Thursday, February 26, 2009

ZAHID JUMPA GUAN ENG, SHAHBUDIN

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengakui wujud persatuan muhibbah di negeri itu yang dipengerusikan oleh beliau sendiri tetapi ia bukan berfungsi sebagai Majlis Perundingan Antara Agama (IFC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada beliau oleh Guan Eng ketika Ketua Menteri itu menghubunginya semalam.

Katanya, beliau akan menemui Guan Eng dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Shabudin Yahaya untuk mendapat penjelasan lanjut daripada kedua-dua pihak yang bertelagah tentang kewujudan IFC di negeri itu.

Tambahnya, beliau tidak bermaksud menasihatkan Ketua Menteri Pulau Pinang tetapi seboleh-bolehnya biarlah tindakan menyaman akhbar dan individu terbabit tidak diteruskan.

‘‘Saya akan berlaku adil kepada Yang Dipertua MAINPP yang menyatakan ada bukti bahawa persatuan itu wujud dan saya juga harus berlaku adil kepada Ketua Menteri dengan mendapatkan penjelasan beliau.

‘‘Saya bukan bermaksud menasihatkan Ketua Menteri Pulau Pinang tetapi hal ini boleh diselesaikan tanpa saman-menyaman,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zahid berkata, beliau akan menemui Guan Eng dan Shabudin di Pulau Pinang pada 4 Mac ini secara berasingan untuk mendapatkan penjelasan mereka.

Katanya, dalam perbualan mereka semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang itu memberitahu bahawa badan muhibbah itu mendapat pandangan pelbagai agama tetapi bukan untuk kepentingan politik.

‘‘Guan Eng menghubungi saya semalam dan beliau menyatakan bahawa badan yang wujud itu adalah sebuah persatuan muhibbah dan bukannya majlis perundingan antara agama,” katanya.

(Berita ini dari Utusan online, 27 Februari 2009)


No comments: