Sunday, April 4, 2010

BERITA

Ali Hashim

PERMATANG PAUH, 4 April:

Bermula sejak semalam sehinggalah ke hari ini kebanyakan cawangan Maybank yang dikhususkan bagi pembayaran wang RM100 seorang tersebut telah dibanjiri oleh warga emas mengikut kawasan pilihan raya masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Mohd Salleh Man (gambar bawah) juga terpaksa berada di pusat pungutan tersebut bagi membantu warga emas yang mempunyai masalah semasa proses pembayaran dibuat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang terpaksa berada sejak awal pagi sehinggalah proses pembayaran tunai berakhir pada petang ini.

Menurut Mohd Salleh warga emas yang mendapat surat untuk menerima wang daripada Kerajaan Negeri masih boleh menunaikan wang tersebut sehingga 16 April yang akan datang.

"Oleh kerana itu mereka tidak perlu untuk tergesa-gesa atau bersesak-sesak untuk mendapatkan wang tersebut kerana tarikh yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah mencukupi bagi mereka mendapatkan wang yang dijanjikan.

"Proses pembayaran berjalan lancar dengan kerjasama yang begitu baik diberikan oleh pihak bank kepada semua warga emas yang ingin menunaikan wang tersebut.

"Kehadiran semua petugas daripada pusat khidmat Dewan Undangan Negeri dan juga JKKK juga adalah bagi membantu petugas dan kakitangan bank untuk melicinkan proses pembayaran wang tersebut,"katanya semasa ditemui di Maybank cawangan Desa Murni, Sungei Dua.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain terpaksa berhadapan dengan 5 ribu warga emas bagi kawasan Parlimen Kepala Batas yang turut membanjiri Maybank cawangan Bertam, Kepala Batas untuk membantu mereka yang menghadapi masalah dalam proses pembayaran tersebut.

Pembayaran yang dilakukan sejak semalam sehinggalah ke hari ini secara tunai telah menyebabkan warga emas terpaksa beratur panjang bagi mendapatkan wang tersebut.

Rosidi berkata, kehadiran yang begitu menakjubkan membuktikan bahawa pemberian yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi proses pembayaran wang RM100 ini adalah sesuatu yang amat diharapkan oleh warga emas sebagai menghargai mereka selama ini.

"Proses pemberian ini merupakan salah satu tindakan terbaik yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi menghargai warga emas yang ada dalam negeri ini walaupun jumlahnya tidak begitu banyak.

"Namun begitu setidak-tidaknya ia dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan tersebut,"katanya.
Kira-kira 4,000 warga emas telah menyerbu Maybank cawangan Desa Murni, Sungei Dua bagi mendapatkan wang yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

-------------------------

Dzulfikar Mashoor

GOMBAK, 4 April: Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkifli Ahmad (gambar) menasihatkan seluruh ahli dan penyokong PAS supaya memperkukuhkan muafakat Pakatan Rakyat demi menolak kezaliman angkara segelintir pemimpin Umno BN.

Menurut beliau, muafakat PAS bersama-sama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat itu boleh dianggap sebagai manifestasi pada penyertaan Rasulullah s.a.w dalam 'Perjanjian Fudhul' pada era Jahiliah.

"Inilah (Perjanjian Fudhul) suatu perjanjian untuk melindungi rakyat marhaen di Makkah (supaya) kezaliman ditolak bersama-sama oleh semua pihak, tidak mengira ideologi dan sebagainya."

"Sebab itu, kita membawa pendekatan ini (muafakat Pakatan Rakyat) sebagai kaedah politik PAS (yang) secucuk dengan nas ini (Perjanjian Fudhul)," jelas beliau pagi tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat berkata, budaya menolak kezaliman di Makkah itu walaupun berlaku ketika Rasulullah s.a.w berusia 16 tahun, tetapi Rasulullah s.a.w mengiktiraf muafakat politik (tahalluf siyasi) tersebut selepas Baginda diangkat menjadi Rasul.

"Sesungguhnya aku telah menyaksikan termeterainya perjanjian di rumah pakcikku, Abdullah bin Jud'an. Seandainya aku diundang untuk memeterai perjanjian (iaitu) menentang kezaliman dan menegakkan keadilan, pasti akan aku sambut," maksud Hadith Rasulullah s.a.w, seperti diperjelaskan oleh Dr. Dzulkifly.

Ujarnya lagi, penubuhan Pakatan Rakyat telah memecahkan tembok-tembok perkauman antara rakyat yang dicipta oleh parti-parti pemerintah atas titik persamaan yang sama iaitu menolak segelintir kepemimpinan Umno BN yang zalim.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh ahli PAS dan rakyat marhaen mendukung wawasan PAS yang diperjuangkan oleh Mursyidul Amnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bercakap dalam Majlis Perasmian Jubli Perak dan Mesyuarat Agong Tahunan PAS Kawasan Batu kali ke-25, beliau turut memuji keterbukaan DAP dalam menolak kezaliman Umno BN melalui wadah Pakatan Rakyat.

"Untuk menumbangkan kezaliman (Umno BN), para pemimpin DAP umumnya bersedia mengiktiraf Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan (Hak Istimewa kaum Melayu) dan beberapa kepentingan yang lain.

"(Keterbukaan DAP) kerana mereka juga menghayati semangat serta kepentingan untuk bersama-sama (melalui Pakatan Rakyat) untuk tumbangkan Umno BN dalam masa terdekat ini (Pilihan Raya Umum ke-13)," ujarnya.

Lanjutan itu, beliau secara peribadi mengalu-alukan beberapa parti lain iaitu Parti Rakyat Se-Malaysia (PRM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) supaya menyertai muafakat Pakatan Rakyat.

"Apa juga ideologi, PRM, PSM dan apa jua parti sekali pun, Pakatan Rakyat boleh mengurus perbezaan...asalkan atas paksi yang jelas (iaitu) menolak kezaliman," ujar.

Sempena pilihan raya kecil Hulu Selangor yang dijangka berlangsung tidak lama lagi, beliau turut menyeru PAS supaya memperkasa jenteranya agar calon Pakatan Rakyat boleh memenangi kerusi Parlimen tersebut.

Turut menyertai Dzulkifli, Cikgu Ishak Surin (YDP PAS Kawasan Batu), Ustaz Iimran (Ketua Penerangan PAS Batu), Vincent Lee (Ketua Pengarah Himpunan Penyokong PAS), Dr. Tan Seng Giaw (Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan), Ariffin Salimon (Pemangku Presiden PRM) dan Koh Swe Yong (Setiausaha PRM).

(Berita ini diambil dari Harakah Daily online, 4 April 2010)

No comments: