MENCARI PERMATA YANG HILANG
(19 Mac 2010/ 3 Rabiulakhir 1431H)
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekelian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar benar takwa, bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang paling baik di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertakwa. Tajuk khutbah kita pada hari ini ialah :
Mencari Permata Yang Hilang.
Allah S.w.T mengutuskan Islam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dalam keadaan mendapat tentangan masyarakat . Ketika permulaan Islam di Mekah, bilangan pengikut amat sedikit terdiri daripada ahli keluarga terdekat dengan Rasulullah dan dari kalangan hamba serta orang miskin.
Mereka ditindas dan diperlakukan seperti manusia yang tidak punya nilai dan harga diri. Berkat kesungguhan Rasulullah s.a.w., para sahabat dan generasi awal Islam dalam menyebarkan risalah tauhid, maka Islam telah berkembang keseluruh pelosok alam dan menjadi penawar serta penjana dalam membina ketamadunan, yang mana rahmat, hikmah, dan manafaatnya dapat dirasai oleh seluruh umat manusia. Ini sebagaimana firman Allah S.w.T. dalam Quran:
Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. - al-Anbiyaa’: 107
Sejarah mencatatkan bahawa Islam telah mencapai zaman kegemilangan di zaman pemerintahan khulafa’ al-Rasyidin di Madinah, zaman pemerintahan Umawi di Damsyik dan zaman kerajaan Abbasiyah di Bahgdad.
Kerajaan-kerajaan ini menjalankan dasar perluasan kuasa dan menyebarkan Islam sehingga dapat menguasai satu pertiga dunia yang meliputi Semenanjung Tanah Arab, Parsi, sebahagian Empayar Rom, Afrika Utara, Sepanyol, Perancis dan Turki.
Malangnya kegemilangan Islam ini tidak dapat bertahan, kerana umat Islam pada ketika itu dilanda masalah dalaman dan tekanan dari luar, pemerintahan yang tidak cekap, mabuk dengan kemewahan dan hidup dengan keseronokkan, lupa diri daripada mengingati Allah Subhanahu wa Taala.
Negara-negara yang dikuasai pada ketika itu satu demi satu terlepas dari penguasaan kerajaan Islam. Kerajaan Islam yang terakhir di bawah sistem Khalifah adalah kerajaan Uthmaniah di Turki. Ini digambarkan oleh Rasulullah Muhammad s.a.w. dalam hadith:
Dari Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: Islam mula tersebar dalam keadaan kesukaraan(asing). dan ia akan kembali asing pula. maka beruntunglah orang-orang yang asing”(orang Islam yang menghadapi kesukaraan ini .
- Diriwayatkan oleh Muslim:
Kita merasa amat sedih sekali, kerana kegemilangan Islam yang kita bangga-banggakan hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Suatu masa yang kita ketahui sebagai zaman kegelapan barat, adalah zaman bangkitnya kemajuan ilmu dan ketamadunan Islam yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah di sebelah Timur iaitu sewaktu pemerintahan Kerajaan Abbasiyah yang dipimpin oleh barisan Khalifah yang berwibawa.
Nama Islam pada masa itu harum seluruh alam. Berbagai penerokaan ilmu baru yang dipelopori oleh para ulama’, para sarjana atau ilmuan Islam pada ketika itu, antaranya bidang perubatan dipelopori oleh Ibnu Rusyd, bidang psikologi dan emosi diasaskan oleh Ibnu Sina, ilmu Astronomi dipelopori oleh al-Khawarizmi dan berbagai lagi cabang penerokaan ilmu yang masih belum dikaji oleh orang-orang barat.
Berbagai inovasi baru yang diterokai oleh umat Islam masa itu. Justeru, terbukti kepada dunia bahawa Islam yang dibawa oleh Rasulullah Muhammad s.a.w. adalah agama universal, tunjang dan akarnya adalah dalam bentuk hubungan dengan Allah Subhanahu wa Ta’aala, manakala dahan dan rantingnya adalah mencakupi aspek kehidupan bermasyarakat, bermuamalah dan bernegara.
Kegemilangan dan ketamadunan Islam yang selalu kita ceritakan kepada anak cucu kita, kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Kegemilangan dan ketamadunan itu telah hilang disebabkan kealpaan umat Islam itu sendiri.
Dengan hanya bercerita sahaja, ia tidak akan dapat mengubah apa-apa fakta sejarah lampau tersebut, melainkan kita sendiri berusaha mencari hak-hak umat Islam yang telah hilang atau terlepas dari gengaman tangan umat Islam suatu ketika dahulu. Antara langkah-langkah yang seharusnya kita lakukan ialah:
1) Kita hendaklah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Dalam masa yang sama kita tanamkan keyakinan kita kepada Allah S.w.T dan mempertahankan hak Islam. Maka barulah kita dapat membina semula kekuatan yang Allah S.w.T kurniakan kepada generasi terdahulu, yang sanggup berjuang demi kasih dan cinta mereka terhadap Allah S.w.T dan Rasul-Nya, mengatasi cinta dan kepentingan kepada diri mereka sendiri, keluarga dan harta benda.
2) Kita hendaklah menjadikan agenda penguasaan ilmu sebagai teras atau tunjang kemajuan sains dan teknologi dalam membina ketamadunan baru yang mempunyai identiti, jati diri dan acuan tersendiri.
3) Seiring dengan kemajuan menuju kecemerlangan, kita tidak dapat lari dari memperkasakan aspek pembangunan insan dan jati diri. Kerana apa guna negara kita maju, tetapi masyarakat atau rakyatnya hidupnya dalam ketakutan kerana banyak berlakunya kes-kes jenayah, gejala sosial, keruntuhan akhlak dan sebagainya.
4) Jangan kita cepat merasa puas dengan apa yang telah kita capai, kerana indeks atau penanda aras suatu tahap kemajuan itu akan sentiasa berubah pada setiap masa. Justeru, kita mesti melipatgandakan usaha kita untuk mencapai ke suatu tahap yang lebih tinggi.
5) Konsep taawun iaitu bertolong bantu dalam memajukan
saudara-saudara seagama . Tidak kiralah apa bentuk dan
bidang, umpamanya pertukaran teknologi makanan dan
pertanian, perkongsian teknologi maklumat, pertukaran
tenaga kepakaran dan berkemahiran tinggi dalam industri
jentera berat dan sebagainya. Ini semua dapat membantu dan
supaya ukhuwah Islamiah itu akan menjadi lebih kukuh demi
menjaga hak-hak dan kepentingan Islam itu sendiri.
6) Kita umat Islam hendaklah meletakkan keyakinan yang
sepenuhnya dan kebergantungan kita kepada Allah S.w.T, tidak pada yang lain. Kerana hidup dan mati kita hanya untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.
Mimbar ingin berpesan kepada semua bahawa inilah butir-butir permata yang kita mesti cari, dan mesti kita kutip kembali dari gengaman pihak-pihak yang telah merampasnya dari generasi awal Islam yang telah menghancurkan khidmat dan bakti mereka terhadap Islam dan umatnya. Rasulullah s.a.w. dalam hadith:
Kata-kata hikmat itu telah hilang (terlepas) dari orang mukmin,maka di mana sahaja kamu dapatinya, maka kamu lebih layak memilikinya”.
- Diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Abu Hurairah.
Hai orang yang beriman! Jagalah dirimu. Orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Kepada Allahlah tempat kembalimu semuanya, maka Ia akan menerangkan kepadamu apa yang kamu lakukan.- al-Maa’idah:105
No comments:
Post a Comment