Friday, March 26, 2010

BERITA

‘Setiausaha Sulit’ Sultan Kelantan ditahan

KOTA BHARU 25 Mac - 'Setiausaha Sulit' Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mengumumkan mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja Kelantan pagi ini, dipercayai ditahan polis malam ini.

Difahamkan, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri itu ditahan di rumahnya di Taman Seri Aman kira-kira pukul 8.40 malam untuk siasatan.

Beliau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri. Bagaimanapun setakat tengah malam ini, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak polis berhubung penahanan itu.

Pelantikan Wan Hashim yang didakwa diputuskan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dan kenyataannya sejak seminggu lalu dilihat merumitkan lagi krisis Istana Kelantan apabila beliau mula menyampaikan 'titah' baginda.

Pada 18 Mac lalu, beliau mula mencetuskan kontroversi yang mendapat perhatian umum apabila mengadakan sidang media dengan mendakwa Sultan Kelantan telah menitahkan semua sambutan Hari Keputeraan baginda yang ke-60 pada 30 Mac ini dibatalkan.

Walaupun pelantikannya tidak diiktiraf dan 'titah' itu telah dinafikan kerajaan negeri, Wan Hashim mempertahankan pelantikan dan kenyataannya tersebut.

Pagi ini, beliau membuat kenyataan lebih mengejutkan dengan mendakwa Tengku Muhammad Faris Petra telah dipecat dan digantikan oleh Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN), Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah berkuat kuasa serta-merta.

Utusan Malaysia difahamkan, penahanannya dibuat bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu mengenai penipuan dengan jalan penyamaran.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, 26 Mac 2010)

No comments: