Mokhtar Petah
Pada Mei 1973, Raja Perempuan Negeri Pahang – Sultanah -, Raja Hajah Fatimah binti Almarhun Sultan Alang Iskandar Shah – kakak kepada Sultan Idris Shah dan ibunda kepada Sultan Ahmad Shah - , telah tinggal sementara bersama beberapa orang kakitangan Istana Sultan Pahang, di bilik vip Rumah Rehat, di Bukit Kerajaan, Kuala Kangsar.
Raja Perempuan Hajah Fatimah sedang dirundung duka kerana telah bermadu dengan bekas bintang filem terkenal, Maria Menado.
Aku mula berkenalan dengan Raja Perempuan Hajah Fatimah di kediaman Raja Perempuan Kalthum, ibunda kepada Sultan Idris, di Lembah Bukit Chandan.
Pada satu petang dalam bulan Mei, pemandu kereta Raja Perempuan Hajah Fatiman, Pak Awang, telah datang menemuiku di sebuah restoran dalam Bandar Kuala Kangsar. Dia meminta aku datang ke Rumah Rehat kerana Baginda hendak berjumpa denganku.
MADUNYA
Sebaik-baik sahaja aku tiba di bilik vip Rumah Rehat itu, aku dijamu oleh Baginda dengan kuih muih Melayu dan minuman dari restoran yang telah dihidang oleh pelayan Rumah Rehat itu. Turut serta dalam bilik vip, ialah dua orang adik saudara Baginda, iaitu Raja Rafeah dan dan Raja Intan Suraya.
Baginda telah meminta aku menolongnya, iaitu menjampi atau berdoa, supaya suaminya, Sultan Pahang sayang kepadanya dan meninggalkan madunya. Seperti kebanyakan wanita-wanita lain, Raja Perempuan tidak sanggup bermadu lagi.
Aku telah berkatakan kepada Baginda, ”....Tuanku, buat apa Tuanku susah hati, ...runsing, Baginda Sultan tetap sayang kepada Tuanku, ...lagi pun Tuanku lebih cantik dari madu Tuanku.”
Aku telah berkata begitu, kerana aku percaya; semua orang perempuan amat suka, kalau memuji mereka cantik atau jelita dan mereka tidak marah kalau mengatakan mereka tidak pandai. Manakala semua lelaki akan rasa bangga kalau dipuji mereka pandai atau bijak dan tidak marah kalau mereka tidak cantik.
SUSAH HATI
Sebaik-baik sahaja Baginda mendengar pujianku itu, Baginda ketawa. Raja Rafeah dan Raja Intan Suraya turut ketawa.
Aku telah meminta satu jar air sejuk daripada Raja Rafeah. Setelah Raja Rafeah mengambil air dan meletakkannya atas meja di hadapanku, aku telah memberitahu kepada Baginda supaya Baginda meminum air jampi itu selama tiga malam, sedikit dari air itu dicampurkan dengan air untuk mandi dan mandi selama tiga pagi berturut-turut.
“...mudah-mudahan Baginda bertambah kasih sayangnya kepada Tuanku, insya Allah Tuanku tidak resah, gelisah dan susah hati lagi, “aku berkata kepada Baginda Raja Hajah Fatimah.
Pada waktu itu tiga wanita bergelar raja itu amat yakin akan kata-kata aku itu dan dengan hati yang ikhlas mereka bergantung harap kepada Allah. Sesungguhnya aku bukanlah seorang bomoh, tetapi aku hanya seorang hamba Allah yang tidak berhenti-henti merayu dan memohon kepada-Nya. Air yang aku telah berikan kepda Raja Perempuan Hajah Fatimah itu setelah aku membaca beristighfar dan memohon kepada Allah, iaitu:
“Istaghafirul Lahal Azzim, al lazi lailaha illa hual Hayyul Qayyum wa atubu ilaih”.
Aku telah berdoa dalam bahasa Arab (tidak bersuara), iaitu doa yang berlainan dari yang dihajatkan oleh Baginda.Iaitu:
“Ya Allah, dengan iradat dan Qudrat-Mu, Kaujadikanlah hati Raja Fatimah ini, hati perempuan yang sabar, taatkan suaminya, sayangkan suaminya, sayangkan madunya”.
Aku telah membaca ayat Quran:
” Ya ayuhal lazina amanu isbiru wa sobiru wa rabittu wat taqul-laha la’allakum tuflihun”
(Hai orang-orang yang beriman, sabarlah dan cukupkanlah kesabaran, dan perteguhkanlah kekuatanmu dan patuhlah kepda Tuhanmu, supaya kamu menjadi beruntung.)
Aku telah mengakhiri bacaan dengan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.:
”Allahumma Solli ala Muhammad”.
Aku telah mengulangi membaca sebanyak tujuh kali. Tiap-tiap kali habis membaca, aku telah hembuskan ke permukaan air dalam jar itu.
RAJA PEREMPUAN
Beberapa hari kemudian aku telah memberitahu kisah aku menajdi bomoh Raja Perempuan Pahang itu kepada Pawang Raja, bapa tiri Sultan Idris Shah, Tengku Adlan bin Tengku Adil. Dia telah ketawa sehingga berbahak-bahak.
“Mana ada raja perempuan, Sultanah, permaisuri dalam dunia ni tak bermadu, Encik Mokhtar...,”katanya.
Beberapa hari kemudian, aku mendapati Raja Perempuan Hajah Fatimah tidak lagi marah-marahakan madunya. Baginda tidak bersedih dan gelisah. Pendeknya Baginda telah berubah menjadi seorang perempuan yang tenang dan sabar.
Pada tahun yang sama juga, iaitu pada hujung bulan Ogos, Bandar Diraja Kuala Kangsar telah ditenggelami banjir besar dari Sungai Perak. Rumahku dan rumah-rumah lain di Kampung Kolam turut tenggelam hampir kebumbung. Semua kertas pelajaranku pada masa aku mengikuti kursus sains politik di bawah Jabatan Presiden Soekarno dan pihak Universiti Indonesia serta gambar Presiden itu telah musnah. Lebih 20 helai kertas tulisan tangan Presiden Soekarno turut musnah.
Sepanjang masa banjir itu aku sering mengikuti Sultan Idris Shah melawat ke kawasan-kawasan banjir di sepanjang Sungai Perak dari Hulu Perak ke Kuala Perak atau Bagan Datok. Selain dari menaiki motorbot kami telah menaiki helikopter Tentera Udara Malaysia (TUDM) untuk meninjau dari udara akan sekitar kawasan banjir. Kami telah mendarat di beberapa kawasan penempatan mangsa-mangsa banjir.
Setiap kali aku berada bersama Sultan Idris dalam helikopter Nuri, di udara, aku terasa diri aku berada dipinggir kematian. Aku khuatir helikopter itu menjunam ke bumi kerana Baginda suka memetik punat-punat pada bahagian oprasi dan pengendalian enjin helikopter itu. Pilot helikopter itu membiarkan sahaja perbuatan Sultan Idris Shah itu.
Sultan Idris Shah tidak boleh melihat benda yang berjentera atau elektronik; asal jumpa sahaja benda-benda berjentera atau elektronik Baginda tidak senang hati kalau tidak mencuba, memulas, memetik dan sebagainya.
Baginda pernah memandu kereta, jentolak, traktor, jentolak, jentera penggilas batu jalan, gokat, motorbot dan kapal laut (kapal kecil).
(Disaring dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah Sharir Aidid)
No comments:
Post a Comment