Najib tidak campur tangan dalam pemilihan MCA
KUALA LUMPUR 18 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak akan campur tangan dengan memberi sokongan kepada mana-mana calon dalam pemilihan MCA pada 28 Mac ini.
Penegasan Perdana Menteri itu dengan sendirinya menafikan dakwaan khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya beliau telah memberi restu kepada bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting untuk bertanding jawatan tersebut.
Katanya, apa yang lebih penting ialah pemilihan pucuk pimpinan parti itu dibuat ahlinya tanpa pengaruh mana-mana pihak termasuk dirinya.
"Saya sudah terangkan kepada semua pihak bahawa saya tidak terlibat dalam pemilihan MCA dan saya mahu supaya sesiapapun yang dipilih untuk memimpin nanti merupakan yang dipilih oleh anggota MCA sendiri dan bukannya ditunjuk oleh saya atau sesiapa sekalipun.
"Ini satu prinsip yang penting bagi diri saya untuk menerangkan bahawa pemilihan ini bebas daripada sebarang campur tangan luar," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan bilik pameran Audi Kuala Lumpur dan melancarkan kereta Audi R8V10.
Kelmarin, bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mendedahkan terdapat SMS disebarkan mendakwa Ka Ting telah mendapat restu Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertanding jawatan Presiden.
Ka Ting yang merupakan Presiden MCA dari 2003 hingga 2008 membuat kejutan apabila mengumumkan akan bertanding merebut jawatan itu pada hari yang sama.
Menjelang hari pencalonan Isnin ini, hanya dua pemimpin yang mengesahkan untuk bertanding jawatan tersebut iaitu penyandangnya, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Ka Ting.
Dua lagi pemimpin yang disebut-sebut akan bertanding jawatan berkenaan ialah Soi Lek dan bekas Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, beliau tidak tahu menahu siapakah yang mencetuskan SMS misteri tersebut.
Katanya, beliau secara peribadi bertanya kepada Ka Ting mengenainya namun bekas Presiden MCA itu menafikan membuat dakwaan tersebut.
"Tidak semestinya ia daripada Ka Ting, ia mungkin strategi psikologi terbalik, boleh jadilah kerana dalam (kempen) pemilihan ada banyak kemungkinan.
"Saya telah tanya Ka Ting dan dia kata tidak (terlibat), jadi sedikit misterilah dari mana datangnya (SMS)," katanya.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online,19 Mac 2010)
No comments:
Post a Comment