Tuesday, February 10, 2009

ORANG MELAYU

KEHIDUPAN PADA ZAMAN PRA MERDEKA

Oleh:Mokhtar Petah

[Tulisan ini diambil dari buku Kepala Batas Dalam Sejarah Kemerdekaan Bangsa Melayu, oleh: Mokhtar Petah. Kami yakin dengan membaca tulisan ini, dapat mngingatkan kita kepada zaman bangsa Melayu belum merdeka.

Kerana tulisan ini bersifat catatan sejarah, kami berharap kesedaran kepada menghayati sejarah akan berkembang dalam setiap diri individu Melayu.Mudah – mudahan dengan wujudnya perkembangan itu, akan adalah bilangan orang Melayu yang menghayati sejaeah negara dan bangsanya. – Editor, Petah Shahrir Aidid.]

Sejak pada zaman penjajahan Inggeris Yang pertama, pada tahun-tahun dijajah Jepun hingga kepada masa orang Melayu menuntut kemerdekaan, semua warga Kepala Batas yang tinggal dalam kawasan persawahan, bergantung kepada hasil padi, mereka yang tinggal dalam kawasan darat yang bersempadan dengan negeri Kedah bergantung kepada hasil getah dan hasil-hasil lain. Sebahagian kecil pula, di sebekah Kuala Muda bergantung kepada hasil laut.

Pada masa itu, dalam kawasan Kepala Batas terdapat tiga golongan penduduk, iaitu:

(1) Penduduk yang memiliki sawah padi dan ladang getah yang luas,

(2) Penduduk yang memiliki sawah padi dan ladang getah yang luas tanahnya ibarat ‘sekangkang kera’ sahaja,

(3) Penduduk yang tidak memiliki sawah padi atau ladang getah, walaupun luasnya sekadar sekuku manusia.

Kerana padi bermusim – setahun hanya sekali, maka pada musim tidak bersawah, ramai orang lelaki dari pendunduk (no.2) dan (no.3) yang bekerja buruh tali air atau dalam berbagai perusahaan termasuk kuli sambilan di pelabuhan kapal Pulau Pinang dan Butterworth. Manakala kebanyakan isteri membuat kerja yang mampu bagi mereka untuk membantu menambahkan pendapatan suami masing. Mereka bekerja mengambil upah menjahit pakaian, menganyam tikar mengkuang dan ramai pula yang bercucuk tanam. Iaitu menanam ubi kemili, ubi kayu, ubi keledek dan berbagai jenis sayuran.

Pemilik ladang - disebut kebun getah -, small holder menggunakan penoreh-penoreh getah untuk menoreh pokok getah dalam ladang mereka dengan cara pawah, iaitu kalau satu hari mendapat empat keping getah, maka pemilik mendapat dua keping dan penoreh mendapat dua keping juga. Getah bertali kecil di alur pada batang (getah scrap) dan getah buku dalam cawan-cawan menjadi milik penoreh. Ada juga dibahagi dua dengan pemilik ladang.

Saya telah meneliti dan mengalami, bahawa pokok getah asli yang berasal dari Brazil yang dibawa ke Tanah Melayu oleh penjajah Inggeris dengan tiga tujuan utama, iaitu:

(1) Menambahkan pendapat penduduk negeri yang mereka jajah.

(2) Untuk melekakan atau melemahkan penduduk yang mereka jajah.

(3) Mengurniakan hasil dan keuntungan kepada saudagar-saudagar pihak penjajah atau yang terdiri dari golongan penjajah.

Pemilik ladang getah yang terdiri dari orang Melayu, mereka terkekang dalam kehidupan yang serba susah. Selain dari hidup payah, ibarat ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang’, mereka Hidup berpada dengan apa yang ada, seperti seorang hamba penjajah, iaitu hidup bergantung kepada bantuan orang lain. Kadang-kadang jadi malas bekerja dan memuji penjajah Inggeris. Sebilangan dari mereka jadi kaki sembang di kedai kopi, pemain daun terup, pemain judi seperti sabung ayam, judi dadu dan tikam nombor ekor.[1]

Kerana kemiskinan sebagai pekebun kecil getah, mereka jarang-jarang mendapat makanan yang mengandungi zat, seperti mentega, susu, keju, daging lembu, daging kambing, ikan laut dan sebagainya. Makanan yang sering masuk ke mulut dan mengisi usus mereka, ialah tumbuh-tumbuhan di sekitar rumah, seperti kangkung, paku pakis. Di sekitar sawah padi seperti ikan keli, haruan, puyu dan sepat Siam dan sepat ronggeng. Dalam kebun getah, cendawan batang atau kulat dan pucuk salang. Dalam rimba, umbut kabung, umbut bayas, buah bakung dan sebagainya..

Benih atau biji getah asali (Brazilian tree) telah dibawa dari Amerika Selatan oleh Sir Henry Wickson ke London dan disemai di sana pada tahun 1846. Kemudian anak-anak getah asli itu dibawa ke Ceylon (Sri Lanka) dan Siam, iaitu Grik (Koh Dahulu), Hulu Perak serta ke merata kawasan Kepulauan Melayu.

Walaupun getah asli mendapat pasaran yang meluas di seluruh dunia dan banyak gunanya kepada umat manusia, di antaranya membuat tayar, alat kelengkapan pejabat, rumah tangga, pertanian dan sebagainya, tetapi pekebun-pekebun kecil getah masih tersepit di celah penderitaan juga.

Pada tahun 1918 seorang pegawai penjajah Inggeris, Kapten Hurbert Berkeley telah dihantar ke Gerik (Koh Dahulu), Hulu Perak, untuk menjadi Pegawai Tadbir atau Pegawai Jajahan (Pegawai Daerah) di sana. Isterinya menetap di India. Kemudian dia telah meninggalkan Hulu Perak kerana menjalankan tugasnya di seluruh negeri Perak dan negeri-negeri lain. Pada tahun 1924 dia telah datang sekali lagi ke Hulu Perak dan memegang jawatan yang sama. Dia adalah salah seorang dari beberapa orang pegawai penjajah Inggeris yang telah berjaya memujuk dan menjinakkan ramai orang Melayu di kampung-kampung di seluruh Tanah Melayu.

Hurbert Berkeley sering memakai pakaian seperti Orang Besar- Besar Melayu pada zaman silam, iaitu berseluar panjang dan baju, kain samping dan tengkolok. Dua tiga hari dalam seminggu dia bersama penghulu atau pegawai bawahannya telah melawat ke kampung-kampung dalam daerah Grik, iaitu Lenggong dan Kroh (Pengkalan Hulu) untuk menemui penduduk-penduduk di sana.

‘Apabila usaha ke arah untuk menarik orang Melayu dan bangsa Melayu memuja Inggeris telah berjaya, maka dalam tahun 1918 Kerajaan Inggeris telah menghantar Kapten Hurbert Berkeley untuk menjadi Raja atau Pentadbir Kerajaan Negeri Perak, iaitu bahagian Hulu Perak. Kemudian meninggalkan Hulu Perak, kemudian pada tahun 1924 datang semula ke Hulu Perak dan menjalankan tipu muslihat di Hulu Perak dan mencari jalan untuk memujuk Orang-Orang Besar Negeri Perak.

Usaha memujuk Orang-Orang Besar telah memberi kejayaan besar kepadanya untuk menarik rakyat Hulu Perak taat kepadanya dan memandang Inggeris sebagai satu bangsa mulia. Pada waktu itu ada orang-orang di Hulu Perak memandang Hurbert Berkeley lebih mulia dari segala insan.

Berkeley mulai bercampur gaul dengan rakyat jelata di kampung-kampung, dia masuk sawah keluar sawah, masuk ladang keluar ladang, makan asam garam dan sambal belacan bersama rakyat di huma-huma dan pendeknya Berkeley tidak asing lagi bagi orang-orang Melayu Hulu Perak. Di samping itu orang Melayu memuja Berkeley sebagai seorang yang baik hati dan sebagainya.[2]

Hurbert Berkeley telah memberi tanah untuk kebun getah yang luasnya di antara 1 hingga 3 ekar kepada penduduk-penduduk kampung. Dalam geran tanah itu dicatat jenis tanamannya, iaitu getah. Sama ada pekebun-pekebun itu menanam anak-anak getah atau tidak dalam kebun mereka, namun, mereka tetap menerima kupon bernilai satu pikul setiap satu ekar pada tiap-tiap hujung bulan Masihi. Kemudian mereka menukarkan kupon itu dengan wang di pejabat daerah atau di kedai membeli dan menjual getah menurut nilai yang ditetapkan.

Dengan kupon itu pemilik-pemilik kebun getah tidak payah-payah bekerja. Kebun getah semak samun atau jadi belukar. Pada tiap bulan mereka mendapat wang dengan mudah. Mereka memuji Kerajaan Inggeris. Tidak ada langsung di kalangan sebilangan pekebun getah fikiran untuk membebaskan diri mereka dari penjajah Inggeris atau merdeka.

Kerana kebun-kebun getah orang Melayu tidak dijaga, seperti tebas atau cuci semak samunnya, maka telah menjadi buah nasihat kepada orang ramai pada zaman itu, iaitu:

* Jangan beli kebun getah orang Melayu (kerana semak samun).

* Jangan beli kelambu Cina (kerana sejak beli tak pernah basuh)

* Jangan beli basikal orang Hindu (kerana menurut bukit digatih juga).

Sementara itu semua pejabat tanah di bawah perintah Inggeris telah mengeluarkan tanah beribu-ribu ekar kepada saudagar-saudagar Inggeris dan rakan-rakan niaga mereka untuk dijadikan ladang getah di seluruh Tanah Melayu. Semua tanah itu dikenakan bayaran mendapatkan hak milik sekadar 25 sen seekar.

Apabila Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney (1948) menjalankan polisinya yang gagal’, iaitu untuk menghapuskan keganasan komunis kerana menentang penjajah British di Tanah Melayu hanya dengan kekuatan tentera dan pengembangan politik, pembangunan ekonomi dan kemajuan rakyat, maka pada tahun 1950–51 harga getah melambung tinggi, iaitu antara $2.00 dengan $2.70 sekati.

Selain dari harga getah, maka harga kelapa kering (kopra) turut naik melambung. Penduduk-penduduk dalam kawasan Bagan Dato, Perak dan Sabak Bernam, Selangor, telah menikmati durian runtuh.

Pada masa harga getah naik melambung itu, sedikit benar dari penoreh-penoreh getah yang terdiri dari orang Melayu yang mempunyai kesedaran ekonomi dan kesedaran untuk berjimat cermat. Ramai pemuda penoreh getah yang boros. Mereka memakai motosikal jenis besar dan mahal (buatan British), saban malam berfoya-foya dalam bandar Ipoh, Teluk Anson, Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain.

Sebilangan pemuda penoreh getah dalam kawasan Parit, Kampung Gajah, Perak, mereka menyewa bilik-bilik hotel dalam bandar Ipoh dan Teluk Anson. Pada sebelah pagi dengan menunggang motosikal – seorang atau membonceng dengan kawan, mereka pulang ke kampung mereka untuk menoreh getah. Pada sebelah petang mereka datang semula ke bandar untuk berfoya-foya dan menginap dalam bilik hotel[3] yang mereka sewa cara bulanan.

Pada tahun-tahun itu sebilangan besar penduduk Kepala Batas yang memiliki kebun getah telah merasa akan nikmat dari harga getah melambung tinggi, tetapi mereka telah tidak memuja penjajah Inggeris lagi. Mereka telah menjadi rakyat yang menyertai perjuangan menuntut kemerdekaan yang dipimpin oleh para pemimpin Melayu, seperti Sheikh Abdullah Fahim, Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Dr. Burhanuddin Helmi, Ishak Haji Muhammad, Dato Onn Jafar dan Tunku Abdul Rahman Putra, Haji Ahmad Fuad Hassan dan beberapa orang lagi.

PADI KUNCA

Pada zaman Tanah Melayu di bawah cengkaman penjajah Inggeris, semua petani, penoreh getah, nelayan dan buruh hidup dalam keadaan serba kekurangan – miskin – ibarat ‘berselimut kain panjang lima, tutup kaki kepala terdedah, tutup kepala kaki telanjang’ atau laksana ayam kampung, ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Sebilangan petani di Kedah, Perlis, Seberang Perai termasuk Kepala Batas terpaksa berhutang dari orang-orang yang berada yang sanggup memberi hutang kepada mereka.

Mereka terpaksa berhutang kerana hendak membeli barang-barang keperluan atau makanan, membiayai anak-anak bersekolah dan sebagainya. Pada masa itu tiada institusi kewangan yang sedia memberi pinjaman kepada mereka. Majlis Amanah Rakyat (MARA). Majlis itu berasal dari sebuah institusi dana kewangan bernama Rural Industrial Development Aunthority (RIDA) yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn Jaafar. MARA telah menerima hadiah wang dari Kerajaan British sebanyak ₤10,000,000. untuk tabung kebajikannya.

Dato Onn Jaafar telah memberitahu saya pada masa dia mengendalikan surat khabarnya, ‘Keritik’, pada tahun 1960-an, bahawa wang itu adalah hadiah dari Kerajaan British supaya dia membantu orang Melayu di luar bandar menjalankan perniagaan dan perusahaan kecil-kecilan. Melengkapkan rumah mereka dengan paip air yang dipasang dan disalurkan dari sungai dalam kawasan tempat tinggal mereka. Mengadakan kuasa elektrik dari bahan-bahan tempatan dan sebagainya. Selain itu untuk membantu anak-anak warga kampung melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah dan tinggi.

Menurut pemimpin Melayu itu, bahawa wang itu sebagai hadiah kepadanya kerana dia telah dapat menjaga nama baik Kerajaan British di mata dunia, bahawa orang Melayu tidak menentang British, tetapi yang menentang mereka ialah pengganas komunis dan mereka dari golongan kiri yang dianggap pengganas juga.

Selain dari menjaga nama baik Kerajaan Inggeris, bantuan itu kerana menghargai jasa sebagai Menteri Dalam Negeri dalam Kerajaan British di Tanah Melayu, pada tahun 1948–1949. Pada masa itu beratus-ratus orang penentang Kerajaan British di Tanah Melayu telah ditangkap dan ditahan dalam khemah-khemah tahanan di Ipoh, Batu Gajah, Pulau Jerjak, Tanjung Beruas dan beberapa khemah tahanan lagi.

Mereka itu terdiri dari para anggota dan ahli Parti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan pemuda Insaf (API) dan pertubuhan-pertubuhan lain.

‘Oleh kerana benar-benar menyedari akan kelemahan orang Melayu dalam bidang ekonomi, Dato’ Onn telah pergi ke London meminta bantuan daripada British untuk menolong meninggikan taraf hidup atau ekonomi bangsanya. Hasilnya dari rundingan antara Dato’ Onn dan Kerajaan British dia telah menubuhkan RIDA dalam tahun 1950. Dato’ Onn telah dilantik sebagai Pengerusi RIDA yang pertama dengan mendapat bantuan sebanyak £10,000,000 dari Kerajaan British.’[4] (Lihat lampiran 1 : m/s 61)

Warga kampung dan permatang yang terdiri dari petani Melayu terpaksa berhutang daripada Ceti (orang India beragama Hindu berniaga membungakan wang) dan mereka yang digelar ‘tengkolak’ atau ‘lintah darat’ yang sentiasa mencari kelabaan dikalangan orang-orang yang susah atau menderita. Mereka itu seperti memasang perangkap atau jerat pada lorong atau denai dalam belukar ataupun seperti peribahasa Melayu, ‘menahan lokah di pergentingan’.

Untuk berhutang wang dari orang-orang yang tersebut di atas, petani-petani terpaksa berhutang dengan menggadaikan tanah mereka, seperti kampung halaman, sawah, kebun atau dusun milik mereka kepada sang piutang.

Pada zaman itu telah terkenal beberapa ‘simpulan kata’ mengenai orang-orang yang memberi hutang dengan mengenakan bunga atau faedah atau pun dengan cara lain. Di Kedah dan Seberang Perai terkenal dengan nama ‘padi kunca’. Iaitu pemilik tanah yang meminjam wang terpaksa membuat surat perjanjian dengan sang piutang. Dalam surat itu dicatat, bahawa wang yang mereka berhutang itu dicagar dengan tanah sawah padi dan lain (satu relung atau beberapa relung). Nama pemilik tanah dalam geran tanah itu ditukarkan kepada nama sang piutang. Hutang itu akan dibayar dengan padi beberapa kunca pada musim menuai nanti.

Mereka mesti melangsaikan hutang itu dengan faedah (disebut sewa) kira-kira sekali atau dua kali ganda dari jumlah wang yang mereka telah berhutang. Jika pada musim menuai, hutang itu tidak dapat dilangsaikan, maka tanah yang dicagarkan itu menjadi milik sang piutang tersebut.

Ada pula perjanjian yang dibuat antara yang berhutang dengan sang piutang, iaitu selagi hutang itu tidak dapat dilangsaikan, maka sampai beberapa musim padi nanti berkunca-kunca padi mesti dibayar kepada sang piutang.

Pada tahun-tahun sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, banyak bidang sawah milik petani-petani miskin terlepas ke tangan sang piutang yang terdiri dari lebai, guru agama, dan orang berada di tempat mereka atau di tempat lain.

Misalnya petani berhutang wang RM1,000.00 dengan mencagar tanah seluas tiga relung yang nilainya lebih RM10,000.00, tetapi kalau hutang tersebut tidak dapat dilangsaikan, maka tanah itu terlepas ke tangan sang piutang. Petani itu tidak mendapat sebarang bayaran dari harga tanahnya yang melebihi wang yang petani itu telah berhutang.

Berbeza dengan berhutang dan menggadai tanah kepada Ceti. Biasanya, jika tanah bernilai RM10,000.00 yang dicagarkan kerana berhutang RM1,000.00, jika tidak dapat dilangsaikan hutang itu, Ceti akan melelongkan tanah tersebut. Setelah ditolak wang pokok (yang dihutangkan kepada pemilik tanah) dan bunga, maka baki wang harga tanah itu, dipulangkan kepada pemilik tanah tersebut.

Di bahagian utara negeri Perak dan sampai ke Perak tengah dan Hilir Perak, berhutang dengan mencagarkan tanah terkenal dengan ‘jual janji’. Iaitu orang yang berhutang dan piutang menandatangani dua surat perjanjian:

1 Surat perjanjian berhutang, iaitu berapa banyak wangnya yang diberi hutang dan tempoh akan dilangsaikan hutangnya itu dengan mencagarkan tanah miliknya (atau milik orang lain). Nama dalam geran tanah itu ditukar kepada nama sang piutang dengan menggunakan borang khas tukar nama dari Pejabat Tanah. Sekiranya wang yang dipinjamnya itu tidak dapat dilangsaikan pada tempoh yang ditetapkan, maka tanah itu menjadi milik sang piutang.

2 Surat perjanjian menyewa tanah atau rumah yang dicagarkan itu. Kerana hendak mengelakkan daripada ‘perbuatan riba’, maka sang piutang mengambil faedah dari wang yang dipinjamkan itu pada tiap-tiap bulan hingga tamat tempoh dengan menerima sewa dari orang yang berhutang. Misalnya wang yang dipinjam RM1,000.00, maka sewa tanah yang dicagar atau digadaikan itu kira-kira RM50.00 hingga RM100.00 sebulan. Apabila cukup tempoh seperti dalam perjanjian itu, jika wang yang dipinjam itu tidak dapat dilangsaikan, maka tanah itu menjadi milik sang piutang, walaupun sewa tanah itu dibayar sepenuhnya pada tiap-tiap bulan.

Kaedah berhutang cara ‘padi kunca’ dan ‘jual janji’ masih diamalkan di beberapa kawasan negeri Perak hingga pada masa ini. Tetapi amat sedikit jumlahnya.

Pada zaman belum merdeka, ekonomi rakyat tidak menentu. Bilangan orang miskin lebih ramai dari orang kaya. Nafsu manusia tidak kira miskin atau kaya; mahu makan, pakai, berhias, berhibur dan sebagainya. Semuanya memerlukan wang. Jika tidak ada wang, maka terpaksalah berhutang.

Di antara kaedah berhutang kerana membeli pakaian, barang kemas dan sebagainya, ialah, ‘buka kain kak’, ‘kelentung’ dan ‘manik kuran’.

Perkataan “Buka kain kak’ yang digunakan oleh orang-orang dari negeri Kelantan yang menjaja kain songkek, batik, barang kemas dan barangan dari perak di negeri-negeri sebelah pantai barat. Mereka menjaja dari rumah ke rumah pada waktu siang hari. Biasanya para suami tiada di rumah kerana keluar bekerja. Sebaik-baik sahaja penjaja-penjaja yang menggalas pundut kain dan barangan itu tiba di halaman sesebuah rumah, mereka memberi salam terlebih dahulu. Bila orang perempuan dari rumah itu menjenguk melalui jendela atau keluar diambang pintu rumah mereka berkata “buka kain kak”.

Perkataan ‘buka kain’ itu ialah sebagai menawarkan kepada perempuan itu supaya membuka kain pundut pakaian dan barangan yang mereka galas supaya melihat pakaian dan barangan tersebut. Pada peringkat awal pakaian, barang kemas atau barang dari perak itu dijual secara tunai. Tetapi setelah berulang alik ke rumah pelanggan itu dan telah menjadi rakan biasa, maka pakaian dan barangan itu dijual dengan cara berhutang, iaitu pembeli membayar pada tiap-tiap bulan secara ansuran.

Misalnya jika pakaian atau barangan yang mereka jaja itu dibayar dengan tunai, berharga RM500.00, tetapi kalau berhutang selama tiga bulan, dikena tambahan RM250.00. Dalam jual beli cara berhutang ini ada unsur riba.

‘Kelentong’ perkataan ini digunakan pada zaman orang-orang Cina Islam yang datang menjaja barangan seperti cincin tembaga, ubatan, kayu sugi, manik dan sebagainya di negeri-negeri Melayu. Mereka menggunakan gendang kecil, iaitu kayu kosong sebesar cawan di kiri kanannya dieratkan dengan kulit lembu atau kulit kambing seperti gendang. Gendang itu ada tangkai kayu dan ada tali berhujungkan kayu atau besi untuk memukul gendang itu. Apabila tangkai gendang kecil itu digoyang-goyangkan, maka gendang kecil tersebut berbunyi ‘kelentong, kelentong, kelentong’.

Pada peringkat awal, orang Cina kelentong menjual barangan mereka dengan cara tunai, tetapi setelah biasa dan telah menjadi rakan, maka mereka menjual dengan cara berhutang, iaitu dengan cara bayar ansuran pada tiap-tiap bulan.

Cara membayarnya sama dengan kaedah berhutang ‘buka kain kak’ oleh orang Kelantan. ‘Mani kuran’, ialah perkataan dari dua benda yang disatukan, iaitu manik dan Quran. Hasil penyatuan itu, maka jadilah ‘mani kuran’. Perkataan ini dari orang-orang Arab, Iran, Kabul (Afghanistan) dan Pakistan yang menjaja barangan seperti manik, gelang tangan, celak, bedak, Quran, mukaddam, kitab-kitab riwayat para rasul, kitab doa dan sebagainya. Kerana mereka tidak pandai menyebut cara betul dan tambahan pula lubang hidung mereka luas, bila mereka menyebut dua kata benda itu, suara mereka menjadi sengau.

Mereka juga menjalankan perniagaan seperti penjaja dari Kelantan ‘buka kain kak’ dan orang Cina Islam ‘kelentong’, iaitu berhutang dan dikenakan ganda harga yang kaedahnya sama dengan bunga yang berunsur riba.

Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Ismail Hamzah, Mufti Kerajaan Negeri Perak pada zaman penjajah dan Haji Mat Saman Kati, guru agama kepada Sultan Perak, sependapat, bahawa berhutang dan memberi hutang dengan kaedah padi kunca, jual janji, bukan kain kak, kelentong dan manik kuran, hukumnya adalah haram, kerana perniagaan itu berunsur riba.

(Tamat)



[1] Judi tikam ekor atau nombor ekor wujud setelah Persatuan Cina Malaya – Malayan Chineses Association (MCA) mengadakan sejenis judi, iaitu loteri. Persatuan ini telah ditubuhkan pada tahun 1952 dan telah berubah menjadi parti politik, kerana menyertai UMNO(Perikatan) dalam pilihan raya Municipality Kuala Lumpur.

[2] Mokhtar Petah, Bangsa Melayu Menggugat Dunia, 1966, Kota Bharu, Pustaka Aman Press, hlm.46 -48.

[3] Pada zaman itu sewa sebuah bilik hotel antara $2.00 dengan $5.00 bagi satu malam.

[4] Anwar Abdullah, Dato’ Onn, 1971, tiada nama penerbit.

No comments: