Middle Malaysia tidak ikhlas bantu rakyat - PM
|
|
KUALA LUMPUR 16 Mac - Gagasan 1Malaysia adalah konsep yang berpaksikan Perlembagaan berbeza daripada Middle Malaysia yang diperkenalkan oleh DAP iaitu penjenamaan semula Malaysian Malaysia yang ditolak oleh rakyat.
Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis berkata, gagasan DAP itu tidak ikhlas untuk membantu rakyat tetapi sebaliknya ia muncul secara tiba-tiba setelah 1Malaysia semakin popular dan diterima rakyat.
"Middle Malaysia adalah penjenamaan semula Malaysian Malaysia tetapi apa yang pasti kedua-duanya tidak pernah berpaksi kepada Perlembagaan dan sejarah negara.
"Ia hanya slogan dan retorik yang tiada pelaksanaan, tetapi 1Malaysia datang bersekali dengan tindakan iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya menjawab soalan tambahan Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Pada ketika ini, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) cuba membuat provokasi terhadap Perdana Menteri dengan mendakwa 1Malaysia telah ditiru daripada Middle Malaysia dan menyifatkan Najib sebagai penciplak paling besar.
Kata Karpal, Najib amat perlu membersihkan dirinya terlebih dahulu sebelum memperkenalkan gagasan 1Malaysia dengan mengaitkan Perdana Menteri dengan kes mahkamah termasuk kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee menegur Pengerusi DAP itu supaya memberikan soalan yang berkaitan tetapi ia tidak diendahkan oleh Karpal yang berterusan mengaitkan Najib dengan kes-kes mahkamah itu.
Pada ketika ini, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangun mencelah dan bertanya kepada Karpal dengan suaranya yang nyaring: "Are you OK YB," yang disambut oleh gelak ketawa oleh penyokong kerajaan yang lain.
Karpal kemudiannya menanyakan soalan tambahannya dengan mempersoalkan tindakan Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar yang bersifat rasis, berlawanan dengan semangat 1Malaysia.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa mana-mana individu di pejabat beliau yang bertentangan dengan dasar kerajaan khususnya 1Malaysia akan diambil tindakan dan dalam kes Nasir, beliau telah dikenakan tindakan sewajarnya.
Dalam pada itu, mungkin setelah dilihat usaha provokasi Karpal kurang berjaya, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) bangun mempertikaikan tindakan kerajaan menolak soalannya yang didakwa berkaitan dengan semangat 1Malaysia.
Kit Siang dalam soalan yang didakwa ditolak itu, meminta Kementerian Dalam Negeri supaya mengambil tindakan terhadap akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian yang dituduh bersifat rasis kerana memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai anti-Melayu dan Islam.
Tindakan Kit Siang itu ditegur oleh Kiandee yang menyatakan hanya dua soalan tambahan dibenarkan dan Penasihat DAP yang tidak berpuas hati masih enggan mengalah dan berterusan membangkitkan perkara sama.
Pada ketika ini, terdengar laungan dari kalangan penyokong kerajaan yang menyifatkan soalan itu sebagai soalan kroni mengambil kira Guan Eng ialah anak Kit Siang.
"Itu soalan kroni la," jerit Bung Moktar.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, 17 Mac 2010)
No comments:
Post a Comment