Monday, March 29, 2010

BERITA

Pinda Rukun Negara,satu langkah yang tepat
http://episodeperjuangan.blogspot.com

1. Gesaan Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang [ Presiden PAS ] agar Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan dipinda kepada "Kepercayaan [ keyakinan ] kepada Allah" .

2.Sekurang - kurangnya 2 asas utama sebagai latar belakang yang mewajarkan pindaan tersebut dilakukan .

a] Malaysia adalah sebuah negera yang telah mengisytiharkan Islam sebagai agama Rasminya dan ia dimaktubkan didalam perlembagaan negara biarpun menyedari Malaysia adalah sebuah negara masyarakat majmuk dan ianya diperakui.

b] Masyarakat non muslim sendiri dewasa ini telah memperjuangkan hak mereka untuk menggunakan kalimah Allah dan ini menjadi satu hikmah yang terbuka untuk kita membawa mereka lebih memahami dan menghayati pengertian kalimah Allah swt tanpa syirik dan menyalahgunakan penggunaan kalimah Allah swt .

3. Suatu amalan yang telah diterima dan diakui oleh semua bangsa dan agama sebagai rakyat negara ini menyanyikan lagu negeri masing - masing dengan menggunakan kalimah Allah . Sehingga kini penggunaan kalimah Allah dalam lagu - lagu negeri ini tidak pernah dibantah dan dipersoal . [ lihat lirik lagu - lagu negeri ]

a] ...... Segala kebesaran Allah cucurkan * Darjah kemuliaan Allah tambahkan ... [ Kelantan ]

b] ..... Allah selamatkan Sultan Mahkota * Berpanjangan usia di atas Takhta .... [ Kedah ]

c] ..... Ditaati rakyat kiri dan kanan * Iman yang saleh Allah kurniakan .... [ Perak ]

d ] ..... Ya Allah yang Maha Kuasa * Lanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia .... [ Pahang ]

e ] ..... Allah peliharakan Raja kami * Memerintah Terengganu Negeri .... [ Terengganu ]

f ] ..... Allah lanjutkan usia Tuanku * Rakyat mohon restu ..... [ Selangor ]

g ] ..... Allah peliharakan Sultan * 'Nugrahkan Dia segala kehormatan .... [ Johor ]

4. Kerajaan Malaysia melalui pemimpin utamanya berkali - kali mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negera Islam . Justeru itu , wajarlah kerajaan tidak membantah cadangan dan gesaan Tuan Guru Presiden PAS agar Rukun Negara yang pertama itu dipinda menjadi kepercayaan kepada Allah swt .

5. Kepercayaan kepada Tuhan bukan sahaja tidak tepat malah ianya boleh membawa kepada syirik dan membatalkan aqidah ummah . Ia mungkin tidak mengapa kepada golongan non muslim tetapi jelas membawa ancaman kepada iman dan aqidah ummat Islam .

6. Kenapa tidak digunakan kalimah Allah swt di dalam rukun negara bagi menggantikan kalimah Tuhan sementara kalimah Allah swt itu telah diperakui oleh semua termasuk non muslim . Lihat Firman Allah swt dalam surah Lukman ayat 25 :

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad) Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka itu. Bahkan kebanyaakn dari mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)”
7. Kalimah Tuhan tidak membawa kepada erti dan nilai ketuhanan yang sebenar kerana tuhan juga boleh dinisbahkan kepada pelbagai gambaran dan rupa wajah malah sebahagiannya direka cipta oleh manusia . Mana mungkin tuhan direka dan dicipta sebagaimana tuhan sewajarnya adalah yang paling berkuasa , sempurna dan esa .

8. Meminda kalimah tuhan kepada kalimah Allah swt di dalam rukun negara mampu membawa seluruh rakyat memahami dan menghayati nilai dan makna ketuhanan yang sebenar . Selain ianya [ menggunakan kalimah ALlah ] benar dan tepat dengan aqidah ummat Islam ianya juga tidak bersalahan dengan naluri dan hati kecil golongan non muslim dalam mempercayai erti ketuhanan .

9. Nokhtah yang paling penting disini ialah , Kalimah Allah swt tidak sahaja memaparkan nilai ketuhanan yang sebenar sebagai zat tuhan yang maha Esa tetapi penggunaan kalimah Allah swt yang telah diperakui dan diterima oleh semua pihak ini akan menjadi satu platform untuk menyeru atau mengajak seluruh manusia mengabdikan diri kepada Allah swt Tuhan Yang maha Mencipta tanpa lagi mensyirikkanNya .

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah Yang bersamaan antara Kami Dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian Yang lain untuk dijadikan orang-orang Yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka Katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang yang menyerah diri [ Islam ] ".
Surah Aali I'mran : 64

10. Rukun negara adalah berfungsi sebagai asas utama kepada rule rakyat dalam membentuk serta mengungguli sistem nilai dan jati diri sebagai warga negara yang baik . Lantaran itu , amatlah wajar rukun negara ini dipinda dengan menukar kalimah tuhan kepada kalimah Allah swt tuhan yang maha mencipta dan memiliki sekelian alam ini serta Dia lah tuhan yang menurunkan wahyu sebagai pekeliling rasmi buat pedoman manusia mengatur kehidupan di atas muka bumi ini dengan sejahtera dan beroleh rahmat serta berkat dariNya .

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.


-----------------------


A SAMAD SAID: Menyukat degup jantung negara di Memali
A Samad Said


DUA minggu lalu saya kembara ke Kedah. Saya ke Memali sebenarnya. Saya menyukat degup jantung negara. Rancangan awalnya saya hanya ingin ke sebuah madrasah di Padang Lumat — berceramah syahdu sambil menderma buku. Tapi, terlanjur dekat, saya terindu ke Memali.

Selama ini saya hanya mendengar sejarah pilunya. Sekelompok pendakwah di situ diwarnakan sebagai penyebar ajaran sesat yang jati.

Dakwaan pedih itulah yang mendorong saya untuk mencari setitis kebenaran seputarnya. Kisah peristiwa Memali berdarah itu sebenarnya tertinggal di simpang jalan. Kita dipamerkan dua buah lukisan abstrak yang sangat berantakan. Dari sisi pemerintah, kelompok pendakwah ini 'sah' penyebar ajaran sesat. Tapi, dari sisi keluarga Allahyarham Ibrahim Libya, kelompok itu diluhuri perjuangan syahid.

Saya cuma ingin menaati pesanan Ka'ab bin Malik. Kebenaran sangat utama. Sahabat Rasulullah s.a.w itu bercakap benar. Ka'ab mengakui kesilapannya terlupa menyertai rombongan pejuangan syahid ke Tabuk. Allah Yang Maha Kuasa memaafkan dosa hambanya itu kerana ketulusan pengakuan hamba tersebut. Saya coba mengunyah iktibar di sebaliknya.

Dalam negara kita kini memang banyak kecuaian sedemikian. Lihatlah - terhidu wabak menyonglap dana; tersebar istilah berubah makna; terpercik ghaib enjin 'jet' sendiri; tertular pejuWang melelong diri.

Apabila kita mula ghairah menimbus kebenaran sebagai kepalsuan — dan serentak — menggali kepalsuan sebagai kebenaran, kita mereputkan akar peribadi bangsa. Jika berlanjut, kita bakal menjadi bangsa yang sebal.

Lihat, kita sudah jarang mengingati Visi 2020. (Adakah lagi wawasan itu?) Kita semakin jarang menyebut agenda pertingkat penduduk ke 40 juta. (Memang adakah dasar rasminya?) Kita mula melupai Islam Hadhari. (Apakah kini memang harinya terhad?)

Sebaliknya, dalam rahsia, kita mula mempertanya tentang kerugian bilionan di bawah kuasa dua orang bekas Perdana Menteri; berhujah tentang pencemaran makna 'royalti'; berdebat tentang mengapa selepas 6 Perdana Menteri Melayu berkuasa kita masih juga terpaksa menjerit Melayu terancam?

(Dipindahkan dari Harakah Daily online, 29 Mac 2010)





No comments: