PADI KUNCA
AMALAN RIBA DIALAM MASYARAKAT
Pada zaman Tanah Melayu di bawah cengkaman penjajah Inggeris, semua petani, penoreh getah, nelayan dan buruh hidup dalam keadaan serba kekurangan – miskin – ibrat ‘berselimut kain panjang lima, tutup kaki kepala terdedah, tutup kepala kaki telanjang’ atau laksana ayam kampung, ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Sebilangan petani di Kedah, Perlis, Seberang Perai termasuk Kepala Batas terpaksa berhutang dari orang-orang yang berada yang sanggup memberi hutang kepada mereka.
Mereka terpaksa berhutang kerana hendak membeli barang-barang keperluan atau makanan, membiayai anak-anak bersekolah dan sebagainya. Pada masa itu tiada institusi kewangan yang sedia memberi pinjaman kepada mereka. Majlis Amanah Rakyat (MARA). Majlis itu berasal dari sebuah institusi dana kewangan bernama Rural Industrial Development Aunthority (RIDA) yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn Jaafar. MARA telah menerima hadiah wang dari Kerajaan British sebanyak ₤10,000,000. untuk tabung kebajikannya.
GOLONGAN KIRI
Dato Onn Jaafar telah memberitahu saya pada masa dia mengendalikan surat khabarnya, ‘Keritik’, pada tahun 1960-an, bahawa wang itu adalah hadiah dari Kerajaan British supaya dia membantu orang Melayu di luar bandar menjalankan perniagaan dan perusahaan kecil-kecilan. Melengkapkan rumah mereka dengan paip air yang dipasang dan disalurkan dari sungai dalam kawasan tempat tinggal mereka. Mengadakan kuasa elektrik dari bahan-bahan tempatan dan sebagainya. Selain itu untuk membantu anak-anak warga kampung melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah dan tinggi.
Menurut pemimpin Melayu itu, bahawa wang itu sebagai hadiah kepadanya kerana dia telah dapat menjaga nama baik Kerajaan British di mata dunia, bahawa orang Melayu tidak menentang British, tetapi yang menentang mereka ialah pengganas komunis dan mereka dari golongan kiri.
Selain dari menjaga nama baik Kerajaan Inggeris, bantuan itu kerana menghargai jasa sebagai Menteri Dalam Negeri dalam Kerajaan British di Tanah Melayu, pada tahun 1948–1949. Pada masa itu beratus-ratus orang penentang Kerajaan British di Tanah Melayu telah ditangkap dan ditahan dalam kemah-khemah tahanan di Ipoh, Batu Gajah, Pulau Jerjak, Tanjung Beruas dan beberapa khemah tahanan lagi.
Mereka itu terdiri dari para anggota dan ahli Parti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan pemuda Insaf (API) dan pertubuahan-pertubuhana lain.
‘Oleh kerana benar-benar menyedari akan kelemahan orang Melayu dalam bidang ekonomi, Dato’ Onn telah pergi ke London meminta bantuan daripada British untuk menolong meninggikan taraf hidup atau ekonomi bangsanya. Hasilnya dari rudingan antara Dato’ Onn dan Kerajaan British dia telah penubuhan RIDA dalam tahun 1950. Dato’ Onn telah dilantik sebagai Pengerusi RIDA yang pertama dengan mendapat bantuan sebanyak £10,000,000 dari Kerajaan British.’[1] (Lihat lampiran 1)
Warga kampung dan permatang yang terdiri dari petani Melayu terpaksa berhutang daripada Ceti (orang India beragama Hindu berniaga membungakan wang) dan mereka yang di gelar ‘tengkolak’ atau ‘lintah darat’ yang sentiasa mencari kelabaan di kalangan orang-orang yang susah atau menderita. Mereka itu seperti memasang perangkap atau jerat pada lorong atau denai dalam berlukar ataupun seperti peribahasa Melayu, ‘menahan lokah di pergentingan’.
PEMILIK TANAH
Untuk berhutang wang dari orang-orang yang tersebut di atas, petani-petani terpaksa berhutang dengan menggadaikan tanah mereka, seperti kampung halaman, sawah, kebun atau dusun milik mereka kepada sang piutang.
Pada zaman itu telah terkenal beberapa ‘simpulan kata’ mengenai orang-orang yang memberi hutang dengan mengenakan bunga atau faedah atau pun dengan cara lain. Di Kedah dan Seberang Perai terkenal dengan nama ‘padi kunca’. Iaitu pemilik tanah yang meminjam wang terpaksa membuat surat perjanjian dengan sang piutang. Dalam surat itu dicatat, bahawa wang yang mereka berhutang itu dicagar dengan tanah sawah padi dan lain (satu relung atau beberapa relung). Nama pemilik tanah dalam geran tanah itu ditukarkan kepada nama sang piutang. Hutang itu akan dibayar dengan padi beberapa kunca pada musim menuai nanti.
Mereka mesti melangsaikan hutang itu dengan faedah (disebut sewa) kira-kira sekali atau dua kali ganda dari jumlah wang yang mereka telah berhutang. Jika pada musim menuai, hutang itu tidak dapat dilangsaikan, maka tanah yang dicagarkan itu menjadi milik sang piutang tersebut.
Ada pula perjanjian yang dibuat antara yang berhutang dengan sang piutang, iaitu selagi hutang itu tidak dapat dilangsaikan, maka sampai beberapa musim padi nanti berkunca-kunca padi mesti dibayar kepada sang piutang.
WANG POKOK
Pada tahun-tahun sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, banyak bidang sawah milik petani-petani miskin terlepas ke tangan sang piutang yang terdiri dari lebai, guru agama, dan orang berada di tempat mereka atau di tempat lain.
Misalnya petani berhutang wang RM1,000.00 dengan mencagar tanah seluas tiga relung yang nilainya lebih RM10,000.00, tetapi kalau hutang tersebut tidak dapat dilangsaikan, maka tanah itu terlepas ke tangan sang piutang. Petani itu tidak mendapat sebarang bayaran dari harga tanahnya yang melebihi wang yang petani itu telah berhutang.
Berbeza dengan berhutang dan menggadai tanah kepada Ceti. Biasanya, jika tanah bernilai RM10,000.00 yang dicagarkan kerana berhutang RM1,000.00, jika tidak dapat dilangsaikan hutang itu, Ceti akan melelongkan tanah tersebut. Setelah ditolak wang pokok (yang dihutangkan kepada pemilik tanah) dan bunga, maka baki wang harga tanah itu, dipulangkan kepada pemilik tanah tersebut.
Di bahagian utara negeri Perak dan sampai ke Perak tengah dan Hilir Perak, berhutang dengan mencagarkan tanah terkenal dengan ‘jual janji’. Iaitu orang yang berhutang dan piutang menandatangani dua surat perjanjian:
1 Surat perjanjian berhutang, iaitu berapa banyak wangnya yang diberi hutang dan tempo akan dilangsaikan hutangnya itu dengan mencagarkan tanah miliknya (atau milik orang lain). Nama dalam geran tanah itu ditukar kepada nama sang piutang dengan menggunakan borang khas tukar nama dari Pejabat Tanah.
Sekiranya wang yang dipinjamnya itu tidak dapat dilangsaikan pada tempo yang ditetapkan, maka tanah itu menjadi milik sang piutang.
2 Surat perjanjian menyewa tanah atau rumah yang dicagarkan itu. Kerana hendak mengelakkan daripada ‘perbuatan riba’, maka sang piutang mengambil faedah dari wang yang dipinjamkan itu pada tiap-tiap bulan hingga tamat tempo dengan menerima sewa dari orang yang berhutang. Misalnya wang yang dipinjam RM1,000.00, maka sewa tanah yang dicagar atau digadaikan itu kira-kira RM50.00 hingga RM100.00 sebulan. Apabila cukup tempoh seperti dalam perjanjian itu, jika wang yang dipinjam itu tidak dapat dilangsaikan, maka tanah itu menjadi milik sang piutang, walaupun sewa tanah itu dibayar sepenuhnya pada tiap-tiap bulan.
Kaedah berhutang cara ‘padi kunca’ dan ‘jual janji’ masih diamalkan di beberapa kawasan negeri Perak hingga pada masa ini. Tetapi amat sedikit jumlahnya.
MANIK KURAN
Pada zaman belum merdeka, ekonomi rakyat tidak menentu. Bilangan orang miskin lebih ramai dari orang kaya. Nafsu manusia tidak kira miskin atau kaya; mahu makan, pakai, berhias, berhibur dan sebagainya. Semuanya memerlukan wang. Jika tidak ada wang, maka terpaksalah berhutang.
Di antara kaedah berhutang kerana membeli pakaian, barang kemas dan sebagainya, ialah, ‘buka kain kak’, ‘kelentung’ dan ‘manik kuran’.
Perkataan “Buka kain kak’ yang digunakan oleh orang-orang dari negeri Kelantan yang menjaja kain songkek, batik, barang kemas dan barangan dari perak di negeri-negeri sebelah pantai barat. Mereka menjaja dari rumah ke rumah pada waktu siang hari. Biasanya para suami tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Sebaik-baik sahaja penjaja-penjaja yang menggalas pundut kain dan barangan itu tiba di halaman sesebuah rumah, mereka memberi salam terlebih dahulu. Bila orang perempuan dari rumah itu menjenguk melalui jendela atau keluar diambang pintu rumah mereka berkata “buka kain kak”.
CINCIN TEMBAGA
Perkataan ‘buka kain’ itu ialah sebagai menawarkan kepada perempuan itu supaya membuka kain pundut pakaian dan barangan yang mereka galas supaya melihat pakaian dan barangan tersebut. Pada peringkat awal pakaian, barang kemas atau barang dari perak itu dijual secara tunai. Tetapi setelah berulang alik ke rumah pelanggan itu dan telah menjadi rakan biasa, maka pakaian dan barangan itu dijual dengan cara berhutang, iaitu pembeli membayar pada tiap-tiap bulan secara ansuran.
Misalnya jika pakaian atau barangan yang mereka jaja itu dibayar dengan tunai, berharga RM500.00, tetapi kalau berhutang selama tiga bulan, dikena tambahan RM250.00. Dalam jual beli cara berhutang ini ada unsur riba.
‘Kelentong’ perkataan ini digunakan pada zaman orang-orang Cina Islam yang datang menjaja barangan seperti cincin tembaga, ubatan, kayu sugi, manik dan sebagainya di negeri-negeri Melayu. Mereka menggunakan gendang kecil, iaitu kayu kosong sebesar cawan di kiri kanannya dieratkan dengan kulit lembu atau kulit kambing seperti gendang. Gendang itu ada tangkai kayu dan ada tali berhujungkan kayu atau besi untuk memukul gendang itu. Apabila tangkai gendang kecil itu digoyang-goyangkan, maka gendang kecil tersebut berbunyi ‘kelentong, kelentong, kelentong’.
Pada peringkat awal, orang Cina kelentong menjual barangan mereka dengan cara tunai, tetapi setelah biasa dan telah menjadi rakan, maka mereka menjual dengan cara berhutang, iaitu dengan cara bayar ansuran pada tiap-tiap bulan.
Cara membayarnya sama dengan kaedah berhutang ‘buka kain kak’ oleh orang Kelantan. ‘Mani kuran’, ialah perkataan dari dua benda yang disatukan, iaitu manik dan Quran. Hasil penyatuan itu, maka jadilah ‘mani kuran’. Perkataan ini dari orang-orang Arab, Iran, Kabul (Afganustan) dan Pakistan yang menjaja barangan seperti manik, gelang tangan, celak, bedak, Quran, mukaddam, kitab-kitab riwayat para rasul, kitab doa dan sebagainya. Kerana mereka tidak pandai menyebut cara betul dan tambahan pula lubang hidung mereka luas, bila mereka menyebut dua kata benda itu, suara mereka menjadi sengau.
Mereka juga menjalankan perniagaan seperti penjaja dari Kelantan ‘buka kain kak’ dan orang Cina Islam ‘kelentong’, iaitu berhutang dan dikenakan ganda harga yang kaedahnya sama dengan bunga yang berunsur riba.
Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Ismail Hamzah, Mufti Kerajaan Negeri Perak pada zaman penjajah dan Haji Mat Saman Kati, guru agama kepada Sultan Perak, sependapat, bahawa berhutang dan memberi hutang dengan kaedah padi kunca, jual janji, bukan kain kak, kelentong dan manik kuran, hukumnya adalah haram, kerana perniagaan itu berunsur riba. – mokhtar petah
No comments:
Post a Comment