Rakyat Malaysia dinasihat elak tunjuk perasaan di Thailand
Jurucakap urus setia Kedutaan Malaysia di Bangkok, berkata langkah untuk keselamatan diri itu, khususnya ketika di kawasan luar, adalah antara penekanan utama digariskan dalam nasihat kepada rakyat Malaysia yang bekerja, menetap dan melancong di sana bagi menghadapi keadaan bergolak ketika ini.
Katanya, mereka juga dinasihatkan supaya mengelak daripada berada di kawasan dikenal pasti terbabit dalam perarakan besar-besaran itu, antaranya Sanam Luang, Bangna, Lumphini Park serta Phan Sa Bridge. “Setakat ini, keadaan masih terkawal dan tiada keganasan meletus. Pihak berkuasa Thailand sudah menggerakkan kawalan sebaik mungkin dengan menempatkan anggota keselamatan mengikut keperluan semasa.
“Kedutaan juga tiada menerima sebarang laporan mengenai ada mana-mana rakyat Malaysia dikatakan terbabit atau mengalami kesusahan akibat keadaan politik di Thailand sekarang,” katanya ketika dihubungi di Bangkok, semalam.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, dalam kenyataan Jumaat lalu, meminta rakyat Malaysia yang merancang melancong ke Bangkok atau yang sudah berada di sana, sentiasa mendapatkan maklumat terkini berhubung keadaan semasa dan memantau persekitaran dengan teliti menerusi media tempatan Thailand.
Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Husni Zai Yaacob, pula dipetik sebagai berkata, ada kira-kira 300 rakyat Malaysia mendaftar di kedutaan sama ada bekerja atau menetap di Bangkok
(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 15 Mac 2010)
No comments:
Post a Comment