Friday, March 26, 2010

KHUTBAH JUMAAT


KEAMANAN NIKMAT YANG PERLU DIPELIHARA

(26 MAC 2010 / 10 RABIULAKHIR 1431H)

Sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SwT dengan sebenar-benar takwa, iaitu dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.

Bersempena 203 tahun penubuhan pasukan Polis Diraja Malaysia, maka mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk ‘Keamanan Nikmat Yang Perlu Dipelihara’.

Perlu kita insafi bahawa keamanan adalah nikmat kurniaan Allah SWT yang amat berharga. Dengan keamanan agama dapat dipelihara, kemajuan dapat dijana dan keselamatan dapat dirasa. Justeru, pentingnya keamanan dalam kehidupan maka Nabi Ibrahim Khalilullah semasa meneroka pembukaan Mekah sebagai pusat ibadah dan tanah suci telah mendoakan agar Mekah di kurniakan Allah dengan keamanan dan kemakmuran. Firman Allah SwT :

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdo'a dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka.

(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.

- al-Baqarah:126.

Ayat tersebut menegaskan bahawa keamanan adalah asas utama dalam menegakkan agama Allah SwT dan mengimarahkan sesebuah negara. Perlu kita insafi betapa rugi dan malangnya negara-negara yang dilanda peperangan, persengketaan dan perpecahan. Negara-negara berkenaan bukan sahaja ketinggalan dan mundur dalam aspek kemajuan dan pembangunan material serta spiritual, malah keselamatan hidup seharian pun sentiasa terancam.

Perlu kita sedari bahawa akhir-akhir ini pelbagai jenayah berlaku dalam negara kita. Keamanan yang kita nikmati sekian lama semakin hari semakin terancam. Pelbagai kes yang membabitkan kejadian jenayah, dadah, permasalahan sosial remaja dan seumpamanya terus meningkat. Kini negara kita berhadapan pula dengan beberapa isu yang menyentuh persoalan agama yang menjejaskan keharmonian hidup.

Hal ini berlaku berpunca daripada sikap tidak besyukur dengan nikmat keamanan yang dikurniakan oleh Allah SwT. Tanda tidak bersyukur ialah meninggalkan perintah Allah dalam kehidupan seharian. Tuntutan-tuntutan syarak dalam kehidupan berkeluarga, berjiran, bermasyarakat dan bernegara diabaikan. Manakala tegahan syarak pula tidak segan silu dilanggari. Membelakangi panduan beragama akan menimbulkan pelbagai ancaman kepada keselamatan Negara. Hal ini diperingatkan oleh Allah dalam Quran: al-A’raaf ayat 97-98 :

Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?. Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?

- al-A’raaf ayat 97-98 :

Ayat-ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah SWT akan mendatangkan kesusahan dan bencana kepada sesebuah negara yang mana warganegaranya mengingkari dan mengabaikan perintah beragama. Runtuhnya tamadun umat-umat terdahulu seperti kaum thamud, a’ad dan firaun adalah kerana kekufuran dan kefasikan.

Anugerah keamanan dan keharmonian negara perlulah disyukuri dan dipertahankan dengan bersungguh-sungguh oleh seluruh warganegara. Dalam hal ini, Islam menuntut bahawa cintakan keamanan negara sebagai tanda orang yang beriman dan bersyukur. Segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah ibadah dan jihad.

Antara perkara yang paling asas dalam usaha mengekalkan keamanan adalah dengan bersyukur kepada Allah SwT. Bersyukur atas segala nikmat kurniaan Allah dengan mematuhi dan melaksanakan semua perintah Allah SwT serta meninggalkan segala larangan-Nya. Ini selaras dengan firman Allah:

Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk..

- al-Anaam: 82.

Sebagai sebuah negara majmuk, sikap toleransi dan menghormati hak-hak beragama dan kebudayaan semua kaum perlulah dihayati. Justeru, semua pihak di negara kita tanpa mengenal anutan agama, rumpun bangsa dan kedudukan perlulah patuh dan mengiktiraf hak masing-masing sebagai mana yang termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang negara.

Elakkanlah daripada budaya hidup enau dalam belukar yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan nasib orang lain. Selain daripada itu, keamanan juga dapat dipelihara melalui kesedaran dikalangan masyarakat tentang tanggungjawab bersama memelihara keamanan melalui budaya nahyu anil mungkar atau cegah kemungkaran. Perlu difahami bahawa ruang lingkup gugatan keamanan amat luas dan musuh berada dimana-mana. Justeru, tidak mungkin pasukan keselamatan mampu menangani setiap ancaman tersebut

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru semua pihak agar benar-benar menghargai dan mensyukuri nikmat keamanan iaitu dengan meletakkan kepentingan aspek keselamatan melebihi daripada kepentingan peribadi atau kumpulan.

Mimbar juga mengharapkan agar pasukan Polis Diraja Malaysia selaku agensi yang menjaga keamanan terus ditingkatkan aspek kemahiran dan kerohanian. Aspek kemahiran amat penting ditingkatkan selari dengan senario ancaman keselamatan yang semakin kronik. manakala kuatnya rohani akan menjadikan pasukan keselamatan lebih berintegriti dan berakauntabiliti dalam berkhidmat secara professional.

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik. - Ali-Imran:110

(Khutbah ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM, untuk masjid Putra dan Masjid Besi, Putrajaya, pada hari ini)

No comments: