Wednesday, March 24, 2010

BERITA

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberi ruang membuat penjelasan berhubung dakwaan penglibatan APCO Worldwide dalam mempromosikan 1Malaysia di dewan rakyat pada hari Selasa, 30 Mac depan.

Perkara itu diumumkan ahli parlimen Subang Sivarasa Rasiah selepas Anwar bersama beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee sebentar tadi.

Pertemuan itu jelas Siva, bagi membolehkan Anwar mendapat penjelasan terus dari timbalan speaker itu berhubung apa yang berlaku pada persidangan dewan rakyat semalam.

"Datuk Seri Anwar akan memberi penjelasan pada hari Selasa, jam 11.30 pagi.

"Beliau akan mengulas sekaligus menjawab apa yang dibangkitkan (Ahli Parlimen) Kota Belud dan Padang Rengas," katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh semalam diberi tempoh seminggu untuk menjelaskan kenyataannya di dalam dewan minggu lalu yang mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel, Apco yang didakwa terlibat dalam mempromosikan kempen 1Malaysia.

Tindakan tersebut ekoran Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN - Kota Belud) yang membangkitkan perkara tersebut di bawah perkara 37 (1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat yang mencetuskan suasana gamat di parlimen semalam.

Menurutnya, ahli parlimen Permatang Pauh itu dengan jelas menggunakan kenyataan yang mengelirukan dewan semasa membuat kenyataan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz (BN- Padang Rengas) kemudiannya memberitahu timbalan speaker, Datuk Ronald Kiandee bahawa kerajaan memberi Anwar tempoh seminggu untuk membuktikan dakwaannya itu.

Anwar sebelum ini juga mendakwa perdana menteri Israel, Ehud Barak telah mengunakan khidmat nasihat syarikat Apco pada 1999.

Sementara itu, beliau pada sidang dewan rakyat pagi tadi berkata beliau akan membuat penjelasan berhubung dakwaannya itu dan akan mendedahkan beberapa lagi fakta berkaitan.

"Macam Apco, saya akan buat penjelasan nanti dan jangan terkejut dengan maklumat yang saya akan sampaikan," kata Anwar sewaktu mencelah menjawab tuduhan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman.
(berita ini diambil dari Harakah Daily online, 24 Mav 2010)

No comments: