Thursday, December 11, 2008

DALAM LIPATAN SEJARAH

ORANG MELAYU NEGERI PERAK

Sesungguhnya, kita bangsa Melayu di Negeri Perak telah merdeka bersama dengan bangsa Melayu di negara ini. Kita merdeka setelah dikongkong oleh penjajah Inggeris semenjak tahun 1874 hingga sebelum tengah malam 31 Ogos 1957. Kemerdekaan yang kita dapati itu adalah hasil perjuangan datuk nenek kita.

Pengetahuan sejarah amat penting kepada sesuatu umat atau bangsa yang mahukan kemajuan dan bebas dari sebarang pengaruh budaya dari luar yang memungkinkan membunuh budaya dan maruah atau modal insan sesuatu umat atau bangsa itu.

Orang Melayu di Negeri Perak khanya dan Semenenjung Tanah Melayu amnya, secara sedar atau tidak, budaya dan cara hidup mereka dari istana hingga ke kampung pendalaman, telah banyak dipengaruhi oleh Yahudi, Inggeris (Kristian), Cina (Majusi dan Budha) dan India (Hindu).

DINODA AGAMA DAN IMAN

Sesungguhnya, pada hari ini, ramai orang Melayu sedang diancam dan dinoda agama dan iman mereka oleh gejala-gejala agama lain, sehingga mereka terjerumus kepada perbuatan yang disebut tasyabbuh yang boleh memusnahkan iman dan akidah mereka.

Penyakit barah kepada uman dan akidah orang Melayu disebabkan mereka terlalu taksub kepada demokrsi ciptaan Yahudi dan orang barat, dan perpaduan ciptaan manusia yang tidak mementingkan ajaran agama Islam.

Negeri Perak adalah di antara negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang pada sebelum abad ke sembilan belas terkenal sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil bumi - bijih timah, kayu balak dan hasil mahsul lain.

MENGHELA NAFAS SENDIRI

Kerana hasil mahsul itu, Negeri Perak telah menjadi negeri ‘pecah selera’ penjajah dan pendatang-pendatang asing. Mereka datang menjajah dan mencari makan dan membolot kekayaan.

Akibatnya, Negeri Perak telah menjadi negeri yang kering kontang – orang Melayu terpaksa menghela nafas sendiri - , yang kaya orang lain, yang miskin kita sendiri. Hidup dalam keadaan berselimutkan kain panjang lima, tutup kepala kaki telanjang, tutup kaki kepala terdedah dan ‘makan sambal telunjuk berdiri’.

Kerana kemiskinan itu, maka yang ada pada sebahagian besar orang Melayu Negeri Perak, ialah ‘kerana lonjak hilang tanjak’ dan ‘biar pape asal bergaye’. Orang lain makan daging, kita mengokak dan menjilat tulang. Darah dijilat pada tulang, darah gusi kita sendiri.

PANTANG UNDUR KE BELAKANG

Bagi orang Melayu Negeri Perak dan cucu cicit merteka, untuk mengayun langkah ke hadapan, pantang undur ke belakang; biar patah sayap namun dengan bertongkatkan paruh, mara ke hadapan jua, hanyalah dengan ‘modal insan’ - percayakan diri sendiri, banyakkan ilmu pengetahuan dalam dada kita, rajin kita, gigih kita dan tawakal kita kepada Tuhan yang Esa.

Sesungguh orang Melayu Negeri Perak tidak boleh bergantung harap kepada orang lain untuk membantu diri mereka. Tidak boleh menumpang kepada politik, kalau politik dipengaruhi oleh kebendaan. Tidak boleh berharap kepada demokrasi, kalau demokrasi menghakiskan bangsa kita.

Mudah-mudahan, catatan dan garis antara titik dan koma dalam sejarah Negeri Perak dapat menjadi pengetahuan dan membimbing diri untuk maju ke hadapan sebagai orang Melayu yang kenal diri sendiri, tegar iman kepada Allah berani kerana benar dan sanggup mati dengan tubuh berkerat lapan demi mempertahankan agam Islam.

DAGANG LALU DITGANAKKAN

Hendaknya orang Melayu Negeri Perak telah tidak lagi terkepung dalam keadaan yang mereka tidak ingini:

Dagang lalu ditanakkan,

Kera dihutan di susui,

Anak mati kelaparan dalam buaian.

Hidup ibarat rambutan jantan,

Orang berbunga, awak berbunga,

Orang berbuah, awak tidak.

Yang kaya orang, yang kedana kita.

Mudah-mudahan tulisan saya ini, akan menjadi pemacu semangat pemuda pemudi yang hidup di bawah langit zaman dan berdiri di bumi bertuah Negeri Perak bertekad dan bekerja untuk mara ke hadapan menjadi manusia pengukir dan pencatat sejarah bumi dan alam mereka.

TERUS MENITI SEJARAH

Negeri Perak akan terus meniti sejarahnya dengan penduduk – penduduk berbilang keturunan. Dan mungkin Dato’ Daut Kilau atau para biduan dan biduwanita kampung berminat akan sajak ini untuk dinyanyikan bagi melerai lara di hati dan minda didera duka.

Bisik datuk nenek,

Dari Beting Beras Basah,

Menggonggong kasih sayang,

Pantang ajal sebelum mati.

Meredah ‘bumi berdarah’, Pasir Salak,

Berhati pilu di Pilau Tiga,

Mengeluh hiba di Manjong,

Di Gangga Negara berhati lara.

Melilit pantai Tanjung Piandang,

Melerai darah luka,

Di Gunung Semanggul,

Padang Rengas dan Kota Tempan.

Merangkai gunung ganang,

Bumi Melayu,

Campa, Patani, Nusantara,

Di Keruh - Pangkalan Hulu,

Kasteria Melayu hatinya waja.

Lembah Kinta kuntang buminya,

Emas, ‘bijitimah’ dikaut pedagang,

Ikan dan tempat senama Tapah,

Racun orang lambor dan Bota,

Tanjung Malim bumi bertuah,

Tangis gadis air mata berladung,

kekasihnya pulang kudung kaki.


Dalam sedu gadis bertanya,

“Bang, bumi ini milik siapa, sayang?”

“ ... milik kita, anak cucu kita,

bangsa kita, sayang,” sambut sateria.

Keluh gadis,

“ ...kita mangsa pak pandir moden,

kera di hutan di susui,

anak mati lapar dalam buian.”

“ ... demi Tuhan, rela hamba syahid suci,

Darah tumpah berkalang tulang,

Luhur budi kita, jujur hati kita,

Pantang Melayu berputih mata, sayang.”

Al Ma’unah ................................... Mokhtar Petah




No comments: