Wednesday, March 17, 2010

BERITA

Pilihanraya PBT: SPR jangan terikat pendirian Najib
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 17 Mac: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diingatkan agar tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak dalam membuat keputusan berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang disyorkan oleh kerajaan negeri, Pulau Pinang dan Selangor.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof perlu membuktikan suruhanjaya itu benar-benar bebas termasuk tidak terpengaruh dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof perlu membuktikan bahawa SPR benar-benar bebas, tidak dipengaruhi oleh seorang Perdana Menteri,” jelasnya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Abdul Aziz semalam mengumumkan SPR akan membuat keputusan berhubung perkara itu minggu depan.

Katanya SPR perlu meneliti dari aspek Perlembagaan dan undang-undang berkaitan sebelum menyatakan pendirian.

“Sebelum keputusan dibuat (oleh SPR), eloklah kita (kerajaan negeri Pulau Pinang) berjumpa dengan SPR supaya suruhanjaya itu masih dilihat bebas,” jelas Guan Eng lagi.

Najib sebelum ini berkata, pilihanraya PBT tidak perlu dilaksanakan semula atas alasan akan mewujudkan banyak politiking.

Guan Eng ketika mengulas perkara itu berkata, beliau tidak bersetuju dangan alasan perdana menteri itu malah berpegang kepada apa yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Perkara 113(4), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan negeri boleh memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihanraya lain daripada Pilihan Raya Umum.

Berdasarkan peruntukan tersebut juga, kerajaan negeri Pulau Pinang berhak mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli-ahli majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).

“Sebagai sebuah kerajaan (negeri) yang sah, kita (Pulau Pinang) berhak memberi kuasa pada SPR untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan,” ujarnya.

Pilihan raya PBT mula diperkenalkan pada tahun 1956 di Majlis Perbandaran George Town manakala kali terakhir pilihanraya PBT diadakan adalah pada 1963.


------------------


Anwar sindir Najib puji diri sendiri

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 17 Mac: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir Datuk Seri Najib Razak kerana memuatkan pujian kepada diri sendiri dalam teks titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong sewaktu merasmikan sidang parlimen dua hari lalu.

“Jarang berlaku dalam ucapan titah Yang Di Pertuan Agong, perdana menteri secara peribadi memuji dirinya sendiri,” sindir Anwar tengah hari tadi sambil disambut gelak ketawa oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di dewan Rakyat.

Dalam nada yang jenaka, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menasihatkan Najib supaya memuatkan ucapan penghargaan kepada Umno BN kerana berjaya mengekalkan kuasa dalam kerajaan.

“Tanpa rasa malu Perdana Menteri memuji dirinya sendiri, selalunya diletakkan tahniah kepada kerajaan kerana menang pilihan raya, itu kebiasaannya,”

Disebabkan Speaker Dewan Datuk Donald Kiandee tidak menghalang seloroh itu, Anwar terus membaca teks titah ucapan yang dimaksudkan beliau.

“Para pemimpin hendaklah mencontohi Memanda Perdana Menteri (Najib),” kata Anwar.

Tambah Anwar lagi, sidang kali ini turut mencipta sejarah apabila Datin Seri Rosmah Mansur, iaitu isteri kepada Perdana Menteri turut dipuji secara peribadi dalam titah ucapan tersebut.

“Bukan setakat itu tuan speaker, inilah kali yang pertama dalam sejarah di mana dalam Titah Diraja, suatu pujian khusus pada insiatif yang dibuat oleh isteri perdana menteri,” sindir Anwar lagi.

“Berikutan kejayaan program Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan Permata Remaja, Ini Permata yang memang menjadi projek istimewa si isteri jelita,” kata Anwar lagi.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, teguruan khusus kepada perdana menteri itu bukanlah bermakna memperkecil titah ucapan DYMM Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menurut beliau, konsep raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia bermakna kerajaan yang memerintah menyediakan titah ucapan yang kemudiannya disemak dan diperkenan oleh seorang Yang Dipertuan Agong.

Maka, kata Anwar, Najib selaku ketua kerajaan bertanggungjawab menyediakan draf ucapan titah ucapan tersebut.

Tindakan Najib itu tegasnya sekaligus boleh merosakkan imej dan tradisi raja berpelembagaan yang selama ini dilaksanakan di Parlimen.

Beliau juga menasihatkan kerajaan supaya tidak mengulangi perbuatan serupa di Dewan Rakyat yang mulia itu.

“Ini yang nak saya perbetulkan supaya pujian-pujian pada diri sendiri seperti ini tidak lagi berulang,” tegas Anwar.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily online, 17 Mac 2010)



No comments: