Monday, February 23, 2009

UMNO

SEMUA CALON BERSATU PASTIKAN KEMENANGAN


Oleh Yus Iskandar

Pasir Mas -– "Tanpa mengira siapa yang terpilih atau tidak sebagai Ketua dan Naib Ketua Pemuda UMNO pada perhimpunan Mac ini, semua akan berkempen bagi dua pilihan raya itu, malah juga bersedia untuk pilihan raya kecil Bukit Lanjan, Selangor, jika diadakan nanti," demikian menurut Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Tegasnya semua pucuk pimpinan Pemuda UMNO mencapai kata sepakat untuk bersatu dalam kempen bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah yang akan diadakan serentak, April ini.

Jelas beliau Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Rabu lalu memanggil semua peringkat pimpinan pemuda termasuk calon Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda untuk mengadakan mesyuarat sebagai persiapan menghadapi dua pilihan raya kecil itu.

"Kata sepakat yang dicapai semua pihak tanpa mengira siapa yang akan dipilih sebagai Ketua atau Naib Ketua Pemuda adalah mereka bekerjasama dalam kempen bagi memastikan dua kawasan itu menjadi milik BN.

"Hishammuddin yang mempengerusikan mesyuarat pucuk pemimpin Pemuda UMNO Rabu lalu, diberi jaminan semua peringkat Pemuda bekerjasama pada pilihan raya kecil itu", katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Pemuda UMNO Pasir Mas di sini, Sabtu.

Beliau yang juga calon bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO ketika ditanya peluang beliau pada Perhimpunan Agung Umno Mac ini, turut berharap perwakilan membuat pilihan tepat berdasarkan keperluan Pemuda.

Katanya harapan sudah pasti untuk menang dan meminta semua perwakilan membuat pemilihan demi masa depan Pemuda dengan memberi peluang kepada pemimpin yang boleh memperjuangkan suara orang muda.

(Berita ini dimabil dari Laman web Pemuda UMNO Malaysia, 23 Februari 2009)

1 comment:

Anonymous said...

Ya setuju benor