Tuesday, March 9, 2010

BERITA

Pakatan urus Selangor cara terbaik
l
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 9 Mac: Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat berjaya mengurus sumber kewangan negeri dengan berkesan malah menggunakan hasil itu pula untuk kesejahteraan rakyatnya.

Banyak kejayaan dicapai termasuk peningkatan jumlah pelaburan masuk sepanjang 2009 kepada RM6.76 bilion dan mengutip RM50 juta daripada hutang Talam Corporation sebanyak RM392 juta.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim malam tadi ketika menyampaikan syarahan perdana sempena perayaan dua tahun kerajaan baharu Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.

Turut berucap dalam majlis yang adiadakan di Stadium Malawati dekat sini adalah Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hasan Mohd Ali, Exco Teresa Kok, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Dun Selangor, Azmin Ali dan bekas timbalan menteri, Datuk Kalakau Untul yang menyertai PKR, baru-baru ini.

Tan Sri Khalid juga berkata, daripada hasil RM50 juta yang berjaya dikutip itu telah digunakan pula untuk membiayai program tabung mikro kredit bagi membantu golongan berpendapatan rendah di Selangor.

“Jumlah hutang yang sebesar itu dilupa atau digelapkan tapi kita dapat cungkil,” tegasnya dengan mendapat sambutan ribuan orang ramai yang memenuhi ruang di stadium tertutup itu.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa berkaitan dengan proses mengadakan tabung itu dipengerusikan oleh Datuk Dr Hasan dengan dipantau oleh Datuk Seri Anwar dan Tan Sri Khalid sendiri.

Tabung bantuan kepada mereka yang berhak itu berkonsepkan kredit secara Islam yang dikenali sebagai al-Qardhul-Hasan, jelasnya lagi.

Menteri besar seterusnya berkata, sepanjang dua tahun PR memerintah Selangor, kerajaan berjaya memperkenalkan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang kesemua tujuh pendekatannya mengembalikan hasil sumber negeri kepada rakyat.

Untuk rekod, ketujuh perkara itu meliputi pemberian 20 meter pertama air secara percuma, Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), Mesra Usia Emas, sumbangan pelajar ke universiti, Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang, Pusat Khidmat Krisis Sehenti dan Peningkatan Hasil Bahan Mineral dan Galian.


---------------------


Jangan ketepi penduduk bangunkan Kampung Baru
mail
Rusli Yasmin

PUTRAJAYA, 9 Mac: PAS Wilayah Persekutuan hari ini menghantar satu memorandum kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik menggesa pihak kementerian tidak mengenepikan penduduk dan wakil rakyat setempat dalam perbincangan projek pembangunan Kampung Warisan termasuk Kampung Baru.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Hj Mohamad Nor kepada Setiausaha Sulit Menteri, Shazri Faiza Faridam pagi tadi.

Ianya mengandungi gesaan agar penduduk Kampung Baru dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali yang dipilih mereka dilibatkan sama dalam perbincangan projek tersebut.

Sebelum ini beberapa bantahan dibuat penduduk kerana didakwa tidak melibatkan mereka dalam projek tersebut sehingga terbaru Nong Chik mengeluarkan kenyataan tidak akan membangunkan Kampung Warisan.

Mohamad Nor ketika mengulas perkara itu berkata, keputusan kerajaan untuk tidak membangunkan Kampung Warisan itu tepat, tetapi sudah terlambat.

"Apa yang dikatakan Raja Nong Chik semalam tepat tetapi agak terlambat kerana masyarakat telah pun membantah dan keputusan kerajaan sebelum ini tidak melibatkan Ahli Parlimen dan penduduk setempat.

Penduduk kampung juga jelasnya mesti dilibatkan kerana ianya berkaitan tanah dan masa depan mereka.

"Sesuai dengan slogan Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, apa sahaja konsep pembangunan yang hendak dicadangkan oleh kerajaan mestilah mendapat persetujuan penduduk disamping mereka tidak perlu berpindah ke tempat lain," katanya lagi.

Selain itu, PAS Wilayah juga menuntut satu dana khas diwujudkan jika benar mahu membangunkan Kampung Baru dan bukannya menyerahkan sejumlah peruntukan terus kepada individu-individu tertentu.

Apa yang dirisaukan jelasnya, kemungkinan berlaku salah guna kuasa dengan menjadikan peruntukan tersebut sebagai pampasan supaya penduduk Kampung Baru berpindah.

Kerajaan juga tegasnya perlu menyediakan plan pembangunan yang jelas kepada rakyat bagi memastikan pemilikan aset orang Melayu di Kampung Baru, kekal dimiliki oleh penduduk dan pemilik tanah serta dijamin hak-hak mereka.

Kerajaan juga diingatkan agar menggunakan saluran diplomasi serta berhemah dalam sebarang rundingan dengan penduduk Kampung Baru dan sebarang kaedah perundangan adalah kaedah yang terakhir.

Manakala cadangan kerajaan untuk menubuhkan badan khas dibawah Badan Amanah Kerajaan Negeri hendaklah diwakili semua pihak berkaitan termasuk Lembaga Malay Agricultural Seetlement (MAS), Wakil Rakyat, wakil DBKL, dan wakil kerajaan." katanya.

Kerajaan turut diminta menjelaskan mengenai status projek Menara Puncak baru bernilai RM500 juta yang telah dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 30 mac 2009 dan status perkembangan draf Plan Bandaraya Kuala Lumpur 2020.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily online, 9 Mac 2010)



No comments: