Wednesday, March 24, 2010

BERITA


Sulaiman tidak pernah harap jawatan


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengamimkan doa semasa menziarah jenazah Allahyarham Sulaiman Daud di rumahnya di Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Allahyarham kembali ke rahmatullah pada pukul 8.10 pagi semalam di Hospital Kuala Lumpur kerana menghidap kanser hati. Turut menziarah Allahyarham, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet. – UTUSAN/Wahidah Zainal


KUALA LUMPUR 23 Mac – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Allahyarham Tan Sri Dr. Sulaiman Daud sebagai negarawan sejati yang tidak pernah mengharapkan sebarang jawatan di dalam kerajaan.

Beliau berkata, sifat terpuji lain yang terdapat pada Sulaiman ialah seorang yang rajin bekerja dan ini terbukti apabila Allahyarham terus bergiat dalam kerja-kerja kebajikan selepas bersara daripada kerajaan.

‘‘Saya sudah lama kenal dan dia cukup rajin bekerja serta tidak pernah menimbulkan masalah. Kalau tidak dilantik pun (jawatan kerajaan), tak ada kacau-kacau,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Lorong Lai Tet Lok 1, off Jalan Gurney di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, Sulaiman juga tidak suka menceritakan kepada orang lain mengenai penyakit dan kesusahan yang dialaminya.

Dalam pada itu, isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali berkata, beliau mengenali rapat Allahyarham sewaktu bersama-sama bergiat dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

‘‘Saya mendapati Allahyarham banyak memberi sumbangan dalam bidang kebajikan dan agama dan beliau juga aktif dalam persatuan ini,” ujarnya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pula berkata, Sulaiman banyak menabur jasa ketika berkhidmat dengan kerajaan selama lebih 30 tahun.

‘‘Antara jasa beliau ketika menjadi Menteri Pelajaran ialah memajukan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris dan semasa menjadi Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah, beliau terlibat dalam meminda Kanun Tanah Negara,’’ ujarnya.

Rais yang turut meluahkan perasaan sedih dengan kehilangan seorang sahabat karib yang sama-sama berkongsi minat dalam bidang fotografi berkata, Allahyarham ialah seorang yang mempunyai keperibadian lemah lembut.

‘‘Beliau tidak tidak pernah menunjukkan kekasaran ataupun kegusaran dalam apa jua isu yang muncul menerusi pelbagai kementerian yang telah diterajuinya,’’ katanya.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergian seorang tokoh yang banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan negara khususnya di Sarawak.

‘‘Allahyarham banyak menabur jasa dalam bidang pendidikan dan selepas bersara beliau terlibat cergas dalam pertubuhan bukan kerajaan termasuk sebagai Naib Yang Dipertua Perkim,’’ katanya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata, beliau mengenali Allahyarham selama kira-kira 30 tahun, ketika mereka bersama-sama berjuang dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

‘‘Saya sedih dengan kehilangan seorang kawan yang telah lama berjuang dalam parti.

‘‘Beliau juga seorang tokoh dari Sarawak yang disegani dan pemimpin yang senang didekati oleh rakyat,’’ ujarnya.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada pukul 8.10 pagi ini kerana penyakit kanser hati.

Sulaiman yang baru sahaja menyambut ulang kelahiran ke-77 pada 4 Mac lalu meninggalkan empat anak iaitu Dr. Mahathir, Norshida, Zelda Raha dan Azman Azam.

Isteri Allahyarham, Puan Sri Naemah Hasbi meninggal dunia pada 26 Mac 2005 kerana penyakit barah paru-paru.


-----------------


RM171j urus banduan asing

PUTRAJAYA 23 Mac - Kerajaan terpaksa menanggung RM171 juta bagi perbelanjaan banduan warga asing sepanjang tahun lalu. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kos tersebut membabitkan 81,396 banduan warga asing meliputi 40 peratus jumlah tahanan di penjara.

“Jumlah ini tidak termasuk 408,979 tahanan warga asing di 13 depot seluruh negara bagi tempoh 2006 sehingga tahun lalu membabitkan RM341,881 bagi kos perbelanjaan makan sehari sepanjang tahun lepas sahaja.

“Program penghantaran pulang dan pengusiran warga asing yang diuruskan oleh Jabatan Imigresen pula melibatkan kos hampir RM35 juta,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama ahli makmal pengurusan warga asing di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Jelaing Mersat; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.

Hishammuddin berkata, makmal pengurusan warga asing yang bermula hari ini dan akan berlangsung sebulan bakal membincangkan secara terperinci kaedah terbaik serta mendapatkan maklumat tepat dan terkini jumlah sebenar warga asing yang diperlukan dalam industri.

“Bagaimanapun saya harap 33 ahli makmal ini melibatkan semua kementerian dan agensi termasuk wakil sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat mengeluarkan satu mekanisme terbaik pengurusan warga asing yang lebih cepat daripada tempoh sebulan.

“Keputusan hasil perbincangan makmal ini akan dibawa kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin menafikan desas-desus wujud pergeseran antara kementeriannya dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan pendedahan Musa bahawa ada campur tangan pihak ketiga dalam PDRM.

“Apa yang dituduh merupakan satu lagi aktiviti tidak bertanggungjawab yang cuba melaga-lagakan pemimpin negara.

“Saya sangat sedih mereka yang menggembar-gemburkan perkara ini kerana ia akan memberi kesan negatif dan persepsi buruk orang ramai terhadap imej pasukan polis,” katanya.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, 24 Mac 2010)





No comments: