Saturday, March 6, 2010

BERITA




Isu royalti mungkin ke jalan raya - Salahuddin l
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Keengganan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan hak Kelantan untuk mendapat bayaran tunai royalti minyak mungkin akan menyebabkan isu itu dibawa ke jalan raya, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Saya tidak boleh menolak kemungkinan isu itu akan di bawa ke jalan raya jika kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) terus berdegil menafikan hak Kelantan untuk mendapatkan bayaran tunai royalti minyak.

"Rakyat sudah berhimpun di dalam stadium dan majlis-majlis ceramah mengenai isu royalti untuk menyatakan bantahan mereka terhadap keengganan kerajaan pimpinan Perdana Menteri.

"Di Kelantan kini ceramah diadakan setiap malam seolah-olah menghadapi pilihan raya dan kehadiran begitu ramai rakyat membuktikan mereka membantah sikap degil Umno itu," katanya.

Jika bantahan rakyat yang disuarakan melalui kehadiran mereka dalam perhimpunan besar di stadium dan juga siri-siri perhimpunan dalam ceramah umum itu tetap tidak dipedulikan, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu tidak dapat menolak kemungkinan mereka akan berhimpun di jalan raya pula.

"Bukan di Kota Bharu, tetapi di Kuala Lumpur. Bukan sahaja anak-anak Kelantan di Kuala Lumpur dan rakyat Kelantan yang datang beramai-ramai dari negeri itu, malah seluruh rakyat yang cintakan keadilan akan berhimpun," kata Salahuddin.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan kerajaan Najib supaya jangan menafikan kehendak rakyat dengan menolak royalti minyak kepada Kelantan.

Beliau juga mengingatkan, pertikaian mengenai minyak telah mencetuskan Revolusi Islam Iran pada tahun 1979.

"Ayatullah Khomeini berumur 91 tahun ketika beliau memimpin kebangkitan menentang Shah lebih 30 tahun lalu," Malaysian Insider memetik beliau berkata.

Beliau mengaitkan revolusi itu dengan tindakan Mohammad Reza Pahlavi menyalahgunakan kekayaan minyak Iran.

Bagaimanapun, Razaleigh segera menafikan bahawa beliau mahu memimpin revolusi seperti itu.

Beliau juga menyifatkan kerajaan pusat berlagak seperti 'Godfather' apabila enggan membayar bayaran tunai royalti minyak kepada Kelantan.

"Kerajaan Persekutuan berlagak seperti Godfather walaupun kuasa mereka datang dari 13 negeri," kata Razaleigh sambil menyamakan sikap menindas Putrajaya dengan sikap ketua penjenayah.

Sehingga kini, tidak ada tanda kerajaan pimpinan Najib mahu mematuhi perjanjian antara Petronas dengan kerajaan Negeri Kelantan pada 9 Mei 1975.



----------------


Zaid nasihat Najib cari keuntungan jangka panjang


Nazri Abdullah

PETALING JAYA, 5 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta menghentikan segera usaha 'mencuri' wakil rakyat Pakatan dan menjaga kehormatan demokrasi negara.

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim pada sidang media di kediamannya siang tadi berkata, Najib seharusnya memikirkan masa depan demokrasi negara dan bukan bertindak untuk keuntungan jangkamasa pendek kuasa Umno dan BN di Parlimen semata-mata

"Kenapa perlu kita curi sana curi sini, tak perlu lah...saya meyeru kepada perdana menteri hentikan semua ini, berikan ruang kepada demokrasi untuk hidup," katanya.

Tambahnya lagi, Najib seharusnya meneladani sikap perdana menteri terdahulu seperti Tun Abdul Razak dan Tun Abdullah Badawi yang didakwa pernah berpesan tidak menggunakan cara yang salah seperti membeli wakil rakyat.

"Di bawah pemerintahan Pak Lah, waktu saya masih dalam kepimpinan Umno Kelantan. Kelantan pada masa itu Barisan hanya satu atau dua kerusi kurang, Pak Lah memberi pesan tidak boleh sesekali kita menggunakan apa-apa cara yang tidak bermoral untuk suruh orang lompat ini," katanya lagi.

Episod rampasan kuasa di Perak ekoran tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu lompat jelasnya, sudah cukup menghancurkan sistem demokrasi negara dan wajar dihentikan segera.

Beliau turut mempersoal keghairahan BN yang didakwa 'mencuri' wakil rakyat bagi mengembalikan kuasa majoriti dua pertiga di parlimen sedangkan dalam keadaan sekarang BN sudah mempunyai bilangan kerusi yang cukup untuk membuat apa-apa keputusan.

"Apa yang gila sangat dengan dua pertiga ni untuk apa? Kenapa obses sangat?

"Kalau kita dulu kaya sekarang kita miskin, kita kena lah sesuaikan diri dengan keadaan kita, kita tidak boleh merompak lagi untuk menjaga tahap hidup kita yang kaya," katanya.

Umno BN jelasnya perlu akur dengan keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu yang telah menafikan majoriti dua pertiga parti itu di Parlimen.

Untuk mengembalikan semula penguasaan mereka, Umno BN jelasnya perlu menunggu PRU ke-13 dan bukan bertindak 'mencuri' Ahli Parlimen Pakatan.

"Pada pendapat anda, adakah England kukuh kerana mereka mempunyai dua pertiga (majoriti)? Tak! England tidak pernah dalam sejarah ada majoriti dua pertiga.”

Selain England, beliau turut memberi contoh Amerika dan Jepun yang menjadi kuasa besar bukan kerana kelebihan majoriti dua pertiga di parlimen.

"Negara mereka kuat kerana pembangkang kuat, kerajaan terpaksa kreatif, tidak rasuah, kalau tidak (kerajaan) jatuh, bukan kerana dua pertiga," katanya.

Sebelum ini beberapa wakil rakyat PKR bertindak keluar parti dengan alasan hilang keyakinan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 6 Mac 2010)

No comments: