Wednesday, December 24, 2008

BADAN PENCEGAH RASUAH

BPR SEDIA DAKWA TIGA AHLI POLITIK

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan memfailkan pendakwaan ke mahkamah terhadap sekurang-kurangnya tiga ahli politik berhubung kesalahan rasuah, politik wang dan salah guna kuasa dalam masa terdekat.
Selain itu, beberapa kes berkaitan isu sama yang selesai disiasat dihantar semula ke Bahagian Siasatan BPR untuk dikemas kini bagi menghasilkan kertas siasatan lebih kukuh, malah ada yang diserahkan kembali kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan dalaman parti berkenaan.
Ketua Bahagian Pendakwaan BPR, Datuk Abdul Razak Musa, bagaimanapun berkata, ahli politik yang akan didakwa itu bukan calon yang bertanding jawatan tertinggi Umno pada pemilihan parti itu, Mac depan.
Beliau berkata, persetujuan untuk meneruskan proses pendakwaan terhadap tiga kes itu diberikan selepas meneliti secara terperinci kertas siasatan yang diserahkan Bahagian Siasatan BPR.
“Tunggu dalam masa terdekat ini tentu kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah,” katanya di sini, semalam.
Abdul Razak berkata, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) akan mengendalikan kes pendakwaan itu selepas Bahagian Siasatan BPR mendapatkan tarikh untuk kes di dengar di mahkamah.
“Setiap kertas siasatan yang diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan akan diteliti secepat mungkin oleh sekurang-kurangnya 10 DPP Kanan yang ditugaskan untuk tujuan itu.
“Jika semua berjalan lancar kami yakin dapat selesaikan kes rasuah politik, terutama pihak yang terbabit dalam pemilihan Umno sebelum Mac depan,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull, berkata pihaknya selesai menyiasat 90 peratus daripada 82 kertas siasatan yang dibuat berkaitan dakwaan rasuah politik dan menunggu masa untuk diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan.
Setakat ini, Pengarah BPR Kedah, Nooraziah Abdul Manaf memaklumkan pihaknya selesai menjalankan siasatan terhadap sembilan aduan berhubung isu sama, begitu juga BPR Perak dan Pulau Pinang yang sudah menyerahkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut Bahagian Pendakwaan.
Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu siasatan kes berkaitan kesalahan politik wang dipercepatkan supaya calon bertanding jawatan tertinggi yang terbabit dalam kegiatan sedemikian tidak boleh bertanding pada pemilihan parti Mac depan.
(Berita ini diambil dari Berita Harian On line 24 Disember 2008)

No comments: