MEB diumum 30 Mac - PM
|
|
PUTRAJAYA 11 Mac - Kerajaan akan mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) pada 30 Mac ini sebagaimana yang dijadualkan sebelum ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, pengumuman secara berperingkat itu melibatkan fasa pertama MEB manakala fasa seterusnya dilakukan serentak atau selepas pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) Jun ini.
"Peringkat kedua akan diadakan pada pembentangan RMK-10 dan selepas itu.
"Kita akan libatkan dengan semua pihak berkepentingan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) di sini hari ini.
Kenyataan Perdana Menteri itu sekali gus menolak desas-desus oleh segelintir pihak bahawa kerajaan akan menangguhkan pengumuman MEB.
Model ekonomi itu antara lainnya menekankan ekonomi berasaskan pendapatan tinggi bagi mencapai negara maju menjelang 2020.
Sebelum ini, Majlis Permuafakatan Melayu (MPM) mendesak kerajaan supaya tidak terburu-buru mengumumkan MEB kerana bimbang ia bakal menimbulkan polemik membabitkan hak serta kepentingan Melayu dan Bumiputera.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, MEB perlu diperhalusi sepenuhnya agar kepentingan Melayu dan bumiputera terus terbela selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kerajaan perlu memastikan setiap dasar yang ditetapkan di dalam MEB berteraskan kepada peruntukan tersebut agar tidak menimbulkan kemarahan di kalangan orang Melayu hingga menjadi isu politik.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 2010)
No comments:
Post a Comment