Tuesday, December 9, 2008

SEMBANG -SEMBANG KOSONG


MEMBILKANG
TITIK HITAM SEJARAH


Pembangunan yang tergesa-gesa pada zaman Dr. Mahathir Mohamad berkuasa, memanglah nampak ‘warna kejayaan yang cemerlang’, tetapi hakikatnya, tidak menguntungkan rakyat negara ini yang terdiri orang Melayu. Keadaannya sama dengan falsafah bangsa kita, ‘menang sorak kampung tergadai’.
Pada umumnya orang Melayu, kita ketepikan yang kaya raya dan ambil kira orang Melayu yang miskin yang hidup ibarat ‘makan sambal telunjuk berdiri’. Anak ramai yang hendak makan sambal yang sedikit, maka terpaksalah makan sambal dengan telunjuk berdiri, kalau telunjuk baring sambal cepat habis. Mereka hidup dalam keadaan seperti ‘selimut panjang lima, selimut kaki kepala terdedah, selimut kepala kaki telanjang’.
Saya teringat kepada satu kejadian pada zaman Dr. Mahathir Mohamad berkuasa. Pada satu hari saya berkunjung ke rumah satu keluarga Melayu di kampung pendalaman. Pada ketika kami sedang enak-enak berbual, datang sebuah kereta mewah dan berhenti di halaman rumah. Dari kereta itu keluar wakil rakyat. Sejak kecil hingga dewasa dan berumah tangga dia adalah rakan kepada ketua keluarga yang saya kunjungi itu.
Sebaik-baik sang wakil rakyat itu duduk bersama kami, dia membuka cerita-cerita yang mewah dan seronok. Tentang kereta yang dibelinya, politiknya, sering makan di coffee house dan cerita-cerita lain yang tidak pernah dirasai oleh rakannya. Kami hanya menjadi tukang dengar. Sang Wakil rakyat itu bercerita dengan tidak memikir rakannya bersama keluarganya yang hidup laksana ‘orang menggigit tulang kering’; darah pada tulang itu disangka darah dari tulang yang tidak berisi itu, tetapi darah itu ialah darah gusinya sendiri.
Sekarang Abdullah Badawi bersama Najib Tun Razak dan para menteri kebinet mereka punya perhitungan, berhati-hati, mengkaji semasak-masaknya sebelum melaksanakan sesuatu rancangan atau pembangunan agar rakyat ‘tidak rugi’ dan kerajaan ‘tidak boros’.
Pada zaman Dr. Mahathir Mohamad semua rancangan dan pembangunan tidak dilakukan seperti yang dilakukan oleh Abdullah Badawi, Najib Tun Razak dan para menteri kabinet mereka. Pembangun di sana sini, tetapi banyak yang merugikan rakyat dan negara. Beberapa orang usahawan Bumiputera telah
melonjak naik seperti cendawan tumbuh dalam hujan, tetapi kebanyakan mereka menjadi mala - mengalami kerugian, keruntuhan dan sebagainya.
Mungkin orang lain tidak sependapat dengan saya; saya melihat Mahathir Mohamad telah melaksanakan rancangan dan pembangunan setelah mendengar nasihat dari orang-orangnya dan mereka itu belum tentu jujur terhadapnya atau ada kepentingan lain.
Mungkin Dr. Mahathir tidak mahu mendengar nasihat orang lain. Sesuatu yang dilakukan dengan kemahuan dan keyakinannya sendiri. Akibatnya terlalu banyak wang negara dan rakyat mengalir seperti orang berniaga bulu kasap; pucuk hilang pangkal lesap. Ataupun meninggalkan beban hutang yang sukar dilangsaikan dalam jangka masa yang singkat.
Kerana sikap berhati-hati Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak serta para menteri kabinet mereka terhadap satu-satu rancangan dan projek, termasuk jambatan bengkok Johor-Singapura, maka Dr. Mahathir Mohamad telah melakukan provokasi dan ‘ulat koyak daun’ terhadap Abdullah Badawi. Oleh sebab Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak serta pra menteri kabinet bekerja sepakat, sepadu dan seia sekata, maka provokasi bekas Perdana Menteri itu tidak hanya terkena pada Abdullah Badawi seorang saja, bahkan mereka yang dalam ‘kesepakatan dan kesepaduan’ itu.
Perbuatan ‘ulat koyak daun’ oleh Dr.Mahathir Mohamad itu dilihat oleh para pemerhati politik akan membawa kepada penyakit dalam UMNO, iaitu perpecahan di kalangan ahli-ahli parti politik Melayu itu. Perpecahan itu nanti akan menyelusurkan parti tersebut ke dalam ‘neraka politik’ seperti yang berlaku atas UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946. Umno yang telah ditubuhkan dalam kongres orang-orang Melayu itu telah diharamkan dalam satu penghakiman oleh Hakim Harun Hashim pada 4 Februari 1988.
Nasib malang yang menimpa UMNO yang menjadi pusaka bangsa Melayu itu disebabkan tindakan ‘Kumpulan 11’ dan kelemahan Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Seri Sanusi Junid. UMNO yang ada sekarang adalah sebuah organisasi yang baru. Bukan UMNO pusaka bangsa Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1946. UMNO tersebut telah berkubur atas keputusan mahkamah.
UMNO bahagian Kuala Kerai, Kelantan dalam perhimpunannya pada 14 Julai 2006 telah mengambil keputusan menyokong dan berdiri di belakang Abdullah Badawi. Mereka menganggap pertelingkahan antara bekas Perdana Menteri dengan Abdullah Badawi boleh mengakibatkan UMNO negeri itu berada dalam keadaan lemah.
Tidak sahaja UMNO bahagia Kuala Kerai berkeadaan demikian, bahkan semua bahagian UMNO di seluruh Malaysia dalam keadaan khuatir akan kemungkinan yang akan berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Sama ada apa perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir Mohamad itu ‘soal peribadi’, ‘soal negara’ atau ‘soal lain’ tetapi yang berkeadaan ‘gelisah dan resah’ ialah UMNO.
Elok kita meneliti kembali catatan mengenai pengharaman ke atas UMNO 1946 oleh Hakim Harun Hashim. Berikut ini adalah ringkasan dari catatan tesebut:
‘Kumpulan 11 tidak dapat menarik kembali tuntutan yang telah dibuat di mahkamah, walaupun pelbagai pihak mendesak supaya mereka menarik bali sama tersebut. Dikatakan Team A tidak mahu memenuhi permintaan mereka supaya perhimpunan agung UMNO diadakan sekali lagi, memandangkan terdapatnya perwakilan yang tidak sah hadir dan mengundi dalam perhimpunan agung yang lepas.
Tidak dapat dipastikan mengapa pihak Dr. Mahathir tidak mahu mengadakan perhimpunan UMNO sekali lagi, apa yang diminta oleh Kumpulan 11 adalah logik dan rasional. Soal menang atau kalah dalam pertandingan, bukan soal pokok.
Team A mendapat Team B(Kumpulan 11) menuntut supaya Dr. Mahathir Mohamad meletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, barulah mereka menarik balik sama itu, selain berbagai syarat lagi yang diminta oleh Kumpulan 11. Apa yang disebut terdahulu daripada ini, pihak Kumpulan 11 menafikan tuduhan itu dan jika diteliti kenyataan di mahkamah yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak (plaintif dan defendan), tiada sebarang syarat pun seperti yang dinyatakan. Malah tidak ada surat hitam putih yang menyatakan adanya syarat itu dari Kumpulan 11. Bagaimanapun, menurut hemat penulis, alasan sebenar yang menyebabkan Dr. Mahathir tidak mahu mengadakan perhimpunan agung sekali lagi ialah: Pertama, keadaan ini akan menegangkan lagi suasana serta membuang masa dan wang. Kedua, jika berlaku pertandingan sekali lagi, dikatakan beliau pasti akan kalah. Oleh itu, beliau sanggup menghadapi apa juga kemungkinan, namun untuk mengadakan perhimpunan sekali lagi adalah tidak mungkin. Ada juga pemerhati politik berpendapat, jika beliau tidak mahu mengadakan pemilihan dan seterusnya menghadapi kekalahan, beliau boleh meletakkan jawatan. Dengan itu kes sama dan perpecahan dalam UMNO boleh selesai. Tetapi Dr. Mahathir tidak mahu memilih cara ini kerana beliau berpendapat cara ini tidak boleh menyelesaikan masalah, dan memburukkan lagi keadaan.
Beliau yakin mahkamah merupakan cara penyelesaian yang paling baik. Jika penyelesaian dilakukan dengan cara mengadakan perhimpunan sekali lagi, beliau meramalkan keputusannya pasti memihak kepada team B (andaian penulis).
Bertitik bertolak dari faktor di atas, maka bermula satu babak baru dalam UMNO iaitu membawa masalah ini ke mahkamah. Faktor mengapa Kumpulan11 menyaman Sanusi Junid merupakan perkara yang menarik untuk dibincangkan.
Setelah rayuan demi rayuan dibuat oleh pihak tertentu dalam setiap cawangan yang terlibat dengan perkara cawangan tidak berdaftar dan tidak mengikut peraturan dan Perlembagaan UMNO, maka Kumpulan 11 pun mengambil tindakan mahkamah. Di bawah ini diperturunkan secara ringkas antipati faktor pencepat mengapa mereka menyaman Sanusi Junid.
1. Ingin melihat persaingan yang sihat.
2. Ingin melihat parti mengamalkan sikap mesyuarah dan keadilan kepada semua pihak. Tindakan ini tidak bererti menentang musuh,tetapi bersaing sesama ahli dalam parti.
3. Berlakunya penyelewengan dalam cawangan iaitu 30 cawangan yang tidak berdaftar menghantar wakil mereka ke mesyuarat bahagian dan turut mengundi. Perkara ini merupakan satu kesalahan kerana mereka hanya boleh menjadi pemerhati sahaja.
4. 70 orang perwakilan dalam perhimpunan agung UMNO dianggap tidak sah keahliannya.
5. Sesetengah wakil pemuda dan wanita UMNO juga tidak sah keahliannya kerana dasar yang sama.
6. Dr. Mahathir menang dengan kelebihan 43 undi dan wakil bahagian yang tidak sah lebih daripada 70 orang.
7. Rayuan dan bantahan dari cawang atau bahagian pro Team A tidak dilayan oleh Setiausaha Agung UMNO.
Bagaimana UMNO Menjadi Tidak Sah?
Setelah perlihatkan bahawa dalam penghakiman Harun Hashim, jelas membuktikan perhimpunan agung UMNO 24 April 1987 itu tidak sah. Seperti yang diketahui bahawa peguam Kumpulan 11 ialah Raja Aziz Addruse dan Shafee Abdullah.(Peguam utama mewakili UMNO dan Sanusi Junid ialah Sri Ram berketurunan India. Menurut Sanusi Junid, Sri Ram dipilih kerana kerana peguam Melayu tidak boleh dipercayai. Terdapat sesetengah orang yang gemar memutarbelitkan kenyataan,membenarkan perkara yang tidak benar membetulkan perkara yang salah. Dalam perbicaraan itu, Kumpulan 112 telah mengemukakan banyak bahan bukti yang berupa surat antara Kumpulan 11 dengan Sanusi Junid, seperti surat daripada setiausaha bahagian kepada Setiausaha Agung dan nama cawangan, ahli yang terlibat dan sebagainya.
Sebelum Hakim Harun Hashim menjalankan penghakimannya pada Februari 1988, Kumpulan 11 telah meminta peguam mereka supaya jangan menyimpang daripada tujuan asal mereka iaitu meminta mahkamah mengisytiharkan perhimpunan agung UMNO 24 April 1987 iaitu sebagai tidak sah, oleh sebab terdapat wakil dari 30 cawangan UMNO yang tidak sah mengambil bahagian dalam mesyuarat bahagian. Kumpulan 11 tidak meminta atau mendesak supaya mahkamah mengharamkan UMNO seperti yang didakwa oleh Dr. Mahthir dan Team A.
Peguam Kumpulan 11 patuh dengan kehendak mereka itu. Raja Aziz Addruse merayu kepada hakim agar jangan merujuk kes ini kepada seksyen 12(3) dalam Akta Pertubuhan 1966 yang berbunyi:
‘Jika sesuatu pertubuhan berdaftar menubuhkan sesuatu cawangan dengan tiada terlebih dahulu mendapat kebenaran pendaftar, maka pertubuhan berdaftar itu dan cawangan yang disifatkan sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang’.
Penghakiman Lisan (terjemahan).
Penghakiman lisan diberikan oleh Yang Arif Hakim Dato’ Harun Hashim pada 4 Februari 1988.
Perkara ini ialah tuntutan yang dibuat oleh pihak yang menuntut iaitu ahli UMNO yang berbangkit daripada pemilihan semasa perhimpunan agung yang berlangsung pada 24 April 1987. Aduan utama ialah mereka tidak begitu gembira dengan cara mesyuarat itu dijalankan sehingga pada peringkat perhimpunan agung atas alasan terdapat 30 cawangan yang tidak diluluskan, yang menghadiri mesyuarat peringkat bahagian da n menghantar (perwakilan) ke perhimpunan agung itu. Aduan lain ialah gadis di bawah umur, mereka yang bukan ahli, pemuda yang lebih umur dan terdapat juga beberapa aduan lain. Di Nibung Tebal, terdapat 22 cawangan yang dihalang daripada memilih perwakilan.
Pernyataan tuntutan ini diteruskan atas tegasan pertama bahawa terdapat kontra berasaskan duluan yang mengikat saya. Perlembagaan UMNO membentuk satu kontrak antara ahli-ahlinya dan peraturan ialah kontrak antara pihak yang menuntut dengan ahli UMNO yang lain.
Tuntutan ini menyatakan bahawa mengikut seksyen 12, Akta Pertubuhan, UMNO tidak boleh menubuhkan cawangan tanpa kelulusan Pendaftar Pertubuhan dan cawangan ini dianggap dianggap tidak sah. Aduan dibuat terhadap 30 cawangan yang tidak diluluskan ini dan semuanya ialah cawangan yang haram.
Terdapat duluan yang cukup mengatakan bahawa apabila rujukan dibuat terhadap status ini tentang ketidaksahan, maka mahkamah tidak boleh mengenepikannya. Terdapat juga duluan yang menetapkan bahawa apabila mahkamah menyedari sebarang ketidaksahan atau perlanggaran mana-mana status, mahkamah tidak boleh mengetepikan pelanggan undang-undang itu.
Dalam warta Kerajaan Persekutuan bilangan No.1209 bertarikh 1.5.88 telah diwartakan bahawa UMNO bilangan P.P.M 457/49 telah dibatalkan pertubuhannya yang berkuat kuasa pada 12.2.88 (P.P.M. Am Pen.1.11.Jld.7-(12A).
Dengan warta kerajaan itu, rasmilah bahawa UMNO telah tidak wujud lagi mulai 12 Februari 1988. Tamat riwayat pertubuhan itu yang bergerak dari 11 Mei 1946 hingga 12 Februari 1988 iaitu genap usianya 42 tahun 7 bulan.[1]
Cabaran dan Provokasi yang wujud hari ini menjadi ancaman yang besar kepada kekuatan UMNO sebagai sebeuah parti politik bangsa Melayu dan memperjuangkan hak ketuanan negara, kedaulatan bangsa dan keagungan agama Islam. Maka, semua ahli UMNO mestilah sama-sama pemimpin kini untuk mempertahankan parti itu dari berlaku sesuatu yang tidak di ingini.
Dr. Mahthir Mohamad telah memimpin negara dan rakyat Malaysia selama 22 tahun. Kini beliau telah berada di luar kerajaan dan bertaraf rakyat biasa.Sebagai bekas pemimpin yang popular, kita menghormatinya sebagai seorang bapa atau datuk kita dalam rumah tangga kita.
Manusia dengan keluarga dan masyarakatnya; dalam sesebuah keluarga terdapat seorang tua begelaar bapa atau datuk. Pada masa mudanya dia seorang yang bijaksana, tetapi bila pada masa usianya yang lanju, iaitu pada waktu ‘ tangga kata pergi dan kubur kata mari’ orang tua ini menjadi tidak kuat berfikir, lupa dan nyanyuk dan ada pula yang mengidap krisis psikologi.
Biasanya orang-orang yang didera oleh krisis psikologi kerana putus cinta atau tidak tercapai hajat, menyesal atas perbuatannya yang lalu, menanggung beban doa yang telah dilakukan dan segala yang menyerabutkan otaknya. Kalau yang demikian menjadi masalah, maka kalau tidak mendapat rawatan yang sempurna dia akan terus menderita kerana psycosis - penyakit jiwa kerana fikiran yang bercelaru.
Orang tua ini mestilah dihormati dan di sayangi oleh anggota-anggota keluarganya, tetapi perbuatan dan perkataannya tidak wajib di turuti. Demikian kita ahli-ahli UMNO khasnya dan rakyat negara ini amnya berhadapan dengan Dr. Mahathir Mohamad yang telah menajadi datuk kita.
Pada masa ini yang menjadi pengganti datuk atau bapa kita yang telah tua dalam keluarga ialah Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak. Merekalah menjadi pemimpin keluarga kita. Fikiran, kata-kata dan gerak laku mereka yang tidak berlawanan dengan agama Islam dan akhlak atau adat istiadat orang Melayu perlu kita ikuti.
(mp)































[1] Ahmad Atory Hussain, Domensi Politik Melayu 1980-1990, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa
dan Pustaka,1993, hln.127 – 136.

No comments: