KUALA LUMPUR, 23 Mac: Majlis Syura Ulamak PAS bermesyuarat buat pertama kalinya malam ini untuk sessi baru bagi melantik barisan kepimpinan tertinggi badan yang paling berkuasa dalam PAS itu.
Mesyuarat malam ini yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pemimpin paling kanan di kalangan anggota yang ada. Mereka akan menentukan siapakah pengerusi Majlis Syura Ulama iaitu Mursyidul Am dan timbalannya serta empat lagi anggota majlis itu.
Mursyidul Am PAS dan timbalannya kini disandang masing-masing oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Dr Haron Din.
Mesyuarat malam ini juga buat pertama kalinya akan mengikut format baru Majlis Syura berdasar pindaan terbaru kepada Perlembagaan PAS.
Melalui pindaan ini, anggota majlis ini adalah empat dipilih oleh Jawatankuasa PAS Pusat, empat dari Dewan Ulamak PAS Pusat dan dua dari setiap dewan iaitu Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Mereka pula akan memilih empat lagi anggota tambahan.
Sebelum ini, Majlis Syura hanya terdiri dari 12 anggota iaitu empat dilantik oleh Jawatankuasa PAS Pusat dan empat oleh Dewan Ulamak PAS. Kelapan-lapan mereka pula akan melantik empat lagi anggota serta Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am.
Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat sebelum ini telah memilih Abdul Hadi bersama dengan timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta AJK Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebagai wakil mereka ke Majlis Syura.
Dewan Ulamak pula telah memilih ketuanya Datuk Harun Taib, timbalan Datuk Ahmad Yaakub, naib Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan AJKnya Ustaz Nik Zawawi Salleh sebagai anggota Majlis Syura.
Wakil Dewan Pemuda PAS pula adalah ketuanya, Nasharudin Hassan dan AJKnya Ustaz Zaharudin Mohamad.
Namun begitu, Dewan Muslimat tidak membuat keputusan di kalangan mereka tetapi menyenaraikan lima nama untuk dipilih dua di kalangan mereka oleh mesyuarat Majlis Syura yang pertama malam ini.
--------------
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberi ruang membuat penjelasan berhubung dakwaan penglibatan APCO Worldwide dalam mempromosikan 1Malaysia di dewan rakyat pada hari Selasa, 30 Mac depan.
Perkara itu diumumkan ahli parlimen Subang Sivarasa Rasiah selepas Anwar bersama beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee sebentar tadi.
Pertemuan itu jelas Siva, bagi membolehkan Anwar mendapat penjelasan terus dari timbalan speaker itu berhubung apa yang berlaku pada persidangan dewan rakyat semalam.
"Datuk Seri Anwar akan memberi penjelasan pada hari Selasa, jam 11.30 pagi.
"Beliau akan mengulas sekaligus menjawab apa yang dibangkitkan (Ahli Parlimen) Kota Belud dan Padang Rengas," katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh semalam diberi tempoh seminggu untuk menjelaskan kenyataannya di dalam dewan minggu lalu yang mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel, Apco yang didakwa terlibat dalam mempromosikan kempen 1Malaysia.
Tindakan tersebut ekoran Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN - Kota Belud) yang membangkitkan perkara tersebut di bawah perkara 37 (1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat yang mencetuskan suasana gamat di parlimen semalam.
Menurutnya, ahli parlimen Permatang Pauh itu dengan jelas menggunakan kenyataan yang mengelirukan dewan semasa membuat kenyataan tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz (BN- Padang Rengas) kemudiannya memberitahu timbalan speaker, Datuk Ronald Kiandee bahawa kerajaan memberi Anwar tempoh seminggu untuk membuktikan dakwaannya itu.
Anwar sebelum ini juga mendakwa perdana menteri Israel, Ehud Barak telah mengunakan khidmat nasihat syarikat Apco pada 1999.
Sementara itu, beliau pada sidang dewan rakyat pagi tadi berkata beliau akan membuat penjelasan berhubung dakwaannya itu dan akan mendedahkan beberapa lagi fakta berkaitan.
"Macam Apco, saya akan buat penjelasan nanti dan jangan terkejut dengan maklumat yang saya akan sampaikan," kata Anwar sewaktu mencelah menjawab tuduhan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman. (Berita ini diambil dari Harakah Daily online, 24 Mav 2010) |
|
No comments:
Post a Comment