Wednesday, March 17, 2010

BERITA

1Malaysia kini jadi gerakan massa
Oleh Anwar Hussin, S Anand Kumar dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my

Datuk Seri Najib Razak
Datuk Seri Najib Razak
Rakyat peringkat akar umbi terima gagasan sebagai simbol perpaduan nasional: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata gagasan 1Malaysia yang diilhamkan beliau kini sudah menjadi gerakan massa pada peringkat akar umbi dan bukan lagi gagasan kerajaan semata-mata.
Perdana Menteri berkata, simbol 1Malaysia kini sudah menjadi sangat popular di kalangan badan korporat, badan sukarela dan juga sebagai simbol motif dalam bentuk pakaian. “Malah, banyak inisiatif daripada rakyat sendiri untuk menjayakan 1Malaysia seperti perkahwinan 1Malaysia membabitkan empat pasangan di Kapar, Selangor, baru-baru ini,” katanya ketika menjawab soalan lisan Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) di Dewan Rakyat, semalam.

Alexander mahu Perdana Menteri menyatakan sejauh mana gagasan 1Malaysia berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama di negara ini.

Beliau turut bersyukur dengan sambutan yang diberikan rakyat terhadap gagasan itu seperti yang disaksikannya ketika lawatan tinjauan mesra ke beberapa kawasan seperti Pantai Dalam, Petaling Street, Brickfields atau Lachau Ulu di Sarawak, tidak berapa lama dulu.

Najib juga mengingatkan rakyat untuk mencari titik persamaan antara satu sama lain serta mengelakkan prasangka dan prejudis dengan menghayati 1Malaysia.
“Penghalang kepada perpaduan nasional yang sempurna adalah kebimbangan dan ketakutan antara satu sama lain disebabkan prasangka serta prejudis. Semua rakyat Malaysia seharusnya ikhlas dalam menangani prasangka dan prejudis ini kerana ia boleh membawa risiko menzalimi yang lain.
"Janganlah kita terus berpegang kepada prasangka dan prejudis tanpa mengetahui kebenaran yang pasti. Marilah kita bergerak daripada mendefinisikan identiti kita berasaskan perbezaan yang wujud kepada mencari titik persamaan,” katanya.
Najib berkata, gagasan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' adalah satu falsafah induk yang merentas dasar dan pelaksanaan kerana matlamat akhirnya adalah perpaduan nasional.
Perdana Menteri berkata, tahap terendah perpaduan nasional ialah sikap toleransi terhadap perbezaan yang wujud, tahap kedua adalah penerimaan sepenuhnya terhadap perbezaan yang ada, manakala tahap ketiga yang juga tahap tertinggi adalah meraikan perbezaan itu.
Pada tahap ketiga itu, perbezaan bukan lagi punca persengketaan, tetapi sumber kekuatan.
Sementara itu, Najib berkata, konsep 'Middle Malaysia' yang dibawa DAP adalah satu penjenamaan semula ‘Malaysian Malaysia' yang ditolak rakyat terutama Bumiputera kerana tidak berpaksikan kepada Perlembagaan.
Katanya, DAP melakukan penjenamaan semula itu berikutan sambutan baik rakyat terhadap 1Malaysia yang mengambil kira hak semua kaum di negara ini.
Najib berkata, 1Malaysia berbeza dengan konsep diperkenalkan pembangkang kerana ia berpaksikan Perlembagaan dan Rukun Negara.
"Demi untuk anak-anak kita... ini bukanlah masa depan yang kita dambakan. Kerajaan yakin dan percaya gagasan 1Malaysia boleh menjadi formula nasional yang boleh memupuk kewujudan bangsa Malaysia,” katanya.
Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang tiba-tiba bangun mencelah dengan mengemukakan peraturan mesyuarat mengambil peluang itu untuk membangkitkan kritikan akhbar terhadap kepemimpinan anaknya, Guan Eng.
Lim mahu Menteri Dalam Negeri menyatakan tindakan akan diambil terhadap akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian kerana dikatakan melawan agenda 1Malaysia.
Beliau mendakwa kedua-dua akhbar itu menerusi agenda perkauman dan agama, memfitnah kerajaan Pulau Pinang serta Ketua Menteri, Guan Eng, sebagai anti-Melayu dan Islam.
Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, berkata peraturan mesyuarat tidak kena mengena jawapan lisan Perdana Menteri.
Karpal yang diberi peluang untuk bertanya soalan tambahan, turut mengambil kesempatan itu mengaitkan bekas Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar dengan konsep 1Malaysia.
Najib berkata, mana-mana pegawai kerajaan membuat kenyataan bertentangan dengan dasar kerajaan akan diambil tindakan dan itu yang berlaku terhadap Nasir
(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 17 Mac 2010)

No comments: