MENGENANG
Anwar Ibrahim telah memperlihatkan dirinya seorang yang berideologikan ‘Islamisme’ semenjak dia menutut di Universiti Malaya dan memipin ABIM. Kemudian dia telah ikut berjuang bersama Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd. Nor dalam PAS. Selain dari dia telah berikrar (mungkin bayyai’ah) dengan pihak parti Islam itu, dia telah berucap dalam beberapa perhimpunan parti tersebut.
Apabila Anwar Ibrahim meninggalkan PAS dan menjadi orang kanan Dr Mahathir Mohamad, ‘gelombang Anwar Ibrahim’ telah meredah dan merempuh segala, kuat dan menakjubkan semua. Ramai para politikus berkaliber dan berjasa dalam UMNO pada masa itu termasuk Abdullah Badawi, telah ‘terkapai-kapai mengayuh biduk kecil dalam gelombang besar’ Mahathir dan Anwar.
Kalau Abdullah Badawi hanya berharapkan biduk kecil dengan dayung pendek dan tidak bergantung kepada Allah, tentulah dia telah tenggelam dalam gelombang itu dan terbenam seperti seketul batu ke dasar laut.
Pada masa Abdullah Badawi berkedudukan Menteri Pelajaran dan kemudian Menteri Pertahanan, aku tidak pernah melawatnya, tetapi pada masa dia disingkirkan oleh rakannya sendiri, Dr Mahathir Mohamad dan rakan-rakan seperjuangannya yang lain, aku selalu mengunjungi beliau, di pejabat perniagaan keluarga isterinya, di Bangunan Pernas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Setiap kali kami bertemu, kami tidak bercakap banyak mengenai hal ehwal politik. Kami bercakap mengenai agama Islam, keluarga dan perkara yang bersifat persahabatan cuma.
Pada masa Abdullah Badawi tersisih dari rakan-rakan seperjuangannya, terlalu ramai orang-orang korporat yang ibarat ’ keluang menanti buah bacang masak’, sentiasa memuja dan menyanjung Anwar Ibrahim sebagai ’Pak Sheikh’. Mereka telah ’menjerkah’ dan kalau boleh hendak menerjah Abdullah Badawi jauh ke belakang. Biar beliau menjadi ’anak dagang’ dalam arena politik tanahairnya sendiri, seperti pantun Melayu:
kajang tuan kajang berlipat,
kajang saya mengkuang layu,
dagang tuan dagang bertempat,
dagang saya menumpang lalu.
Pada masa itu hampir semua rakan Anwar dari Malay College Kuala Kangsar, dalam ABIM dan UMNO negeri Pulau Pinang, kelompok Melayu Madani yang telah lahir bersama Muhammad bin Haji Mohd. Taib, di Shah Alam, telah memandang Abdullah Badawi sebagai ’musuh politik Pak Sheikh’ dan dia mesti disingkirkan seperti Hang Tuah dibawah kuasa Sultan Melaka.
’....saya telah dijemput ke mesyuarat yang diadakan oleh Dewan Perniagaan dan Perdagangan Melayu Malaysia (DPPMM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di pejabatnya, di Kompleks Damai.
Mesyuarat yang dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa dewan itu dan beberapa orang yang tidak menjadi ahlinya telah dipengerusikan oleh Ketua Dewan itu, Datuk Izat Emir dan diapit oleh Dr Tajuddin Jali. Datuk Izat Emir telah mengumumkan tujuannya, supaya Dewan tersebut mengadakan satu jamuan (jual meja) untuk meraikan dan membantu kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden UMNO Malaysia. Majlis itu diadakan di sebuah hotel terkemuka di pinggir Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Dengan menggunakan idea Datuk Izat Emir, kad jemputan hendaklah dihantar kepada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Abdullah Badawi dengan meminta beliau membayar harga meja. Beliau juga ditetapkan akan duduk di dalam majlis bersama orang ramai dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan orang-orang yang diraikan duduk di atas pentas khas bersama Datuk Izat Emir, Dr Tajuddin Jali dan beberapa orang lagi.
Apabila majlis jamuan itu berlangsung, saya mendapat tahu Datuk Abdullah Badawi tidak hadir.’
Pada hari-hari mendung bagi Abdullah Badawi, beberapa orang politikus yang rapat dengan Anwar Ibrahim telah bercakap denganku dalam coffee house, di sebuah hotel, di Jalan Raja Laut, Kuala Lujmpur. Seorang dari mereka telah berkata, ”kita kena singkir Dollah, kita sokong Pak Sheikh (Anwar)...”.
”Mengapa, ...kan dia tu orang lama dalam UMNO kalau dibandingkan dengan Pak Sheikh...?”Aku bertanya.
”Ia, lama, ...tapi dia tak ada penyokong, lemah...,”katanya.
”Ia, dia lemah, tak ada idea ..., tak macam Pak Sheikh,” kata yang seorang lagi.
”...terpulang, tapi saya mau kedua-duanya, ...mereka penting bagi Malaysia moden, ”kataku. Mereka ketawa kelat. Aku tahu mereka mengejek.
”...Dolah tak Islamic..., tapi Pak Sheikh pemimpin terkenal di kalangan belia Islam seluruh dunia,” kata seorang politikus muda dari Pulau Pinang.
”Pandangan politik saudara tak sama dengan saya, saudara orang baru dalam arena politik Malaysia, ... saya orang lama, ... saya kenal orang-orang politik di negara ini,”kataku.
”...maksud saudara?”Dia bertanya.
”Orang masyhur sahaja tak cukup untuk memimpin, ...mesti ada pegangan hidup, agama, sabar dan tidak ada sikap menjatuhkan orang lain,” jawabku.
”...betul, tapi itu pendapat saudara, kerana saudara penulis yang menyokong Dollah,” kata seorang lagi.
”...saya sokong Dollah dan sokong Anwar, tapi kalau Anwar hendak menjatuhkah Dollah, saya tak sokong Anwar...,”kataku pula.
Semenjak hari itu, mereka dan beberapa orang penulis politik yang menyokong Anwar Ibrahim tidak lagi mesra denganku. Mereka telah menyifatkan aku seorang penulis ketinggalan zaman dan cetek pengetahuan politik.
’Sejak Anwar Ibrahim disintuk limau oleh Mahathir sebagai menteri kabinet kedudukan Abdullah Badawi menjadi sedikit cemas. Abdullah bimbang kerana stail politik Anwar berlainan dengan rentaknya.
Dia juga bimbang kerana Anwar juga datang dari Pulau Pinang. Ini bermakna Dollah akan terus menerus berentap dengan Anwar untuk menjadi tokoh yang dihormati bukan saja di Pulau Pinang tetapi juga di seluruh negara.
Dollah tidak gentar menghadapi Anwar. Walaupun Dollah tersingkir dari kabinet Mahathir namun dia masih dapat mengekalkan kerusi Naib Presiden parti dan meraih jumlah undi kedua terbesar.Anwar hanya memperolehi kira-kira 1067 undi, Dollah 953 undi, Sanusi 750, Wan Mokhtar 735, Muhyiddin 582 dan Rahim Tamby Chik 452 undi. Kelebihan undi Anwar dari Pak Lah Cuma 114 undi sahaja- suatu jumlah bukanlah terlalu besar.
Apakah kelebihan Dollah yang tak ada pada Anwar? Dollah anak seorang ulama terkemuka di Utara. Datuknya, Haji Abdullah Fahim pernah jadi murid(?) guru Sekolah Arab Idrisiyah, Bukit Chandan Kuala Kangsar. Datuknya seangkatan dengan ulama Kelantan, Tok Kenali. Malah Tok Kenali dengan Tuan Haji Abdullah Fahim rakan seperjuangan dalam bidang pengajian Islam. Dollah juga mengikuti jejak langkah datuk dan ayahnya di bidang pengajian Islam bukan dipondok (di sekolah Daeratul Maariful Wataniyah, Kepala Batas, pada sebelah petang-mp) tetapi di universiti Malaya. Dengan kata lain, Dolah dilahir dan dibesarkan dalam keluarga ulama.’
Semenjak aku mengenali Abdullah Badawai pada zaman dia masih penuntut sekolah menengah High School Bukit Mertajam hingga pada masa dia telah berdiri sebagai menteri kabinet dan dijatuhkan ke bawah oleh Dr Mahathir Mohamad, kerana Perdana Menteri itu ’sudah dapat gading bertuah tanduk tidak berguna lagi’, dia adalah seorang yang sabar, tawakkal dan tidak suka menyalahkan orang lain. Hanya, ”Allah ada,” katanya. Allah sahaja tempat dia bergantung.
Dalam keadaan Abdullah Badawi seperti bola yang telah disingkirkan oleh Dr Mahathir Mohamad ke tepi padang, aku telah menjangkakan, bahawa UMNO telah mengulangi reka-sejarah Hang Tuah dengan Sultan Melaka, ’mula sayang, mentatang, kemudian benci, menerajang’.
Aku berpendapat, dalam arena politik orang Melayu dan orang Islam berpolitik dan tindak tanduk seperti Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim mestilah dielakkan. Politik yang demikian merugikan negara dan rakyat.*
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, (belum terbit),oleh: Mokhtar Petah.
No comments:
Post a Comment