Tuesday, March 2, 2010

BERITA

Saya tidak akan keluar parti: Zulkifli


PETALING JAYA – Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin menegaskan beliau sama sekali tidak akan keluar dari parti tersebut walaupun mengakui ada percubaan dari pihak dalaman yang mahukan beliau dipecat.

Menurutnya, walaupun desakan itu amat kuat, namun beliau akan menentang habis-habisan pihak yang digelarnya firaun kecil kerana golongan itu telah banyak merosakkan PKR dengan agenda mereka tersendiri.

Katanya, firaun kecil tersebut juga banyak menabu:rkan fitnah dan tohmahan terhadapnya selama ini sehinggakan mereka berkata beliau akan isytihar keluar parti pagi semalam bersama-sama dengan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan: Tee Beng yang juga dari PKR.:

“Saya beri jaminan hari ini (semalam) bahawa saya tidak akan keluar parti, tetapi saya akan lawan mereka habis-habisan.

“Begitu juga andaian yang mengatakan saya menunggu untuk dipecat, andaian ini adalah salah sama sekali, kalau saya mahu, saya boleh pecat diri saya pada bila-bila masa, sekarang pun boleh,” katanya pada sidang media selepas menghadiri prosiding Lembaga Disiplin PKR yang dihadapinya.

Apabila ditanya adakah UMNO pernah cuba mendekatinya, Zulkifli dalam nada sinis berkata, parti yang memujuknya adalah DAP kerana parti tersebut amat memerlukan khidmatnya.

“Yang saya tahu, DAP amat ghairah mahu mendapatkan saya,” katanya.

Zulkifli dihadapkan ke Lembaga Disiplin PKR kerana bertindak membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam dari Pas, Khalid Abdul Samad mengenai kenyataannya berhubung isu kalimah Allah.

Terdahulu, Lembaga disiplin PKR menunda tarikh bagi mendengar tuduhan terhadap Zulkifli kerana mempertimbangkan lapan perkara yang dikemukakan.

“Lembaga Disiplin akan mendengar kes saya semula pada 4 Mac ini pada tempat yang sama di sini, saya tidak mahu mendedahkan lapan perkara tersebut,” katanya.

(Berita ini diambil dari Sinar Harian online, 2 Mac 2010)

No comments: