Arab kecewa Obama pro-Yahudi
BEIRUT: Warga Arab tidak yakin Amerika Syarikat akan bersikap tegas terhadap Israel di sebalik kemarahan terbuka yang ditunjukkan berikutan rancangan pembinaan penempatan baru Yahudi di kawasan penduduk Arab di Baitulmaqdis.
Ini terbukti dengan kata-kata Presiden Barack Obama di Moscow menafikan hubungan Amerika -Israel dilanda krisis berhubung perkara berkenaan. Selain itu, menjelang lawatannya ke Indonesia, beberapa hari lagi, ada pergerakan Islam di negara Asia Tenggara itu yang memprotes dan menggelar pemimpin Amerika itu bukan membawa pembaharuan tetapi meneruskan penjajahan.
Pengarah Pusat Kajian Asia Barat, Paul Salem, berkata keraguan itu mengurangkan harapan bahawa Obama akan mengenakan lebih tekanan kepada usaha memulihkan semula rundingan damai Israel dan Palestin.
“Wibawa Amerika semakin tercalar dan sentimen anti Amerika yang terus membara di kalangan penduduk Arab juga akan menjejaskan satu lagi matlamatnya iaitu menyatukan negara Arab bagi menentang Iran.
“Banyak negara Arab kecewa kerana tiada perubahan ketara yang dilakukan Amerika ke atas Israel dan mereka tidak akan berminat untuk membincangkan isu Iran, jika masalah Palestin tidak ditangani,” katanya.
Salem berkata, Amerika sudah berusaha lebih setahun untuk membawa perunding Israel dan Palestin kembali berunding dan mengkritik keras rancangan pembinaan 1,600 lagi penempatan di Baitulmaqdis Timur. Tetapi, tiada perubahan meyakinkan dilakukan.
Setiausaha Negara Amerika, Hillary Rodhan Clinton sebelum itu menyifatkan pengumuman Israel sebagai satu penghinaan, tetapi segera melembutkan nadanya dengan berkata hubungan erat di antara Israel dan Amerika tidak akan goyah.
“Ungkapan retorik seperti ini, meningkatkan lagi keraguan negara Arab bahawa Washington tidak akan berupaya mengenakan tekanan ke atas Israel yang amat penting untuk sebarang rundingan damai dengan Palestin,” kata Salem,
Sementara itu, seorang jurutera Palestin yang tinggal di Dubai, Badei Musa, 55, berkata beliau tidak percaya Amerika akan menentang pembinaan penempatan baru Yahudi itu.
“Kritikan Amerika satu jenaka. Pembinaan sedang dan terus dijalankan oleh Israel. Apa yang berlaku membabitkan tanah Arab, itulah yang penting,” katanya.
Laporan di Washington menyatakan, Obama kelihatan tenang ketika ditanya dalam satu temu bual dengan Fox News mengenai ‘krisis’ dalam hubungan Amerika-Israel selepas pengumuman penempatan baru di timur Baitulmaqdis memalukan Naib Presiden Joe Biden yang melawat negara Yahudi itu, minggu lalu.
“Tidak” jawab Obama. “Kami dan penduduk Israel mempunyai ikatan khas yang tidak akan terjejas. “Tetapi, kawan kadang kala tidak bersetuju, ada perselisihan mengenai cara kita menggerakkan proses damai ini,” katanya.
Obama mengingatkan bahawa pengumuman mengenai penempatan rumah baru itu adalah kerja Kementerian Dalam Negeri Israel dan Netanyahu perlu memohon maaf.
Beliau menggesa Israel dan Palestin mengambil langkah untuk memastikan bahawa kedua-dua pihak akan dapat membina semula kepercayaan.
Sementara itu, duta Israel ke Amerika Syarikat, Michael Oren menegaskan dalam satu artikel New York Times bahawa hubungan di antara Washington dan negara Yahudi itu kadang kala akan ada tidak setuju.(Berita ini diambil dari Berita Harian – AFP online, 19 Mac 2010)
No comments:
Post a Comment