADI MUSUH ALLAH
Orang-orang yang seperti di atas paling bahaya kepada negara Islam hadhari. Mereka menjadi musuh Allah dan musuh rakyat (umat Islam). Mereka adalah orang-orang munafiq dalam negara Islam hadhari. Pendeknya mereka akan menjadi manusia yang meng‘halal’kan apa yang Allah telah mengh‘haram’kan.
Kita boleh mengambil umat Arab di beberapa buah negara sebagai contoh panduan kepada kita. Mereka itu berada di atas bumi tempat mula terpancarnya agama Islam dan permulaan negara Islam, iaitu yang dibentuk oleh Nabi Muhammad s.a.w., tetapi kerana kebanyakan dari umat tersebut lebih mementingkan kebendaan, kekayaan dan kemewahan, pada masa ini mereka hidup dalam keadaan yang huru hara, berpecah belah dan lemah sehingga menjadi alat golongan musuh-musuh agama Islam.
Tiga faktor berikut ini adalah menjadi penyebab umat Arab berpecah belah, porak peranda dan berada di bawah pengaruh kekuatan golongan atau negara yang menjadi musuh agama Islam dan umat Islam:
Pertama: Kerana pendidikan yang berbeza – pendidikan Islam dan pendidikan sekular Barat seperti, kapitalisme,sosialisme dan komunisme - , di kalangan rakyat dan ditambah dengan sikap menindas atas golongan miskin, maka tidak wujud perpaduan dan harmoni.
Kedua: Kerana mengejar kebendaan, kekayaan dan kemewahan hidup,mereka sanggup menjadi tali barut atau bekerjasama dengan musuh-musuh agama Islam dan umat Islam. Mereka menjalankan berbagai tindakan untuk menghancurkan umat Islam di negara-negara Arab.
Ketiga:
Perhatian: Perkataan secular (sekular), ertinya, hal duniawi atau kebendaan. Tidak hanya digunakan pada orang-orang yang beragama lain dari agama Islam, tetapi digunakan juga pada orang-orang Islam. Orang-orang Islam yang zuhud atau yang beribadat kepada Allah atau akhirawi semata-mata tidak dihitung orang-orang sekular. Manakala orang-orang Islam yang beriman, bertaqwa, beribadat kepada Allah, tetapi mereka menjalankan kerja-kerja kebajikan atau amal maaruf, seperti dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi, politik dan segala yang bersifat duniawi, dihitung orang-orang sekular juga, tetapi sekular cara Islam. Orang-orang yang‘zuhud dan mengamalakan kebajikan atau amal maaruf; hal-hal kehidupan duniawi dinamakan ‘zuhud’ dan ‘sekular’. Sekular mereka itu bersifat Islam atau tidak berlawanan dengan agama Islam.
Perhatikan maksud firman Allah seperti maksudnya di bawah ini. Di dalamnya ada dua unsur bagi manusia, iaitu, zuhud dan sekular:
Dan siapa yang bertaqwa kepada Allah (mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) nescaya akan diadakan jalan keluarbaginya (dari segala yang menyusahkannya) serta memberi rezeki dari sumber yang tidak terlintas di hatinya.[4]
* Taqwa kepada Allah dan membelakangi kehidupan dunia, ialah zuhud.
* Tawqa kepada Allah dan menjaga kebaikan duniawi, ialah sekular. Sekular dalam Islam tidak sama dengan sekular barat.
(habis)
.
No comments:
Post a Comment