Wednesday, February 4, 2009

CATATAN SEJARAH NEGRI PERAK


BELI ADUN PEMBANGKANG ?

Oleh: Mokhtar Petah

Kisah dua ahli Dwan Undangan negeri Perak, Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) telah menghilangkan diri - kerana sakit – dan Speaker isytihar mereka meletak jawatan, mengingatkan saya kepada peristiwa pada hari–hari menghadapi pilihan raya umum tahun 1977.

Pada masa itu saya masih tinggal di Ipoh. Setiap yang berlaku dan benarkah pihak UMNO membeli atau menawarkan sesuatu kepada calon–calon parti pembangkang untuk mencapai kemenangan atau mempertahankan kerajaannya, telah menjadi ingatan dan kenangan saya.

Peristiwa itu tercatat dalam sejarah Negeri Perak. Mungkin tidak ramai yang mengetahui peristiwa tersebut. Untuk kita merenung bersama, maka saya kira eloklah meneliti tulisan saya

mengenai peristiwa tersebut. Sekurang-kurangnya menjadi pengetahuan am kita.

Saya tidak tahu, apakah dua Ahli Dewan Negeri dari Pakatan Rakyat yang hilang dan timbul semula itu telah mengalami keadaan yang sama dengan calon–calon parti pembangkang pada tahun 1977.

Pujangga Hamka telah berkata kepada saya, di Kuala Kangsar, pada tahun 1960-an, bahawa orang politik yang miskin jadi hamba orang dan orang politik yang kaya boleh perhambakan manusia.

Berikut ini adalah catatan dalam buku memoir saya yang saya cadangkan akan diterbitkan tidak lama lagi.

Sekitar tahun 1977 - menghadapi pilihanraya umum, dua buah parti pembangkang, Democratic Action Parti[1] (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia(PAS) telah memberi tentangan yang hebat kepada UMNO dan Barisan Nasional. Kalangan UMNO Perak telah menjadi resah. Lebih-lebih lagi beberapa orang bekas wakil rakyat UMNO yang telah tidak dipilih semula untuk bertanding telah melakukan sabotaj terhadap UMNO. Seorang dari mereka, ialah Sufian Mohd. Sham dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Kampung Gajah). Calon UMNO bagi kawasan itu ialah, Ramli Ngah Talib.

Pihak Ibu Pejabat UMNO Malaysia, telah mengarahkan Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, supaya mencari jalan untuk melumpuhkan parti-parti pembangkang, iaitu melakukan sesuatu tindakan agar calon-calon mereka tidak mendapat kemenangan.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Tan Sri Haji Ahmad Azizuddin bin Zainal Abidin telah berunding dengan aku mengenai perkara tersebut. Dia telah meminta aku mengambil bahagian membantu UMNO negeri itu. Aku telah memberi syarat, bahawa aku hanya boleh melaksanakan kehendaknya terhadap DAP, tetapi aku tidak dapat melakukannya terhadap PAS. Aku tidak mahu melakukan terhadap PAS, kerana parti politik itu berjuang untuk menegakkan Negara Islam. Aku tahu sesiapa yang menentang perjuangan manusia untuk agama Islam, dia akan dilaknat oleh Allah.

GERAKAN ALA GASTAPO

Setelah syaratku diterima dan peruntukan wang telah diadakan, maka sebuah pejabat 'Gerakan ala Gestapo’ telah diadakan di sebuah banglo, di Jalan Kampar, dalam Bandar Ipoh. Aku telah dilantik menjadi ketua operasi tersebut.

'Peristiwa itu telah berlaku dalam musim pilihanraya 1977, iaitu kali pertama Tan Sri Ramli Ngah Talib bertanding dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Kampung Gajah). Dalam menghadapi pilihanraya itu, dalam UMNO bahagian Pasir Salak dan beberapa buah cawangannya telah berlaku sedikit pergolakan kerana pihak bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Kampung Gajah) yang sebelumnya, Encik Sufian Mohd. Sham tidak puas hati.

Ramai dari ahli-ahli dan para penyokong UMNO itu telah bertindak menyokong calon DAP yang bertanding dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Kampung Gajah), Encik Zainal Abidin bin Mat Nusi, seorang ahli perniagaan dan pemilik kelab hiburan dalam bandar Ipoh.

DAP juga telah meletakkan beberapa orang calonnya yang terdiri dari orang-orang Melayu, di antaranya, di kawasan Dewan Rakyat (Bagan Serai), Dewan Undangan Negeri (Semanggul) dan Dewan Undangan Negeri (Lubuk Merbau).

MENDAPAT LAMPU JIJAU

Dalam menghadapi keadaan yang gawat dalam kawasan-kawasan itu, Menteri Besar, Allahyarham Dato’ Sri Haji Kamaruddin bin Haji Mat Isa telah mendapat 'lampu hijau' dari pucuk pimpinan UMNO Pusat untuk melaksanakan satu langkah untuk melumpuhkan pengaruh DAP dalam kawasan-kawasan pilihanraya yang gawat itu.

Haji Kamaruddin telah berunding dengan pihak tiga orang-dua ahli politik dari UMNO dan seorang wartawan. Kemudian ketiga-tiga orang itu menjalankan tindakan 'gestapo politik' untuk memujuk calon-calon DAP itu supaya tidak menjalankan kempen dan menarik diri dari bertanding.

Sebuah bilik gerakan ’Gestapo politik’ telah diadakan di sebuah banglo, di Jalan Kampar dalam Bandar Ipoh. Dalam bilik gerakan itulah wartawan tersebut telah menjalankan peranan-peranan untuk melumpuhkan DAP dalam pilihanraya tersebut di seluruh negeri Perak.

Langkah pertama yang mereka lakukan, ialah memujuk Ketua DAP Perak (Melayu), Encik Daeng Ibrahim supaya meletakkan jawatan dan pulang ke negeri asalnya, iaitu Johor. Langkah yang kedua memujuk calon DAP dalam kawasan Kampung Gajah, Encik Zainal Abidin bin Mat Nusi, calon DAP kawasan Semanggul, Encik Abu Samah Majid dan calon DAP kawasan Lubuk Merbau, Encik Abdul Karim Lan.

KALAH MENJADI ABU

Ketiga-tiga calon DAP itu telah datang menemui wartawan tersebut di bilik gerakan ’Gestapo Politik’ dan mereka telah menandatangani surat peristiharan menarik diri dari bertanding. Kemudian mereka telah menghadiri satu sidang akhbar yang diaturkan oleh wartawan ’Gestapo Politik’ itu.

Semua calon-calon DAP itu tidak pulang ke rumah msing-masing. Mereka tinggal dalam bilik-bilik khas dalam banglo tersebut.

Untuk memujuk calon DAP, Encik Abdul Karim Lan agak sukar sedikit, kerana beliau berkeras untuk terus bertanding disebabkan para penyokongnya termasuk ahli DAP Kampung Cheh, Kati, mahu dia bertanding walaupun dengan risiko ’kalah menjadi abu’.

Wartawan ’Gestapo Politik’ telah mengambil langkah mengundang lebih empat puluh orang pemuda-pemuda Melayu ahli DAP di Kampung Cheh untuk menemuinya di bilik gerakan ’Gestapo Politik’, di Ipoh. Mereka telah datang dengan sebuah bas yang disewa khas.

KAWASAN PINGGIR BANDAR

Dalam perrtemuan itu mereka telah mengisytiharkan keluar beramai-ramai dari DAP. Peristiharan mereka itu kemudiannya telah disiarkan oleh media – akhbar dan RTM. Hasilnya, calon-calon UMNO di Kampung Gajah yang menyokong DAP telah kembali menyokong calon UMNO – Barisan Nasional - Ramli Ngah Talib.

Semenjak perisytiharan itulah orang Melayu kian kurang menyokong DAP dan hingga kini orang-orang Melayu yang menyokong DAP sangat sedikit.’[2]

Pada sekitar tahun 1970 – 1980-an, penduduk-penduduk Melayu di sekitar kawasan pinggir Bandar Ipoh, kebanyakkannya terdiri dari mereka yang berpendapatan kecil dan mereka tinggal di rumah-rumah dalam kawasan setinggan, iaitu menduduki tanah kerajaan negeri (state lands) tanpa kebenaran. Di antara kawasan-kwawsan tersebut, ialah Pasir Putih, Pangkalan Pegoh, Seri Kinta, Manjoi, Buntong, Tambun dan Bercham.

SATU KUMPULAN INSAM

Pada pandangan para pegawai pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, semua setinggan terdiri dari manusia-manusia yang tidak diingini, rumah-rumah mereka mesti dirobohkan. Kebanyakan wakil rakyat pihak kerajaan melihat mereka sebagai satu kumpulan insan yang menyusahkan mereka dan kerajaan.

Aku melihat semua setinggan sebagai kumpulan insan yang memberi guna kepada kerajaan dan parti-parti politik yang mempunyai pandangan yang jauh ke hadapan, di antaranya:

(1) Sebelum mereka pindah ke bandar, mereka hidup sebagai orang-orang kampung yang mempunyai pendapatan terlalu rendah, secara rata pendapatan mereka kira-kira antara RM50.00 dengan RM 120.00 sebulan. Nama mereka tidak wujud dalam buku daftar pembayar cukai pendapatan.

(2) Setelah mereka tinggal sebagai setinggan dan bekerja dan bergaji atau berniaga sebagia peniaga kecil, mereka telah menguntungkan kerajaan, kerana mereka termasuk dalam golongan rakyat yang membayar cukai pendapatan.

(3) Menambahkan bilangan penduduk bandar yang membantu kerajaan meluaskan kawasan bandar dan diperbandarkan. Mereka menjadi rakyat yang menjadi pembeli atau pelanggan yang membantu peniaga-peniaga dalam bandar dan dengan demikian menjadikan para peniaga itu terpaksa menambah jumlah cukai pendapatan mereka kepada kerajaan.

(4) Masyarakat setinggan menambahkan bilangan pengundi Melayu dalam kawasan bandar dan menguntungkan parti-parti politik dalam sesuatu pilihanraya. Contohnya, bandar-bandar yang kurang bilangan penduduk Melayu, seperti beberapa kawasan di Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain UMNO sukar mendapat kemenangan dalam setiap kali pilihanraya diadakan.

SUKAR MENDAPAT BANTUAN

Pada tiap-tiap kali pilihanraya, aku telah ditanya oleh kebanyakan pengundi Melayu dalam kawasan-kawasan setinggan, iaitu calon-calon parti manakah yang baik mereka memberi undi. Aku memberitahu kepada mereka, iaitu yang baiknya mereka mengundi calon-calon parti pembangkang. Kalau kawasan yang ramai pengundi Melayu, wakil rakyat dari parti kerajaan terdiri dari orang- orang bukan Melayu, maka mereka sukar mendapat bantuan pembangunan dan sebagainya dari wakil rakyat mereka. Tetapi kalau wakil rakyat itu dari parti pembangkang, maka mereka mudah mendapat dari kerajaan untuk tujuan pembangunan dan kebajikan di tempat mereka.

Peruntukkan wang bagi pembangunan dan kebajikan dalam semua kawasan Dewan Rakyat yang diwakili oleh pihak parti pembangkang, disalurkan kepada Pegawai Daerah dan tidak kepada wakil rakyat. Maka mudahlah penduduk-penduduk mendapatkan bantuan wang untuk pembangunan dan kebajikan.

Ramai orang Melayu dalam kawasan Dewan Rakyat yang diwakili oleh orang bukan Melayu dari parti Kerajaan, mereka sukar mendapat bantuan dari pihak kerajaan, seperti bantuan kebajikan dan yang berhubungan dengan agama Islam seperti untuk surau dan sebagainya.

Sebenarnya masih wujud rasa perkauman di kalangan mereka dalam parti-parti politik yang menyokong kerajaan masih menebal dan sukar dikikis.

(Tamat)



[1] Parti itu serpihan dari Peoples Action Party (PAP) Singapura. Pada masa Singapura masih dalam Malaysia, parti politik pimpinan Lee Kuan Yew itu mempunyai ramai ahli di seluruh Malaysia. Setelah Singapura keluar dari Malaysia dan menjadi sebuah negara mereka, semua ahlinya di Malaysia telah keluar dan mereka telah menubuhkan parti Democrat Action Party(DAP). Pada masa itu semua ahli parti tersebut berkiblat ke Singapura.

[2] Mokhtar Petah,1995, Kejayaan Bersama, Kuala Lumpur, Mata Publication, 1995, hlm.26,27,28.

No comments: