MAHU POLIS DIGERUNI PENJENAYAH
KUALA LUMPUR 25 Mac — Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu meningkatkan kemampuan dan keupayaan dalam semua aspek agar pasukan itu digeruni penjenayah yang kini semakin canggih ketika melakukan jenayah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya penjenayah yang kini semakin berkemahiran menggunakan peralatan dan senjata berteknologi tinggi perlu dipatahkan dengan ketangkasan polis.
“Ini tidak boleh dibiarkan sehingga wujudnya perasaan penjenayah boleh mengatasi polis. Mereka mesti digerunkan dengan kemampuan polis yang lebih hebat dan berkesan,” katanya ketika berucap sempena Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-202 di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.
Abdullah berkata dengan kekuatan dan kegigihan polis memerangi jenayah, ia akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis dan dalam masa yang sama akan menggerunkan rakyat untuk melakukan jenayah.
“Latihan sangat diperlukan bagi memastikan PDRM boleh menjadi satu pasukan yang dapat menjamin keamanan dan keselamatan rakyat,” katanya.
(Berita ini diambil dari BERNAMA, 25 Mac 2009)
No comments:
Post a Comment