Tuesday, December 16, 2008

DATO ONN JAAFAR

LAKSANA LILIN MENGHANGUS DIRI

Oleh: Mokhtar Petah


Dato’ Onn Jaafar adalah seorang ahli politik nasionalis Melayu yang disayangi oleh para tokoh politik Inggeris dan jasanya kepada orang Melayu amat besar dan sukar dibalas walaupun dengan segunung emas.
ebelum menerjunkan dirinya dalam perjuangan untuk memerdekakan bumi dan bangsa Melayu, beliau telah menceburkan dirinya dalam bidang kewatawanan – pengarang surat khabar Warta Malaya, di Singapura, pada tahun 1930 – 1935.
Sebelum bekerja dalam Warta Malaya, beliau bersama isterinya menjual kain, barangan dari tembaga dan ubat–ubat herba untuk mendapatkan wang bagi menyara hidup keluarganya.
Pada masa bertugas di Singapura beliau telah berhubung sebagai wartawan dan pejuang dalam lapangan politik dengan ahli politik dan penulis, Ibrahim bin Haji Yaacob (Ibhy) dan Ishak Haji Muhammad (Hantu Raya).
PENULISAN DAN KEWARTAWANAN
Walaupun mereka sama dalam arena penulisan dan kewartawanan, tetapi tidak sama dalam arena politik; Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji Muhammad terkenal dengan ‘politik kiri’, iaitu anti Inggeris dan Onn Jaafar ‘politik kanan’, iaitu fro Inggeris.
Apabila parti Islam – Hizbul Muslimin ditubuhkan pada tahun 1945, di sekolah agama Islam Al Ehyausy Syarif, Gunung Semanggul, Perak dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada Oktober1945, ditubuh oleh Mokhtarruddin Laso, Ishak Haji Muhammad, Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh bersama berpuluh–puluh pejuang kemerdekaan Melayu, Dato’ yang fro Inggeris telah menaruh curiga; kalau–kalau Tanah Melayu dijajah oleh Indonesia, di bawah pimpinan Presiden Soekarno dan naibnya, Dr. Mohd. Hatta.
Hizbul Muslimin didukung oleh kebanyakannya, murid kepada Sheikh Abdullah Fahim (datuk kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mendukung cita–cita perjuangan untuk menubuhkan Negara Islam di Tanah Melayu.
Hizbul Muslimin mempunyai tujuan yang sama dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin,iaitu:

1 - Satu Negara; Negara Melayu,

2 - Satu bangsa; Bangsa Melayu,

3 - Satu bahasa; Bahasa Melayu,

4 - Islam; agama Negara.

PARTI KEBANGSAAN MELAYU
Penjajah Inggeris telah mencurigai Hizbul Muslimin. Parti tersebut dianggap oleh Inggeris sebagai ‘bahaya dari gunung’ dan Parti kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) disyaki menjadi cabang Parti Nasional Indonesia, di bawah pimpinan Ir.Soekarno.
Pendeknya Inggeris menaruh curiga terhadap Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura akan duduk di bawah Republik Indonesia atau sekurang–kurangnya dua Negara itu akan bekerjasama.
Kalau Republik Indoinesia telah bekerjasama dengan Persekutuan Tanah Melayu, maka sudah tentulah pengaruh dan nama baik Inggeris kan musnah.
Dalam sejarah penjajah Inggeris diseluruh dunia, nama baiknya atau ‘kerajaan yang adil’ tidak didapati di negara–negara lain, kerana rakyat di negara–negara berkenaan menentang Inggeris. Mereka memusuhi Inggeris. Tetapi di Tanah Melayu tidak demikian. Walaupun orang Melayu menentang Inggeris,di Pahang, Perak dan negeri–negeri lain, tetapi tidak tercatat dalam sejarah orang Melayu menentang Inggeris.
TERCATAT DALAM SEJARAH
Penentangan orang Melayu Pahang terhadap Inggeris, terkenal dengan orang Bugis atau orang Aceh menentang Inggeris.
Orang Melayu bersama Dato’ Seri Agar Diraja (Dato Sagor) menentang Inggeris,di Pasir Salak, Perak,hingga J.W.W.Birch dibunuh, tetapi tidak tercatat dalam sejarah orang Melayu menentang Inggeris, pembunuhan itu dilakukan oleh Orang Asli atau Sakai.
Penentang orang Melayu kemudiannya termasuk penentangan dilakukan oleh Parti Komunis Malaya – pengganas komunis – dan Pesuruhjaya Tinggi Inggeris Sir Henry Gurney mati ditembak di jalan Bukir Fraser , Pahang, adalah oleh pengganas komunis dan bukan oleh orang Melayu.
Pembunuhan ke atas Sir Henry Gurney,dilakukan oleh orang Melayu,iaitu Awang Ali, anggota Rejimen ke 10 yang bergerak dalam rimba Negeri Pahang.
MENJAGA NAMA BAIK
Dato Onn telah menjadi tempat para penasihat British Johor, Selangor dan Perak meminta pertolongan untuk menjaga nama baik kerajaan mereka.
Menurut cerita Dato Onn sendiri kepada saya, dan Raja Yusof Izzuddin Shah, Perak dan Dato Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Aziz, bahawa Inggeris telah meminta mereka menghancurkan parti Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan cabang wanita – Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan pemuda – Angkata Wanita Insaf (API).
Mereka telah diundang oleh para penasihat Inggeris dan Pejabat Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris ke majlis jamuan makan malam di sebuah hotel di Cameron Highland dan di sana diadakan perundingan antara pihak Setiausaha Tanah Jajahan dengan pihak Dato Onn Jaafar.
Pihak Setiausaha Tanah Jajahan telah memberitahu mereka, bahawa parti Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan dua cabangnya bahaya kepada kerajaan Inggeris di Tanah Melayu dan Dato Onn dan rakan-rakannya yang berpendidikan dari institusi pengajian tinggi di Englangd.
Mereka telah meminta atau mendesak Dato’Onn dan rakan–rakannya supaya menubuhkan sebuah parti politik nasional Melayu dan memusnahkan Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
PERSATUAN ORANG MELAYU
Dato Onn telah memaklumkan pihak Setisuaha Tanah Jajahan, bahawa beliau dan rakan-rakanya tidak dapat menubuhkan parti politik kerana orang Melayu belum sedia untuk menubuhkan persatuan yang besar. Pada masa itu hanya wujud persatuan orang Melayu peringkat negeri dan daerah sahaja.
Pihak Setiausaha Tanah Jajahan memberitahu, bahawa mereka ada isu yang akan menjadikan semua orang Melayu bersatu. Beberapa bulan kemudian Inggeris telah mengemukan gagasan Malayan Union kepada Raja–Raja Melayu.
Sebaik–baik sahaja gagasan Malayan Union dikemukan, orang Melayu bangun menentang. Pada 1–4 Mac beribu-ribu orang Melayu dari seluruh Tanah Melayu telah mengadakan kongres menentang Malayan Union, di Kelab Sultan Sulaiman,Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Sebanyak 38 buah pertubuhan atau persatuan orang Melayu telah menghantar wakil–wakil masing–masing ke kongres itu. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah menghantar 22 orang wakil dan pemerhati.
INSTITUT PENGAJIAN TINGGI
Parti Hizbul Muslimin tidak menghantar wakilnya, kerana Ustaz Bakar Al Baqir menganggap kongres itu anjuran penjajah Inggeris.
Kongres itu telah berjaya menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malays National Organiozation (UMNO). Oleh kerana Dato Onn mahu orang–orang Melayu berpendidikan dari Institusi pengajian tinggi barat sahaja memegang jawatan tinggi dalam UMNO, maka beliau telah menangguhkan mesyuarat penubuhan parti Melayu itu.
Pada 11 Mac telah diadakan Kongres dalam istana Sultan Johor. Kongres itu dihadiri oleh sebilangan kecil orang Melayu sahaja. Maka yang ramai memegang jawatan tinggi dalam UMNO adalah orang Melayu fro Inggeris.
Sekitar tahun 1946 hingga tahun 1951, Dato Onn adalah Pegawai Eksekutif Kerajaan Inggeris yang berkedudukan sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.Beliau mempunyai kuasa mutlak di bawah kerajaan Inggeris untuk menghancurkan dua buah parti politik orang Melayu berhaluan kiri. Pada tahun 1948 beliau telah menandatangani surat perintah menangkap dan menahan beratus-ratus anggota dan ahli Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
KESELAMATAN DALAM NEGERI
Ishak Haji Muhammad dan Ustaz Abu Bakar Al Baqir dan Rashid Maidin di antara beratus orang Melayu yang telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan di kurung dalam khemah tahanan politik .Dr. Burhannuddin Helmi terlepas dari ditangkap kerana sebelum itu beliau berada di Singapura.
Pada tahun 1951, iaitu sebelum Dato Onn meninggalkan UMNO, sekali lagi penangkapan ke atas beratus pejuang kemerdekaan Tanah Melayu ditangkap dan ditahan dalam khemah tahanan di seluruh tanah air termasuk Tanjung Beruas, Melaka.
Dato Onn telah memimpin UMNO dari tahun bulan Mac 1946 hingga 1951. Beliau terpaksa menarik diri dari mengetuai UMNO kerana tidak tahan dengan tuduhan–tuduhan dari sebilangan besar ahli UMNO terhadapnya. Tengku Abdul Rahman Putra telah mengambil alih jawatan Yang Dipertua parti kebangsaan Melayu itu.
Berikut ini adalah sedutan dari ucapan panjang–ucapan terakhir dalam mesyuarat agung UMNO pada tahun 1951.
CINA DAN INDIA
“Sebagai seorang yang ada mempunyai di dalam badan saya sendiri darah daripada baka Melayu dan Turki dan yang tidak tahu lari, barang mustahil saya nak melarikan diri, bimbang hendak menentang sama kepada orang yang hendak menentang kepada saya ataupun hendak bersahabat dengan saya.
“Saya telah dituduhkan juga menderhaka kepada bangsa Melayu dan kepada negeri ini. Tuduhan yang seumpama itu saya pandang sangat sekeji-kejinya. Selama ini dalam kehidupan saya ini,saya telah bekerja kerana bangsa saya sendiri dan kerana penduduk–penduduk di negeri ini tempat kediaman saya. Sepanjang umur saya, saya telah menentang beberapa perbuatan yang pada fikiran saya tidak sesuai dengan cara pemerintahan sesebuah negeri.
Saya juga dituduh berkehendak menjadi seorang diktator di dalam UMNO ini …”
Setelah meninggalkan UMNO, Dato Onn telah menubuhkan Parti Negara, parti politik itu membuka pintunya kepada orang Melayu, Cina dan India yang menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu, tetapi parti itu terpaksa dibubarkan kerana tidak mendapat sambutan dari orang Melayu.
Mungkin sedikit benar orang yang mengetahui, untuk membalas jasa baik Dato Onn terhadap Inggeris terutama menjaga nama baiknya,maka Kerajaan Inggeris telah menghadiahkan wang sebanyak £10,000,000.00 (10 juta paun) kepada beliau untuk tabung Rural Industrial Development Authority (RIDA). Wang itu untuk digunakan membantu orang–orang Melayu luar Bandar, seperti membina telaga, paip air dan projek–projek kecil bagi faedah penduduk– penduduk luar Bandar.
SURAT KHABAR TABLOID
Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, RIDA telah diambil alih oleh kerajaan dan Dato Onn diketepikan. Beliau telah menerbitkan surat khabar mingguan KRITIK dan berpejabat di sebuah bangunan di Jalan Sulaiman 11, Kuala Lumpur.
Dato adalah penerbit, Ketua Editor dan penulis artikel–artikel untuk surat khabar tabloid itu.
Saya sering mengunjungi beliau di pejabatnya. Kami bercakap tentang masa depan orang Melayu, UMNO, PAS dan para beliau Melayu.
Dato Onn telah berkata kepada saya, “ …you tunggu,UMNO akan menjadi parti politik yang paling kaya di Negara ini …, ia akan menjadi gedung rezeki dan orang Melayu berlumba–lumba hendak menjadi pemimpinnya.”
Dato’ Onn yang tebal fahaman nasionalisnya. Luas fikirannya. Banyak jasanya kepada orang Melayu. Tetapi beliau ibarat sebatang lilin yang menerangkan orang lain dan rela menghanguskan dirinya sendiri.
(Tamat)
(Disiar dalam Minguan Watan, pada 23 – 29 November 2008)


.

No comments: