Friday, April 24, 2009

RASUAH



MOKHTAR PETAH


RASUAH

MUSNAHKAN NEGARA


ALLAH

LAKNATKAN PEMBERI, PENRIMA

DAN

PERUNDING RASUAH

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++



SEJARAH NEGERI KEDAH



RAJA DARI PARSI

TUNKU ABDUL RAHMAN DISINGKIR DARI ISTANA


Oleh: Mokhtar Petah


Genarasi Melayu Negeri Kedah adalah genarasi yang kedua kuat berpegang kepada agama Islam. Genarasi pertama, ialah di Negeri Kelantan.

Tetapi hingga pada masa ini masih ramai orang Melayu di Negeri Kedah yang tidak fahamam akan ajaran Islam sebenarnya. Ada di antara mereka mengamalkan hukum hakam dan ibadat Islam bercampur adukdengan amalan Budha.Mereka itu terdapat di kawasan yang bersempadankan dengan empat wilayah Thailand, iaitu sekitar Kuala Nerang, Pokok Snan, Naka, Nami dan Sadau.

Orang Melayu Negeri Kedah lebih dulu menerima kesedaran untuk merdeka dari penjajah, iaitu kemerdekaan yang menerima dan memakai perlembagaan dan undang - undang berdasarkan agama Islam.

Sebelum mencapai kemerdekaan, para ulama di Kedah telah menyertai perjnuangan orang Melayu menuntut kemerdeekaan menerusi partu - parti politik, iaitu SEBERKAS, UMNO dan PAS.

PEJUANG NASIONALIS

Di antara ulama itu, ialah Haji Hussein Che Dol, Haji Abdul Rahman Merbok. Mereka menyertai UMNO tetapi berjiwa PAS. Dalam UMNO mereka brjuang dengan tujuan untuk mencapai kemerdekaan. Hasrat mereka, setelah mencapai kemerekaan mereka akan mengisikan kemerdekaan negara ini dengan perlembagaan dan perundangan ayang bedasarkan Quran dan Sunnah.

Di antara mereka dalam golongan pejuang nasionalis Melayu di Negeri Kedah pada zaman belum merdeka hingga selepoas merdeka, ialah Tunku Abdul Rahman Putra, Senu Abdul Rahman Dr. Mahathir Mohamad, Mansor Tobing, Azhari Taib (wartawan).

Pada tahun 1954, Haji Abduk Rahman Merbuk telah meramalkan, bahawa walaupun ramai orang Melayu Negeri Kedah berjuang dalam UMNO, tetapi pada suatu masa negerei itu akan berubah menjadi sebuah negeri yang diperintah oleh parti Islam.

BEKAS PEGUAM

Tunku Abdul Rahman satu satunya pejuang nasionalis Melayu yang muncul dengan berani di Kedah dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Berikut ini adalah catatan saya mengenai Tunku Abdul Rahman Putra yang saya pindahkan dari manuskrip buku saya, Kepala Batas Dalam Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu:

Pada tahun 1951, Tidak seorang pun dari penduduk-penduduk dalam kawasan Kepala Batas yang menyangka, bahawa sebuah rumah yang sesuai didiami oleh kerani rendah kerajaan, di Telaga Air, Teluk Air Tawar – dekat jalan raya Kepala Batas – Butterworth -, menjadi tempat tinggal seorang bekas peguam dan penasihat undang-undang kerajaan, pemimpin bangsa Melayu, putera Sultan dan adik kepada Sultan yang memerintah negeri.

RUMAH USANG

Telaga air tidak jauh dari Kepala Batas. Rumah itu, sebuah rumah usang yang sebelumnya didiami oleh seorang kerani kerajaan. Perabot dan barang-barang di dalamnya telah rosak dan usang. Tetapi masih ada air dari paip dan api elektrik.

Tungku Abdul Rahman Putra telah mengambil alih jawatan Yang Dipertua Agung UMNO Malaya setelah Dato’ Onn Jaafar menarik diri dari dicalonkan bagi memimpin parti politik orang Melayu itu dalam Persidangan Agungnya, pada tahun 1951.

Tekad dan cita-cita Tunku Abdul Rahman untuk memimpin UMNO dan berjuang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu telah menjadikan abangnya, Sultan Kedah, Sultan Badli Shah ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1943–1958) murka kepadanya. Baginda tidak berkenan Tunku Abdul Rahman memegang jawatan Yang Dipertua Agung UMNO.

KERAJAAN INGGERIS

Kebencian Sultan Kedah kepada UMNO kerana parti politik Melayu telah dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Seperti Sultan Johor, Sultan Badli Shah murka kepada Dato’ Onn kerana telah mengemukakan kepada para Sultan dan Kerajaan Inggeris, iaitu pada masa menghadapi kemerdekaan Tanah Melayu, hendaklah dilantik seorang Melayu untuk memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu.

Sultan Kedah dan Sultan Johor telah menganggap anak Melayu yang akan memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi itu akan berkedudukan di atas Raja-Raja Melayu. Mereka rela orang Inggeris mengatasi mereka, tetapi tidak rela anak Melayu berkedudukan lebih tinggi dari mereka.

‘Untuk melaksanakan dasar kerjasama antara Kerajaan Inggeris dan para Sultan seperti yang termaktub dalam Perjanjian atau Perlembagaan persekutuan Tanah Melayu, Dato’ Onn pernah menekankan kepada pihak Kerajaan Inggeris tentang pentingnya diangkat seorang Timbalan Pesuruhjaya Tinggi yang terdiri daripada orang Melayu sebagai wakil para Sultan untuk turut memegang kendali pentadbiran. Hal ini terjadi dalam bulan Oktober 1948 ketika beliau berkunjung ke London. Kemudian pada 15.06.1949 di dalam Persidangan Para Sultan, Dato’ Onn mengemukakan soalan ini supaya dapat dipersetujui oleh Sultan-sultan itu.

Tetapi para Sultan enggan menyetujui cadangan Dato’ Onn tersebut kerana kalau orang Melayu diangkat untuk jawatan itu, tentulah kedudukannya lebih tinggi dari Sultan-sultan itu sendiri. Penolakan ini dianggap oleh Dato’ Onn sebagai kekolotan para Sultan dan oleh kerana itu beliau mengundurkan diri dari Persidangan Sultan-Sultan itu. Sikap yang degil ini mungkin menimbulkan rasa kurang puas bagi Sultan Johor (Sultan Ibrahim 1895–1959), yang akhirnya memerintahkan kepada Dato Onn supaya menaruh perhatian kepada jawatannya sebagai Menteri Besar Negeri Johor. Perintah itu agaknya sangat menyinggung perasaan Dato’ Onn, maka dalam bulan Oktober 1949, beliau meletakkan jawatan Menteri Besar itu.’[1]

PERINTAH SULTAN

Seperti cerita Tunku Abdul Rahman kepada saya, bahawa setelah selesai Persidangan Agung UMNO Malaya, di Kuala Lumpur, Tunku Abdul Rahaman dan isterinya, Puan Sharifah Radziah telah pulang ke istana peninggalan bapanya di Alor Setar, Kedah. Mereka telah tiba di istana itu pada waktu malam.

Sebaik-baik sahaja Tunku Abdul Rahman dan isterinya tiba di istana – belum sempat bersalin pakaian, seorang pegawai istana telah datang mendapatkan Tunku Abdul Rahman. Dia datang membawa perintah Sultan supaya Tunku Abdul Rahman dan isterinya berpindah dari istana itu pada malam itu juga

Kerana terlalu murka, Sultan Badli Shah[2] tidak perkenan akan permohonan Tunku Abdul Rahman untuk menghadapnya. Walaupun perintah itu dari saudara kandung Tunku Abdul Rahaman sendiri, tetapi telah menjadi perintah Sultan – perasaan saudara kandung tidak timbul lagi, maka dengan hati yang cekal berbaur sedih, pada malam itu juga Tunku Abdul Rahman dan isterinya membawa diri dari istana peninggalan ayahandanya.

KEMERDEKAAN NEGARA

Dengan membawa sedikit pakaian – banyak yang ditinggalkan, Tunku Abdul Rahman dan isterinya menaiki kereta yang dipandu oleh pekerjanya yang setia, Syed Ahmad, telah berangkat ke sebuah Rumah di Telaga Air dekat Kepala Batas[3]. Rumah itulah menjadi tempat awal bagi Tunku Abdul Rahman memulakan perjuangannya menuntut kemerdekaan negara ini dari penjajah British. Rumah tersebut pernah didiami oleh Syed Ahmad pada masa dia belum bekerja dengan Tunku Abdu Rahman.

Menurut Tunku Abdul Rahman Putra, kira-kira sehari setelah tinggal di rumah itu, dia telah menghubungi peguam yang memegang amanah harta pusaka ayahandanya di Pulau Pinang. Dia telah meminta wang dari sewa beberapa buah rumah ayahandanya di sana. Tetapi peguam itu memberitahu kepadanya, bahawa dia telah diperintahkan oleh Sultan Kedah, tidak boleh mengeluarkan wang itu kepadanya.

Sehari demi hari sampai seminggu, Tunku Abdul Rahman dan isterinya mulai menghadapi kekeringan wang untuk membeli makanan. Pada hari-hari itu juga dia memerlukan wang untuk meneruskan perjuangannya dalam UMNO. Hendak meminta kepada UMNO, dia tahu parti politik Melayu itu tidak mempunyai wang.

“Apa nak kata, saya dah jadi anak raja papa...,” kata Tunku Abdul Rahman kepada saya.

RANTAI LEHER

Tunku Abdul Rahman telah buntu fikirannya untuk mendapatkan wang; tidak ada jalan yang dinampak di hadapannya. Setelah berunding dengan isterinya, wanita yang bakal menjadi ‘Ibu Pertama Negara’ itu, maka dengan ketentuan Allah jua, isterinya telah merelakan gelang dan rantai leher, pergelangan tangan dan kerongsang digadaikan. Syed Ahmad telah menggadaikan barang-barang kemas itu di beberapa kedai pajak gadai termasuk di Butterworth..

Pada masa tinggal di rumah tersebut, Tunku Abdul Rahman sering datang menemui Sheikh Abdullah Fahim. Mungkin firasat atau ilmu ladunni Sheikh Abdullah Fahim, dia mengetahui Tunku Abdul Rahman kekeringan wang. Seminggu kemudian Haji Ahmad Badawi bersama Allahyarham Hashim Awang dari Tasik Gelugur (pernah menjadi pengarah syarikat surat khabar, Utusan Melayu Berhad dan ahli Dewan Rakyat), Haji Sulaiman Palestin, telah membawa wang untuk Tunku Abdul Rahman Putra

Pendeknya perhubungan Tunku Abdul Rahman dengan Sheikh Abdullah Fahim telah menjadi sebagai perhubungan anak dengan bapa kandung. Sebelum mengetuai Rombongan Merdeka ke London, Tunku Abdul Rahman telah meminta Sheikh Abdullah Fahim menggunakan ilmu falak menentukan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Tarikh yang ditentukan oleh Sheikh Abdullah Fahim, ialah pada 31 Ogos 1957.[4]

STESYEN KERETAPI

Beberapa minggu kemudian UMNO Malaya telah mengeluarkan wang tabungnya untuk perbelanjaan Tunku Abdul Rahman Putra menjalankan kerjanya sebagai Yang Dipertua Agung UMNO Malaya.

Pada masa Persekutuan Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan, dalam bandar Kuala Lumpur tidak ada hotel bertaraf mewah, kecuali sebuah hotel berhadapan stesen kereta api Kuala Lumpur. Walaupun kebanyakan ahli jawatankuasa UMNO menginap di hotel tersebut, tetapi Tunku Abdul Rahman menginap di sebuah hotel di Jalan Raja Muda dekat Kampung Baru, Kuala Lumpur, iaitu New Hotel. Sewa bilik hotel itu murah, iaitu kira-kira empat ringgit bagi satu bilik selama sehari semalam. Tidak lama kemudian ramai ahli jawatankuasa UMNO Malaya datang menginap di hotel tersebut.[5]

Setelah Tunku Abdul Rahman meninggal dunia, saya telah melawat ke hotel itu dan bercakap dengan pengurusnya yang telah tua. Dia telah memuji Tunku Abdul Rahman kerana berjaya memerdekakan negara ini. Sambil ketawa, dia berkata, yang eloknya UMNO menjadikan hotelnya itu sebagai sebuah ‘bangunan mengenang perjuangan Tunku Abdul Rahman dan rakyat Tanah Melayu menuntut kemerdekaan’.



[1] Drs Ki Chuan Siu, Ikhtisar Sejarah Pergerakan dan Kesusasteraan Melayu Moden 1945 – 1965, 1986, Kuala Lumpur, Penerbitan Pustaka Antara, hlm.114 – 115.

[2] Tunku Badli Shah (1894) berbundakan Cik Sharifah dan Tunku Abdul Rahman (1903) berbundakan Cik Manja Lara (Siam)

[3] Demikian ketentuan Allah dengan hikmat-Nya; kalau Tunku tidak berpindah ke Telaga Air, tentulah Tunku tidak rapat dengan Sheikh Abdullah Fahim dan tidak berpeluang bertanya tarikh yang baik untuk hari kemerdekaan

Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

[4] Mokhtar Petah, Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 31 Ogos ’57, 1997, Kuala Lumpur, Pustaka Antara Sdn. Bhd.

[5] Kemudian hotel itu telah menjadi tempat para politikus dari UMNO dan PAS. Hotel tersebut tidak menjalankan kegiatan pelacuran seperti kebanyakan hotel dalam Bandar Kuala Lumpur pada masa itu.

No comments: