Nik Aziz cadang wayang kulit tonjol pahlawan Melayu, tokoh agama
Katanya, persembahan wayang kulit cara lama dengan menampilkan watak seperti Hanuman Kera Putih dan Raja Serama adalah cerita dongeng yang tidak membawa faedah dan tidak masuk akal. "Sebab itu, kerajaan (negeri) mengharamkan pertunjukan wayang kulit mengikut kaedah lama-lama dan mencadangkan supaya diadakan dalam bentuk baru yang mengisahkan pahlawan Melayu atau tokoh-tokoh agama yang banyak terdapat di negara ini seperti Tok Kenali, Tok Janggut dan Pahlawan Mat Kilau," katanya di sini, hari ini.
Nik Aziz berkata, penampilan watak-watak seperti itu boleh diterima dan dapat menambahkan ilmu sejarah kepada penonton berbanding penampilan watak cerita-cerita dongeng sebelum ini.
Katanya, kerajaan boleh melonggarkan syarat-syarat pertunjukan hiburan dan kesenian tradisional jika diubahsuai mengikut enakmen hiburan dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Bagaimanapun, katanya, persembahan Makyong dan Menora tetap diharamkan kerana watak lakonan dalam persembahan itu membabitkan percampuran lelaki dengan wanita dan kisahnya tidak boleh diubahsuai.
Mengulas wang ehsan, Nik Aziz berkata, kerajaan Kelantan tidak menyekat usaha kerajaan pusat untuk memberi wang ihsan kepada rakyat negeri itu.
Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap menganggap wang yang diberikan itu, dalam bentuk apa sekalipun, sememangnya hak rakyat Kelantan, katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, bahawa 10,000 pelajar miskin di Kelantan akan menerima bantuan kewangan melalui wang ehsan yang akan diberikan kepada Kelantan berjumlah RM20 juta.(Berit aini diambil dari Berita Harian - Bernama online, 22 Mac2010)
No comments:
Post a Comment