Sunday, March 1, 2009

SULTAN PERAK


KETUA AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU

MELANGKAH KUASA BAGINDA DERHAKA

Oleh: Mokhtar Petah

Agama Islam tetap kekal dan adat istiadat Melayu kekal selagi ada umat Islam dan orang Melayu, tetapi perlembagaan dan perundangan negeri sentiasa berubah-ubah.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah adalah Ketua Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perak, maka sesiapa menentang dan membelakangi baginda dengan bertegak kepada perlembagaan sahaja untuk melakukan apa-apa jua kerja, tadbir dan polisi dalam negeri Perak, maka menurut agama Islam dan adat istiadat Melayu adalah derhaka.

Mengadakan sidang Dewan Negeri Perak seperti yang diputuskan speaker, V. Sivakumar dengan tidak restu Sultan, tindakan itu mengikut Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu adalah derhaka.

Mana-mana rakyat yang derhaka, Sultan Perak ada kuasa mutlak - tidak boleh disanggah oleh mana-mana pihak, iaitu dia dan keluarganya diperintah dengan perintah Diraja buang negeri dari Negeri Perak.

Jika Sultan Perak memikirkan baginda kuasa tertinggi negeri telah dicemarkan dan untuk menjaga kehormatan bangsa Melayu, maka perintah demikian boleh baginda laksanakan serta merta.

Rakyat Negeri Perak, walau apa agama yang dia anuti, wajiblah menghormati agama Islam (Bahagian 1, Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan; Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan), dan Perlembagaan Negeri Perak; adat istiadat Melayu kekal di bawah kedaulatan sultan. Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak itu adalah melanggar Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, kerana Dewan Undangan Negeri, terletak di bawah Sultan.

Harakahdaily, 28 Februari telah melaporkan seperti berikut:

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar memanggil sidang tergempar Selasa depan (3 Mac) untuk bahaskan usul bagi menangani krisis politik negeri tersebut.

Menurut laporan, beliau menggunakan kuasanya di bawah peraturan tetap 8 dan 11 DUN itu untuk membahaskan isu-isu utama yang menjadi ketegangan pokok antara Pakatan Rakyat dan BN sejak awal bulan ini.

Usul pertama, mengesahkan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah sebelum ditumbangkan dalam rampasan kuasa BN.

Kedua, membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihanraya peringkat negeri diadakan seperti hasrat Pakatan Rakyat sebelum ini.

Krisis politik di negeri itu tercetus susulan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat meninggalkan kerajaan campuran itu dan menyatakan sokongan kepada BN.

Speaker membenarkan kesemua Adun hadir di persidangan khas itu kecuali mereka yang telah digantung pada 18 Feb lalu, iaitu Menteri Besar kerajaan BN sekarang Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya.

Tiga wakil rakyat bebas - yang dianggap telah mengosongkan kerusi masing-masing melalui surat peletakan jawatan mereka - juga dilarang menyertai sidang tersebut.

Jika larangan itu dipatuhi, barisan wakil rakyat BN akan tinggal 21 orang, sementara Pakatan Rakyat 27 orang, tidak termasuk Sivakumar.

Sidang tergempar DUN ini akan mencetuskan satu lagi babak tegang dan tidak menentu perebutan kuasa antara BN dan Pakatan.

Menurut agensi berita, Sivakumar memberitahu media di Ipoh bahawa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan persidangan biasa DUN dan bukannya untuk sidang tergempar.

Katanya, arahan telah diberikan kepada Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong, untuk menghantar notis secepat mungkin kepada semua 49 Adun yang dibenarkan hadir bagi menyertai sidang itu.

Ditanya sama ada tindakannya memanggil sidang tergempar itu tanpa perkenan Sultan Azlan Shah akan dianggap sebagai tidak menghormati baginda, Sivakumar berkata beliau hanya mengikut Perintah Tetap Dewan.

Beliau juga enggan mengulas tindakan selanjutnya jika kesemua Adun BN enggan menghadiri sidang tergempar itu atau jika kesemua 10 wakil rakyat yang dilarang itu tetap hadir ke sidang tersebut, lapor agensi berita itu lagi.

Sementara itu, Exco Kanan Perak bawah kerajaan Pakatan Rakyat, Dato' Ngeh Koo Ham dilaporkan berkata penasihat undang-undang negeri Dato' Ahmad Kamal Mohd Shahid cuba menghalang notis sidang tergempar itu dikeluarkan.

Tambahnya, tindakan sedemikian boleh disifatkan menghina dewan dan boleh dikenakan tindakan oleh DUN tersebut.



Saya ingin bertanya kepada setiap individu orang Melayu; di mana maruah bangsa kita, Sultan diketepikan (boleh dianggap derhaka) oleh orang-orang bukan Melayu. Organisasi pemuda Melayu dihamun ‘celaka’ oleh orang bukan Melayu dan Dewan Rakyat.

Bagaimana perasaan orang Melayu dalam PAS dan Pemuda PAS kalau orang bukan Melayu memaki seperti itu kepada mereka?

Relakah orang-orang PAS ketawa kalau orang Melayu dihina?

Mungkin tidak salah kalau ada orang-orang di luar mana-mana parti politik menganggap semua ahli PAS bersengkokol dengan pihak DAP dan PKR menghina orang Melayu. Menderhaka kepada Raja Melayu.

Untuk mencari jalan keluar yang paling baik, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar lebih baik menangguhkan sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada 3 Mac ini.

Eloklah berfikir sebelum Sultan bertindak. Dan fahamlah; agama Islam tetap kekal dan Adat Istiadat Melayu tetap kekal, selagi ada ummah dan orang Melayu, tetapi Perlembagaan berubah–ubah.

(Habis)

No comments: