Tuesday, December 16, 2008

Rang Undang-Undang baru perluas tafsiran 'saudara' kepada tertuduh kes rasuah

KUALA LUMPUR: Saudara mara yang terbabit atau bersubahat dengan penerima rasuah, termasuk mentua dan menantu, boleh dikenakan tindakan yang sama dengan tertuduh mengikut Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008.
Ini berdasarkan tafsiran 'saudara' dalam rang undang-undang itu yang diperluaskan bagi merangkumi orang yang mempunyai pertalian nasab langsung dengan isteri atau suami penerima rasuah serta adik, kakak atau abang kepada isteri atau suami tertuduh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata mentua, menantu, anak saudara, bapa saudara, emak saudara dan sepupu tertuduh kini tidak terangkum dalam tafsiran 'saudara' di bawah Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.
"Implikasi daripada ketiadaan itu, tindakan tidak dapat diambil jika terdapat kes yang merujuk kepada kumpulan itu," katanya ketika membentangkan rang undang-undang berkenaan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata, kekurangan itu akan diatasi dengan memperkenalkan tafsiran baru di bawah rang undang-undang berkenaan supaya skop pemakaian bagi kesalahan mengikut Fasal 23 dan 36 turut membabitkan golongan terbabit.
Nazri juga berkata, hukuman penjara maksimum tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, masih dikekalkan di bawah rang undang-undang itu.
Bagaimanapun, hukuman penjara minimum tidak kurang 14 hari akan dimansuhkan bagi memberi kelonggaran kepada pesalah rasuah membabitkan jumlah yang kecil, membuat pengakuan bersalah supaya tidak perlu melalui proses perbicaraan yang panjang serta menelan kos lebih tinggi.
"Ini bukan bermakna kerajaan memandang ringan kesalahan rasuah. Walaupun dimansuhkan, ia tidak menghalang kebebasan mahkamah untuk menggunakan budi bicara dalam menentukan tempoh hukuman penjara yang akan dikenakan," katanya.
Beliau berkata, mengikut rang undang-undang itu juga adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana orang untuk menyogok pegawai awam asing meskipun pegawai asing itu tidak mempunyai kuasa, hak atau peluang berbuat demikian. Tafsiran 'badan awam' turut diperluaskan meliputi pertubuhan yang berdaftar di bawah subseksyen 7(1) Akta Pertubuhan 1966, cawangan pertubuhan yang berdaftar di bawah seksyen 12 Akta Pertubuhan 1966, badan sukan yang berdaftar di bawah seksyen 17 Akta Pembangunan Sukan 1997, koperasi yang berdaftar di bawah seksyen 7 Akta Koperasi 1993, kesatuan sekerja yang berdaftar di bawah seksyen 12 Akta Kesatuan Sekerja 1959 serta pertubuhan belia yang berdaftar di bawah seksyen 9 Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.
Katanya, ia bertujuan membolehkan SPRM mengambil tindakan ke atas mana-mana pertubuhan, badan, kesatuan dan organisasi kerana mereka turut menerima bantuan kewangan daripada kerajaan.
Dalam usaha meningkatkan keupayaan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang ditukar statusnya kepada suruhanjaya melalui penggubalan undang-undang baru itu pula, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan memperkenalkan skim perkhidmatan baru yang menawarkan jadual gaji dan saraan lebih baik bagi menarik lebih ramai golongan profesional berkhidmat dengan SPRM.
Nazri berkata, kerajaan juga bersetuju menambah 5,000 kakitangan BPR dalam tempoh lima tahun.
Beliau berkata, JPA sudah meluluskan tambahan keanggotaan seramai 500 orang tahun ini dan 900 orang lagi pada 2009.
"Tambahan 1,400 anggota berkenaan adalah sekali ganda daripada keanggotaan pegawai BPR sedia ada," katanya.
(Berita ini diambil dari Berita Harian 16 Disember 2008 -mp)

No comments: