Thursday, March 25, 2010

BERITA


Pulau Pinang, Selangor tak dibenar pilihan raya PBT

PUTRAJAYA: Kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor tidak boleh mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana tiada peruntukan undang-undang mengenainya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff, berkata berikutan itu pihaknya juga tidak boleh mengendalikan pilihan raya PBT termasuk di kedua-dua negeri berkenaan.
Beliau berkata, semua peruntukan yang memberi kuasa kepada SPR untuk mengendalikan pilihan raya PBT dalam Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 (APRKT) dimansuhkan pada 1976. Katanya, kerajaan kemudian menguatkuasakan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (AKT) yang memperuntukkan Seksyen 10(1) bahawa keanggotaan bagi PBT dilakukan secara lantikan.

"Bagaimanapun, Seksyen 10 (AKT) memberi kuasa penuh kepada pihak berkuasa negeri Pulau Pinang dan Selangor untuk melantik mana-mana ahli majlis PBT," katanya pada sidang media bagi menjelaskan isu berkenaan di sini, semalam.
Beliau berkata, SPR sudah menghantar surat mengenai perkara itu kepada kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.

Kali terakhir SPR mengadakan pilihan raya PBT ialah pada 1960 membabitkan semua negeri kecuali Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Abdul Aziz berkata, pemansuhan peruntukan dalam APRKT itu membabitkan semua negeri kecuali Sabah dan Sarawak.

Katanya, walaupun urusan berkaitan pilihan raya PBT adalah tertakluk kepada kerajaan negeri mengikut Butiran 4, Senarai II - Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, Pulau Pinang dan Selangor tidak boleh membuat perubahan dasar itu tanpa kelulusan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT).

SPR menerima surat dari Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada 8 Mac lalu yang mahu melantik SPR menjalankan pilihan raya PBT di negeri berkenaan.

Sementara itu, surat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, diterima pada 15 Mac lalu meminta SPR menjalankan kajian bagi memastikan sama ada pilihan raya PBT boleh dilaksanakan.

Abdul Aziz berkata, SPR juga tidak boleh melaksanakan kajian seperti diminta Selangor kerana ia bertentangan dengan fungsi suruhanjaya itu mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Sekiranya kerajaan atau mana-mana kerajaan negeri bercadang mengadakan semula pilihan raya PBT, satu keputusan dasar hendaklah dibuat terlebih dulu bagi menentukan ia hendak diadakan atau tidak," katanya.

Menjawab soalan, Abdul Aziz berkata, ruang demokrasi dalam pemilihan ahli majlis PBT tanpa pilihan raya masih terbuka kerana AKT memberi kuasa penuh kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan proses pelantikan.

"Itu hak kerajaan negeri, macam mana dia hendak lantik terpulang kepada dia, (contohnya) nak buat peperiksaan, tetapi pastinya mereka mahu melantik yang terbaik," katanya.
(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 25 Mac 2010)

No comments: