Sunday, February 15, 2009

CERPEN

LABU SAYUNG

Oleh: Mokhtar Petah

[ Sesuai dengan peristiwa rakyat sanggah Sultan yang berlaku di Negeri Perakkini, kami menyiarkan sedutan dari Novel Cinta Dan Jihad, oleh Mokhtar Petah.

Novek ini belum diterbitkan lagi. Mudah –mudancerita ini mengingat pembaca kepada Kuala Kangsa dan Kampung Sayung, di seberang. Editor, Petah Sshahrir Aidid.]

“…tanah liat, emak.”

“Ia, ni, tanah liat.”

“…Allah jadikan manusia, … tanah liat juga, emak.”

“Ia, sungguh, …Nabi Adam alaihis salam.”

“Nak buat apa tanah liat ni, emak?”

“…ada guna, ni rezeki kita, ‘Alimin.”

Al hamdulillah.”

“…nak buat apa, emak?”

“Buat labu tanah, ‘Alimin.”

“…labu tanah?”

“Ia, labu tanah,…labu Sayung.”

“Labu Sayung?”

“Ia, labu Sayung, boleh isi air,…jadi penawar.”

“Ia, emak?”

“Ia, sungguh. Labu tanah ada di mana-mana,…sampai di istana.”

“Bagus tu, emak.”

Angguk.

“…tanah ni,…parit tu,…bukit sana tu…”

“Ngapa, emak?”

“Ayah kamu beli.”

“Luas, emak?”

“Tiga ekar aje...”

“Luas tu, emak.”

“…kata orang, sekangkang kera.”

‘Alimin sengeh.

“…ayah kamu beli tanah ni,…duit dia,…duit mas kahwin emak.”

“…ia, emak?”

Angguk.

“…berapa harga, emak?”

“Tiga ratus, lima puluh tujuh ringgit, lima kupang...”

“Kalau pada masa ni murah, emak.”

“Ia,…tapi pada masa tu, nak cari lima ringgit aje pun, merah biji mata dibuatnya.”

“Ia, emak.”

“Atas tanah ni ada lima enam pokok durian.”

“Ia, emak.”

“…pokok asam gelugur, macang, langsat pun ada.”

“Ia, emak.”

“Pokok cempedak, manggis, … pokok bangkung pun ada , ‘Alimin.”

“Ia, emak. Buah bangkung tu makan biji aje,emak.”

“Di tepi paya tu ada pokok legundi,”

“…pada masa dulu orang-orang negeri Perak lawa-lawa, sebab makan daun legundi.”

“…emak harap benor, cucu-cucu emak dapat makan buah durian, manggis tu….”

“Anak-anak saya, emak?”

“Ia, anak-anak siapa lagi, …kan ‘Alimin anak tunggal emak?”

“Ia, entahle, emak.”

“…wasiat ayah kamu…”

“Apa emak?

“…rumah ni, tanah, tanah liat untuk kamu ‘Alimin, pusaka kami.”

Angguk.

“Untuk kamu.”

“Ia, emak. Al hamdulillah.”

“ Dalam lemari tu, dalam kain hitam, …ada Quran.”

“Quran…?”

“Aruah ayah kamu beli di Madinah…, aruah tu beli untuk kamu.”

“Dia pesan…”

“Apa, emak?”

“…dia pesan, kamu anak lelaki, ikut Quran, berani jihad, tak takut mati kerana Allah.”

Malam sepi. Kampung Sayung berbungkus dalam cahaya purnama. ‘Alimin - pemuda bujang-, terkenang akan madah ibunya dan kalamnya sendiri. Percakapan mereka pada malam Lailatul Qadar. Bulan Puasa. Lebih sepuluh tahun lalu. Madah ibunya sebuah madah wasiat kepada dirinya. Anak jantan.

Pada malam itu, ‘Alimin duduk atas kerusi tua tepi jendela. Harum bunga melati di pohon yang menemani rumahnya membuai dan meresap ke dalam paru-paru dan jantungnya. Dari situ dua biji matanya memanjat puncak gunung Sayung dalam pelukan awan kelabu. Rindu kepada ibunya bukan kepalang. Rindu. Sedih. Sayu memamah hatinya.

Sebulan yang lalu, malam Lailatul Qadar juga, ibunya telah dijemput Tuhan ke alam baqa. Ibu dan bapanya berada di syurga. Mereka menunggunya di sana. Begitu harapan ‘Alimin.

“Ya Allah! Ampunkanlah dosa emak, dosa ayahku. Kau masukkanlah hamba-hamba-Mu itu ke dalam syurga-Mu dengan reda-Mu, amin,” madah doa ‘Alimin kepada Allah, terluah dari celah dua bibirnya.

Alimin mengalihkan dua bola matnya dari puncak gunung. Dia mencampakkan renungannya ke sekitar perut rumahnya. Rumah pusaka peninggalan ayah dan ibunya. Rumah kayu beranjung dan berbumbung lima. Sepi bagaikan dalam perut gua. Sedih meratah hatinya.

Alimin masih ingat; patriot-patriot tanah air pernah singgah di rumah ayah dan ibunya itu. Mereka itu, Dr. Burhanuddin Helmi, Ishak Haji Muhamamad, Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Ahmad Boestamam, Abdullah C.D., Abdul Rashid Maidin, Mat Judin, Behran, Ustaz Zulkifli Muhammad dan Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan.

Bunyi ungka jantan galak, atas pokok tualang, dalam gunung Sayung. Sedu pungguk merindukan bulan dara, di sebalik awan kelabu.

“Hai pungguk, kamu zikir nama Allah, orang jahil kata kamu rindukan bulan,” basik ‘Alimin.

‘Alimin bingkas bangun dari kerusi tua tepi jendela. Dalam cahaya lampu yang suram, dia berjalan ke arah meja tua, di sudut anjung rumah itu. Di situ dia mengambil sebuah Quran yang berbalut dengan kain hitam. Kitab wahyu Allah itu telah dibawa oleh bapanya dari Madinah. Bapanya seorang mualim yang berpegang kepada al Quran dan as Sunah. Kini kitab suci itu menjadi pusaka amat berguna baginya.

‘Alimin mengeluarkan Quran itu dari balutan kain hitam. Kitab kudus itu di angkat dan dijunjungnya. Sebaik-baik sahaja selesai mengucup kitab suci itu, dia membuka setiap lambarannya. Dari halaman pertama surah Al Baqarah (lembu betina) sampai kepada surah Al Anfal (rampasan perang).Surah Al Baraah (kebebsan), ditatapnya. Bapanya telah menggariskan dengan tinta merah di bawah beberapa ayat dalam surah-surah itu.

Alimin telah menghayati satu demi satu ayat-ayat yang bergaris merah di bawahnya. Pada waktu itu Allah dan para malaikat amat dekat dengannya. Dia seorang anak lelaki yang berani. Pada bila-bila masa dia sedia berjihad demi Allah dan kerana agama Islam. Hatinya rela benar darahnya memancut, tumpah atau melimpah ruah membasahi bumi. Daging dan urat sarafnya berkecai. Tulang dan belulangnya bergelimpangan dan berserakan di mana. Kalimat-kalimat jihad, …perang, …jihad, …perang, …jihad, …perang, membakar semangatnya. Marak. menjulang pucuk unggun apinya.

Perangilah mereka sampai tidak ada fitnah, dan agama seluruhhnya bagi Allah.

Hai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan pasukan (musuh), hendaklah kamu berpendirian teguh dan ingatkan Allah sebanyak-banyaknya.’

Kalau kamu menemui mereka dalam peperangan, cerai beraikan mereka (sehingga dapat menakutkan) orang-orang yang di belakang mereka.’

Dan orang-orang Yahudi mengatakan Uzir anak Allah. Dan penganut-penganut Kristian mengatakan Al Masih anak Allah.’

Mereka mengambil mualim dan paderi mereka menjadi Tuhan.’

Berjuanglah dengan harta dan diri kamu pada jalan Allah.

Hai Nabi! Perangilah orang-orang kafir dan munafik itu dan bersikap keras kepada

mereka.’

Bapa ‘Alimin adalah salah seorang dari ahli-ahli parti politik Islam pertama di Tanah Semenanjung Melayu, Hizbul muslimin (parti orang-orang Islam). Dipimpin oleh Allahyrham Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Gunung Semanggul, pada tahun 1945.

Insya Allah, ayah, ‘Alimin akan jihad. ’Alimin tak akan biarkan agama kita dipecacai orang,”bisik ‘Alimim seraya memasukkan semula Quran itu dalam kain hitam.

Pada siang tadi ‘Alimin telah pulang dari sekolahnya, Darul Maarif, di utara. Dia pulang dengan menaiki bas ekspres dari Butterworth. Qismul ali tahap kelulusannya ; sama taraf dengan tingkatan enam atas. Kelulusan itu melayakkan dia melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti Islam di seluruh dunia. Semenjak dalam qismuth thanawi - menengah-, dia bercita-cita untuk melanjutkan pelajarannya ke universiti, di Iraq. Di bumi tempat bersemadi cucu Nabi Muhammad, Hasan dan Husin. Bumi itu juga tempat bekas dan fakta sejarah keagungan Islam. Di sana juga berkuasa - pemimpin negara republik, Saddam Hussein. Pemimpin musuh ketat Yahudi atau Zionis dan penjajah - penjajah dunia.

‘Alimin masih terperosok dalam rahang duka. Dua bulan yang lalu ibunya telah berpindah dari rumah itu ke alam akhirat. Jenazahnya di semadikan dalam bumi di sisi suaminya di tanah pusara di kampung Sayung. Kira-kira seminggu ibunya telah dimamah sakit tua. Ajalnya tiba dan dia menyusul suaminya yang sedang menunggunya di alam Akhirat. Mungkin dia menanti di pintu syurga. Lelaki pejuang tanah air itu telah meninggal dunia pada masa puteranya,‘Alimin berusia lima tahun.

Beberapa jam sebelum ibu ‘Alimin menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia telah membisikkan kepada anaknya:

“…’Alimin, …kuatkan iman pada Allah”

“Ia, emak.”

“Jihad pada jalan Allah, dengan harta, diri kamu…’Alimin.”

Insya Allah, emak”

“Kalau ada perempuan ucap kasih kepada kamu, kamu cintakkan dia.”

Insya Allah,emak.”

“Kamu cintakan dia, macam tanah liat pada labu tanah…”

Insya Allah,emak.”

“…tanah liat, labu tanah satu,”

“Ia, emak”

“…orang tak sebut tanah liat,… orang kenal labu tanah.”

“Ia,emak.”

“…walaupun wacananya hitam.”

“Ia,emak.”

“…tapi itulah cinta.”

“Ia, emak.”

“Alimin, …kamu kasihkan kekasih kamu macam kamu kasihkan emak.”

Insya Allah, emak.”

*** ***

Labu tanah - labu Sayung telah mendapat pasaran yang baik. Labu tanah telah menjadi perhiasan dalam istana-istana raja, banglo- banglo para hartawan, gedung-gedung budaya, dewan-dewan korporat dan di hotel-hotel mewah.

‘Alimin telah melihat beberapa biji labu tanah dijadikan perhiasan taman, di Jalan Parlimen, Bandaraya Kuala Lumpur. Labu-labu tanah itu bertenggek pada batu kukuh. Dari mulut semua labu itu mengalir keluar air jernih. Air itu bagaikan memuntahkan rasa kebencian kepada kemaksiatan yang menjadi perhiasan bandar raya itu.

“…boleh jadi simbol ketuanan Melayu, mungkin juga labu tu marahkan menteri, Datuk Bandar benarkan macam-macam maksiat menjalar,…meliar di merata-merata perut bandar tu,”hati ‘Alimin bersuar.

‘Alimin pewaris tukang labu tanah. Dia menjalankan perusahaan yang telah ditinggalkan oleh ibu dan bapanya. Semua labu tanahnya dipasarkan melalui peraih-peraih, Mat Tekang, Zulkifli,Uda Endut, Mat Lajim dan beberapa orang lagi. Mereka mengedarkan labu-labu tanah buatan ‘Alimin dan orang-orang kampung Sayung ke bandar-bandar besar di seluruh negara.

Ketua kampung telah menasihatkan ‘Alimin supaya meminjam wang dari institusi kewangan untuk menjalankan perusahaannya. Kata ketua kampung itu, kerajaan telah banyak membantu wang kepada orang-orang kampung menjalankan perusahaan cara kecil-kecilan. Tetapi ‘Alimin tidak mahu meminjam. Wangnya masih ada untuk menjalankan perusahaan itu. Wang simpanannya sendiri telah digunakan untuk menjalankan perusahaan labu tanahnya.

“Alimin tahu, kerajaan memang membantu orang-orang kampung. Kadang-kadang antara pemberi dengan penerima ada karenah. Sementara menunggu bantuan; kalau tidak membina angan-angan melangit, maka akan samalah dengan ‘menang sorak kampung tergadai’.

Tanah liat yang boleh dibuat labu tanah banyak dalam tanah pusaka ibu dan ayah ‘Alimin. Tanah liat itu dikorek dengan pencebak dan cangkul. Dari lubang besar bagaikan kubang badak sumbu atau lombong kecil itu, tanah liat itu diangkut ke bangsal dekat rumahnya.

Semenjak ‘Alimin belajar tafsir Quran - Allah telah mencipta manusia dari tanah liat -, dia telah belajar serba sedikit mengenai tanah tanih. Di negeri Perak terdapat banyak jenis tanah liat yang boleh dibuat bermacam-macam benda untuk keperluan manusia. ‘Alimin telah mencatatkan jenis-jenis tanah liat (clay) dalam buku ‘dana ilmunya’:

Di kampung Sayung sesuai untuk buat labu tanah.

Di Jelapang dekat Ipoh, tanah liat (clay) yang boleh buat seramik atau tembikar.

Di Bidor tanah liat ( Kaolin) (tanah liat) untuk membuat tembikar, campuran minyak gris (grease) - pelincir besi jentera -, ubatan dan alat bagi keperluan kesihatan manusia.

Tanah liar (clay) di Bercham dekat Ipoh sesuai untuk membuat pasu bunga

dan tempayan.

Tanah liat untuk dijadikan batu bata, periuk dan buyung terdapat banyak di kawasan Jalong, Sungai Siput Utara dan Bruas, Manjong.

Semua jenis tanah liat boleh dijadikan kulit (cover) bom jerangkap samar, bom Molotove, bom minyak, bom api dan bom kimia.

‘Alimin menggunakan bansal tua bengkel labu tanah peninggalan ibunya. Dengan pengetahuan dan pengalaman yang diwarisi dari ibunya dan dipungut dari dua tiga orang tua tukang labu tanah di kampungnya, dia menyambung kerjaya ibunya.

“…kita nak tahu mahir atau tidak, kreatifke, tidakke orang yang menempa labu tanah, dapat kita tengok dari labu tu juga,”kata ‘Alimin kepada dua orang pembantunya.

Dua orang pembantu setianya menjadi tenaga-tenaga mahir di bengkel labu tanah itu. Mereka memilih. Menyaring. Mengayak tanah liat yang telah dikeringkan. Menempa. Mengukir hingga membakar labu-labu tanah yang telah siap ditempa.

Dua orang pembantunya itu, Anjang Mat Ali dari Changkat Lada dan Kulup Mat Jihin dari kampung Bendang Kering. Mereka mewarisi kemahiran menempa labu tanah dari datuk dan nenek mereka.

Tiga orang perempuan; dua orang janda, Bedah dari kampung Sayung Lembah dan Itam dari kampung Kandang, bekerja sebagai pembantu menempa dan membakar labu tanah. Seorang gadis, Mimi - adik saudara ‘Alimin sebelah ibunya, bekerja sebagai kerani.

“ Mimi, kerjalah di sini dulu sementara dapat kerja di tempat lain,” ‘Alimin berkata kepada Mimi.

“Tak apa abang, biar Mimi kerja di sini, Mimi tak harap kerja di tempat lain,”sahut Mimi.

“Bukan apa, Mimi, abang ni tak boleh di harap sangat, …macam anak dagang, sampai masa entah di mana rantaunya,” balas ‘Alimin.

“…ngapa, abang, ngapa abang cakap begitu?” Mimi bertanya.

Hati Mimi diratah risau. Sedih.

‘Alimin senyum. Renungannya memeluk Mimi. Degup jantungnya kencang.

“Tak ada apa, Mimi,…abang ada cita-cita nak melanjutkan pelajaran abang,” jawab ‘Alimin.

“Oo, begitu, …tak apa, abang pergi belajar, Mimi uruskan perniagaan abang ni,”kata Mimi.

“Mimi sanggup?” Tanya ‘Alimin.

Angguk.

“ Tapi Mimi kena pandai buat labu,” kata ‘Alimin.

Mimi senyum.

“Mimi minta maaf, abang, buat labu ni macam orang beranak juga,…bila dah belajar pandaile…” Mimi berkata. Dua biji matanya memeluk tubuh ‘Alimin.

‘Alimin diam. Dia senyum.

“Ngapa abang?”

“Tak apa. Mimi pandai.”

“Abang lagi pandai.”

Kulup Mat Jihin memanggil ‘Alimin. ‘Alimin beralih dari sisi Mimi. Dia berjalan ke hujung bengkel mendapatkan tukang labu tanah itu.

Mimi berdiri tercegat di sisi meja. Sedih memamah hatinya. Abang saudaranya akan meninggalkan kampung halamannya. Dia akan ditinggalkan.

Dalam taman hati Mimi telah lama berputik rasa cinta kepada ‘Alimin. Belum sempat bunga itu kembang, dia akan ditinggalkan pula.

“…Mimi cintakan dia, tapi dia tak tau…,” Mimi bersungut sendirian.

Mimi sedar, ‘Alimin abang saudaranya, macam abang kandungnya sendiri. Dia tidak berani meluahkan perasaan cintanya kepada pemuda itu. Mimi mengaku abang saudaranya seorang yang alim. Warak. Bersopan. Tetapi, bagaimana perasaan cintanya kepada abang saudaranya kian mengembang dalam hati daranya?

“…dia dah ada kekasih agaknya?” Mimi bertanya kepada dirinya.

Mimi teringat, pada satu malam, dia telah mendengar percakapan antara ibu dan bapanya mengenai ‘Alimin.

“…’Alimin tu baik, bang,”kata isteri.

“Tu abang tau, tapi…,” sahut suami.

“Apa, bang?” Tanya isteri.

“…anak kita, Mimi tu tak belajar agama Islam, ‘Alimin tu alim, tau bahasa Arab pula tu,mana sepadan,”jawab suami.

“Abang Tanyale dia dulu, jangan-jangan dia tu ada hati pada anak kita tu,”kata suami.

“Heee, minta maaf, abang tak berani,” sambut suami.

“…dah tu, siapa yang berani bang?” Tanya isteri.

“Dah tu?” Suami menagih jawapan.

“…Milah tak,…eee taaak, dia anak saudara abang,”jawab isteri.

“Dah tu,…biar Mimi Tanya,”kata suami.

“ Merepek abang ni,…apa kata ‘Alimin,” sambut suami.

“ Apa,… dia tak kata apa,”kata suami.

“Dia tak katale, …tapi Mimi tule.”sambut isteri.

“…ngapa?” Suami bertanya.

“Macam telaga cari timba kata orang,” jawab isteri.

Mereka ketawa terkekeh-kekeh.

“Kita tunggu…”suami berkata.

“Ialah,”sambut si isteri macam orang kempunan.

Mimi menyesal. Sesalnya tak berkesudahan. Dulu ‘Alimin pernah menasihatinya supaya melanjutkan pelajaran ke sekolah agama, di Padang Rengas, Bagan Datoh, Gunung Semanggol, Kedah atau Kepala Batas, Pulau Pinang, tetapi dia sendiri tidak mahu menerima nasihat ‘Alimin. Mimi tidak yakin dengan pelajaran dari sekolah agama. Dia boleh hidup mewah macam orang-orang yang menuntut di sekolah kebangsaan kerajaan. Dia menganggap semua bekas penuntut sekolah agama ‘tak ke mana’. Mereka tidak layak memegang jawatan kerajaan. Mereka hanya layak menjadi imam masjid, noja atau siak, lebai kampung tukang, jurunikah, baca doa tahlil atau doa talkin.

Apabila Mimi menuntut dalam tingkatan lima di Sekolah Perempuan Kerajaan Kuala Kangsar, dia telah membaca catatan sejarah; ramai orang-orang lepas sekolah agama menjadi pejuang tanah air, pegawai kerajaan, wakil rakyat dan menteri kerajaan pusat.

Dato’ Haji Hassan Yunos Menteri besar Johor, bekas penuntut sekolah agama Ehya Asy syarif,Gunung Semanggol, Datuk Mohd.Asri Haji Muda bekas penuntut sekolah agama, ad Diniah, Padang Rengas menjadi Menteri besar Kelantan, Datuk Haji Ahmad Badawi ahli exco kerajaan Pulau Pinang lepasan sekolah agama di Kepala Batas, beberapa orang menteri, di antaranya Abu Bakar Hamzah pernah menjadi Setiausaha Parlimen,Datuk Mohd.Yusof Nor, Datuk Abdul Hamid Othman menjadi menteri. Dato’ Nik Aziz memegang jawatan Menteri Besar Kelantan.Ramai beks penuntut sekolah agama menjadi wartawan dan pengarang terkenal.

“Ramai pejuang tanah air, pejuang kemerdekaan pada masa penjajahan British, lepasan sekolah agama, sekolah rakyat,” ‘Alimin pernah menyelitkan kata-kata demikian pada waktu dia menasihati Mimi.

“Kita belajar untuk mendapat ilmu, bukan untuk jadi hamba orang,…bila banyak ilmu kita boleh menjadi manusia bebas, jadi ulul al bab dalam bahasa Arab, iaitu intelek atau cendekiawan,”kata ‘Alimin.

Kini kesedaran dan keinsafan mendewasakan mimi. Abang saudaranya alim. Dia menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Di rumahnya banyak buku dan majalah bahasa Arab dan majalah bahasa Inggeris. Dia sendiri hanya membaca buku- buku bahasa Melayu dan Inggeris yang tidak ke mana isinya. Buku dongeng Melayu, Hang Tuah dibacanya berulang kali sampai otaknya menjadi biol. Majalah filem, artis dan yang tidak membentuk fikirannya menjadi kemanusiaan cendekiawan.

Mimi tahu dia berpenyakit angau. Penyakit yang menjadi wabak kepada anak-anak muda di seluruh dunia. Dia amat tahu, penyakit angau termasuk dalam kumpulan gila juga. Gila bayang, syok sendiri, cinta buta, cinta monyet dan banyak angan-angan.

“…kita yang kasihkan orang, orang tak kasihkan kita,…entah-entah dah ada orang lain,”suara hati Mimi.

“Aku cintakan abang ‘Alimin,” hati Mimi menjerit.

*** **

Tengku Intan - gadis berlesung pipit -, tubuhnya berbungkus dalam pakaian biru muda. Dua puntung kakinya terpacak atas rerumput hijau basah dalam taman mahligainya. Udara pagi Isnin yang dingin berhembus lembut meraba seluruh Bukit Chandan. Tubuh dara berdarah campuran Aceh dengan Pattani itu, menggigil dalam pelukan udara sedingin itu. Dua bola matanya yang bersinar indah merenung kuntum-kuntum mawar merah - kembang segar-, di hujung dahan-dahan berduri lembut, di hadapannya.

“Sekuntum mawar merah,

diusap cahaya pagi,

bayu mengucup kelopak mawar.

Mawar merah.

Kumbang terbang tinggi,

suria kian garang,

mawar mala sendiri.

Mawar merah.”

Tengku Intan membisikkan rangkaian sajak - lerek lagu -, yang ditulis oleh sasterawan Melayu rakan karib bapanya. Bapanya, Tengku Sulong, tidak sempat menggubah - komposkan sajak itu menjadi sebuah lagu dan irama yang merdu. Tengku Intan telah memungut kertas catatan sajak tersebut atas piano dalam bilik musik bapanya, kira-kira seminggu setelah malikatul maut mendatangi seniman diraja itu.

Pada masa hayatnya,Tengku Sulung memegang jawatan penting dalam istana itu Dia seorang seniman; penggubah lagu, pemain alat-alat musik tradisi Melayu –Arab, India, dan Kemboja.

“ ’Alimin…,”suara Tengku Intan.

“ ‘Alimin…,” dia menyebut nama pemuda di kampung Sayung.

“Intan ingatkan you,’Alimin.” Sayu suaranya.

“Intan nak jumpa you, I miss you.” Suaranya dikulum keluhan.

Kuntum-kuntum mawar merah senyum. Bunga-bunga itu turut gembira mendengar suara dara raja membisikkan nama jejaka di seberang. Bunga-bunga juga ada perasaan cinta seperti dara raja itu.

Tengku Intan mencampakkan dua bola matanya yang bercahaya indah, ke puncak kampung Sayung, di seberang Sungai Perak. Dedaun kelapa dan durian, di kampung itu’ melambai-lambai dalam kabus pagi bagaikan menggamitnya ke sana lagi.

“’Alimin…” Tengku Intan membisikkan nama pemuda itu.

“Intan nak ke sana,” suara Tengku Intan bagaikan membisikkan di cuping telinga pemuda tukang labu tanah di seberang.

Semalam, Tengku Intan dan rakan-rakan sekolahnya, Kalthom, Khadijah dan Zainab telah melawat ke bengkel labu tanah milik ‘Alimin, di kampung Sayung. Mereka bekas penuntut tingkatan enam atas telah lama merancang untuk melawat tempat orang-orang kampung Sayung menempa labu tanah. Mereka meminati pengetahuan sejarah, kemasyarakatan dan politik. Kampung itu telah tercatat dalam sejarah negeri Perak; sebuah kampung wujud tenaga mahir menempa labu-labu tanah. Redio mengisahkan mereka. Kaca tv sering menayangkan gambar-gambar dan cerita mereka. Tengku Intan dan rakan-rakannya mahu melihat dengan mata kepala mereka sendiri akan kemahiran orang-orang kampung menempa labu tanah - labu Sayung.

Tengku Intan dan rakan-rakannya tidak pernah menduga, di sana mereka akan bertemu dengan seorang pemuda tukang labu tanah - labu Sayung -, ‘Alimin.

Tengku Intan berhati nurani seperti putera puteri raja-raja memerintah negeri Perak pada zaman silam. Rasa rendah diri, bersopan santun, berbudi bahasa, mesra dan menyayangi orang-orang kampung.

Tengku Intan teringat akan percakapannya bapanya pada dua tahun lalu.

“…raja-raja Melayu berasal dari kampung,”kata bapanya.

“ Jadi raja-raja Melayu keturunan orang kampungle ayah?” Tengku Intan bertanya.

“Ia, sebab tule ada kata-kata sulit dalam istana, cakap jin kerajan,”jawab Tengku Sulung.

“Apa ayah?” Tengku Intan bertanya.

“ Cakap jin kerajan,…tak ada orang kampung tak adale raja, tak ada raja kalau tak ada orang kampung,”jawab Tengku Sulung.

“Macam mana tu, ayah?” Tengku Intan bertanya. Kurang sabar.

“Sabar, manja, …begini, orang-orang kampung tu raka ayat, rakyat boleh hidup walaupun tak ada raja, tapi raja tak boleh hidup kalau tak ada orang kampung, tak ada rakyat,”jelas Tengku Sulung.

“Iake, ayah?”Tengku Intan bertanya lagi.

“Orang kampung rakyat, raja tu sultan, raja memerintah, kalau dah tak ada rakyat, mana ada raja,.. siapa nak tanggung raja,” Tengku Sulung mengulangi percakapannya sambil ketawa.

Tengku Intan turut ketawa.

“Tapi zaman silam raja susah senang bersama rakyat, tak macam sekarang ni,” tegas Tengku Sulung.

“…ngapa, ayah?” Tengku Intan ingin tau.

“ Iale,…tak macam dulu, raja tak ada kuasa, jadi tukang tanda tangan, cop aje,”jawab Tengku Sulung.

Tengku Intan merenung bapanya. Dia senyum.

“…tak ada immuntiy,…macam raja busut ia, ayah?” Tengku Intan bertanya. Celopar mulutnya.

“…mana ada kebal lagi, la ni rakyat lebih kebal,”jawab Tunku Sulung.

“Dah macam tu, baik ada khalifah, tak payah ada raja, ayah,”sambut Tengku Intan.

“Tak baik kata begitu,” suara Tengku Sulung.

“…Intan minta maaf, ayah,” Tengku Intan merayu.

Tengku Sulung senyum. Menarik nafas panjang-panjang. Hatinya memuji puterinya, gadis bijak.

Sebelum mereka pergi ke kampung Sayung, Tengku Intan meminta rakan-rakannya merahsiakan dirinya. Dia tidak mahu diperkenalkan dirinya kepada orang-orang kampung, sebagi anak raja atau nak orang besar istana. Mereka akan mengenali namanya, Intan sahaja.

Mereka telah pergi ke Kampung Sayung dengan menumpang perahu dari pangkalan Bandar Kuala Kangsar. Perahu itu membawa mereka menyeberang sungai Perak ke Pangkalan Sayung Lembah. Dari sana mereka berjalan kaki ke bengkel labu tanah, di kampung Sayung.

“Saya Intan,”

Darah muda ‘Alimin menyambar jantungnya pada ketika tangan kanan lembut laksana sutera milik gadis itu dijabatnya.

“Saya ‘Alimin, minta maaf tangan saya berselut,” kata Alimin penuh hormat.

Jantung Tengku Intan bergegar dek darah panas dalam daging tapak tangan ‘Alimin menyambar sel-sel darah mudanya. Empat biji mata mereka menyinarkan cahaya sukma masing-masing.

“Tak apa,” sambut Tengku Intan.

Wajah masing-masing berbunga senyuman.

“Maklum sajalah, saya ni orang kampung,” kata Alimin merendah diri.

Tengku Intan menahan gigil tubuhnya. Terasa dua ulas bibirnya menggetar. Degup jantungnya menendang-nendang dinding dadanya.

“Saya orang kampung juga.” Tengku Intan berbohong.

Kalthom, Khadijah dan Zainab turut berjabat tangan dengan ‘Alimin. Jantung masing-masing berdebar dik panas darah tapak tangan pemuda itu menyambar darah mereka.

“Terima kasih ajele, kerana sudi datang ke sini,””Alimin berkata.

“Sama-sama,”suara mereka sekata.

Setelah menjelaskan tujuan mereka datang ke kampung itu, ‘Alimin telah memberi taklimat ringkas mengenai perusahaan labu tanah di bengkelnya. Mereka menikmati jamuan ringan di bengkal labu tanah itu.

Sepanjang hari minggu itu Tengku Intan dan rakan-rakannya menghabiskan masa mereka bersama ‘Alimin. Mereka dibawa oleh ‘Alimin melihat tanah liat di kubang-kubang bagaikan jenalik atau sira binatang liar sekitar dusun. Membelek dan menguli tanah liat. Mereka meneliti labu- labu tanah yang telah dibakar dan belum di bakar dalam bengkel itu. Kerana berminat, mereka ikut membakar labu-labu tanah bersama pekerja-pekerja di bengkel tersebut.

“…kalau datang pada musim buah-buahan, adalah buah durian, manggis, langsat,”kata ‘Alimin kepada gadis-gadis itu.

Mereka sedang menikmati buah rambutan dan mangga dalam dusun ‘Alimin.

Pada hari itu mereka makan di rumah Mimi. Makanan yang mereka nikmati pada hari itu, ikan baung gulai lemak cabai burung, ikan keli bakar, sayur pucuk salang, pucuk kayu berebus dan sambal belacan. Ibu dan bapa Mimi melayan mereka dengan penuh kemesraan.

“…saya duduk di kampung Lembah Istana,” Tengku Intan memberitahu ‘Alimin, Mimi dan ibu dan bapanya.

“Saya duduk di kampung Kota Lama Kiri,”kata Kalthom.

“Saya di kampung Jerlun,”kata Khadijah.

“Saya di Talang Dusun,”kata Zainab.

Tengku Intan terpaksa berbohong. Dia tidak mahu mereka mengenali dirinya.

Lepas makan mereka berehat di rumah ‘Alimin. Di rumah itulah Tengku Intan dan rakan-rakannya mendapat tahu ‘Alimin seorang bekas penuntut sekolah agama. Mereka telah membelek-belek beberapa buah buku berbahasa Inggeris,Arab dan Melayu atas meja tuanya.

Pada waktu gadis-gadis itu akan berangkat pulang, ‘Alimin telah menghadiahkan kepada mereka seorang sebiji labu tanah warna hitam. Berkilat.

“Kalau ingatkan saya, renung-renung labu ni,”kata ‘Alimin kepada Tengku Intan.

Insya Allah,”sahut Tengku Intan sambil menahan degup jantungnya.

Pada petang itu mereka di hantar oleh ‘Alimin dengan van tua ke Pangkalan Sayung. Pada waktu akan menaiki perahu, Tengku Intan bagaikan akan pitam, kerana waktu dia berjabat tangan dengan ‘Alimin, dia terdengar pemuda itu membisik kepadanya, “…selamat jalan, saya tak lupakan Intan.”

“Saya…,” suara lembut terluah dari dua bibir Tengku Intan.

Darah di tapak tangan alimin menyambar jantung Tengku Intan. Empat biji mata mereka menyatakan erti bahasa hati masing-masing.

Cahaya matahari mencubit pipi Tengku Intan. Fikirannya yang telah melayang jauh ke sebrang Suangi Perak telah kambeli semula kepadanya. Senyuman memanjang. Semalam dia telah mencatatkan titik-titik indah dalam sejarah hidupnya.

“…saya tak lupa Intan,” ucapan ‘Alimin manis dan mengasyikkan hati tengku Intan,.

“Baiknya dia, handsom..,I miss you,” suaranya lembu bersama angin pagi.

Pada detik-detik begitu hati Tengku Intan menjerit dan meraung merindukan pemuda yang baik budi di seberang sana.

Mawar merah masih berlenggang-lenggang di hujung dahan. Beberapa ekor burung merbah hinggap pada pepohon dalam taman. Tengku Intan berdebar dari pokok-pokok mawar itu. Hatinya yang merindukan pemuda penempa labu tanah mengocah dirinya.

Pada waktu Tengku Intan berjengket-jengket meninggalkan taman itu, suaranya lembut dan mendu – dayu nyanyikan pantun orang Kedah tua:

Jauh sungguh pergi mandi,

maksud hati hendak bertapa;

berat sungguh menanggung budi,

seribu tahun memang tak lupa.

Tengku Intan akan mengajak rakan-rakannya pergi ke kampung Sayung pada hari Sabtu akan datang. Dia akan berjumpa dengan ‘Alimin. Wajah pemuda itu akan ditatap puas-puas. Biar rindunya terubat. Biar bibit-bibit cinta dalam dirinya berakar dan berumbi.

*** ***

Pada suatu petang, guru agam, Ustaz Adham yang baru pulang dari Brunei telah menziarahi ‘Alimin di bengkelnya. ‘Alimin pernah belajar ilmu tauhid, hadis dan tasawuf pada ustaz itu. Pada masa itu dia mengajar di sekolah agama rakyat di kampung Sayung.

Ustaz Adham bekas ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Dr. Burhanuddin Helmi dan Ishak Haji Muhmmad. Bersama beratus-ratus orang anggota parti itu dan parti Hizbul Muslimin (parti orang-orang Islam) dia telah ditangkap dan ditahan oleh penjajah Inggeris, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Rashid Maidin dan Ustaz Adham serta berpuluh orang lagi pejuang kemerdekaan Tanah Melayu, telah di tahan dalam khemah Tahanan Tanjung Beruas,Melaka. .

“ Orang Sayung, Kota Lama Kanan, Matang Kulim, Kepala Bendang, Kuala Sayung, Sayung Lembah, Bendang kering, Menora, Ramai Tujuh sampai ke Senggang, Manong, Ulu Piol, pendeknya seluruh daerah Kuala Kangsar ni berjuang menuntut kemerdekaan,” terang ustaz Adam.

‘Alim mengangguk.

“Pada masa tu kami berjuang menuntut kemerdekaan,…sebuah negara Melayu, negara Islam, negara berdaulat, perlembagaan berdasarkan Al Quran dan As Sunnah, bukan negara ciptaan Bitis, Yahudi…,” ujar Ustaz Adham.

“Ia, ustaz,” sahut ‘Alimin.

“Kami ada asas perjuangan, jihad,…tak ada erti kemerdekaan, kalau tak wujud negara Islam,” ujar ustaz Adham lagi.

“Benar, ustaz,” ‘Alimin mengaku.

“Tak ada erti apa-apa negara Islam, kalau tak pakai perlembagaan berdasarkan al Quran dan as Sunnah,” Ustaz Adham bercakap penuh imosi.

“Ia, ustaz,”sahut ‘Alimin.

“Ayah meka berjuang sama kami, …dia dalam Hizbul Muslimin,” Ustaz Adham bercerita.

‘Alimin merenung wajah patriotik Melayu itu. Dia mencari-cari fakta cerita pada wajah guru agama di hadapannya.

“Orang putih tau orang Melayu kuat kerana agama Islam,” kata ustaz Adham.

“Ia, ustaz,”sahut ‘Alimin.

“…di mana-mana orang Islam kuat, kalau tak kuat senjata, kuat iman,…kuat perpaduan, persaudaraan Islam,”kata Ustaz Adham.

“Ia, Ustaz,” ‘Alimin mengaku.

“ Orang putih guna orang kita untuk hancurkan perjuangan orang Melayu,” kata Ustaz Adham.

“Siap ustaz?” ‘Alimin baratnya.

Ustaz Adham senyum.

“Maaf, saya tak payah cakap, dia tu pernah jadi Menteri Dalam Negeri dalam zaman penjajah,…tahun 1948 sampai 1951,”jawab Ustaz Adham.

‘Alimin senyum. Dia telah dapat menangkap maksud guru Agama itu. Gambar orang itu indah dalam buku - buku sejarah negara ini. Orang berjasa kepada bangsa Melayu dan tanah air.

“Macam beliung,”kata Ustaz Adham.

“…ngapa, ustaz?” ‘Alimin bertanya.

“Kalau nak tebang pokok besar, orang guna beliung, hulunya kayu, pedadanya kayu berikat rotan, mata beliung di hujung pedada saja besi tajam,”jelas Ustaz Adham.

‘Alimin merenung wajah Ustaz Adham. Senyuman mereka menjadi satu.

“…baru boleh tebang pokok besar tu,”kata Ustaz Adham.

“Ia, sungguh, ustaz,”sahut ‘Alimin.

“Orang putih tak dapat hancurkan perjuangan orang Melayu, demo tu guna orang kita untuk hancurkan orang Melayu,”jelas Ustaz Adham lagi.

Alimin mengangguk.

“Macam orang Yahudi, Peranchis, Amerika guna orang-orang Arab untuk hancurkan bangsa Arab,” kata ‘Alimin.

“Betul,”sahut Ustaz Adham.

“Di Masir Yahudi guna orang-orang kenamaan Arab untuk hancurkan umat Arab,”kata ‘Alimin.

“Macam di Semenanjung Arab, penjajah gunakan orang-orang mazhab Wahabi hancurkan orang Arab Mekah, Madinah, sampai ke Yaman, Qatar dan Iraq,”jelas Ustaz Adham.

“Ia, ustaz,” ‘Alimin mengaku.

“…dalam sejarah kita tercatat hal orang Melayu khianat perjuangan orang Melayu tu, tapi belum dibukukan orang,…sayangnya buku sejarah bangsa kita berpandukan pandangan orang Inggeris, banyak dipesongkan dari fakta sebenar…,”Ustaz Adham berkata sambil merenung wajah bekas muridnya.

“Ia, ustaz, …insya Allah, ada orang yang akan menulisnya tu, ustaz,”kata ‘Alimin.

“Saya harap begitulah, insya Allah,”sahut ustaz Adham.

“La ni ramai benar orang Melayu yang terpengaruh,terikut-ikut,…entahkan terpaksa ikut telunjuk Yahudi,”kata ‘Alimin.

“Ialah, mana taknya, pengaruh Yahudi macam akar-akar dalam bumi,…semua kelab ternama di negara kita ni, di bawah Yahudi, ramai orang-orang kenamaan Islam guna kelab-kelab tu,”sambut ustaz Adham.

“Ia, ustaz,” ’Alimin mengaku.

Ustaz Adham telah datang menemui ‘Alimin dengan menggonggong sebuah hajat orang lain. Berat rasanya hendak menyampaikan maksud orang itu kepada ‘Alimin. Tetapi kerana harapan dan amanah orang, dia memaksakan dirinya berterus terang dengan bekas muridnya itu.

“Air dalam labu tanah boleh jadi ubat, penawar racun, santau, insya Allah,” Ustaz Adham mengalihkan topik percakapan mereka.

“Ia, ustaz, saya pun dah belajar hal tu,”sahut ‘Alimin.

“Ia?”Tanya ustaz Adham.

“Ia, Ustaz, tapi kena baca ayat-ayat Quran,”jawab ’Alimi.

“Ha,… tu, tentulah, Allah Maha Kuasa,”kata ustaz Adham.

“Air labu tanah, boleh jadi penawar sakit barah usus, barah hati, barah payu dara,”jelas ‘Alimin.

Ustaz Adham senyum dan mengangguk-angguk. Sambil bangun, dia mengajak ‘Alimin keluar dari bengkel itu. Hajatnya, agar percakapannya dengan ‘Alimin nanti tidak didengar orang lain, lebih-lebih lagi adik saudara ‘Alimin, Mimi. Mereka keluar dari bengkel itu dan pergi ke rumah ‘Alimin.

“Saya ni ada hajat,”kata ustaz Adham.

“Hajat,…apa hajat tu, ustaz?” Tanya ‘Alimin.

Ustaz Adham senyum. Wajah ‘Alimin ditatap dengan firasat.

“Begini, ayah cu kamu tu minta saya sampaikan…,” Ustaz Adham berkata.

“Apa, ustaz?” ‘Alimin bertanya.

“ Dia, Emak Usu kamu berhajat nak jodohkan anaknya, Mimi tu dengan kamu,” Jawab Ustaz Adham.

Alimin tercengang. Bagaikan orang kena pukau.

“Macam mana?” Ustaz Adham bertanya.

Alimin tunduk.

Ustaz Adham merenung wajah ‘Alimin. Dia menunggu jawapan.

“Beginilah, ustaz, …saya tak sanggup,” Jawab ‘Alimin.

“…ngapa?” Ustaz Adham bertanya.

“Walau pun Mimi tu adik saudara saya, tapi saya anggap dia tu macam adik kandung saya sendiri, ustaz,”jawab ‘Alimin.

Ustaz Adham diam.

“Kalau dah macam tu, nak kata apa lagi,”kata Ustaz Adham.

‘Alimin merenung wajah ustaz Adham. Wajah gurunya wajah orang yang menghafal wahyu Tuhan. Pada wajahnya tercatat banyak kisah jihad - perjuangan suci orang Melayu.

“…saya tak lama di sini, saya nak melanjutkan pelajaran saya di universiti luar negeri, ustaz,”jelas ‘Alimin.

“Di mana tu, universiti Al Azhar, Mersik?”Tanya Ustaz Adham.

Insya Allah, kalau tak Jordan, Iraq, ustaz,” jawab ‘Alimin.

Al hamdulillah,”Ustaz Adham mengucap syukur.

“Dah tu macam mana bengkel labu tanah tu?” Tanya ustaz Adham.

“…saya akan serahkan kepada Mimi, dia dah pandai berniaga,”jawab ‘Alimin.

“Baguslah tu,”sambut Ustaz Adham.

“Tak apalah, ustaz, hal tu…saya akan bincangkan dengan Mimi, Pak Usu, Mak Usu,…deme tu dah ganti emak, ayah saya,”kata ‘Alimin.

“Kalau macam tu baguslah,”sambut Ustaz Adham.

*** ***

Mimi meramas-ramas tanah liat basah dalam bengkel. Tanah liat itu berair,lembik, meleleh dan menyelemuhi jari jemari dan dan sepasang tangannya. Macam orang uli tepung. Bagaikan meramas isi durian tempoyak.

Mimi terperosok dalam rahang resah. Gelisah. Cemburu.

Semenjak kedatangan tiga orang gadis ke kampungnya pada hari Ahad lalu, telah tumbuh perasaan cemburu dalam hati Mimi terhadap mereka. Mana tau salah seorang dari mereka berjaya menawan hati abang saudaranya. Mana tau abang saudaranya jatuh hati kepada salah seorang dari mereka itu. Mana tau ketiga - tiga gadis itu jatuh cinta kepada ‘Alimin.

Mimi amat cemburu kepada Tengku Intan. Gadis berlesung pipit pada dua belah pipinya. Dua ulas bibirnya bak ulas limau. Dua buah telaga matanya jernih, indah.

“…nak buat macam mana kalau abang sukakan dia,”bisik Mimi.

Wajah Mimi muram. Dikebamkan bibir bawahnya.

“Aaaa, ni tak syok, ni…,” dia bersungut.

Mimi hairan. Abang saudaranya, ‘Alimin bagaikan sami Budha bila berhadapan dengannya. Macam tidak ada perasaan lelakinya pada diri. Macam pondan. Macam Darai .Macam bapuk bila berhadapan dengannya. Percakapannya lurus. Cahaya dua matanya bagaikan cahaya dua mata bapa atau abang kandungnya. Tidak ada perasaan nafsu jentina terhadap dirinya.

“Aku tak cantikke, tak seksike?” Mimi bertanya pada dirinya sendiri depan cermin besar.

Dia menggoyang-goyangkan tubuhnya. Mana-mana yang penuh isi dan muntuk jadi bergoyang-goyang bagaikan agar-agar dalam piring.

“Aku cantik,apa?...pipi pauh dilayang, hidung mancung bak seludang, dagu lebah bergayut, mata bintang kejura,” Mimi merengek-rengekkan kata-kata dalam cerita purba Melayu.

“Orang cantik tak berpengetahuan, macam buih hanyut di muara.”

“ orang cantik tak beradab macam buih kencing lembu atas padang.”

“ orang perempuan cantik ada pengetahuan, ada adab, budi bahasa

macam bunga harum, macam bintang di langit, macam bidadari

syhurga.”

Entah dari mana datang bisikan begitu. Bisikan pengetahuan itu menyumbat lubang telinga Mimi.

Dari hadapan cermin besar itu, Mimi mengheret dua puntung kakinya keluar dari biliknya. Senyumannya berkulum.

Pada tengah hari Sabtu, ‘Alimin berdiri dekat Mimi dalam bilik pejabatnya. Direnung wajah Mimi dengan renungan biasa. Senyuman biasa. Mimi merenung wajah abang saudaranya. Kata-kata dari pemuda itu ditunggu-tunggunya.

“Mimi,”

“Ia, bang, ada apa, bang?”

“Petang ni Mimi tak ke mana kan?”

“Tak, ngapa, bang?”

“Abang nak ajak Mimi pergi ke Kuala Kangsar.”

“Buat apa bang?”

“Abang belanja Mimi, kita makan sate.”

“Nak, abang, boleh bang.”

“Beritahu emak.”

“Ia,bang.”

O.K., lepas sembahyang Asar, kita pergi.”

“Baik,bang.”

Setelah ‘Alimin pulang ke rumahnya, Mimi dilambung rasa gembira. Itulah kali pertama abang saudaranya mengajak dia ke Kuala Kangsar. Julung kali Alimin akan belanja dia makan sate.

Pada petang itu ‘Alimin bersama Mimi dalam van tua mengembara ke bandar Kuala Kangsar. Mereka melalui jalan raya Kota Lama Kanan dan keluar ke Jabatan Iskandar, di Enggor. Dari sana mereka melalui Padang Ampang, Kota Lama Kiri dan masuk ke bandar diraja Kuala Kangsar.

Mereka singgah di sebuah pasar raya. Mereka mengembara dalam perut pasar raya itu. ‘Alimin telah membelikan Mimi sepasang baju kurung, beberapa pasang -pakaian lain dan sepasang kasut kulit warna hitam. Beberapa jenis makanan kering dan basah dibelikan untuk Pak Usu dan emak susunya.

Dari pasar raya itu mereka masuk ke jalan Kangsar hingga ke bulatan persimpangan ke Manong. Dari sana mereka berpatah balik ke hadapan pejabat pos dan jam besar. Van membelok ke kanan dan menuju ke tepi sungai Perak. Di sana ada pasar rakyat. Labu tanah, parang, golok, parang,cangkul dan aneka hasil pertukangan tangan orang Melayu dijual dalam warung-warung di situ. Beberapa buah warung pula menjual beraneka jenis makanan.

“Kita makan sate,”kata ‘Alimin.

“Baik, bang,”sahut Mimi.

Mereka masuk ke sebuah warung menjual sate.

“Mimi boleh makan lima puluh cocok sate?” Tanya ‘Alimin.

“Haaa, lima puluh,…lima cocok pun tak lalu,”jawab Mimi.

Kalau macam tu, Mimi ni bukan harimau Jawale,”gurua ‘Alimin.

Mereka ketawa.

“Abang harimau apa?” Gurau Mimi pula.

“Harimau Sayung,”sahut ‘Alimin.

Mereka ketawa lagi.

“Tak pernah makan orang pun,”kata Mimi.

“Kalau makan orang, dah lama orang-orang kampung Sayung tu habis,…Mimi pun sekali,”sahut ‘Alimin.

“Eee, abang ni, ta k baik tau, Mimi pun abang nak makan,”kata Mimi. Manja.

“Dah tu, harimau, tak kira siapa,…ngap,”sambut ‘Alimin.

Mimi ketawa. Tawa mereka sama.

Mimi menghulurkan hujung sate ke mulutnya. Dikunyah daging sate itu perlahan-lahan.‘Alimin membenamkan secocok sate dalam kuah. Dibiarkan sate itu terbenam di situ.

“Mi, boleh abang nak cakap sikit?” ‘Alimin bersuara sambil merenung wajah Mimi.

“Apa, bang, cakaplah,”jawab Mimi.

‘Alimin senyum. Dia masih merenung wajah Mimi. Gadis itu gelisah jadinya. Degup jantungnya bagaikan menendang-nendang dinding dadanya sendiri.

“Tak ada apalah, sekadar nak tanya,” kata ‘Alimin lalu mengambil sate dalam kuah dan menyuap ke mulutnya.

Sebaik-baik daging dalam mulutnya ditelan. Dia meletakkan cocok sate yang berbaki daging itu dalam piring kuah.

“Abang tengok dalam tiga empat hari ni Mimi macam sedih aje, ngapa?” “Alimin bertanya.

“Ha,…tak, bang, tak sedih,”jawab Mimi. Gugup.

“Iake?” Tanya ‘Alimin.

“Ia, bang,”jawab Mimi.

“…tapi, abang tengok banyak kerja Mimi tak siap,…kira-kira kewangan bulan ni yang Mi buat tu tak kena nampaknya,”kata ‘Alimin.

“Iake, bang, Mi minta maaf, abang,”kata Mimi.

“Tak apa,”kata ‘Alimin.

Mimi tunduk. Dia mengaku kesilapannya.Kalau boleh pada detik-detik begitu dia akan menjerit. Dia akan jeritkan kata-kata, “…runsing-runsing,…aku cemburuuuuu.”

“Begini Mimi, abang nak Mimi kerja bersungguh-sungguh, buat macam kerja Mimi sendiri, hak Mimi sendiri, perusahaan dan perniagaan Mimi sendiri,”kata ‘Alimin.

“Baik, abang,”sahut Mimi.

“Abang ni, tak lama lagi di sini,”kata ‘Alimin.

“Abang nak ke mana pulaaa?” Tanya Mimi.

“Abang nak belajar nak melanjutkan pelajaran abang di universiti,” Jawab ‘Alimin.

“Di mana,abang?” Mimi bertanya.

Hati Mimi dikopak sedih.

“…kalau tak di Jordan, di Iraq,” Jawab ‘Alimin.

“Bila, abang?” Mimi bertanya.

Mimi menahan air matanya yang akan melimpah dari dua telaga matanya.

“Mungkin sebulan bulan lagi, abang tunggu jawapan…,”Jawab ‘Alimin.

‘Alimin merenung wajah adik saudaranya. Air jernih menggenangi dua telaga mata Mimi lalu melimpah dan mengalir atas dua belah pipinya.

“Tak usah ngangis, tak elok nangis,…makan sate tu,”kata ‘Alimin.

‘Alimin senyum.

“Uuu…, abang ni,”rungut Mimi.

“Abang yang nak pergi, Mimi pula yang nangis,” ‘Alimin bergurau.

“Tule abang,…abang tak tau hati Mimi,”suara Mimi manja.

“Mimi nak makan apa lagi,…mee, rojak, nasi,” ‘Alimin bertanya.

Mimi geleng-geleng. Disedutnya air laici yang berbaki dalam gelas dengan stro. Air matanya luruh atas lengannya.

“…kalau air mata bercampur dengan air laici, boleh jadi penawar tau,”usik ‘Alimin.

“…Mimi tak sakitle, abang,”kata Mimi manja.

‘Alimin ketawa. Dia telah dapat memahami perasaan adik saudaranya.

Setelah selesai makan, mereka keluar degan membawa sebungkus sate dan dua bungkus mee goreng untuk Mak Usu dan Pak Usu.

Azan Maghrib berkumandang seluruh kampung Sayung. ‘Alimin dan Mimi tiba di halaman rumahnya. Pada waktu turun dari van, Mimi terasai diri sedang menghadapi dunia luas ini dengan optimis. Tetapi dia masih meraba mencari jawapan. Adakah abang saudaranya mencintai dirinya?

“Abang datang ke rumah,”jamput Mimi.

“Lepas sembahyang, abang datang.” sahut Alimin.

“Ialah,”sahut “Alimin.

Mak Usu dan Pak Usu berdiri di jendela merenung ke arah mereka.

*** ***

Air sungai Perak jernih berkaca. Beralun. Berlenggang dalam cahaya matahari pagi minggu yang indah. Air mengalir dalam perut sungai antara Kota Lama Kanan dengan Kota Lama Kiri. Mengalir lagi antara bandar Kuala Kangsar dan kampung Sayung dan terus ke hilir bagaikan merajuk tidak berkesudahan.

Perahu motor membawa penumpang dari pangkalan di lembah bandar Kuala Kangsar menyeberangi sungai Perak ke penambang kampung Sayung Lembah. Tengku Intan duduk atas bangku panjang sambil tangan kanannya bermain air sungai yang dingin.

“…harap-harap dia ada,…aku nak jumpa dia,” hati Tengku Intan bersuara.

Tengku Intan tidak sabar menanti perahu tiba ke pangkalan. Bunyi deru motor perahu itu terasa baginya seperti melambatkan perjalanannya ke bengkel labu tanah. Di sana dia mahu bertemu dengan ‘Alimin. Terlalu lama dirasanya, telah seminggu dia tidak menatap wajah pemuda itu terasa parah benar rindunya.

“Iake aku ni jatuh cinta pada dia?” Hati tengku Intan bertanya kepada dirinya sendiri.

“Iale tu, gadis apa kalau tak faham cintake atau tidak,”hatinya berkata lagi.

“Ingat Tengku, dia tu alim, warak,…kalau Tengku ego, sombong, tak berada, dia tak akan terima Tengku,…Tengku juga yang derita dalam cinta tak menjadi,”hatinya mengingatkan dirinya.

“Tu aku taule,”sahut Tengku Intan.

“…tengok, tak pakai tudung kepala, macam orang tak ada agama, nak jumpa dia?”Hatinya bertanya.

“Tak apa, lain kali aku pakai tudungle…,”jawab Tengku Intan.

“Ingat tau, orang perempuan Islam berdosa tak tudung kepala, tau dosa?” Tanya hatinya

“Tu aku tauuuu….,”jawab Tengku Intan.

“ Kalau tau baguslah,…jangan Tengku ingat darah raja, daging raja, tulang raja tak dimakan api neraka,”jerkah hatinya.

“Aku tau, aku ada belajar…,”sahut Tengku Intan.

Perahu tiba di pangkalan. Penumpang - penumpang lelaki, perempuan dan kanak-akanak turun menjejak pelantar penambang. Tengku Intan bangun dari bangku panjang dan mengikuti penumpang-penumpang turun dari perahu. Dia menjinjit sebuah bujam berisi makanan untuk’Alimin.

Tengku Intan terpaksa pergi seorang diri ke sana. Rakan-rakannya tidak dapat bersamanya kerana masing-masing ada hal yang mesti diuruskan.

Pada waktu Tengku Intan berdiri menunggu kereta sewa untuk ke bengkel labu tanah, tiba-tiba seorang lelaki kundang istana, Mat Ros menyapanya.

“Nak ke mana Tengku?”

“ Aaa, Cik Mat Ros,…saya nak pergi ke bengkel labu tanah,”

“Nak pergi dengan apa, bawa kereta?”

“Tak, tunggu kereta sewa.”

“…eh, mari saya hantar, … kalau berjalan jauh, Tengku tu….”

“Ia, terima kasihle.”

“Sama-sama.”

Kereta yang dipandu Mat Ros merayap atas jalan kampung yang bengkang bengkok dan lekuk lekak.

“Tengku nak beli labu tanahke?”

“…aaa, saya nak belajar buat labu tanah.”

“Eh, takkanle, berselut, kotor, laluke, Tengku?”

“Tak apa, orang belajar nak jadi jururawat, jadi doktor kena hadap benda busuk, luka, kudis, cabuk…, bangkai pun.”

Mat Ros ketawa.

“Cek Mat pandai buat labu tanah?”

“Tak pandai,…tiup napiri, pukul gendang nobat taule.”

“O, begitu.”

Sebaik-baik sahaja kereta tiba di jalan masuk ke bengkel ‘Alimin, Tengku Intan meminta Mat Ros tidak memberitahu sesiapa yang dia datang ke bengkel itu. Sambil menghulurkan wang kertas sepuluh ringgit, dia berkata kepada Mat Ros:

“Jangan beritahu nama saya Tengku,…rahsia tau.”

“Baik, Tengku.”

Tengku Intan turun di hadapan bengkel.

“Apale anak raja ni, rupa macam bidadari nak buat labu tanah pula…,”sungut Mat Ros.

Mat Ros bekerja kundang istana. Kalau pada hari-hari kebesaran atau istiadat, dia juga jadi pak pacak atau melakukan kerja yang diperintahkan oleh raja. Kerja kundang istana, gajinya murah, tetapi makan dan minum mewah; makan nasi kawah istana. Kalau pandai boleh cari wang luar menggunakan nama raja.

Ramai orang-orang kampung Sayung bekerja di istana. Tukang tiup napiri, pukul gendang, pukul gong dan dabus. Pendeknya mengguna alat-alat kebesaran jin kerajaan istana, dipegang oleh orang-orang kampung Sayung. Menurut cerita, mereka itu keturtunan orang Bugis dan kesultanan Aceh. Orang berdarah Pattani, Minangkabau, Jawa atau berdarah lain dari Acen dan Bugis tidak boleh melakukan tugas jin kerajaan dalam istana.

‘Alimin dan Mimi menyambut ketibaan Tengku Intan dengan penuh hormat. Walaupun hati Mimi dimamah cemburu terhadap gadis itu, tetapi kerana abang saudaranya berniaga, dia terpaksa mencampakkan perasaan buruk itu dari dirinya. Mimi melayan Tengku Intan dengan mesra.

“…belajar buat labu tanah ni, kena uli tanah liat, macam uuli tepung, “’Alimin berkata kepada Tengku Intan.

“Tak apa,”sahut Tengku Intan.

‘Alimin mengajar gadis itu menempa labu tanah, mengukir atau melarik bunga dan membakar sampai berwarna hitam.

“Labu ni boleh buat bom, tau,”kata ‘Alimin.

“Iake?” Tanya Tengku Intan.

“Ia, buat ikut saiz, pada waktu nak tempa masukkan besi paku, macam-macam besi lagi,…dah tu masukkan alat dinamit atau peledaknya,”jawab ‘Alimin.

“Wau, boleh guna untuk berperang,”kata Tengku Intan.

“Boleh, Intan berani berperang?” ‘Alimin bertanya.

“…kalau tiba waktunya, berani,”jawab Tengku Intan.

“Kalau begitu Intan boleh berkhidmat dalam pasukan tentera, kelulusan macam Intan, tentu tinggi pangkat…,”kata ‘Alimin.

“Saya tak minat jadi tentera,”sahut Tengku Intan.

‘Alimin diam. Dia merenung ke dalam telaga mata Tengku Intan.

“Saya nak jadi tukang labu tanah, sementara saya nak belajar kat London,” Tengku Intan berkata.

“Bagus tu, nak belajar jurusan apa, Intan?” Tanya ‘Alimin.

“Saya minat sains politik , sains kemasyarakatan,”jawab Tengku Intan.

“Bagus tu, boleh jadi ahli politik, pemimpin masyarakat,”kata ‘Alimin.

“Mudah-mudahan, Insya Allah,”kata Tengku Intan.

Mereka berehat seketika.

“Alimin memerhatikan wajah Tengku Intan, dua puntung tangan dan cara dia bercakap’ dia menduga gadis itu egois. ayskin benar dia yang gadis itu berdarah raja. Mungkin dia gadis istana yang pura-pura mengaku orang kebanyakan. Tetapi ‘Alimin tidak mahu bertanya kepada Tengku Intan. Bertanya bererti akan menimbulkan sangkaan. Lebih baik dia mencari sendiri dari mana asal usul gadis manis itu.

“Belajar sains politik, kena belajar sejarah, termasuk sejarah Islam,”kata ‘Alimin.

“Ia, kenake?”Tanya Tengku Intan.

“Ia, kena,…sejarah Rom,Eropah, Asia, …sejarah perjuangan bangsa Melayu, ”Jawab ‘Alimin.

“Kalau macam tu, Intan nak belajar sejarah Islam pada ‘Aliminle,”kata Tengku Intan.

“Apalah ada pada saya, nak belajar pada orang pandai,”kata ‘Alimin merendah diri.

“Dah ngadale tu, ‘Alimin alim, tau sejarah Islam, tau sejarah orang Melayu,”kata Tengku Intan.

“Eh, taklah, saya tak pandai, tak belajar,”’Alimin berkata.

“Alaaa, jangan nak merendah diri pula, Mimi yang beritahu kat Intan,”kata Tengku Intan.

‘Alimin diam. Dia menahan geli hatinya. Hatinya mengaku; gadis itu lebih awal mengetahui rahsia dirinya, tetapi dia belum mengetahui rahsia diri gadis itu.

“Sayang kawan-kawan Intan tak datang,”kata ‘Alimin ketika dia duduk memerhatikan Tengku Intan menempa labu tanah.

“Deme tu nak datang, tapi ada hal pula,”sahut sahut Tengku Intan.

‘Alimin diam. Tunduk.

“Lain kali datang deme tu,”kata Tengku Intan.

“Ialah,”sahut ‘Alimin.

“Ngapa, rindu?” Tengku Intan bertanya. Menduga.

“Tak, apa nak dirindukan,…orang yang saya rindu ada di sini,”jawab ‘Alimin.

Wajah Tengku Intan disambar daranya sendiri. Jantungnya berdegup dan menendang-nendang dinding dadanya.

“Saya ingat, saya yang rindu seorang,”kata Tengku Intan dengan suara menggetar.

“…kalau rindu dantanya cinta,”kata ‘Alimin.

Tengku Intan diam. Tunduk menatap tanah liat di dujung kakinya.

“…kalau orang kampung macam saya ni cintakan Intan, salah tak?” ‘Alimin bertanya.

Tengku Intan diam. Jari jemari tangannya menggeletar. Bulu-bulu roma tengkuk terasa meremang.

“Kalau saya cintakan Alimin salah tak?” Tengku Intan bertanya.

“Tak, tak salah, cinta nikmat dari rahsia Tuhan, kita cintakan seseorang maknanya kita syukur nikmat Tuhan,”jawab ‘Alimin.

“Iake?”Tanya Tengku Intan.

“Cinta, macam juga jodoh, pertemuan, mati, di bawah takdir Tuhan, kita manusia, Intan,”kata Alimin sambil merenung dua lesung pipit dan anak-anak rambut gadis itu..

“Iake?” Tengku Intan bertanya.

Puteri raja itu tidak pernah mendengar ungkapan -ungkapan tentang kuasa Tuhan. Semenjak dilahirkan dia hidup dalam kemakmuran. Yakin kepada sesuatu yang dilihat,didengar dan ditelan berada di bawah kuasa manusia. Misalnya dia tahu Maharaja Firaun berkuasa atas umat Yahudi sehingga berjaya membina piramid.Raja Melayu Melaka berkuasa atas belakang rakyatnya. ‘Beraja di mata bersultan di hati’. Azan dari masjid dan ayat-ayat Quran didengar, tetapi dia belum arif manusia di bawah takdir Tuhan.

“…ngapa, tak betulke cakap saya, Intan?” ‘Alimin bertanya.

Tengku Intan senyum.

“Saya tak pernah dengar kata-kata begitu,” Jawan Tengku Intan.

“Tak percaya?” Tanya ‘Alimin.

“Percaya, tapi…,”jawab Tengku Intan.

“Kalau Tengku tak percayakan kekasih sendiri, nak percaya siapa lagi?” ‘Alimin bertanya. Senyum.

“…saya percaya, percaya sangat,…tapi saya bukan Tengku,”jawab Tengku Intan.

“Minta maaf, tersilap,maklumlah manusia…,”sambut ‘Alimin.

Hati Tengku Intan bagaikan kulit ikan terkena minyak panas. Hatinya khuatir kalau-kalau ‘Alimin telah mengetahui akan rahsia dirinya.

“Benarkah dia tersilap cakap?”hati Tengku Intan bertanya.

‘Alimin sendiri tidak sedar dia tersasul menyebut Tengku. Hatinya memuji Tuhan; tentu ada hikmat di sebalik ketersasulannya tadi.

“Bila Intan nak datang lagi?” ‘Alimin bertanya.

“Aaa, esok,lusa, … bila pun tak apa,”jawab Tengku intan sambil melepaskan jari jemari tangan kanan ‘Alimin dari genggamannya.

Dua asang tangan masing-masing berlumuran tanah liat.

“…adat orang berkasih, orang tempa labu tanah,…apa pula tangan saya ditempa…,”sindir ‘Alimin.

“Saja, … tak boleh?” Tanya Tengku Intan.

“Saya tak kata,”jawab ‘Alimin.

“Kalau dah suka,…tu baru tangan,” sahut Tengku Intan. Ketawa.

“Ai, dah macam pantun orang kita…” kata ‘Alimin.

“Apa pantunnya?” Tanya Tengku Intan.

“Kalau roboh kota melaka, papan di Jawa saya dirikan,”jawab ‘Alimin.

“Lagi, lagi,” kata Tengku Intan.

“Kalau sungguh bagai dikata, badan dan nyawa saya serahkan,”’Alimin mengucapkan pantun.

Bagai anak manja dengan ibunya, Tengku Intan memaut tubuh ‘Alimin sejenak. Penuh kasih. Penuh saying. Mesra amat.

I love you…” suara Tengku Intan menggigil.

‘Alimin senyum.Empat mata mereka ibarat bulan yang satu.

“Kalau hati dah cinta, kata-kata tak perlu lagi,”sahut ‘Alimin.

Pada detik-detik begitu,terasa benar pada hati nurani Tengku Intan, betapa pentingnya pemuda itu kepada dirinya.

Mimi memerhatikan Tengku Intan sedang menghadap beberapa biji labu tanah yang baru siap ditempa. Hatinya dimamah cemburu kepada gadis itu. Khuatir benar hatinya kalau-kalau gadis itu merampas ‘Alimin daripadanya.

“Tapi, kalau abang ‘Alimin cintakan dia, aku rela.” nekad hati Mimi.

Pada petang itu ‘Alimin dan Mimi menghantar Tengku Intan pulang. Mereka menaiki van tua sampai ke Pangkalan Tambang Sayung Lembah. Dalam perjalanan mereka ke Pangkalan Tambang, Mimi dapat menangkap; sesungguhnya, gadis berlesung pipit itu mencintai abang saudaranya.

Sambil melambaikan tangan kepada Tengku Intan yang duduk atas perahu menyebrangi Sungai Perak, hati Mimi yakin akan lagu belotah orang Melayu Perak - Bandar, Pasir Salak, Lambor, Bota dan Parit, ‘Apa diharap pada maman, semalu juga banyak tumbuhnya. Apa di harap pada padi, lalang juga lebat daunnya’.

“Cantik, kak Intan tu, bang,” kata Mimi kepada ‘Alimin pada ketika mereka dalam van membawa mereka pulang ke rumah.

“Iake?”Alimin baratnya.

Mimi mengangguk.

“Entah, abang ni macam orang buta rabun, tak tau mana perempuan cantik, mana tidak,”kata ‘Alimin.

Mimi senyum.

“…yang abang tau, adik abang ni cantik,”kata ‘Alimin.

Mimi diam.

“Tak sama, cantik lagi dia tu,”hati Mimi berkata.

*** ***

“Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka, berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni dan budaya.” - Sultan Azlan Shah.

Tulisan kecil pada buku berkulit merah, ‘Kerajaan Mansukh Kekebalan Raja Melayu’ - dari titah ucapan Sultan Perak -, dibaca berulang kali oleh Tengku Intan. Dia menghayati titah diraja itu.

Baru sebentar Tengku Intan terjumpa buku itu dalam almari buku bapanya. Pada sangkaannya buku itu mengandungi kisah adat kebesaran raja-raja Melayu, tetapi setelah dibaca rambang lima enam lambaran buku itu, barulah dia tau; buku itu mengandungi coretan ‘kuasa rakyat melatam kekebalan raja mereka’.

“Nampaknya tak ada beraja di mata bersultan di hati lagile,” hati Tengku Intan bersuara.

Bapa Tengku Intan telah bercerita kepadanya, pada zaman penjajah Inggeris; kuasa Sultan di negeri Perak, macam laut tidak bertepi. Sultan boleh membunuh beberapa orang rakyat jelata dalam setahun. Manakala juruiring sultan boleh membunuh dua orang dalam tempoh tersebut. Mereka tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah. Mereka ada immunity - kekebalan.

“… aku baca dalam buku di sekolah, raja jadi ketua agama Islam, …tapi boleh bunuh orang pula,” sungut Tengku Intan.

Pada ketika itu ingatan Tengku Intan melayang kepada ‘Alimin. Dua hari lalu, pada waktu mereka menempa labu tanah, pemuda itu telah berkata kepadanya, “Pengaruh Yahudi, Zionis ada di mana-mana, ketua negara, raja memerintah, pemimpin rakyat yang tak pegang kuat pada agama Islam, tak teguh iman, akidah, semuanya mangsa pengaruh Zionis.”

Suara juruazan dari masjid Ubudiah berkumandang di udara. Waktu Isyak telah menjelang tiba. Tengku Intan bangun dari sofa sambil menggeliat dan melangkah ke bakik air untuk mengambil air sembahyang. Pada ketika dia keluar dari bilik air, ibunya, Tengku Laila masuk mendapakannya.

“Emak nak ke mana, berpakaian cantik ni?” Tengku Intan bertanya.

“ Cantikke?” Tanya Tengku Laila.

“Sungguh, cantik,”jawab Tengku Intan.

“Emak nak pergi majlis dancing di kelab, Tengku Temenggung adakan majlis tu, sambut hari jadi, anaknya, Tengku Pai, Tengku Faisal,” jelas Tengku Laila.

“Oo, emak pergi dengan siapa?”Tanya Tengku Intan.

“Tengku Baizura,…Intan nak ikut sama?”Tanya si ibu.

“Tak, emak,”jawab Tengku Intan.

“Kalau ikut boleh jumpa anaknya, Tengku Faisal tu,”kata ibu Tengku Intan.

“Tak apalah,emak,”sahut Intan.

“Apa hal basah baju ni?” Tengku Laila bertanya.

“Ambil air sembahyang tadi,”jawab Tengku Intan.

“Sejak bila Intan sembahyang, dulu tak pernah, macam emak juga…,”kata Tengku Laila.

“Dah taufik, hidayat Tuhan, emak,”sahut Tengku Intan.

“Tak apalah, emak pergi,”kata Tengku Laila.

“Ia, emak,” sambut Tengku Intan.

Sebaik-baik sahaja selesai menunaikan fardu Isyak, Tengku Intan menyembamkan mukanya pada sejadah. Atas sejadah itu dia mengucap syukur kepada Allah. Semenjak dia bertemu dengan ‘Alim dan melihat pemuda itu sembahyang, hatinya bagaikan pintu terbuka untuk mengerjakan ibadat yang difardukan Allah itu.

“’Alimin, kalau Intan tak jumpa you, entah sampai bila Intan tak sembahyang,”Tengku Intan berbisik kepada sejadah baru di bawa tubuhnya.

Sejadah itulah kali pertama masuk ke mahligai peninggalan Tengku Sulong . Pada masa-masa sebelum itu tidak pernah mahligai itu dibawa masuk sejadah dan sembahyang. Yang ada hanya permadani mahal buatan Turki, Iran, German dan Itali. Bapa dan ibu dan ibu Tengku Intan tidak pernah sembahyang.

Sebelum bertemu dengan pemuda penempa labu tanah, Tengku Intan tidak pernah mengerjakan ibadat yang diwajibkan atas muslimin dan muslimat itu. Di sekolahnya, Tengku Intan ada belajar ibadat sembahyang lima waktu. Tetapi dia tidak berminat kepada ibadat itu.

“…ya, Allah, aku hamba-Mu, aku, syukur kepada-Mu, ya Allah,” terluah dari mulut Tengku Intan ucapan syukur kepada Maha Pencipta.

Tengku Intan berjalan menuruni tangga dan singgah dekat sopa dewan tamu. Di situ dia merenung sekitar perut dewan tamu yang mengepung dirinya. Di atas meja di sudut dewan itu terletak sebuah patung kuda dari batu marmar. Sebuah patung singa dekat pintu ke bilik belakang. Sebuah kaunter dari kayu mahal dan almari bertutup dengan kaca, masih banyak botol-botol beraneka jenis bentuknya yang berisi berbagai jenis arak.

Pada masa bapanya masih hidup, dalam dewan tamu itulah tempat mereka mabuk,muntah dan bercakap tidak mengikut fikiran yang waras. Ada pula di antara rakan-rakannya melakukan perbuatan maksiat diceruk dewan itu.

Tiba-tiba telefon di atas meja di sudut berdering. Tengku Intan mengangkat telefon itu. Suara ibunya tenggelam timbul dalam suara orang-orang di sekelilingnya.

“Intan, emak cakap ni.”

“Ia, ngapa ,emak?”

“Ni, emak di kelab ni, Tengku Faisal nak cakap dengan Intan.”

“Tak emak, Intan tak nak cakap, Intan …”

“Tak baik, Intan,cakaple sekejap.”

“Tak, emak, maaf.”

Tengku Intan meletakkan telefon semula.

Tengku Intan kenal Tengku Faisal. Anak raja itu seorang pemuda yang suka berfoya-foya. Ramai anak-anak gadis telah menjadi mangsanya.Tiga tahun dia menuntut di London. Selama itu dia tidak belajar di mana-mana universiti, hanya belajar di sebuah sekolah jahitan, milik seorang tukang jahit bangsa Yahudi.

Kira- kira setahun yang lalu, Tengku Faisal telah mengirim surat kepada rakan Tengku Intan, Khadijah. Dalam surat itu, Tengku Faisal memberitahu Khadijah, kononnya dia menuntut dalam jurusan undang-undang antarabangsa, di sebuah universiti tersohor di London.Gadis itu tahu Tengku Fasal membohonginya. Surat Tengku Faisal telah dicampak ke dalama tong sampah.

Ingatan Tengku Intan terhimbau kepada rakanya, Khadijah. Rakannya amat marah kepada Tengku Faisal seperti Yanudi marahkan Arab.

“…patik ni, Tengku, bukan jenis orang bencikan manusia, tapi perangai Tengku Faisal tu yang teman tak suka,” Kata Khadijah kepadanya.

“Teman dah tau sangat perangai dia tu,”sahut Tengku Intan.

“Emak saudara patik, Maisara tu, Tengku Faisalle buat tak senonoh,” kata Khadijah.

“Iake?”Tanya Tengku Intan.

“Ia, Maisara sendiri beritahu patik,”Jawab Khadijah.

“Macam mana, apa dibuatnya?”Tengku Intan bertanya.

“…kan demo tu bercinta, Maisara sangka Tengku Faiusal tu jujur, percayalah,…tapi malam sambut perayaan tahun baru…,” jelas Khadijah.

“…dah tu, apa, Ijah?” Tanya Tengku Intan. Kurang sabar. “Malam tu Maisara jadi mangsanyale,…habis, sappan sappa,…dah macam nyiur ditebuk tupaile jawabnya, …si Tengku tu lari cacak ekorle, kata orang Kedah,”jelas Khadijah lagi.

“Haram…, saya tak tau cerita tu,”kata Tunku Intan.

“Tengku Faisal tuduh Maisara berjahat dengan orang lain…,”terang Khadijah.

“Binatang, bukan manusia…,”sumpah Tengku Intan.

“Nak kata apa, Maisara pelatih jururawat, kalau dia heboh hal tu, habislah kerja dia, malu emak bapa dia,”terang Khadijah lagi.

“Iale…,”Tengku Intan mengaku.

“…Maisara tu ibarat mentimun, Tengku durian…, buat macam mana pun mentimun juga yang kena,”kata Khadijah.

Tengku Intan merenung wajah rakannya. Perasaan malunya kepada Maisara bukan kepalang, kerana pemuda itu dalam golongan manusia berdarjat raja seperti dia juga.

“Maisara tu, muda lagi dah dapat gelaran,Tengku,”Khadijah berkata. Ketawa.

“…gelaran?” Tengku Intan bertanya.

Mulut Tengku Intan melopong.

“Ia, gelaran, K.D.T…,”Jawab Khadijah.

“Apa tu, selalu gelaran JP, PJK, PPT…?” Tengku Intan bertanya.

“…tu gelaran dari Sultan,…ni, kelapa ditebuk tupai,…nyiur kompang,”jelas Khadijah.

Mereka ketawa dalam kemarahan kepada Tengku Faisal.

“Iale,…tak patut, tak bertanggungjawab,”kat Tengku Intan.

Tengku Intan naik ke biliknya. Tubuhnya diluruhkan atas katil. Hatinya khuatirkan ibunya akan terpengaruh dengan pujukan ibu Tengku Faisal. Perempuan itu mahu menjodohkan puteranya, Tengku Faisal dengannya.

“…tidak, aku tak akan kahwin dengan dia,…walau badanku kerat lapan pun aku tak akan kahwin dengan binatang tu,” nekad Tengku Intan.

Malam kian dingin. Sepi seorang gadis tidak berteman melanda diri Tengku Intan. Hatinya dikocah rindu kepada ‘Alimin. Dicapai telefon bimbit atas bantal dan ditekan punat nama’Alimin. Tetapi tidak mendapat jawapan. ‘Di luar kawasan’, suara dari telefon menerpa lubang telinganya.

I miss u, Eli. I tak boleh tidurle, sayang. Call me...” Dia mengirim pesanan kepada ‘Alimin. Telefon diletakkan atas bantalnya semula.

“Kemana dia, …tidur…,takkanle,… baru pukul 10.00,”sungut Tengku Intan.

Sambil menongkat dua puntungnya tangan pada tilam, Tengku Intan bangun dari katil. Labu Tanah hitam atas meja tulisnya direnung bagaikan merenung wajah ‘Alimin. Labu tanah itu bisu, tetapi kerana dia hanyut dalam gelombang cinta; sepasang telinganya terdengar labu tanah itu berkata, “…I miss you, … sayang, …kita jumpa, Intan.”

Telefon bimbit Tengku Intan berdering. Degup jantungnya kencang. Diangkat dan ditekapkan telefon itu ke telinga kanannya. Suara ‘Alimin serak-serak basah dalam telefon itu..

“…as salamu alaikunna, tak tidur lagi?”

Alaikum salam, belum, tak boleh tidurle, khabar baik, …I miss you…”

“Saya lebih lagi, …rasa macam nak masuk lubang labu ni ha.”

Ketawa.

Tengku Intan ketawanya telefon bimbitnya.

“…Maaflah , tadi saya tinggal telefon di rumah, saya dalam bengkel.”

“Buat apa?”

“Biasalah, kerja.”

“Ai, malam begini kerja juga?”

“Apa nak buat sayang. Ada orang datang beli labu tanah…”

“Waktu malam begini?”

“Ia, beli banyak, satu lori, nak bawa ke Kuala Lumpur.”

“Wau, bagus tu.”

“Bolehlah. Ni berkat doa Intanle…”

“Iake, al hamdulillah.”

“Pagi esok Intan nak ke sana.”

“Ia, pukul berapa?”

“Pukul 10.00 pagi.”

“OK, saya tunggu di penambang.”

“OK, sayang, I miss you...”

“ Baik Tengku, eh, maaf, tersilap, …Intan.”

Sama-sama ketawa.

Tengku Intan mencium telefonnya lagi. Rindu lagi.

(Tamat)


No comments: