Sunday, March 28, 2010

CERPEN (ulangan)


SURAYA

Pada petang Sabtu, di gerai makanan tepi jalan dalam kawasan perumahan - rumah teres dan rumah pangsa, di Sungai Besi. Udara bertiup segar. Nyaman. Suraya duduk atas bangku kayu menghadap Azmi di seberang meja lembab. Di hadapan mereka dua mangkuk sup daging lembu masih panas. Asap dari dua mangkuk sup itu berpusar-pusar naik ke udara. Ada yang singgah kepada sepasang lubang hidung mereka. Dua gelas air teh limau kasturi bergoyang-goyang atas meja tua.

Azmi sedang merenung seorang pemuda pemilik gerai itu yang sedang mencedok kuah sup bercampur daging cincang dari periuk waja raksasa atas dapur gas sedang menyala apinya. Pemuda itu berasal dari Baling, Kedah. Azmi senyum. Dia menyangka pemuda-pemuda dari Kelantan sahaja yang rajin berniaga. Tetapi pada waktu itu, di hadapannya pemuda dari Kedah menandingi para pemuda dari negerinya.

”...pemuda tu dari Baling, berniaga di sini...,”kata Azmi kepada Suraya.

”Ia, dia orang tu pandai masak sup, tiap hari dua tiga periuk besar..., habis...,”sahut Suraya.

”...berdikari, kata orang sekarang, pemuda harapan bangsa kena berdikari...,”sambut Azami.

”Ia, ...dia orang menjadi pemuda contoh...,”kata Suraya.

Suraya yang memiliki ijazah undang-undang itu, rasa bangga akan kegigihan pemuda peniaga sup tersebut. Sepasang periuk besar diperbuat dari waja berbentuk seperti timba getah cair, setinggi kanak-kanak berusia tujuh tahun berdiri tegak. Periuk gergasi. Periuk raksasa. Sepanjang hayat Azmi tidak pernah melihat periuk sebesar itu.

Suraya menyuapkan camca besi yang berisi daging dan kuah sup ke dalam mulutnya. Azmi merenung kuah dan daging sup itu terluah ke dalam mulut Suraya. Dua ulas bibirnya merah. Lidah merahnya menjelir di antara dua baris giginya yang putih bak mutiara menarik daging ke dalam mulurnya. Gadis itu sedang berkabung. Masih bersedih kerana kematian kekasih. Iman dan akhlak mulianya menyimpang hatinya dari dirasuah setan-setan jantan Sungai Besi.

MEMUJUK GADIS

Suraya membenamkan camca dalam kuah sup dalam mangkuk di hadapannya. Dua biji matanya yang banyak putih dari hitam itu merenung wajah Azmi. Azmi menarik dua biji matanya dari wajah Suraya dan luruh ke dalam kuah atas meja. Sambil menghela nafasnya, Azmi merenung wajah Suraya. Senyuman masing-masing bertaut.

”...sabarlah, Cik Suraya, ...Allah lebih sayangkan Bahrin, Cik Suraya...,”Azmi memujuk gadis yang sedang diratah duka lara itu.

”Ia, ...kerana iman saya, saya tak hilang pedoman, walaupun saya rasa sedih sangat, derita sangat...,” kata Suraya.

”Syukurlah, ...takdir Allah mengatasi tadbir kita...,”kata Azmi.

”Ia...,”sahut Suraya.

Azmi merenung ke dalam dua telaga mata Suraya yang bergenang air jernih. Kesedihan gadis itu terasa pada dirinya. Kesetiaan gadis itu kepada kekasihnya yang telah meninggal dunia sebulan lalu amat dihargai oleh Azmi. Dia menyanjung Suraya seorang gadis Melayu yang ada harga diri. Luhur budinya.

Suraya menghela nafasnya sendiri. Suaranya mengucapkan nama Allah tertelan dalam halkumnya.

”...kami berkawan semenjak di sekolah menengah lagi...,” jelas Suraya.

”...lama tu,”sambut Azmi.

”Ia, lama, ada kawan-kawan kami cinta monyet saja, tapi kami...,”suara Suraya tersangkut dalam mulutnya.

Azmi diam. Bagaikan seluruh peribadi Azmi bersyukur kepada Allah, kerana pada sepanjang masa dia belajar di sekolah rendah dan menengah, dia tidak pernah bercinta monyet dengan mana- mana murid perempuan.

”Enam bulan, ...ia, enam bulan lalu Bahrin telah datang berjumpa saya di London...,”kata Suraya.

”Ia..., dia pergi ke London?” Tanya Azmi.

” ... ia, pada masa tu saya dalam tahun akhir, ... study law...,”jawab Suraya.

SAKIT KANSER

Azmi merenung wajah Suraya. Hatinya berpeluk dengan hati gadis itu dalam kelambu sedih. Doanya kepada Tuhan; moga-moga Suraya sentiasa tegar imannya.

” Seminggu dia di sana, ... dia happy,...ia dia..., tapi dia sembunyikan penyakitnya dari saya...,”jelas Suraya.

”Ia...?” Tanya Azmi.

”Ia, dia tak beritahu saya..., saya tak sangka..., saya tak tau dia sakit...,” Suara Suraya tersangkut-sangkut dalam halkumnya.

”Dia langsung tak beritahu...?” Azmi mengulangi pertanyaannya.

Mengangguk.

”Tak, ...saya sedih...,”jawab Suraya.

”Ooo, begitu, ...dia tak mau Cik Suraya sedihlah tu...,”kata Azmi.

”...ia, mungkin dia tak mau saya sedih..., susah hati...,”kata Suraya.

Azmi diam. Air liur ditelan bersama sisa daging dalam rahangnya.

”...saya balik ke Malaysia, ....baru sebulan saya bekerja, Bahrin masuk hospital...,”jelas Suraya.

Bau sup daging lembu dari periuk gergasi menyumbat dua pasang lubang hidung mereka.

”...di hospital barulah saya tau, ...dia sakit kanser otak ..., dah serius...,” terang Suraya.

Allahu Albar, ...sedihnya,”sambut Azmi.

”...kan tak sedih, saya sayang sangat pada dia, ... bila saya dapat tahu dia sakit tu..., saya rasa fana dunia ni...,” terang Suraya lagi.

Azmi diam. Dirinya dibungkus perasaan sedih. Kasihan kepada Suraya. Wajah Suraya direnung seperti abang merenung adik kandungnya sendiri. Azmi belum pernah mengalami sedih begitu. Kerana dia tidak ada kekasih, maka dia tidak pernah diratah duka dan lara.

Jati telunjuk Suraya membelai mulut gelas di hadapannya. Pada detik-detik begitu dia merasa dirinya telah ada teman baru, ada orang yang sudi mengambil tahu akan duka yang ditanggungnya.

”Suraya anggap Azmi macam abang kandung Suraya sendiri,”suara Suraya terluah dari celah dua bibirnya.

”...ia, terima kasih, ...saya pun begitu..., saya anggap Suraya macam adik saya...,”sahut Azmi.

”Terima kasih..., abang,”kata Suraya.

”Sama-sama...,”sambut Azmi.

KUNTUM BUNGA

Suraya senyum. Dua lesung pipitnya laksana kuntum bunga kembang menghiasi wajahnya. Dukanya. Pilunya. Resahnya. Rindunya terlindung di sebalik kelopak- kelopak kuntum bunga itu. Senyumannya kepada Azmi mesra amat.

”Abang...,” suara Suraya lembut.

”...ia, suraya,”sahut Azmi

”...Suraya harap abang...,”suara Suraya tersangkut pada anak lidahnya.

”Apa Suraya?”Tanya Azmi.

”Suraya minta, ...abang tolong nasihatkan Suraya, ...beri kekuatan kepada Suraya..., ... kalau abang tak nasihatkan Suraya, entahlah, abang...,” Suraya merayu.

Insya Allah, Suraya...,” Azmi mengaku.

”...al hamdulillah..., syukur sangat Suraya,”kata Suraya lalu meletakkan dua tapak tangannya atas dadanya yang berisi pejal itu.

”...inna lillahi wa inna ilaihi raji’un...,”suara Azmi lembut membuai hati Suraya.

Suraya dan Azmi meninggalkan warung sup itu. Meninggalkan dua periuk gergasi di situ. Mereka berjalan beriringan menuju ke kereta Suraya yang terletak di seberang jalan. Telefon bimbit Suraya menjerit. Suraya menekapkan telefon itu ke telinga kanannya.

”...haaa, Tijah, di mana? Di Seri Kembangan? ...ia, Su datang,”Suraya bercakap dengan rakannya.

Azmi berdiri di sisi gadis itu sambil menatap halaman sebuah majalah bahasa Inggeris.

”...minta maaf, abang, ...boleh tak kita pergi ke Seri Kembangan, ...Suraya nak ambil kawan Suraya?” Suraya bertanya.

”Boleh...,tak ada masalah,”sahut Azmi.

”Kawan saya, Tijah, dia kerja kilang di sana, ...dia nak balik, tapi bas rosak,” kata Suraya.

Kereta yang dipandu Suraya meluncur laju atas jalan raya menuju lebuh raya. Azmi duduk di sebelah Suraya berbungkus dalam fikirannya sendiri; Suraya baru sebulan kehilangan kekasihnya, kini telah mengaku dirinya sebagai abang kandung. Harap-harap Suraya tidak terus terbenam dalam lumpur duka. Azmi berharap dan ada doa dalam hatinya kepada Allah, hendaknya, Allah tidak menjadikan dia dan gadis itu sepasang kekasih.

MUSIM KEMARAU

Dada lebuh raya petang itu sendat. Padat. Berbagai jenis kenderaan berjejal hilir mudik laksana barisan semut-semut musim kemarau.

”...entah bila lebuh raya ni tak sesak, ...jam macam ni,”sungut Suraya.

”...tengah malam..., dinihari..., mungkin,”sahut Azmi.

”Nasib baiklah kereta gear automatik...,”kata Suraya.

”Ia, ...kalau tak, membesilah betis Suraya,”sambut Azmi.

Suraya ketawa sebaik-baik mendengar perkataan Azmi itu.

Mereka ketawa.

Mereka tiba di Seri Kembangan. Suraya turun dari kereta diikuti oleh Azmi. Tijah berjalan menuju ke arah mereka. Senyumannya manis laksana bunga kembang pagi. Suraya telah memperkenalkan Tijah kepada Azmi.

”...ni abang saya, Azmi,”kata Suraya.

”Saya, Tijah..., apa khabar?” Tijah bertanya.

”Baik, al hamdulillah, Cik Tijah apa khabar?” Balas Azmi.

”Baik Al hamdulillah....”jawab Tijah.

Mereka masuk ke kereta. Bau tubuh Tijah dan bau tubuh Suraya menyumbat ke sepasang lubang hidung Azmi. Bau tubuh mereka berbeda. Azmi yakin, dua gadis itu laksana lengkuas; Suraya lengkuas untuk gulai lemak dan Tijak lengkuas ranting untuk ubatan. Ertinya Suraya Melayu Semenanjung kacukan Melayu Pulau Riu dan Tijah anak Melayu Asli di rimba Pahang.

Semenjak petang itu Azmi dan Tijah telah menjadi sepasang rakan karib.Mereka laksana ubat dan penawar kepada Suraya yang didera duka lara itu. – mokhtar petah

No comments: