|
|
PUTRAJAYA 12 Feb. - Sambutan Bulan Dakwah akan diadakan semula setelah kali terakhir penganjurannya kira-kira 30 tahun lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, program tersebut dianjurkan semula atas kesedaran untuk memperjelaskan lagi fungsi, peranan dan praktikal dakwah sebagai salah satu medium dakwah yang berpengaruh.
''Selain menghidupkan semula kesedaran kepada agensi-agensi kerajaan dan masyarakat dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah, usaha ini juga untuk menggerakkan dakwah ke seluruh negara dengan pendekatan lebih berkesan dan berpengaruh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis prapelancaran Bulan Dakwah Peringkat Kebangsaan 2009 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Sambutan Bulan Dakwah Peringkat Kebangsaan 2009 akan diadakan bermula Ahad ini bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah' menyaksikan pelbagai aktiviti dan pendekatan berlainan demi mengajak masyarakat terutama golongan belia menghayati dan mengamalkan cara hidup Islam sebenar.
Ahmad Zahid berkata, peranan dan tanggungjawab menyebarkan dakwah bukan sahaja terletak pada golongan agama, malah ia perlu digerakkan oleh semua umat Islam selari dengan peredaran zaman.
''Kelompok masyarakat 30 tahun lalu amat berbeza dengan komuniti masyarakat masa kini dari segi sosio budaya dan ekonomi setelah melalui pelbagai proses dinamik yang mempengaruhi kehidupan masyarakat,'' katanya.
Sehubungan itu, katanya, tanggungjawab dakwah harus dipikul oleh semua melalui kaedah teori dan praktikal yang lebih mudah difahami dan diterima masyarakat.
(Berita ini diambil dari Utusan Online, 13 Februari 2009)
No comments:
Post a Comment