Friday, March 27, 2009

TUAN GURU NIK AZIZ

[Nik+Aziz+sidebar.jpg]

Dalam sejarah hidup manusia, sejak kecil lagi akan terdapat soal menyoal dan perbezaan dalam pendapat. Ini fitrah manusia. Bila manusia disoal, otak manusia akan ligat mencari jawapan. Secara tiba-tiba, ia menjadi aktif. Jawapan akan menjadi sangat konkrit apabila jawapan itu bersandarkan kepada hujah-hujah daripada wahyu yang datang dari langit. Usaha untuk mencari jawapan yang benar ini juga disebut fitrah. Musuh yang jujur lazimnya akan terkedu dan terduduk apabila berdepan dengan kebenaran. Itupun jika mereka tidak sombong, degil atau bongkak.
Di dalam surah pertama yang diturunkan dari langit terdapat 3 potong Ayat:
1) “Bagaimana pendapatmu tentang orang yang melarang seorang hamba ketika dia mengerjakan solat.”
2) “Bagaimana pendapatmu jika orang yang dilarang (iaitu Rasulullah S.A.W. itu berada diatas kebenaran atau dia menyuruh bertaqwa (kepada Allah)?
3) “Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu mendustakan dan berpaling? Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat segala perbuatannya.”
(Surah Al-Alaq : Ayat 9 – 14).
Kesemua persoalan ini memulakan pertanyaan “bagaimana pendapatmu” sebenarnya ditujukan kepada golongan yang membangkang Rasulullah S.A.W. Semua ini membuktikan bahawa Islam menggalakkan umatnya bermusyawarah, berwacana, berbincang dan berforum. Semuanya ini adalah untuk mengembangkan fitrah manusia untuk bersoal jawab. Proses inilah yang melahirkan daya intelektualisme dan dinamisme dalam kehidupan intelektual rakyat seluruhnya. Saya tidak nampak niat baik apabila akhbar-akhbar alternatif digantung dan setengah-setengah blog diharamkan daripada membuat liputan ke atas beberapa perhimpunan penting bertaraf nasional. Sekat untuk adakan perhimpunan secara aman. Sekat permit-permit majalah dan menghalang daripada sesetengah tokoh daripada berbicara di Universiti. Ini yang saya namakan usaha untuk menyekat aliran perkembangan intelektualisme rakyat yang bercanggah sama sekali dengan impian untuk menjadikan negara ini hub warga dunia kelas pertama.
Dunia pada hari ini adalah dunia yang dididik dalam acuan kebebasan minda yang meraikan proses soal jawab. Segala usaha yang menyekat proses tabie ini akan membawa kebinasaan kepada pihak berkuasa yang menganjurkan sekatan ini.
Sebenarnya, fikiran dan proses berfikir dicetus dan digerakkan dalam dua keadaan, iaitu evolusi dan revolusi. Kesan kehadiran jalan berfikir ini hanya boleh diuji dan dilihat jika diberi ruang untuk menguasai negara. Seburuk-buruk Sistem Komunis itu pun telah diberi peluang untuk menunjukkan teorinya dalam bentuk pelaksanaan di Negara Republik Rakyat China, Soviet Russia, Jerman Timur dan beberapa negara komunis yang lain. Sama juga halnya dengan pemikiran demokrasi. Masing-masing telah diberi kesempatan iaitu jelmakan dalam bentuk pelaksanaan.
Lebih-lebih lagilah Islam. Sewaktu Nabi S.A.W. berada di Mekah, kebaikan Islam tidak dapat dilihat oleh kerana Islam tidak diberi kesempatan untuk memerintah dan bebas bersoal jawab. Apabila di Madinah, berduyun-duyun golongan pembangkang telah menerima Islam berkat proses pertukaran pendapat, polimik dan wacana. Terasa terpinggir dari aliran kesedaran ini maka lahirlah golongan munafik yang tidak ada di Mekah sebelum ini.
Rakyat Kelantan telah memberi kemenangan kepada Islam sejak tahun 1990. Mereka dapat menyaksikan sendiri proses didikan, “brainwash” dan tarbiyyah dilakukan dalam pelbagai bidang termasuk aspek kewangan, akidah, ekonomi, kesenian, sukan, sosial, pergaulan dan kebajikan. Ini yang menjadikan lahirnya kelab-kelab penyokong PAS dari kalangan masyarakat Cina dan India. Ini yang mengecewakan pihak yang satu lagi. Diatas nama menyekat proses pencerahan pemikiran di kalangan rakyat, maka mereka membawa ISA, OSA, Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak. Jadi, majlis pelancaran Wifi dan blog saya pada petang ini, adalah untuk menyuburkan proses wacana intelektual yang sedang dirampas oleh pihak yang bimbangkan kepalsuan mereka didedah. Pada saya, ini perkembangan yang tidak sihat. Saya mahu melihat Islam sebagai sistem yang lengkap yang “bermujassad”. Ia perlu wujud dan bertubuh. Ia perlu diberi kesempatan sepenuhnya untuk menunjukkan kesan kehadiran dan jelmaannya setelah dilaksanakan. Setelah rakyat melihat sendiri kebaikan Islam, mereka akan dengan sendirinya menjadi jijik kepada sekular. Diperingkat itu, ia akan beriman dengan iman yang sebenar-benarnya yakni Iman billahi walyaumil akhir.
Penglibatan pihak swasta mahupun syarikat berkaitan dengan kerajaan di dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi amatlah dialu-alukan. Adalah menjadi dasar Kerajaan Negeri untuk menyokong dan menggalakkan pertumbuhan industri ini kerana ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan minda, akhlak, ekonomi dan sahsiah demi perkembangan dan pembangunan ummah secara keseluruhan.
Kerajaan Negeri juga amat bersyukur diatas kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia kerana difahamkan telah banyak membantu Kerajaan Negeri di dalam perkembangan industri telekomunikasi serta memberi pengiktirafan kepada infra Quest, sebuah anak syarikat PKINK sebagai pusat setempat penyelarasan pembinaan menara telekomunikasi bagi seluruh Negeri Kelantan.
Penglibatan agensi Kerajaan Persekutuan secara terus terutama MDEC juga, telah bayak membantu Kerajaan Negeri untuk menyediakan “Blue Print ICT” bagi Negeri Kelantan. Saya difahamkan, MDEC juga telah bersetuju untuk membantu menubuhkan “incubator ICT” secara usahasama dengan PKINK bagi menggalakkan perkembangan teknopreneur. Ini secara tidak langsung akan memakmurkan lagi industri maklumat dan komunikasi dalam melahirkan ummah yang celik ICT.
Tahniah diucapkan kepada PKINK kerana berjaya menceburi bidang wifi melalui anak syarikatnya secara usahasama dengan Syarikat Infolient Sdn. Bhd. Saya menyeru supaya kemudahan yang disediakan tidak disalahguna dengan melayari laman-laman web yang terlarang, atau menyebar fitnah melalui laman blog. Kemudahan dan kemajuan teknologi ini hendaklah digunakan ke arah kebaikan, menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran.
Kebanyakan pengguna internet terdiri daripada pelajar-pelajar, ahli perniagaan, kakitangan kerajaan dan swasta. Daripada 1.5 juta rakyat Kelantan, hanya 100,000 sahaja pengguna internet. Bilangan ini adalah terlalu kecil, yakni sekitar 10% sahaja. Sekiranya ini berterusan, jurang digital akan bertambah besar menjadikan rakyat Kelantan sebagai rakyat yang tidak mempunyai keseimbangan digital. Justeru itu, jurang komunikasi akan bertambah besar diantara golongan pengguna dengan golongan yang tidak menggunakan kemudahan internet. Jurang ilmu juga akan bertambah, begitu juga dengan komuniti yang serba lengkap. Dengan terbinanya komuniti ini, pengguna internet akan bertambah. Lebih ramai golongan tua, suri rumah, peniaga-peniaga kecil, imam, pelajar pondok yang akan menjadi sebahagian dari komuniti ini. Jurang digital akan berkurangan dan saluran maklumat akan boleh dicapai oleh lebih ramai orang. Setiap orang akan menjadi lebih kaya dengan ilmu, data dan maklumat. Semuanya ini diharapkan akan menjadi saluran yang subur ke arah proses pembinaan iman dan taqwa. (Dari: blogtokguru).

No comments: