Sunday, March 22, 2009

Pasukan harapan najib

Oleh Manja Ismail, Norhayati Md Said dan Zulkofli Jamaludin
bhnews@bharian.com.my


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (kiri) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Ibu Pejabat International Multilateral Partnership Against Cyber Threats (IMPACT) di Cyber Jaya, semalam. - Foto Reuters

  • Mesti komited pada perjuangan Umno
  • Mesti terbuka, sedia untuk berubah
  • Mencerminkan yang terbaik di sisi rakyat

    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berharap pemilihan kepemimpinan Umno pada perhimpunan agung kali ini mewujudkan satu pasukan yang boleh membantunya mengemudi perubahan untuk memulihkan kedudukan Umno, sekali gus membolehkan parti menghadapi pelbagai cabaran sekarang dan akan datang.

    Timbalan Presiden Umno berkata, perwakilan perlu membentuk set kepemimpinan pada peringkat Majlis Tertinggi (MT); Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang mampu menghadapi cabaran baru, sanggup untuk berubah serta bersedia membuat pembaharuan dan melakukan apa-apa kebaikan untuk parti.

    "Pertamanya, kita mesti komited pada perjuangan Umno lebih daripada kita memikirkan diri atau kelompok kita sendiri. Kedua, kita mesti bersikap terbuka. Maknanya bersedia untuk melakukan pembaharuan dan perubahan.

    "Ketiga, kita mesti mahukan pemimpin yang mencerminkan apa yang baik di sisi rakyat, apa yang rakyat pandang baik. Ciri-ciri pemimpin sebeginilah yang sebaik-baiknya dipilih oleh parti untuk menduduki pelbagai jawatan dalam parti.

    "Maknanya, pilihlah pemimpin yang ada kewibawaan dan kebolehan," tegasnya dalam wawancara khas bersama Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan New Sunday Times sempena perhimpunan agung Umno yang bermula lusa.

    Najib, yang bakal menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden Umno ketujuh apabila menang tanpa bertanding bagi jawatan itu, berkata bagi memastikan impiannya itu menjadi kenyataan, perwakilan mesti mengundi berdasarkan suara hati mereka.

    "Kalau kita hendak lihat Umno sebagai hati nurani orang Melayu, hati nurani orang Malaysia, jadi kita pilih pemimpin yang mempunyai ciri-ciri terbaik untuk meniti arus perubahan yang patut kita lakukan.

    Timbalan Perdana Menteri menegaskan, beliau memerlukan satu pasukan yang mantap untuk berdepan dengan keadaan politik dan ekonomi yang begitu mencabar.

    "Saya tidak mungkin dapat menghadapi cabaran ini tanpa disokong dan didukung oleh kepemimpinan tertinggi parti yang sehaluan, mempunyai pemikiran sama, mempunyai iltizam dan matlamat politik yang sama.

    "Itulah yang amat penting sekali. Kalau saya dengan beberapa kerat saja yang akan mencerminkan sikap sedemikian tidak mungkin kita akan dapat membawa perubahan sehingga dapat memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat," katanya.

    Najib berkata, beliau bercadang memperbanyakkan kursus dalam parti dan bukan lagi hanya berseminar di hotel lima bintang, dalam usaha menaikkan semangat perjuangan dan memberi motivasi kepada ahli Umno pada semua peringkat.

    Melalui kursus itu, katanya, Umno boleh melakukan pengukuhan budaya dan sistem nilai pada semua peringkat bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

    Diminta mengulas mengenai kedudukan Umno dan Barisan Nasional yang dilihat paling lemah sewaktu beliau mengambil alih kepimpinannya, Najib berkata keadaan itu mempunyai persamaan ketika bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih pucuk pimpinan Umno pada 1970.

    "Ketika itu, negara kita mengalami peristiwa pahit, tragedi 13 Mei dan politik yang tidak begitu menentu di beberapa negeri, termasuk Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Jadi ada juga persamaan dalam sebahagian aspek.

    "Memang ketika ini adalah yang paling kritikal dalam sejarah Umno dan BN. Kita tidak pernah mengalami keadaan seperti ini. Oleh itu saya perlu melakukan pembaharuan sama ada dalam parti atau kerajaan kerana rakyat mahu kita menilai dan mentafsir apakah isyarat yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu," katanya.

    Mengenai peranan Lembaga Disiplin yang keputusannya sering dipersoalkan, Najib berkata, lembaga itu mempunyai kekangan dan timbul pelbagai komen seolah-olah ahli lembaga itu orang luar sedang ia diwujudkan oleh Umno.

  • Berita ini diambil dari Berita Harian On Line 22 Mac 2009)
  • BB

    No comments: